Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya melihat arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menerusi Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin untuk menghentikan amalan pengasingan kelas sebagai satu cabang kepada anjakan positif pendidikan negara ke arah menyesuaikan murid dengan persekitaran semasa yang semakin rencam.

Tidak dinafikan sistem pengasingan kelas atau ‘streaming’ yang telah berjalan selama lebih enam puluh tahun dalam sistem pendidikan sekolah mempunyai tujuan yang baik antara lain untuk memupuk persaingan murid dalam darjah untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya berjaya untuk memasuki kelas nombor satu. Namun, sejauh mana persaingan ini benar-benar difahami pelajar sekolah khususnya murid di sekolah rendah? Selanjutnya adakah amalan pengasingan kelas ini dapat membuahkan hasil untuk memajukan pembelajaran dan pendidikan murid-murid secara keseluruhan?

Sewaktu di bangku sekolah saya pernah menduduki kelas terkebelakang (kelas nombor 3) kemudian berpindah ke kelas nombor dua dan seterusnya kelas pertama dalam darjah. Apabila murid naik ke kelas pertama pasti akan ada murid yang turun kelas dan saya melihat rakan sedarjah yang dikeluarkan dari kelas pertama untuk diturunkan ke kelas bawah.

Persoalan yang timbul dalam fikiran sejauh mana mereka dapat menggilap semula keberkesanan pembelajaran mereka ketika berada di kelas pertama sama seperti di kelas bawah kerana tumpuan pembelajaran yang berkesan seperti guru-guru berkualiti serta kelas tambahan khas hanya menjurus kepada murid yang menduduki kelas pertama.

Atas faktor sistem exam oriented yang mengejar pencapaian gred A dalam peperiksaan, fokus guru terarah untuk memastikan semua pelajar kelas pertama mencapai gred semua A kerana mereka telah terangkum dalam kelompok "murid harapan sekolah".

Sebaliknya sasaran untuk pelajar kelas bawah hanya semata-mata untuk dikurangkan bilangan pelajar yang gagal dalam peperiksaan biarpun mendapat gred B, C, atau D.

Maka, dari sudut motivasi saya sendiri melihat murid rata-rata di kelas bawah sudah tiada semangat persaingan untuk belajar bersungguh-sungguh akibat dari layanan seperti ini yang dilakukan dari amalan pendidikan sekolah. Maka, sejauh mana pengasingan kelas ini dapat membawa persaingan yang sihat kepada murid dalam erti kata sebenar?

Ini belum menyentuh soal pujian melambung dalam perhimpunan oleh guru besar dan guru-guru lain dalam perhimpunan pagi kepada murid-murid kelas nombor satu seolah-olah dianakemaskan, sebaliknya murid kelas bawah sering dikaitkan dengan masalah disiplin dan dan kelompok yang menjadi liabiliti kepada sekolah yang selanjutnya memudarkan lagi rasa ingin bersaing bersungguh-sungguh kerana telah merasai tekanan akibat dari bibit-bibit diskriminasi.

Tidak dinafikan mungkin pengasingan kelas perlu hanya untuk aspek tertentu seperti pembelajaran murid lemah yang dikelompokkan untuk dibangunkan pembelajaran mereka menerusi sistem kelas pemulihan seperti Program Literasi dan Numerasi (LINUS), Program Pemulihan 3 M (PROTIM) dan sebagainya, namun ia bukan menjadi tembok menghalang murid lemah untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka ekoran dari iklim pembelajaran yang tidak menyokong.

Sepertimana kita mempercayai dasar affirmative action dalam ekonomi untuk memberi penumpuan membantu rakyat yang lemah, seolah-olah dasar mirip affirmative action sepi dari amalan pendidikan negara. Kesenjangan dan jurang dibiarkan berterusan melebar semata-mata ingin mencapai sasaran sekolah yang tidak seimbang untuk memastikan murid terpilih mencapai gred semua A dalam peperiksaan. Murid yang maju terus maju ke hadapan dan yang lemah terus ketinggalan tanpa pernah ditutup jurang kesenjangan.

'Loose streaming'

Senario ini dibuktikan apabila sekolah tidak pernah sepi dari kedatangan ibu bapa khususnya yang bertaraf VVIP yang mendesak sekolah memberi peluang kepada anak mereka untuk dimasukkan ke kelas pertama. Saya tidak menyalahkan ibu bapa tersebut kerana mereka sendiri sudah boleh menjangkakan apa yang akan terjadi kepada perkembangan pembelajaran anak-anak mereka jika anak mereka tidak dimasukkan ke sekolah nombor satu.

Dalam erti kata lain, ibu bapa tidak yakin dengan amalan pengasingan kelas ini dapat meningkatkan kualiti pembelajaran anak mereka untuk berkembang atas nama persaingan hingga dapat masuk ke kelas pertama secara sendiri. Maka, mereka melihat tanpa campur tangan ini, anak mereka hanya akan dimangsakan oleh sistem pengasingan kelas yang diamalkan.

Selain itu, sikap "kiasu" (mementingkan diri sendiri) akan terpupuk secara sendiri dalam kalangan murid kelas pertama. Ibu bapa kelas pertama cerewet dengan pemarkahan anak-anak dalam peperiksaan sehingga memberi tekanan kepada guru selain wujud murid-murid yang berjiwa elit yang hanya mementingkan pencapaian individu.

Dikhuatiri murid ini tidak merasai keperluan untuk berkongsi ilmu dengan pelajar lain apa lagi membantu mengajar murid kelas lemah. Maka, sejauh mana persaingan yang sihat menerusi amalan sedia ada boleh berlaku?

Justeru, pembaharuan yang ingin dibawa Ketua Pengarah Pelajaran perlu dinilai dari aspek yang positif secara menyeluruh untuk membawa satu iklim yang sihat dan bersesuaian. Sepertimana yang dicadangkan ABIM menerusi kenyataan rasmi presiden Mohamad Raimi Ab Rahim, pemansuhan amalan 'streaming' ini boleh digantikan dengan kaedah 'loose streaming', iaitu murid pelbagai kebolehan berada dalam satu kelas agar murid yang berprestasi tinggi boleh membantu murid yang berprestasi rendah.

Kajian literatur mendapati keberkesanan potensi pembelajaran rakan sebaya (peer learning) sebagai satu kaedah meningkatkan minat dan prestasi murid berpencapaian rendah.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS