Paling Popular
Terkini

Sebuah karya fiksyen tidak semestinya direka-reka begitu sahaja. Biasanya ia bermula daripada pengalaman penulis yang kemudian ditambah dengan daya imaginasinya sebelum terhasil karya yang menarik.

Emilio Salgari mendakwa pernah belayar ke merata tempat di dunia hingga ke sebelah timur. Bekerja di akhbar La Nuova Arena mendedahkannya kepada pelbagai maklumat tentang dunia luar melalui majalah dan surat khabar.

Hal itulah yang memberi inspirasi kepada Salgari untuk menulis novel yang banyak.

Salah satu novelnya (dalam bahasa Itali) berjudul I Pirati Della Malesia diterbitkan di Itali pada 1896. Nico Lorenzutti menterjemah buku tersebut ke dalam bahasa Inggeris dengan judul The Pirates of Malaysia.

Novel fiksyen Salgari mengandungi 11 siri yang menceritakan Sandokan dan rakannya Yanez iaitu daripada keturunan Portugis yang menentang James Brooke di Borneo. Novel Salgari juga pernah diadaptasi ke dalam filem.

Dalam tulisan Bianca Maria Gerlich, Sandokan of Malludu. The Historical Background of a Novel Cycle Set in Borneo by the Italian Emilio Salgari yang diterbitkan oleh jurnal Archipel 55, Paris terbitan 1998 (halaman 29-41) ia menerangkan tentang watak Sandokan.

Menurut Bianca ada kemungkinan Sandokan ialah watak anak tempatan yang dicipta Salgari dengan mengambil sempena nama Sandakan di Sabah.

Watak India, Arab

Dalam novel itu, Sandokan kehilangan kuasa akibat kedatangan Inggeris ke Borneo. Daya tarikan novel itu bertambah apabila Sandokan bercinta dengan anak saudara Brooke yang bernama Marianna Gullonk, seorang gadis kacukan Itali - Inggeris. Marianna dikenali sebagai Pearl of Labuan.

Bianca seterusnya menceritakan bahawa bendera Sandokan sama dengan bendera penguasa wilayah Maruddu (sekarang dikenali sebagai Kota Marudu) iaitu Sharif Usman Sharif ialah tokoh sejarah yang dikenali sebagai penentang British.

Ia selaras dengan catatan Robert Pagne dalam The White Rajahs of Sarawak (1960) yang menyebut persamaan tersebut.

Namun berbanding fakta-fakta itu, apabila melihat pakaian dalam filem-filem Sandokan pula ia digambarkan seperti pakaian orang India.

Begitu juga dalam salah satu filem Sandokan, pelakonnya adalah Kabir Bedi, seorang pelakon Hindi yang turut mendapat tempat di Hollywood pada 1960-an hingga 1980-an.

Begitu juga kulit buku Salgari yang dihiasi dengan lukisan memaparkan watak orang berpakaian India dan Arab.

Semasa saya melakukan kajian di Sabah didapati orang ramai - terutamanya di Sandakan - menganggap Sandokan ialah wira mereka dalam gerakan menentang penjajah.

Ironinya mereka kurang selesa apabila disebutkan bahawa Sandokan ialah orang Malaysia. Sandokan ialah orang Sabah, bah!

Sebuah buku lagi mengenai Malaysia ditulis oleh John Russel Denyes, bertajuk Malaysia. Ia diterbitkan pada 1919 oleh Board of Foreign Mission Methodist Episeopal Church.

Dalam buku itu dengan jelas diterangkan kedudukan Malaysia pada halaman pertamanya lagi.

Wilayah Inggeris dan Belanda

Sengaja saya letakkan bahagian buku sarjana sebagai rujukan tentang nama Malaysia pada bahagian akhir tulisan ini.

Sesetengah ahli politik enggan menghargai penemuan daripada kajian sarjana melainkan ia menguntungkan mereka.

Salah satu buku yang dikatakan mempengaruhi cadangan nama Malaysia didakwa berkait dengan buku bertajuk Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rules.

Buku itu ditulis oleh seorang profesor Universiti Havard merangkap penasihat luar AS, Rupert Emerson yang mencatatkan nama Malaysia sebagai satu gagasan geopolitik di Asia Tenggara, meliputi wilayah dikuasai Inggeris dan Belanda ketika itu.

Oleh kerana itu Emerson memasukkan sebahagian Indonesia sekarang sebagai Malaysia.

Buku berkenaan diterbitkan oleh Macmillan, New York pada 1937, iaitu 20 tahun sebelum Malaya merdeka. Saya pernah menggunakan buku tersebut sebagai rujukan pengajian Geografi semasa di universiti dulu.

Tetapi itu mungkin saya merujuk kepada buku keluaran Universiti Malaya pada 1964, atau cetakan yang lebih lewat dari tahun itu.

Sebuah lagi buku yang mencatatkan nama Malaysia sebelum 1963 ialah The Peoples of Malaysia tulisan Fay-Cooper Cole.

Buku tersebut terbitan D. Van Nostrand Company pada 1946. Dua tahun kemudian Cole menulis sebuah lagi buku bertajuk Malaysia, Crossroad of the Orient terbitan Oregon State System of Higher Education, Eugene, Oregon AS.

Istilah "Malaysia" itu merujuk kepada Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) yang merangkumi Tanah Melayu, Hindia Timur (Indonesia), Borneo dan juga Filipina.

Cole ialah seorang profesor dalam bidang antropologi di Universiti Chicago.

Mengapa saya menggunakan karya orang Barat dalam semua rujukan untuk tulisan ini dan sebelumnya, dan bukan karya anak tempatan atau Melayu sendiri?

Makna besar Malaysia

Untuk berhadapan dengan kelompok yang tidak menghargai kesarjanaan tempatan bagi menerima realiti bernegara bangsa, hal ini sangat signifikan.

Penjajahan pemikiran antara sebab yang sangat menyukarkan seseorang bebas daripada ikatan sistem tinggalan penjajah. Kerangka politik dan pemikiran perkauman begitu tebal dan sukar untuk dipecahkan.

Meskipun sesetengah mereka bercakap di atas pentas dengan hujah demokrasi, keadilan dan kesaksamanan tetapi hakikatnya itu hanya retorik.

Bermula dengan istilah Malaisie kemudian diinggeriskan menjadi “Malaysia” dan digunakan oleh kita hingga pada hari ini, tanpa disedari makna disebalik nama Malaysia telah kehilangan roh dan semangatnya yang sebenar.

Artikel ini ditulis untuk mengembalikan semula roh dan semangat yang hilang dari sebuah nama keramat.

Ia merupakan proses evolusi daripada bahasa Perancis dan kemudian bahasa Inggeris mematikan makna nama itu.

Hanya melalui bahasa ibunda - iaitu bahasa Melayu - makna Malaysia akan memberi makna besar kepada rakyat.

Ini kerana bahasa Melayu menjadi rahim sebenar kepada makna Malaysia iaitu Tanah Melayu. Itu peri pentingnya memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi teras sebuah negara.

Dua kata ini: Tanah Melayu - sudah cukup untuk menerbitkan rasa hebatnya orang Melayu membangunkan negara bangsa yang merdeka. Itupun jika ingin tahu menghargainya.

Merdeka!


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS