Kolum Malaysiakini

Malunya kalau biarkan diri jadi balaci

Abdullahjones  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Semasa mula menulis di Malaysiakini, kami hairan apabila dikomen macam-macam. Komen-komen itu pula seperti tak ingat akhirat.

Main boo saja. Ikut suka nak tulis apa.

Tentunya yang paling tidak boleh disentuh ialah kelemahan bangsa Melayu dan apa saja mengenai partai perjuangan agama yang satu itu.

Kalau tahu dek Mok kami, tentu ia membawa kesedihan berpanjangan pada dia.

Oh! Kalau Mok baca tulisan ini, nak bagitau Mok, kami OK. Macam kata Bob Dylan kepada emak beliau: It's alright ma, I'm only bleeding, atau dalam bahasa Melayu - mengikut kata Lat - Tak apalah mak...

Kami pun mengadu malang nasib kami kepada tuan editor.

"Itu macai tu..." kata beliau. Dan kami tambah hairan apabila beliau mengatakan bahawa kadang-kadang penulis komen itu adalah orang yang dibayar serendah 20 sen untuk satu komen.

Kemon laaa.. takkan begitu murah harga diri, bang?

Kami ini jenis yang skeptikal. Apabila duduk dalam satu-satu majlis, misalnya, dan tukang cakap di majlis sibuk menyebut tentang barangkali ada SB dalam majlis tersebut, kami akan kata dalam hati: "Perasan bagus."

Bangga ibu kena penjara

Kami tidak rasa satu majlis agama yang santai berbicara mengenai hal ehwal Islam turut diperhati. Tidak logik rasanya apabila kita menganggap 'kerajaan’ begitu sekali memusuhi orang yang mahu beragama.

Memang benar masjid kami pernah diberi amaran keras kerana tidak menyebut nama pemimpin negeri dalam doa satu khutbah, tetapi laporan yang diterima ialah, aduan dibuat oleh mereka yang dekat dengan istana.

Bukannya datang daripada risikan cawangan khas polis atau istana sendiri.

Ini kes lebih sudu daripada kuah.

Namun untuk percaya bahawa kita ini seperti sesetengah negara Arab suatu masa dulu apabila seseorang diasuh agar melaporkan kepada kerajaan jika ada ahli keluarga sendiri yang bercakap jahat terhadap penguasa memang sangat asing pada pandangan kami.

Ada kes anak melaporkan ibu sendiri kepada kerajaan Arab tersebut dan ibu malang tersebut kemudian dipenjara. Pasti Si Tenggang tersenyum bangga.

Kita belum sampai kepada tahap itu. Tapi "belum sampai" bukan bermakna kita tidak akan sampai. Dan kita berdoa supaya sebelum sampainya keadaan sedemikian, kita akan jadi tahu berfikir bahawa kecintaan kepada negara serta ketaatkan kepada kerajaan adalah dua perkara yang berbeza.

Kita jangan sampai menjadikan agenda satu-satu kesatuan politik sebagai nafas yang kita hela. Menyelamatkan negara daripada semua macam kejahatan adalah sangat utama, dan memilih pemimpin yang mempunyai aliran yang sama pula adalah mustahak.

Komen-komen yang dibayar 20 sen ini (menurut editor) biasanya datang daripada akaun yang kosong. Maksudnya, bukan menggunakan nama sendiri dan khusus dibuka untuk menulis apa-apa saja bagi menimbulkan polemik.

Kemon la bang... takkan sebab nak makan 20 sen ajak orang bergaduh. Malulah pada diri sendiri.

Diri sekadar jadi alat

Kami pernah terjumpa seorang kawan yang mengaku menjadi cybertrooper dan yang malang sedikit, kawan kami itu jenis ikhlas berjuang.

Dia tidak menerima sebarang bayaran untuk kerja yang dilakukannya kerana menganggap itu adalah perjuangan. Ia dirasakan sebagai ibadah.

Ingat nak tulis perkataan "jihad" tapi takut pula kena marah dek abang-abang dari partai berkenaan.

Beliau mengatakan bahawa setelah beberapa tahun menjadi hamba partai politik, datang kesedaran tentang bodohnya membuat kerja tersebut.

Beliau dapati dirinya cuma dijadikan alat untuk membantu kegemilangan partai politik yang disokongnya dan apa yang beliau perolehi adalah kepuasan yang tidak mendatangkan hasil baik dari segi rohani atau jasmani.

Beliau mengatakan bahawa beliau menjadi seorang yang negatif dalam semua hal. Apa sahaja yang dilakukan oleh puak yang tidak disokongnya adalah musibat. Tidak dikira sama ada apa yang dikatakan oleh musuh politiknya itu benar atau sebaliknya.

Mungkin jika menerima bayaran beliau akan menukar fikiran ke arah lain. Wang adalah raja, kata sesetengah orang dan dengan demikian kita lihat wang ditabur sewenang-wenangnya pada musim sebegini.

Semua partai menjanjikan kemewahan hidup jika menang tanpa mahu mempedulikan kesejahteraan rohani setiap insan.

OK-laa... ada partai itu yang menjanjikan kesejahteraan hidup insan jika menang. Mentelah pula mengikut rekod mereka tiada pemimpin mereka yang disabit rasuah. Tapi itulah...

Partai berkenaan nampak seperti menuju jalan ke belakang. Kemungkinan menjadi partai yang paling teruk kalah dalam pilihan raya seperti diramal banyak orang nampaknya seperti akan benar-benar berlaku.

Jangan biar diri jadi balaci

Walau bagaimanapun, kami dahulukan dengan ucapan (seikhlas hati dan tanpa sebarang unsur sarkastik) semoga partai tersebut sekurang-kurangnya dapat mempertahankan Kelantan.

Sebagai seorang Islam kami amat menyayangi siapa saja yang sepenuh hati berjuang dan mempertahankan agama suci ini tanpa mengira dikatakan sebagai liberal, belajar dengan Amerika serta tali barut DAP atau pelbagai label yang disebut lidah lembut tidak bertulang kamu itu.

Malu sebenarnya apabila kita membiarkan diri menjadi balaci kepada mana-mana kesatuan politik yang kita semua tahu akan melakukan apa sahaja demi kelangsungan partai.

Mereka akan mengunakan apa sahaja yang dimahukan oleh orang banyak dan tentu saja menjanjikan kemewahan adalah satu jalan terang dalam seribu laluan yang kita rasakan gelap hidup hari ini.

Hatta jika semua orang mahukan maksiat sebagai kegiatan utama dalam kehidupan pun akan mereka usahakan supaya menjadi sesuatu yang dihalalkan.

Apa yang mereka mahukan adalah sokongan dan tidak mereka peduli dari mana datangnya sokongan itu. Politikus tahu hal ini dan mereka pun mengambil peluang.

Lihat bagaimana kerajaan Israel memainkan isu ketinggian bangsa mereka melebihi bangsa lain untuk terus kekal berkuasa sehingga generasi muda mereka sangat percaya bahaya mereka adalah superior dari semua bangsa dalam dunia.

Mana munkin seorang tentera yang mempunyai keluarga sanggup membunuh anak kecil lain jika mereka tidak diasuh saban hari untuk membenci.

Politik kita juga menuju jalan sama dan kamu tentu tidak membantu apabila sanggup dijadikan alat oleh partai kesayangan kamu.

Lalu kamu dengan bangga menjadi agen kebencian dan memujuk diri dengan mengatakan ini adalah perjuangan suci demi agama atau demi bangsa atau kedua-duanya sekali.

(Nak kata yang kami ni jadi barua DAP letteww..)

Mari ajak kami minum kopi. Kami minum kopi tanpa gula bukan kerana kencing manis dan bukan juga kerana menjaga kesihatan, tapi hidup kami memang sentiasa manis. Lalu kami perlu sedikit kepahitan agar sedar liku-liku hidup adalah cara Tuhan mengajar kita erti kesyukuran dan kita berbual.

Kami bayar pun tak apa. Walau tidak dituduh menerima wang derma peribadi daripada sesiapa - dan jika terima, kami akan mengaku saja - kami ini kaya juga.

Jangan kerana kami ini sudah sedikit tua lalu dikatakan minda tertutup pula. Dengar dan mungkin kita boleh damai dalam berpolitik.

Ini tidak, diherdiknya pak cik yang sah-sah ahli partai itu. Kan dah hilang satu undi.

Tentu saja kami berasa simpati apabila Datin Seri Rosmah Mansor berkecil hati apabila Cik Nurul Izzah Anwar tidak memanggil beliau sebagai sekurang-kurangnya mak cik jika pun tidak Datin Seri semasa menyebut namanya.

Apatah lagi mereka saling kenal. tentu kami juga tidak bersetuju apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kata-kata jelik yang tidak digemari bangsa India walaupun dalam nada bergurau.

Jangan sibuk rumahtangga orang lain

Adab sangat penting tanpa mengira di hadapan sang muda dan tentu sekali lebih penting kepada mereka yang lebih berusia. Agama mengajar kita begitu.

Tradisi bangsa juga menyuruh perkara sama, sementelah pula kita ini orang tinggi dalam partai agama.

Hilang adab, hilang hormat maka kita pun turun ke darjat paling bawah dalam hieraki makhluk ciptaan Tuhan.

Oh, bercakap mengenai minda tertutup, kami cadangkan semua yang sibuk dengan politik agar membaca buku Minda Tertawan ditulis Raja Ahmad Aminullah yang kami hormati. Dia juga seorang pemerhati politik yang disegani.

Luaskan sikit pembacaan, biar terbuka sikit pemikiran. Ini tidak, baca Malaysiakini, baca Harakah, lepas tu bergaduh tak kesudah. Baser bodo blake.

Bercakap mengenai derma, sudah sampai masanya semua partai politik diwajibkan mengisytiharkan sumber dana yang mereka terima kepada umum. Biar semua tahu dan biar semua berani.

Ini tidak, tahun tahun lalu mengaku, tahun ini meminta maaf apabila perniagaan sedikit merudum. Tak fasal-fasal Kak Pidah meletak jawatan.

Politik hanya satu cebisan kecil daripada kehidupan. Ia jadi tidak penting apabila ia membawa kepada perbalahan dan permusuhan.

Jadi buta hati apabila kita taasub melulu. Jadi busuk perut kita ini apabila merasakan bahawa hanya kita saja yang berbuat betul.


Baca Seniman dan puaka besar partai politik Malaya


Cuma jangan ajak kami duduk di pentas kerana kami ini sudah dikenali ramai sebagai akan sangat gugup apabila diberi perhatian. Ditambah pula dengan memiliki sifat pemalu yang amat dalam.

Dan jika ditanya mengapa kami cuma menulis mengenai bangsa Melayu dan (partai) Islam, tentu jawapannya ialah kerana kami ini Melayu dan Islam. Dan kami sayangkan kedua-duanya walaupun ada yang meragui ketaatkan kami kepada bangsa dan keimanan kami kepada agama.

Di mana pun kami menulis, inilah yang kami ulang-ulang.

Mengenai bangsa lain, biar mereka selesaikan masalah mereka sesama sendiri. Tidak manis kita masuk urusan rumahtangga bangsa dan agama orang lain.

Kita sibuk memberi nasihat, kononnya. Cadang itu ini sepertinya kita ini pandai benar, tahu semua perkara, penyelesai segala angkara. Kemudian kita balik ke rumah dan tidur lena sedang orang yang kita laga-lagakan porak-peranda.

Mok kami kata itu kurang ajar namanya.

Kemon gais, jangan jadikan diri kita boleh dibeli dengan sedikit wang dan membiarkan kebiadaban jahat politik memecah-belahkan kita.

Mari kita jadi HEBAT! HEBAT!! HEBAT!!! Eh! Tersilap mantera pulak...


ABDULLAHJONES seorang penulis, penyair, pelukis, jurufoto dan juga seorang ninja yang belas hati.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.