Paling Popular
Terkini

Ada perempuan renta menimba
terbungkuk namun sempat senandungkan tembang
sedang dibalik pagar gadis berdendang
tengah mandi telanjang.

Kamu semua memang. Benci tak habis-habis. Kami tulis curhat, kamu kata lucah. Kami tulis belangsungkawa pun kamu marah. Kmu kata bangang tak ada faedah, padahal kami sedang bersedih kehilangan sahabat.

Kemudian kamu kata tulisan tak fokus, meraban merata.

Kami rasa macam nak masuk Umno sebab kecil hati.

Kamu komen teruk-teruk walhal editor kami membaca semua tulisan yang akan disiarkan. Dibuatnya dia setuju dengan kamu dan ambil keputusan supaya kolum ini ditutup, lagu mana?

Tak kasihan langsung kamu kepada kami. Kami menulis bukan hendak kaya tapi cuma cari sedikit belanja buat beli rokok dan buat beli air bateri Audi Q7 kami. Itu pun kamu nak panas hati.

Aduh kehidupan...

Sana salah, sini salah

Nampaknya tahun depan kami terpaksa mencari lesen tapak bazar Ramadan. Orang kata modalnya sedikit, sedang untung atas anginnya beratus ribu ringgit. Bela rakyat, bela rakyat juga, yang masyuk mahu dikira jua. Yer dak?

Sebut fasal editor, jika kamu baca mana-mana tulisan asal yang kami hantar, kamu akan malu sendiri kerana banyaknya bahasa kesat yang kami gunakan.

Kami memang jahat begitu. Tidak beradab dan tamadun rendah. Melayulah, katakan...

Mungkin kerana takut lesen penerbitannya dibatalkan, editor kami dengan gigih menulis semula kata-kata kesat yang kami gunakan untuk diganti dengan bahasa yang baik.

Belum lagi dikira salah ejaan, salah tanda baca dan segala macam kesilapan lain dalam tulisan asal yang beliau kemudian baiki.

Beliau juga bertanggungjawab memberi judul setiap tulisan kami, dan kami paling suka apabila beliau menamakan curhat kami tempoh hari sebagai Min.

Terima kasih tuan editor.

Sepatutnya kamu dengan senang hati menerima bulat-bulat apa yang kami tulis dan anggap ianya sebagai hiburan sebagaimana lazimnya kamu menghayati drama petang-petang di tivi.

(Tapi risau juga kerana kami dapati kamu mengambil serius drama tivi sebagai gambaran sebenar kehidupan.)

Alahhh... macam kamu terima saja apa yang dibuat kerajaan dulu dan mungkin juga kerajaan sekarang kerana kamu yakin kerajaan dulu berbuat benar, dan kerajaan sekarang ikhlas membela nasib kamu tanpa sekelumit pun rasa ingin menjadi pemerhati ketidakadilan pentadbiran.

"Jika sudah cinta, mata pun jadi buta," kata Mok kepada kami lama dulu.

Program TV dambaan YB

Sekarang kami sedar bahawa kami perlu memberitahu di awal penulisan perihal apakah yang mahu kami sampaikan.

Kerana itu kami jelaskan yang tulisan kali ini ialah mengenai bagaimana muzik mempengaruhi sebahagian besar penulisan dan pemikiran (gelak besar kawan-kawan rapat kami membaca ini, bahawa kami ini berfikir orangnya) kami.

Untuk makluman, tulisan kami hanyalah cerita kenangan. Tidak ada sebarang pengajaran atau teladan baik di dalamnya. Baca - jika mahu - sebagai hiburan.

Alahhhh.. macam kamu menekuni Melodi dan MeleTop, siri tivi dambaan hati untuk munculnya para YB itu. Sementelah pula para YB hari memang sibuk mahu jadi selebriti.

Bantu orang miskin, masuk tivi. Baiki jalan rosak masuk surat khabar. Strategi mahu menang lima tahun lagi gamaknya.

Kami rasa Umno tidak akan menang untuk sekurang-kurangnya 30 tahun lagi, jadi apa yang para YB perlu lakukan ialah menyibukkan diri merancang dan melaksanakan pelan membina dan menjadikan negara ini lebih aman untuk dihuni. Bukan sibuk tunjuk muka dalam paper dan tivi.

Lirik lagu di atas sana adalah sebahagian daripada nyanyian Ebiet G Ade, penyanyi lagu puisi yang terkenal itu. Ianya petikan dari lagu Saksikan Bahawa Sepi dan bait itulah yang pertama kami dengar daripada penyanyi itu.

Lalu kami pun jatuh cinta dengan penyanyinya.

Kami dengar lagu itu dirumah Pa, sahabat baik kami di kampung. Rumah beliau memang ‘rumah muzik’. Abang Pa, Bakar, ialah ahli sebuah kugiran yang agak terkenal pada zaman itu. The Breeze nama kumpulannya.

Angkat kaki pun minta izin

Kami pernah ke konsert Ebiet dan kami dapati beliau adalah seorang yang berakhlak baik.

"Izinkan saya mengangkat kaki..." kata beliau semasa mahu meletakkan satu kaki di atas kaki satu lagi waktu duduk agar senang untuk beliau memetik gitar.

Tentu saja kami jatuh cinta dengan akhlak sebegitu. Siapa yang tidak?

Namun jika kamu perhatikan lirik di atas, pasti kamu akan mengatakan bahawa penulisnya seorang kaki hendap kerana tahunya beliau bahawa gadis yang sedang berdendang itu tengah mandi telanjang.

Kerana apa - kamu tahu? Kerana itulah yang kamu mahu berlaku. Siapa saja yang menulis fasal telanjang adalah jahat tanpa kamu mahu memikirkan apakah yang mahu dia ceritakan. Atau sekurang kurangnya kamu menghormati kreativiti beliau dalam mengambarkan keadaan.

Dan membawa kamu kepada satu alam yang lain hanya melalui beberapa bait tulisan.

Untuk makluman, menghormati kreativiti itu kami maksudkan kepada tulisan Ebiet dan penulis lain yang hebat. Bukan tulisan kami. Kami tidak kreatif hingga tahap layak untuk dihormati.

Bukan tulisan orang pandai

Lalu kami pun bertanya: di mana salahnya tulisan kami yang lalu hingga kamu katakan, ianya - jika dibaca - boleh merosakkan?

(Ishh... ke situ pulak perginya. Maaf, teremosi. Tetiber... Maklumlah, kami sedang lapar berpuasa enam... echehhhh.)

Cuma apa agaknya kata kamu jika mendengar bait selanjutnya dari lagu ini yang berbunyi:

Sedang di balik dinding
jejaka gelisah
menunggu saat berkencan

Dan di sini kami terangkan bagaimana kami menulis biar kamu boleh faham.

Kami akan mulakan dengan cerita utama. Kemudian kami selang-selikan dengan cerita lain yang berkaitan, atau mungkin juga tidak. Lalu kami bawa kembali kamu kepada cerita asal.

Begitulah berulang-ulang dan di akhir tulisan, jika ada watak yang disebut, kami akan menceritakan pula ada jadi kepada mereka sebelum menutup cerita utama supaya seakan-akan kenal benar dengan nama-nama yang kami sebut itu.

Ini bukan tulisan orang pandai seperti kamu, tetapi hanya catatan pengalaman, dan kami ulang sekali lagi: tulisan kami bukan untuk dibuat teladan dan tentunya lebih baik ianya dijadikan sempadan.

Balik kepada cerita muzik.

Setelah mendengar lagu itu tadi, kami pun menjadi pengemar Ebiet. Kami baca semua liriknya dengan tekun dan kami dapati puisi beliau sangat indah. Semuanya berkisar tentang kehidupan warga susah di negara beliau, Indonesia.

Ada cerita Suminah Dan Tukang Sapu, ada permohonan maaf kepada ayahnya (Ayah Aku Mohon Maaf), ada Berita Kepada Kawan dan tentunya ada siri Camellia yang terkenal itu, serta terlalu banyak untuk kami catatkan di sini.

Jika kamu belum pernah dengar nama beliau, Google sekarang dan dengar.

Secara peribadi, selain Lolong kami mengemari Camellia IV daripada nyanyian beliau.

Bahasa 'protes' yang digunakan oleh Ebiet adalah amat indah. Lembut dan memujuk. Seakan bait-bait yang selalu digunakan oleh Usman Awang atau mungkin juga Zubir Ali yang tidak lagi diingati itu.

Seperti kata M Nasir dalam lagu Langgam Pak Dogo:

[...]
Lagak bodo tapi bersengat
beley ngelik dio main siku

Mengenai Usman Awang, kami 'menemui' kembali beliau setelah habis waktu remaja. Waktu membara, tidak mahu kami ini dilihat membaca puisi pak cik-pak cik. Dalam lewat usia baru kami temui ketegasan beliau dalam perjuangan.

Jiwa muda sentiasa mahu panas, semua kelembutan dalam puisi Ebiet kami tinggalkan bila kami menemui Bob Dylan.

Lagu pertama daripada si Yahudi ini yang kami dengar adalah Maggie’s Farm.

Kami jadi terpegun apabila mendengar lagu ini. Kamu harus faham kerana Dylan bukanlah seorang penyanyi yang mempunyai suara yang selayaknya seorang penyanyi. Pergi ke YouTube dan cari. Kamu akan faham.

Apa yang menarik pada kami ialah liriknya. Dylan menceritakan betapa beliau tidak lagi mahu berkerja di ladang si Maggie.

Selepas itu baru kami temui lagi lagu beliau yang lebih kritis. Blown In The Wind misalnya, adalah lagu mengenai protes atas peperangan. Manakala Hurricaine pula menceritakan betapa sikap perkauman dan ketidakadilan dalam melaksanakan undang-undang telah mengakibatkan seorang petinju dipenjarakan atas tuduhan membunuh.

Lagu ini diasaskan kepada satu kejadian benar. Setelah berpuluh tahun dipenjarakan, Ruben 'Hurricane' Carter akhirnya dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.

Tentu sekali yang menarik kami kepada lagu-lagu ini ialah liriknya yang sangat merakyat. Lalu dari sini pemikiran kami (lagi sekali teman-teman kami pun ketawa) dibawa kepada satu sifat yang tidak puas hati terhadap apa juga kecanggungan dalam meladeni hidup.

Manakala buku ‘protes’ pertama yang kami baca adalah Tujuh Tahun Malam Memanjang tulisan Ahmad Boestamam mengenai pengalaman beliau ditahan ISA oleh kerajaan waktu itu.

Juga buku-buku Pak Sako yang dilupakan itu. Putera Gunung Tahan adalah kritikan sinis beliau kepada penjajah Inggeris, misalnya.

Berbahas tentang ustaz jahat

Kami juga terpengaruh dengan British humour kerana pernah ke England selama, err... sepuluh hari (encik editor, tolong kecikkan "hari" dari tulisan lain).

Jika kamu mahu tahu, "sepuluh hari" itu adalah tribut kepada iklan hari raya lakonan Adibah Nor suatu masa dulu.

Ishhh... payah juga menulis apabila perlu terangkan balik apa yang dimaksudkan ni.

Kami selalu katakan, jika kamu sedang muda, hati-hati dalam memilih minat kerana ianya akan kekal hingga kamu menutup mata. Dan inilah yang kami alami.

Mahu dibuang sifat "tidak guna membangkang" apa saja kesalahan politik menjadi satu perkara yang sukar, kerana pemikiran (kali ini pasti teman-teman kami ketawa hingga terkencing) yang dibentuk sekian lama menjadi sebati dengan kehidupan.

Jika boleh kembali kepada masa lalu, kami pasti akan menukar minat pada lagu-lagu Ahmad Nawab, misalnya. Tentu kami akan menjadi lebih tenang dibuai rindu kasih tak kesampaian dan pada usia meniti senja sebegini tentu kami sedang asyik melayani drama tivi. Berbahas bersama anak dan isteri serta rakan-rakan mengenai betapa selain melanggani pelacur, ustaz-ustaz juga ramai yang kaki jahat.

Dan kami pun membuat keputusan bahawa untuk menjadi baik tidak perlu belajar agama. Memadai menjadi manusia yang berhemah dalam segala-galanya.

"Tuhan tidak memandang kopiah dan janggut, Tuhan melihat isi hati kita," kononya kami kata.

Selain itu kami juga adalah pengemar Pink Floyd dan Led Zeppelin, juga The Police. Sebenarnya kami juga mendengar semua jenis muzik, cuma kecintaan terlebih sedikit kepada musik yang bising. Bagaimana pun, sekarang ini kami adalah peminat nombor satu kumpulan BTS.

Seperti juga sejuta informasi tidak berfaedah yang kami kumpul sejak remaja - siapa Robert Plant, siapa Jimmy Page; bila ditubuhkan dan bila dibubarkan, misalnya - minat kepada muzik ini kami yakin tidak akan membantu kami di dalam kubur nanti.

Tapi yelah, kami ini - seperti semua orang tahu - adalah Islam, bodoh serta dungu.

Kami akur akan hal ini.

Lalu apa yang kami ada hanyalah harapan. Bukan partai politik yang sedang sibuk menjenamakan semula apa saja kerja mereka sebagai "satu lagi projek kerajaan..." itu.

Cuma satu keinginan yang semoga ditunaikan ialah, supaya kami ini diberikan cahaya yang baik dalam menjalani masa yang tersisa.


Baca Min


Nah, telah kami ceritakan bagaimana muzik dan juga pembacaan sangat mempengaruhi alam pemikiran. Kita menjadi sempit dengan mengehadkan pemerhatian khusus kepada satu-satu kegembiraan, sedangkan alam luas ini membentangkan realiti kehidupan yang penuh dengan keamanan tersembunyi.

Jangan jadi seperti kami - lelaki tua yang pahit, yang meluahkan apa saja yang dimakan, hatta jika ianya manisan sekali pun. Kamu akan menjadi lelah dan letih melihat ketidakadilan yang akan sentiasa menang.

Kami takut sekiranya benci pun perlahan-lahan menyusup ke dalam diri lalu memyemai benih jahat, ia kemudian tumbuh segar sebagai dendam yang tidak berkesudahan.

Jangan peduli, hidup saja hepi-hepi...

Oh! Sebelum lupa, Pa sahabat karib kami di kampung sekarang ini adalah seorang juruelektrik bertauliah. Bakar, abang Pa, yang menganggotai kugiran The Breeze telah meninggal dunia sekitar sepuluh tahun dulu. Bakar pencen sebagai ketua kerani di Jabatan Pemgangkutan Jalan di bandar kami.


ABDULLAHJONES ialah petualang, penyair, penulis, jurufoto, pelukis dan guru silat bersijil maqam satu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS