Paling Popular
Terkini

Saya ditakdirkan Tuhan untuk jatuh sakit empat bulan yang lalu. Ketika itu selepas sarapan pagi, terasa agak pening dan tidak selesa. Cepat-cepat saya baring, cuba merehatkan badan, cuba tenangkan fikiran.

Segalanya menjadi sejarah.

Saya tidak tahu apa yang terjadi. Segalanya kabur. Ambulans dipanggil. Saya dikejarkan ke Hospital Serdang dari rumah kakak di Seri Kembangan. Ibu saya yang sakit selama dua minggu ditinggalkan.

Ibu saya tidak tidur. Saya menjaganya. Berumur 82 tahun. Saya tidak cukup tidur.

Saya antara sedar dan tidak sedar. Antara faham dan tidak faham. Saya ingat perjalanan dengan ambulans. Cepat sekali. Mencari lokasi. Saya tidak ingat bagaimana sudah sampai.


Baca: Ke mana hilangnya Fudzail?


Saya diberitahu tiada tempat untuk saya. Terpaksa menunggu. Diletakkan di kawasan yang penuh dengan pesakit. Nampak mereka tidak bersedia. Lagipun tidak tahu saya penyakit apa.

Saya masih tidak sedar. Tertidur, terbangun. Masih belum dapat memikirkan apa-apa. Masih tidak keruan. Memandang kosong. Sifar.

Saya dibawa ke merata tempat. Tidak ingat di mana. Masih lagi mencari jawapan. Sakit apa?

Akhirnya doktor memberi jawapan.

Stroke.

Tangan dan kaki kanan saya lumpuh. Tidak boleh bergerak. Tidak boleh diangkat.

Fudzail di rumahnya menerima tetamu yang tak putus-putus selepas keluar dari hospital.

Daya ingatan juga. Sifar. Kosong. Saya tidak ingat apa-apa. Malah isteri sendiri. Saya berada di dunia lain. Dunia yang penuh teka-teki. Dunia yang penuh ingin tahu.

Saya duduk memerhati. Berlainan sekali. Orang mula ramai melawat. Siapa mereka?

Saya ditempatkan di kelas tiga. Saya mahu berbicara tetapi mulut terkunci. Saya mahu bercakap tetapi tidak ingat perkataan. Saya sekadar memandang setiap yang lalu.

Hari pertama saya tidak ingat apa yang berlaku. Isteri saya yang setia mendekati. Dia cuba meyakinkan saya.

Saya bertanya tentang dari sendiri. Siapa saya? Siapa mereka? Agak berbeza rasanya. Perlahan-lahan saya memahami keadaan.

Dari pemeriksaan doktor kapasiti jantung hanya 28 peratus. Saya boleh mati dalam keadaan ini. Lemah. Terlalu lemah. Jantung saya dilanda muhasabah.

Agak pelik. Saya tidak mempunyai penyakit. Tiada darah tinggi. Tiada kolesterol. Tiada kencing manis. Tiada apa-apa penyakit. Bersih dari penyakit.

Saya agak riang. Ramai kawan. Menulis dalam banyak genre. Suka kerana tiada penyakit. Usia sudah 54. Sudah pencen.

Hari pertama dan hari ke lima di hospital saya lebih banyak tidur. Kawan yang datang beratus-ratus. Saya tidak kenal mulanya. Sedikit demi sedikit saya mula kenal siapa mereka. Itu pun dari pertemuan tidak disangka.

Saya tidak bersembahyang. Lupa. Satu ayat pun tidak ingat. Fatihah sahaja. Tiap amalan saya lupa. Cuma teringat waktu sembahyang, saya suruh yang ada bersembahyang. Menghormati waktu.

Pergerakan badan masih lemah. Saya dibantu untuk bangun. Dibantu untuk apa sahaja. Dalam keadaan itu, serba mencengkam. Serba tak kena.

Setelah dua minggu di hospital dengan ratusan tetamu, saya menyedari tentang dari sendiri. Tentang famili. Tentang kawan-kawan. Begitu rasa bersyukur dengan setiap musibah.

Saya diberi peluang kedua oleh Tuhan.

Saya menerimanya.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS