Paling Popular
Terkini

Sepatutnya kita berbangga apabila semua bangsa di negara ini tidak malu mengaku bahawa negara ini milik mereka. Ditambah pula dengan pertukaran kerajaan yang baru berlaku ini.

Namun sebenarnya kita dukacita apabila semua bangsa itu sebetulnya saling syak wasangka.

Yang Melayu selalu melihat Cina sebagai bangsa jahat yang melindungi kaum sendiri, baik semasa memberi peluang perkerjaan mahupun menyediakan laluan perniagaan.

Yang Cina pula tidak habis-habis dengan tabiat mahu merendahkan Melayu yang dijaja sebagai bangsa yang selalu mengharap bantu.

Di mana betulnya pertuduhan pertuduhan ini tidaklah diketahui.

Kita sudah masuk ke suatu era baru dan semestinyalah kita ini meninggalkan apa juga kepercayaan yang membawa kepada perpecahan.

Melayu perlu keluar dari sifat sentiasa mahu menjadi tuan hanya kerana dilahirkan oleh datuk nenek mereka yang lebih dulu menduduki negara ini.

Satukan dengan bahasa

Benar, tuan rumah sentiasa berasa berhak ke atas rumah mereka tetapi apabila rumah berkenaan diduduki ramai orang, maka muafakat adalah jalan terbaik untuk keamanan.

Kita tidak lagi boleh berasakan bahawa negara ini punyanya kita. Semua yang dilahirkan di sini semestinya diberikan hak yang sama.

Begitu juga si Cina. Mereka juga perlu meninggalkan apa juga kesatuan dan kesepakatan untuk memajukan bangsa sendiri semata-mata dan masuk ke dunia yang memberikan keselesaan kepada semua kaum.

Berulang kali kami katakan bahawa kita ini perlu disatukan bermula dengan bahasa, namun keangkuhan telah membuatkan kita memandang remeh keputusan perlembagaan yang mengatakan bahasa Melayu ialah bahasa pertuturan rasmi negara ini.

Kami juga mengatakan jika bahasa Melayu dikatakan jijik dan bukan bahasa membawa kemajuan, maka pilih satu bahasa lain dan kami akan jadi orang pertama akan mempelajarinya.

Kami Melayu memang bodoh begitu.

Kesatuan dalam berbahasa amat penting untuk kesepakatan dalam kehidupan.

Kaum Cina bertegas tidak mahu menghapuskan sekolah jenis kebangsaan kerana menurut sesetegah mereka, kualiti murid yang dihasilkan oleh sekolah-sekolah ini jauh lebih baik jika dibanding dengan murid sekolah kebangsaan.

Merdeka sekali lagi

Ini masih boleh diperdebatkan namun sepatutnya jika ini adalah benar, maka mereka semestinya sudah bersedia untuk berkongsi tatapembelajaran tersebut dengan semua bangsa di negara ini untuk kebaikan semua demi memajukan negara.

Kita tidak lagi duduk dalam negara yang mementingkan bangsa, atau mencium keris tak tentu hala. Kita telah merdeka buat kali kedua. Buktikan bahawa kita adalah manusia yang mahu kepada kebaikan untuk semua bangsa.

Jangan diulangi kesilapan datuk nenek kita pada masa lampau.

Bumiputera marah apabila UiTM diminta untuk dibuka kepada semua bangsa kerana konon ini adalah kubu terakhir bangsa Melayu.

Rasanya ini adalah sikap daripada sisa peninggalan pemerintah yang lalu.

Kami mungking tidak akan menang pingat apabila mengatakan bahawa kami setuju semua universiti hendaklah dibuka kepada semua rakyat Malaya, dan kami tidak peduli.

Sebagai peringatan, kepada orang Melayu kami ini adalah si liberal yang wajib dimusuhi. Tambahan pula - kata mereka - kami ini kerjanya tiada selain menghentam Islam, padahal kadang-kadang kami sembahyang juga dan amat berharap akan sorga.

Kami tidak tahu apa pandangan kaum lain kepada kami. Mereka jarang menyatakan pendapat mereka secara terbuka (di ruang komen, misalnya).

Oh! Sebelum lupa, kami baca semua komen dan walaupun kadangkala amat terluka kami teruskan juga demi negara tercinta.

Hapuskan kekejaman lalu

Sekolah atau tempat belajar hendaklah bebas daripada sentimen perkauman. Mungkin benar apabila ada yang mengatakan bahawa siswa pelbagai bangsa di universiti sedia ada belum menampakan keinginan untuk bergaul dengan bangsa lain.

Namun setelah menemui kesepakatan dalam menukar kerajaan baru-baru ini maka kita perlu pula satu kesepakatan untuk maju sebagai satu bangsa.

Kita mahu menjadi rakyat yang kuat dalam negara baru ini.


Baca Ngilunya hati dengar pantun datuk seri


Kita tidak lagi mahu diperbodohkan oleh politikus yang sewenang-wenangnya berlagak sombong dan angkuh semasa mentadbir negara.

Sudah lupus masa untuk seseorang ketua negara dan kabinet bebas melakukan apa saja tanpa ada rasa bersalah.

Kekejaman masa lalu hendaklah kita hapuskan dan mereka yang berada di puncak pemerintahan hari ini harus diingatkan bahawa kita - sang rakyat jelata - berkuasa dalam menentukan kedudukan mereka.

Ini hanya dapat dicapai apabila kita setuju bahawa kita wajib bersatu dan rela mengetepikan kepentingan peribadi bangsa sendiri.

Bercakap mengenai itu, sepatutnya kita memberi sedikit ruang kepada pemerintahan baru ini untuk memulakan kerja tanpa ada gangguan dan rungutan yang melampau.

Kami juga berasa bersalah apabila saban hari mencari kesilapan kerajaan baru ini melalui ciapan kami.

Ya, kami ada akaun Twitter. Cari lah... boleh saja jika mahu menghentam kami di sana.

Walau bagaimanapun, kesalahan-kesalahan besar yang nyata seperti sibuk memuji dan memuja sesama sendiri dalam partai hendaklah segera dihentikan.

Begitu juga kebodohan membawa balik kroni masa lalu ke dalam pentadbiran dan perniagaan juga hendaklah ditamatkan segera.

Satu peringatan kami kepada politikus musim baru ini: berpada-padalah dalam semua hal kerana kalian sedang diperhatikan.

Mungkin sebilangan daripada kami ini tergolong dalam kumpulan yang taasub kepartian namun sebilangan besar adalah yang sudah lama benci dengan keangkuhan.

Kami tidak menukar partai tetapi kami menukar kerajaan. Dan rakyat menukar kerajaan bukan untuk kembali kepada kejahatan.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, pengembara, jurufoto dan seorang ninja yang tak ada kampung nak raya.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS