Kolum Malaysiakini

Menangis di Haebaru

Faisal Tehrani  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pagi itu aku sedikit terlewat, satu dua minit. Aku tidak berani cuai dengan disiplin masa di Jepun. Mariko dan teman-teman lain dari Yayasan Keamanan Sasakawa sudah menunggu di lobi hotel.

“Kita akan ke Haebaru pagi ini. Hari muzium.” Kata Mariko. Aku membongkok hormat. Kami masuk ke dalam perut kenderaan terburu-buru kerana katanya kurator muzium sudah pun menanti.

Aku memang peminat muzium, justeru ketibaanku di 257 Kyan, Haebaru di Okinawa memang mengujakan sekali. Aku sering mengitari pelbagai jenis muzium di aneka kota di dunia ini setiap kali berkesempatan.

Muzium menurutku adalah pusat penerangan yang baik untuk mendalami sejarah sesuatu bangsa dan tempat. Namun demikian, kunjungan ke Muzium Kota Haebaru memberiku lebih daripada penerangan.

Muzium ini bukan sahaja sebuah pusat penerangan, tetapi juga pusat penyelidikan dan dokumentasi; disiap dengan arkeologis perang serta menawarkan pendidikan untuk pelajar dan pelancong. Malah secara tidak langsung menyediakan perkhidmatan mencari sudara yang barangkali hilang atau sudah berhijrah ke negara lain.

Data yang dihimpun oleh penyelidik muzium Haebaru ini sungguh melongokan, mereka menyimpan nama-nama penghuni rumah di pekan tersebut yang terbunuh ketika perang, atau yang masih hilang, atau yang sudah digusur ke tempat lain.

Ia bukan sahaja muzium yang mati dengan barang-barang lusuh dan kusam. Ia berusaha memberi naratif dan kehidupan kepada barang-barang yang dihimpunnya.

Setiap barang pameran yang disuguh kepada pengunjung menyediakan satu mesej: LAWAN.

Selagi hidup lawan.

Muzium Haebaru kecil sahaja. Sekali imbas ia kelihatan seperti sebuah banglo antik di atas bukit. Ketibaanku disambut mentari Julai yang terik, dan angin dari laut yang sesekali sahaja menyergah kasar.

Muzium kecil pekan Haebaru yang didanai oleh Majlis Bandaran ini menawarkan mukadimah mengenai pertempuran di Okinawa secara menyeluruh. Pertempuran yang dimaksudkan bukan sahaja pertempuran fizis kerana kehadiran kuasa Jepun dan Amerika Syarikat, tetapi ia juga memahamkan kita soal pertempuran budaya dan jati diri yang jauh lebih sengit. Muzium ini adalah medan hadapan dalam menyediakan pengajaran untuk generasi mendatang.

Apa yang lebih memberi bekas di sebalik pameran sedia ada ialah muzium Haebaru ini adalah satu pusat kegiatan melawan.

Siapakah yang dilawan? Apakah yang dilawan? Siapakah yang tertawan?

Kami adalah Ryukyu

Di sinilah aku disentak oleh kurator muzium mengenai Jepunisasi (seperti yang telah aku nukilkan minggu lalu) yang antara lain ialah bagaimana Jepun dengan ganasnya melanda Ryukyu. Pada penghujung tahun 1920-an sebagai misalan, pelajar sekolah di Ryukyu dipaksa menyembah Maharaja Jepun dan tokong kecil dinamai goshinei diperkenalkan di seluruh kepulauan selatan tersebut.

Banyak goshinei tempat penyembahan Maharaja ini sudah musnah dek pengeboman ketika Perang Dunia Kedua. Akan tetapi terdapat tiga yang masih wujud dan boleh dikunjungi, iaitu di Tonoshiro, Misato dan Sekolah Kebangsaan Jahana.

Di muzium ini juga aku dikejutkan oleh penghapusan kepercayaan tradisional masyarakat Okinawa. Pada 30 Oktober 1930, tempat pemujaan orang Ryukyu atau dikenal sebagai utaki mula ditukarkan dengan bentuk pemujaan bercolok siap dengan gerbang kuil Shinto yang dinamai torii. Ketika era Showa, simbol kepercayaan nenek moyang ini dipaksa menerima Shintoisme, satu bentuk penginstitusian agama secara meluas di Okinawa.

Muzium Haebaru dengan berani dan sedar memberikan keterangan ini, yang merupakan satu isyarat bahawa muzium ini bukan sekadar pusat penerangan tetapi sebenarnya pusat perlawanan, pusat untuk memberi ingatan betapa identiti Ryukyu sudah direbut, dibolot dan kemudian dihilangkan oleh penakluk dari Jepun.

Bayangkan, seseorang dari tanah besar Jepun datang mengunjungi muzium Haebaru ini akan diberi peringatan pada setiap petunjuk dan penjuru bahawa: Kami Ryukyu dijajah Jepun. Kami Ryukyu dipaksakan dengan Perang Dunia tanpa rela. Kami Ryukyu tidak ditanya apabila pulau kami dijadikan medan hadapan agar tentera Amerika tidak dapat mara ke tanah besar. Kami Ryukyu kemudian dijarah Amerika sehingga tahun 1972. Kami Ryukyu sering ditindas oleh militari Amerika. Kami Ryukyu tetap tidak merdeka, setelah dipulangkan ke Jepun; dan meski sudah menjadi Okinawa, masih diratah Amerika dan Jepun dengan kehadiran pangkalan tentera marin.

Kami di Ryukyu akan melawan secara aman. Kami di Ryukyu tidak akan berhenti.

Inilah yang tidak kita punyai di muzium kita, di Malaysia. Di Okinawa, di Haebaru, muzium ini dengan sengaja menjadikan kematian satu tema yang sedar dan segar. Kematian diingat-ingatkan supaya kita kenal siapakah penindas, juga agar kita mengenal musuh; dan seterusnya bersiap untuk membebaskan diri kerana muzium juga meneriak-neriak satu mesej yang sangat lantang; kita belum merdeka.

Inilah yang kita ketinggalan. Kita masih berbodoh-bodohan sesama sendiri membincangkan apakah tokoh sejarah yang cenderung kiri itu wajar atau tidak dinobatkan sebagai pejuang dan layak dimasukkan di dalam buku teks sekolah. Tidaklah menghairankan muzium kita membosankan.

Di satu sudut muzium Haebaru, aku menangis membaca mengenai gakudo sokai (pemindahan murid-murid sekolah) dalam tahun 1944. Tahun itu merupakan tahun Jepun sedar bahawa mereka akan kalah perang. Mulai bulan ogos 1944, Jepun mulai menggerakkan atau memindahkan kanak-kanak sekolah keluar dari kota-kota utama. Murid-murid ini akan diambil dari sekolah dan dihantar dengan keretapi atau kapal laut ke kawasan pedalaman, selalunya di kuil-kuil yang terpencil, atau bangunan kerajaan yang ditinggalkan. Adalah dipercayai lebih setengah juta kanak-kanak dari seluruh Jepun diambil secara paksa atau hobo kyo (wajib) dari ibu bapa mereka dan dibawa ke kota lain untuk disembunyikan.

Dan niraikanai pun terbuka

Di Haebaru, sudut tempat aku menangis teresak-esak tanpa rasa malu itu ialah sudut yang memerikan tragedi Tsushima Maru. Sebuah kapal yang membawa 1484 orang awam dengan 826 anak-anak dari Naha, Okinawa ke tanah besar Jepun dengan tujuan Nagasaki.

Pada 22 Ogos 1944 kapal itu ditorpedo kapal perang tentera laut Amerika Syarikat, RSS Bowfin. Di pulau Iwo Jima, langit sedang menyala dengan tembakan dan peluru.

Tsushima Maru, dengan berat 6,745 tan mengharapkan akan tiba ke destinasi tanpa gangguan. 28 jam selepas belayar, di dalam kepekatan malam, kapal itu dikaramkan dengan torpedo tepat pada pukul 10 malam dan sekelip mata, dalam tempoh dua belas minit, lautan menjadi kuburan.

Jika dibandingkan dengan tragedi Titanic, 1,513 penumpang kapal mewah itu terbunuh dan 700 penumpangnya diselamatkan. Angka itu jauh lebih menghampakan untuk Tsushima Maru. Daripada hampir 1500 penumpangnya hanya 177 orang terselamat, dan 59 darinya adalah anak-anak yang kononnya diambil dari dakapan ibu bapa untuk diselamatkan.

Sembilan kanak-kanak itu dari pekan Haebaru.

Kanak-kanak yang terselamat dalam keadaan parah cedera, memaut puing atau dinding kapal yang sudah pecah dan hanyut selama empat malam dan tiga hari, seraya langit dan laut masih menyaksikan percikan api dan deruman enjin pesawat perang yang membingitkan. Bukan itu sahaja mereka juga terpaksa bertarung menyelamatkan diri daripada kebuasan jerung yang mulai menghurung mayat yang berapungan.

Aku membayangkan Komander John Corbus yang mengarahkan agar kapal itu ditorpedo. Tentu Amerika memberi alasan, yang mereka serang adalah kapal kargo Jepun. Aku melihat dalam retina mataku kapal itu terbakar menyala dengan api merumba; dan malam dipenuhi jerit anak-anak memanggil ibu mereka. Aku melihat syurga, aku melihat Niraikanai tempat bermulanya kehidupan menurut orang Ryukyu terbuka pintunya. Seakan-akan ada malaikat turun menjemput anak-anak itu dari gelombang ombak yang kasar dan keras ke lapis langit.

10 kilometer barat laut Akuseki di posisi 29°32'N 129°31'E kapal itu membahang lautan.

Aku membayangkan mangsa-mangsa dari Tsushima Maru yang hanyut dalam keadaan lunyai dan kehausan di saat mentari musim panas menggerogoti. Mereka ditolak ombak dan angin sejauh 354 kilometer mengarah ke Laut China Selatan di pulau Kagoshima.

Mangsa-mangsa yang diselamatkan ini kemudian dilarang bercakap mengenainya secara terbuka. Perang itu adalah satu dosa dan keaiban. Jepun tidak mahu mengakuinya. Terdapat ramai mangsa Perang Dunia Kedua, termasuk mereka yang terlibat dalam peristiwa tenggelamnya Tsushima Maru tidak bercakap kepada sesiapa. Hanya dekad kebelakangan ini mereka kembali menceritakan kejadian pedih itu. Hanya hari ini mereka kembali diberi suara. Muzium Haebaru adalah satu contoh medan yang memberikan mereka suara.

Di muzium Haebaru, nama dan wajah mangsa dari pekan itu didedikasikan di dindingnya, dan disiapkan naratif mengenai mereka.

Melihat wajah anak-anak itu membuatkan hati sedih dan pedih, tidak dapat tidak aku mulai membayangkan wajah anak-anakku sendiri.

Di salah satu dinding muzium Haebaru tertulis besar-besar kenyataan Kamejiro Senaga (1907-2001), salah seorang ahli parlimen Jepun dan merupakan ahli majlis Parti Komunis Jepun:

‘Penindasan mengundang perlawanan. Perlawanan mengundang kawan-kawan untuk membantu.’

Keluar dari Muzium Haebaru, semangat untuk melawan kembali marak dalam kalbu dan merebak ke segenap pembuluh darahku.

Bersambung...

Bahagian 1: Okinawa melawan


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.