Paling Popular
Terkini

Kata-kata “kerajaan sepenggal” dan “malu apa bossku” ini adalah dua perkataan yang sama saja tahap tak cerdiknya.

Tidak ubah seperti anak-anak kecil yang tidak dapat apa yang diidamkan, maka kamu pun mengaruk mengata merata-rata.

Kamu pun bercerita tentang rasa tidak puas hati kerana janji tidak ditepati - atau jika mahu berlembut, belum ditepati - kepada siapa saja yang mahu mendengar.

Dan seperti juga orang jahat, kamu pun mengugut itu ini, kerana itu saja yang kamu tahu.

Mungkin kerana kamu sebelum ini diugut bertahun-tahun maka kamu hanya tahu yang itu, yakni apabila kehendak kamu tidak dipenuhi, kamu membentak dan mencari alasan untuk membalas.

Kamu berasakan kamu sudah melakukan kebaikan bila menjalankan tugas menukar kerajaan yang korup, yang menteri dan ahli partainya sombong tidak berbatas, yang bangga menjadi kaya serta tidak melihat bermewah-mewah sebagai suatu kesalahan, yang melakukan apa saja tanpa mengira batas undang-undang dunia mahupun agama demi kepentingan peribadi.

Kamu mahu apa yang kamu dapat daripada kerajaan lama di samping janji pilihan raya kerajaan baru. Kamu mahukannya sekarang, yakni sejurus setelah ayam jantan pertama berkokok apabila kerajaan baru terbentuk.

Macam mabuk cinta

Lalu apabila semua yang kamu mahu itu tidak dapat maka jadi bodohlah kamu. Menjerit, membentak, menghentak kaki, memaki, mengugut berserta dengan seribu kebodohan lain yang datang bersamanya.

Kamu bangga mengaku penegak keadilan sambil menuntut kantung kamu dipenuhi dengan emas dari ghaminah perang. Rela syahid kata kamu, sambil berpesan supaya nama dan keagungan haruslah ditulis pada nisan.

Kemudian daripada itu, mereka yang selama ini kamu benci - yang kamu anggap sebagai penyumbang kepada nasib malang kamu, penyebab miskin dan hinanya hidup kamu, yang saban hari kamu sumpah dan seranah - diharap menjadi kumpulan manusia yang kamu dambakan kembali memerintah negeri ini.

Gambar hiasan

Kamu jadi seperti lelaki yang mabuk cinta apabila melihat si gadis jelita. Beria-ia mahu walau dihalang orang kerana si gadis itu sebenarnya gila.

Semua orang tahu mengenai tentang gilanya si gadis itu dan cuba memberitahu kamu akan hal berkenaan, tetapi kamu dibutakan oleh angau cinta.

Kamu mahu juga si gila kembali duduk di takhta.

Benar, kesalahan-kesalahan yang diperkatakan itu belum dibuktikan namum perbuatan menyimpan harta yang terlalu banyak di rumah sendiri tentu saja menjengkelkan sesiapa saja yang waras.

Mereka juga menjadi sombong. Apabila bercakap, seperti sedang menyampah, apabila berjalan, seperti tuhan. Dan perbuatan sebegitu adalah lumrah kepada politikus dan awak-awak mereka.

Kuasa jadi impian

Dunia ini mereka yang punya. Si bodoh adalah kamu yang sujud kepada hajat dan kehendak mereka.

Seperti yang kami katakan, kehidupan mereka yang dulunya ditampuk pemerintahan adalah seperti raja-raja. Mereka mempunyai kuasa dan dengan kuasa itulah mereka membina harta.

Lalu tanpa ada segan silu, mereka berbangga dengan segala macam kekayaan yang dimiliki.

Gambar hiasan

Terlebih malang adalah apabila juak-juak mereka juga sama kaya dan jika masih berbaki, juak yang belum kaya (ini harus dibaca sebagai diri kamu yang menyokong membabi buta) maka memiliki kuasa dan menjadi kaya adalah impian dalam kehidupan masing-masing.

Setelah semua kejahatan dijatuhkan, tiba-tiba kamu bangga kepada perlakuan sumbang masa lalu. Tidak ada sekelumit penyelesalan seolah-olah semua yang kamu lakukan itu bukanlah suatu yang seharusnya mendatangkan aib.

Pedulikan fasal 1MDB, pedulikan tuduhan-tuduhan yang belum terbukti.

Sebagai manusia kamu semua yang gagal mengawal diri dan dijatuhkan oleh penduduk negeri ini sekurang-kurangnya patut malu atas perbuatan yang kamu lakukan dulu.

Kamu tahu apa yang kamu lakukan. Kamu tahu dari mana sumber kekayaan yang kamu dapat itu. Kamu tahu bagaimana kamu melaga-lagakan penduduk negeri ini demi kepentingan politik kepartaian.

Malu apa bossku? Kepala bapak kamu.


Baca ‘Kepala bapak kau’, Najib hilang ‘cool’


Kerajaan hari ini tentu saja jauh daripada sempurna. Kami dengan senang hati memang menulis mengenai kebodohan menteri dan politikusnya.

Mereka ini lupa sudah menjadi kerajaan dan masih bercakap seperti pembangkang. Kerjanya tidak lain ialah menyalahkan kerjaan lama dan memberitahu hal ini kepada siapa saja yang sudi mendengar.

Kita sudah bosan dengan budaya menyalahkan orang lain atas kegagalan yang kita sendiri lakukan.

Gambar hiasan

Jika benar sekalipun kerajaan dulu berbuat jahat maka menjadi tugas kamu untuk membetulkannya.

Dalam kamu sibuk memperbaiki kesalahan lalu, kamu tidak diminta oleh sesiapa pun untuk mengaduh sakit ketika melakukannnya.

Kamu telah berjanji bahawa jika dipilih kamu akan berbuat baik. Maka berbaiklah dalam semua hal yang kamu janjikan.

Tol, PTPTN dan seribu janji piliha raya kamu itu tidak sedikit pun menjejaskan sokongan orang ramai sekiranya kamu berbenar dalam melakukan tugas-tugas yang kamu minta diberikan kepada kamu.

Jika sudah terpilih sebagai wakil rakyat maka sibukkan diri mewakili rakyat. Jangan sibuk mahu jadi menteri atau perdana menteri, misalnya.

Jangan terlalu sibuk berpolitik sesama sendiri untuk merebut jawatan kerana jika itu yang kamu lakukan, bersedialah untuk kembali menjadi pembangkang.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair dan ahli fikir yang jarang berfikir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS