Paling Popular
Terkini

Artikel ini masih berkaitan dengan tulisan saya yang terdahulu berjudul Menanti revolusi kedua dan Birokrat yang jahat dalam kolum ini.

Untuk mengetahui peristiwa tikam-menikam sesama kawan selepas mendapat kemenangan dan kuasa, terlebih dahulu perlu juga difahami tentang aktor-aktor dalam drama kehidupan berpolitik ini.

Selepas mengetahui tentang kelompok birokrat, aktor selanjutnya ialah pejuang jadi-jadian.

Ia merujuk kepada mereka yang mengaku dirinya sebagai pihak yang terlibat dalam perjuangan yang sebenar. Walhal, ketika perjuangan getir dilangsungkan mereka tidak lebih daripada tunggul kayu yang ada di semak-samun.

Mereka tidak ambil pusing tentang pergulatan yang berlaku di persekitaran masing-masing. Namun apabila kemenangan diperolehi, tunggul kayu pun terasa mahu menumpang tuah sekaki.

Memang mudah mengaku diri sebagai pejuang. Istilah perjuangan dan pejuang itu sendiri seolah-olah menjadi tiket untuk seseorang berada dalam daerah mulia dan dihormati.

Dalam tulisan ini, konteks perbahasan adalah tentang kemunculan pejuang jadi-jadian terutama selepas berlakunya perubahan atau revolusi politik.

Kena berlaku adil

Ia pernah terjadi semasa zaman Revolusi Bolshevik, revolusi Iran atau apa-apa peristiwa yang mencatat sejarah besar dalam politik.

Jika merujuk perubahan politik di tanah air selepas pilihan raya umum yang diadakan pada tahun lalu, pejuang jadi-jadian muncul dengan meriah, seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kalau di kampong, caranya sesuai dengan kekampungannya. di bandar, pejuang jadi-jadian dengan cara orang bandar.

Suasana begini menarik untuk direnungi terutama kepada mereka yang berkuasa hasil perubahan politik itu. Pejuang jadi-jadian ini ibarat sesumpah. Mereka berubah pendirian bagai menukar baju. Ringkas dan mudah.


Baca Birokrat yang jahat


Namun harus kita berlaku adil pada golongan yang mengistiharkan sokongan kepada PH selepas kemenangan dan tidak mencari kepentingan peribadi daripada keadaan tersebut.

Ada banyak sebab mereka tidak menyatakan pendirian masing-masing sebelum kemenangan. Mereka bukanlah pejuang jadi-jadian yang saya maksudkan.

Pejuang jadi-jadian bukan pejuang langsung. Dia hanya terbit untuk mencari habuan peribadi.

Dalam perebutan mendapat tempat di hati pimpinan yang berkuasa, pejuang jadi-jadian sanggup berlakon sebagai pejuang yang mengorbankan harta, wang ringgit dan masa.

Gambar hiasan

Pejuang jadi-jadian sanggup mencipta syair panjang bagi mengabsahkan sejarah perjuangannya sekali gus meyakinkan orang lain bahawa dia memang ada tempat dalam perjuangan.

Pejuang jadi-jadian ini muncul berbondong-bondong dengan pelbagai alasan bodoh, jelik dan membosankan ke tengah-tengah arus perdana.

Dalam suasana tidak menentu, kadangkala sukar memilih antara pejuang sejati dengan yang palsu.

Daya tahan rapuh

Antara ciri utama pejuang jadi-jadian, segala naratifnya berfokus tentang dirinya sendiri. Golongan ini tidak jemu-jemu mempamerkan segala yang ada pada dirinya untuk dipertontonkan umum. Mereka memang muka tembok dan tiada rasa malu.

Yang penting, pejuang jadi-jadian cuba mencuri perhatian pemimpin atau tokoh yang berkuasa. Mereka akan menjadi pengekor yang paling setia. Ke gunung diturut, ke laut diikut. Mereka juga tukang tepuk tangan paling kuat dan gemuruh. Sentiasa berbuih mulut memuji pemimpin pujaan barunya.

Sememangnya dalam politik, sokongan awam sangat penting dan dianggap kayu pengukur bagi keberkesanan pengaruh seseorang pemimpin atau kumpulan.

Pejuang jadi-jadian akan menambah jumlah bilangan penyokong. Ia akan dilihat kuat. Biarpun ia bersifat sementara tetapi sangat signifikan kepada seorang pemimpin yang baru menapak.

Namun pejuang jadi-jadian bukan pejuang sejati. Matlamat perjuangannya tidak jelas. Daya ketahanannya sangat rapuh. Jati diri tiada. Saat berhadapan suasana kritikal, pejuang jadi-jadian akan larut seperti garam di lautan.

Pejuang palsu ini tidak mempunyai tanggungjawab politik terhadap ideologi perjuangan. Ini kerana mereka tidak menghayati atau memahami ideologi perjuangan.

Dalam keadaan genting, lazimnya pertimbangan idealogi tidak diambil kira. Pada masa itu, emosi dan peribadilah mempengaruhi perkiraan.

Mereka akan mencari jalan melepaskan diri sendiri terlebih dahulu. Saat itu berlakulah konflik dalaman yang kritikal. Jika para pejuang palsu ini bergelumang dengan barisan pejuang sebenar, makan tuduh-menuduh dan fitnah akan berlaku. Dia ibarat gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut.

Kebanyakan pejuang jadi-jadian ini mengubah pendiriannya kerana menjaga kepentingan diri sendiri.

Contohnya, bimbang kehilangan jawatan, takut terlepas peluang, kemungkinan dikenakan tekanan atau tindakan di bawah kerajaan baru.

Ditebuk anasir dalaman

Bagi mengelakkan berlaku, pejuang palsu akan membuat pusingan U dalam pendiriannya.

Jenis inilah yang paling lumrah. Dalam seminggu dua selepas keputusan PRU ke-14 diketahui, gelagat sebegini cukup ketara dapat dilihat.

Mula-mula mereka memberi ucapan tahniah melalui aplikasi WhatsApp atau Twitter. Kemudian melangkah ke hadapan dengan mengajak minum bersama dan seterusnya beberapa perbincangan serius baru dimulai.

Tidak dinafikan ada yang membuat perubahan dengan keikhlasan. Kelompok ini harus dikecualikan daripada dikategorikan sebagai pejuang jadi-jadian.

Pejuang jadi-jadian ini mempunyai rangkaian perhubungannya. Rangkaian ini bergantung sejauh mana pejuang jadi-jadian dapat mencipta rangkaian perhubungan.

Ia akan kelihatan canggih jika mendapat kerjasama pimpinan dan ahli yang naif, atau mendapat bantuan daripada birokrat jahat.

Kubu PH ditebuk oleh anasir-anasir dalaman yang lemah dari segi strategik politik. Pendekatan keterbukaan ataupun inklusif yang berlebihan akan meletakkan pintu kubu terdedah dengan serangan hendap musuh.


Baca Penjajah dan paderi ke Tanah Melayu


Biasanya orang yang berada dalam jalan perjuangan memiliki bahasa, perbendaharaan kata, sejarah yang sama. Hal ini sukar untuk pejuang jadi-jadian kuasai.

Ini kerana ia melibatkan persoalan identiti sendiri yang difahami oleh mereka yang pernah berjuang bersama.

Pejuang jadi-jadian hanya mampu membuat generalisasi bagi mengelakkan terperangkap dengan fakta yang bersifat rinci. Hanya pejuang sejati yang mampu menghuraikan secara tuntas dan tepat.

Pemimpin yang pintar, biasanya cepat mengesan keghairahan pejuang jadi-jadian ini menjual cerita kosong mereka. Amat malanglah jika ada pemimpin tertipu dengan lakonan si pejuang jadi-jadian. Pejuang jadi-jadian bukan pejuang sebenar. Ia adalah palsu.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS