'Murtad dari Melayu'

Opinion  |  Mohd Fudzail Mohd Nor
Diterbitkan  |  Dikemaskini

Saya masih teringat satu tajuk cerpen yang pernah dibaca sewaktu sekolah rendah, "Murtad Dari Melayu'.

Tidak ingat siapa penulis. Kalau tidak silap, cerpen itu berkisar mengenai seorang tua yang sakit di hospital sebelum dia meninggal dunia telah mengisytiharkan kepada anak-anaknya bahawa dirinya murtad daripada menjadi orang Melayu.

Lelaki itu kecewa melihat betapa teruknya perangai dan situasi orang Melayu yang menjadi tuan di tanahair sendiri.

Keputusan untuk murtad daripada menjadi orang Melayu itu menimbulkan ketegangan di kalangan anak-anaknya.

Kesan membaca cerpen itu terhadap saya, walau masih bersekolah rendah masih berterusan ke hari ini. Tidak tergapai pemikiran saya sewaktu dalam kehidupan di kampung yang masih belum membangun itu, pada akhir tahun 1970an berkenaan apa yang mungkin berlaku hari ini.

Ruang, peluang penguasaan politik

Sepanjang 4 dekad kemudian, apakah ada perubahan besar sikap, minda, mentaliti dan pendirian orang Melayu?

Dengan jutaan yang sudah bersekolah, menjadi graduan, berjaya dalam pelbagai bidang melalui DEB, tentunya orang Melayu di bawah kepimpinan parti kebangsaan boleh berbangga dengan kejayaan yang ada.

Penguasaan dalam politik semenjak merdeka memberi banyak ruang dan peluang. Tidak dapat disangkal memang ada banyak kemajuan yang dicapai terutama dalam dekad 1980an.

Begitupun, dengan media sosial hari ini, penyebaran maklumat, berita dan propaganda, termasuk berita palsu membongkar realiti yang hampir sama dengan keadaan dekad 1970an.

Apalagi dengan pembubaran parlimen dan kemeriahan pilihan raya semakin menjadikan suasana membahang di mana-mana.

Kita boleh mengukur sejauh mana negara telah bergerak progresif atau berpatah balik regresif, arah sebenar majoriti orang Melayu yang juga majoriti warganegara Malaysia ini ke depan atau ke belakang?

Kita lihat sahaja bagaimana sikap politikus Melayu daripada parti kebangsaan misalnya dalam proses demokrasi 'acuan tempatan'.

Apabila disebut mengenai negara kita hari ini di luar negara, seperi kami di di UAE, tanggapan pertama adalah soalan,'what happened to your country'?

Apa yang telah berlaku di negara yang dahulunya gah dan menjadi kebanggaan. Sekarang dicemar dengan imej rasuah, kleptokrasi dan perompakan siang hari yang terlampau.

Kita masih dipimpin oleh politikus Melayu daripada parti kebangsaan yang terus menang dalam pilihan raya. Tetapi apakah mereka yang berkuasa melalui demokrasi itu benar-benar demokrat mengikut piawaian sebenar?

Bukan sahaja politikus Melayu parti kebangsaan yang mengaku Muslim, solat lima waktu, puasa sebulan ramadan, membayar zakat, pergi haji dan umrah itu kelihatan syok sendiri dengan propaganda sendiri, tetapi mereka seakan berada di cakerawala selari yang hanya didiami mereka.

Penguasaan kuasa sepenuhnya di bawah seorang politikus dengan jawatan perdana menteri, walau bukan penjawat awam menurut mahkamah, menjadikan setiap cabang pentadbiran hanyalah boneka tanpa wibawa dan integriti.

Ingat, mereka yang memegang jawatan eksekutif sebagai ketua polis, peguam negara, ketua setiausaha negara, panglima tentera, ketua pengarah SPRM dan ROS, semuanya terdiri daripada orang Melayu atau muslim.

Mereka ini, penjawat awam sepatutnya bebas daripada kuasa politikus yang mentadbir melalui mandat yang diberikan lima tahun sekali.

Mereka yang memegang amanah dan mengangkat sumpah dengan nama Allah itu sepatutnya menjiwai konsep berani kerana benar dalam memikul tanggungjawab kerana setiap urusan membawa sama ada ke syurga atau ke neraka.

Imej negara yang dicintai ini tercemar teruk dengan penyelewengan, kerakusan, rasuah, ketamakan dan kejahatan politikus serta penjawat awam yang bertaraf boneka. Lantaran itu, hal paling ketara yang ditunjukkan daripada kesemua ini adalah kebangsatan moral bangsa Melayu!

Apakah mereka tidak merasa berdosa kerana menidakkan keadilan untuk semua, apabila parti lawan tidak diberikan ruang yang bebas dan adil untuk bertarung di padang yang sama rata, dengan pengadil yang saksama?

Tidakkah ada sekelumit perasaan bersalah? Atau memang matlamat menghalalkan cara?

Sebaik pembubaran parlimen, tiada lagi kerajaan sah. Dalam pilihanraya hanyalah parti-parti yang berkempen.

Begitupun, para pemegang jawatan menteri di bawah kerajaan sementara atau caretaker government terus sahaja melakukan apa sahaja, termasuk penggunaan fasiliti, jentera, media dan kemudahan awam untuk berkempen.

Lebih teruk, kempen pilihanraya tidak banyak berubah dari lima dekad lalu. Pemberian rasuah melalui saguhati seperti kain pelikat, kain batik, wang tunai dan pelbagai pemberian 'one-off', janji-janji bina itu dan ini dengan jutaan bajet, berterusan menjadi strategi untuk menang pilihan raya.

Para calon yang bertaraf menteri terus berlagak mempunyai kuasa untuk memberi apa sahaja dalam meraih undi.

Sedangkan mereka sepatutnya di sebut calon, bukan lagi perdana menteri atau menteri itu dan ini.

Debat ketua-ketua parti politik

Kita tidak berpeluang mendengar ketua-ketua parti politik berdebat sesama mereka secara langsung melalui media kepunyaan awam mahupun swasta. Sedangkan kita telah pun dianggap negara maju oleh perdana menteri dan para menteri.

Pihak yang dikatakan pembangkang tentunya bersedia untuk program debat antara calon. Inilah antara acara terbaik dalam demokrasi yang subur, maju dan telus.

Manakala pihak yang masih terasa sebagai kerajaan, hanya berani melalui media yang dikuasai. Monolog di atas pentas rapat umum atau di televisyen.

Dengan media sosial juga, pelbagai sebaran bahan kempen yang ditularkan sama ada untuk menakutkan atau menerangkan.

 

Perang politik telah lama bermula dalam Facebook dan Whatsapp.

Maki-hamun telah menjadi sebahagian suasana politik maya, lebih teruk dari luar alam maya. Kebebasan yang sedikit sebanyak membawa kesan negatif dalam perhubungan sesama sendiri.

Hakikatnya, begitu hodoh, buruk, tidak jantan dan tidak Islamik sekali untuk para politikus Melayu terutama daripada parti kebangsaan yang mahu terus berkuasa. Tidak ketinggalan juga tindakan para penyokong mereka (sama ada penjawat awam atau pengundi) dalam proses demokrasi yang dipantau oleh masyarakat dunia ini.

Disebabkan majoriti pihak yang berkuasa dan pengundi ialah orang Melayu Islam, maka orang Melayu dan Muslim dilihat semakin tersasar daripada demokrasi tulen.

Barangkali jika orang tua dalam cerpen 'Murtad dari Melayu' itu hidup kembali, dia akan tetap murtad daripada menjadi orang Melayu!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.