Paling Popular
Terkini

Sebahagian masalah sikap kita ialah kerap menghukum secara pukal dan mengabaikan kajian secara big picture.

Sebagai contoh, apabila Justin Trudeau dilantik sebagai perdana menteri Kanada, dia dipuji puja beramai-ramai kerana tidak berjabat tangan dengan wanita Islam, mudah bercampur dan makan bersama masyarakat Muslim di masjid.

Dia juga dipuji kerana mudah berjumpa orang ramai dan lain-lain.

Tiba-tiba apabila keluar video dia memakai kopiah Yahudi dan menyokong Israel, serta-merta semua orang berpakat dan beralih untuk menjadi pemaki hamun pula.

Didapati agak ramai yang berpendirian seperti lalang kerana mereka tiada kajian lengkap dan hanya membuat pendirian secara pantas dan pukal berdasarkan dengan satu dua fakta.

Akhirnya pendirian mereka berubah-ubah sehingga mudah menzalimi orang yang dihakimi secara singkat.

Kerap saya terbaca di halaman beberapa tokoh ilmuan agama yang disanjung oleh pengikut dan diambil manfaat daripadanya sejak bertahun-tahun, tiba-tiba - apabila ilmuan itu mengeluarkan kenyataan yang dilihat berlainan daripada kehendaknya atau arus perdana - terus dikatakan: "dah tak respect ustaz lagi" atau "ustaz sampah", atau "ustaz dah kena beli" dan lain-lain.

Walaupun ilmuwan itu punyai hujah namun mereka tetap enggan menilainya dengan pemikiran terbuka dan adil. Semuanya disebabkan pemikiran yang disempitkan oleh sentimen kepartian, aliran yang diikuti atau hasutan netizen.

Pengampu mula mengganggu

Demikianlah tabiat dan ciri pemikiran lalang. Sungguh goyah asasnya, cepat membuat kesimpulan, lagi mudah berubah mengikut arus.

Dalam banyak isu khususnya dalam negara kita memang menunjukkan pola begitu dan ia semakin meningkat melalui pemerhatian di ruang internet, khususnya dalam bidang berkait politik kepartian serta aliran agama.

Contohnya: Ada seseorang yang dilihat pendapatnya seiring dengan kerajaan PH dalam sesuatu isu, lalu secara pukal, pihak penyokong pembangkang akan menuduhnya sebagai "penyokong PH" walau jika dikaji ada sahaja pendapatnya yang mengkritik kerajaan. Dengan sifatnya sebagai pemikir bebas atau ahli akademik, kerap juga dia memberi cadangan konstruktif berdasarkan isu dan bukan kerana ingin menyokong atau menolak parti tertentu.

Atau mungkin juga pandangannya bersamaan dengan pendirian Umno, PAS atau pembangkang lain dalam sesuatu isu. Maka dengan cepat pula penyokong kerajaan akan mengganggapnya sebagai ikon pembangkang.

Lebih teruk lagi jika wujud pihak berjawatan besar dan pengampu kerajaan yang mula mengganggu dengan mengenakan pelbagai sekatan atau tekanan seperti ditukar tempat bertugas dan seumpamanya.

Hal sebegitu kerap diadu berlaku di zaman pemerintahan dahulu, walau mungkin banyak juga pendapatnya yang menyokong dasar BN.

Atau misalnya tersama pandangan - atau kelihatan sealiran dengan dengan parti Amanah dalam isu tertentu - maka ada saja penyokong tegar PAS atau parti kerajaan secara pukal menganggap dia adalah penyokong dan wajib dipinggirkan dalam segala sudut.

Padahal persamaan pandangan itu berlaku hanya dalam isu tertentu atau perkara khusus saja.

Budaya tidak sihat dan kurang daya intelek ini sedang berkembang secara berleluasa tidak kira dari mana parti sekalipun. Trend sebegini nampaknya kuat menapak.

Dalam isu perbezaan aliran kefahaman ilmu Islam pun perkara hampir sama turut berlaku. Sebagai contoh:

Jika terdapat seorang ilmuwan agama yang satu dua pandangannya berkaitan hukum fikah kelihatan berlainan sedikit dari kebiasaan amalan di Malaysia, maka pihak pemegang amalan agama secara tradisi di Malaysia secara pukal melabelnya sebagai Wahabi.

Lebih dahsyat lagi apabila dipakejkan Wahabi itu sebagai sesat, berpotensi menjadi pengganas dan lain-lain hukuman pukal secara melampau.

Padahal geng yang dilabel Wahabi tidak pernah mengiktiraf ilmuwan terbabit atau si polan tadi itu termasuk dalam kalangan mereka kerana perbezaan fikrah lebih banyak berbanding persamaan.

Kena adil menilai

Lalu kedua-dua aliran tadi mengganggap ilmuwan berkenaan sebagai 'musuh' dan di luar daripada kelompok mereka.

Sebagai contoh yang diringkasan dalam bentuk lebih jelas adalah seseorang yang:

  • Mengkritik tindakan atau pendirian BN, Umno dan PAS dalam beberapa hal tidak semestinya macai PH.
  • Mengkritik tindakan PH dalam beberapa isu, tidak bermakna seseorang itu macai BN, Umno atau PAS.
  • Bersependapat dengan geng dilabel Wahabi dalam beberapa isu tidak semestinya orang berkenaan penyokong idea dan manhaj Wahabi dalam semua perkara.
  • Sependapat dengan aliran Ash'ary dalam beberapa isu bukan semestinya penyokong Ash'ary dalam semua hal.
  • Sependapat dengan sufi tarekat dalam beberapa isu tidak semestinya penyokong sufisme dalam semua perkara.
  • Sependapat dengan sekularis liberalis barat dalam beberapa isu tidak semestinya penyokong liberal dalam semua hal.
  • Berpendapat bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah kepada Kristian di Malaysia bukan semestinya dia penyokong murtad.
  • Membantah penggunaan kalimah Allah oleh Kristian dalam bahan terbitan mereka tidak semestinya menjadikan seseorang itu pelampau agama.

Dan ada banyak lagi contoh yang seumpama dengannya. Akhirnya sebahagian daripada kita lebih cepat mencipta musuh berbanding berukhuwah, bertoleransi dan berkawan.

Kita mencipta "the others" dengan sangat mudah dan pantas, kemudian menghabiskan masa bertempur, berdukacita dan stres dengan perkara yang tidak pasti.

Semuanya akibat pemikiran singkat kita sendiri yang bermudah secara pukal menjatuhkan hukuman dan melabel seseorang.

Apa yang sewajarnya dilakukan pada era sumber maklumat dan ilmu bercambah dengan hebatnya ini ialah, kita wajar kita jadi orang yang lebih adil semasa menilai seseorang.

Kemudian kita lebih bersabar dan rajin mencari gambaran lebih besar (bigger picture) terhadap apa yang dikatakan oleh seseorang yang bercirikan ilmuwan dan pemikir.

Itu lebih baik daripada tergesa-gesa membuat tuduhan atau mengganggap seseorang tu jahat atau baik, penyokong atau penentang - yang ditanggap hanya secara pukal.

Menilai secara lebih adil dan berpijak atas kebenaran adalah sikap yang perlu diterapkan dalam masyarakat hari ini, bukannya menghukum secara pukal.

Perbezaan pasti akan terus wujud. Perjuangan kita bukan hanya sibuk untuk meyakinkan orang dengan apa yang kita yakini sahaja, tetapi berjuang untuk terus faham dan tahu kaedah terbaik dalam mengurus perbezaan buah fikiran dan pendekatan.

Tindakan melabel, mengkelas-kelaskan seseorang secara teregesa-gesa hanya merugikan umat Islam dan melemahkan kekuatannya. Mencantas sebarang perbezaan pemikiran - walaupun perbezaan itu berdiri atas rasional dan hujah - hanya akan menghasilkan umat yag lemah, bantut pemikiran serta lemah kualiti.

Bawa manfaat, tolak mudarat

Marilah kita sama-sama menilai perkataan dan tindakan seseorang atas perkara itu sendiri terlebih dahulu, tanpa ditokok tambah penyebab tuduhan dan pelengkap teori sendiri.

Jika setelah kajian yang tenang serta munsif dilakukan - lalu terbukti benar dakwaannya - akuilah dan sokonglah. Jangan menyokong atau membantah secara pukal, kecuali telah terbukti secara komprehensif.

Demikian apabila membantah dan tidak setuju terhadap seseorang. Jelaskan kita membantah satu ideanya. Bantah idea tersebut saja kerana mungkin 100 ideanya yang lain kita persetujui.

Allah swt menyebut (bermaksud): "Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu".

Displin ini juga yang dipakai oleh ilmuwan sewaktu mereka mengeluarkan fatwa, sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ibnu Solah dengan katanya: “Hendaklah mufti (yang mengeluarkan fatwa itu) seperti perawi (hadis) yang tidak terkesan olehnya kaum kerabat dan permusuhan, mestilah hanya untuk membawa kemanfaatan dan menolak kemudaratan.”

Manusia amat kerap boleh bersetuju dalam satu dua perkara namun kerap pula bercanggah dalam hal yang lain.


Baca Bertemu Allah sebagai pencuri


Justeru, label-melabel seseorang sebagai itu dan ini tidak boleh diamalkan sama sekali.

Khalifah Umar al-Khattab berkata (bermaksud): Janganlah menyangka buruk dari satu kalimah daripada saudaramu yang mukmin sedangkan engkau boleh dapati padanya kemungkinan kebaikan (ertinya takwilan atau andaian maksud kebaikan).

Satu pengajaran besar yang perlu difahami juga ialah: Jangan sesekali menokok tambah kata-kata seseorang kepada yang lebih buruk jika itu tidak diungkapkan. Kaedah ada menyebut: Sesuatu yang seolah mesti selari dengan suatu pendapat, tidak semestinya wujud pernyataan sebegitu (al-Mawsu’ah al-Kuwaitiyyah, jil 14, hlm 56; Syarh Mukhtasar al-Sorim al-Maslul, Muhammad Hasan Abd Ghaffar, jil 8, hlm 6).

Sebagai contoh, apabila wujud ijtihad ulama mazhab al-Syafie yang berpendapat batalnya wuduk apabila bersentuh kulit suami dengan isteri, ia berbeza dengan pendapat ijtihad mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali yang menyatakan wuduk masih sah selagi tiada timbul syahwat.

Pun begitu, tidak sama sekali ulama mazhab al-Syafie turut menghukum bahawa solat seluruh ulama dan pengikut mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali adalah tidak sah kerana wuduknya terbatal sebelum solat, lalu solatnya juga batal.

Tidak halal untuk dipukalkan sesuatu pendapat berdasarkan andaian sendiri semata-mata.

Kaedah ini perlu difahami dengan betul, kerana hal ini selalu menjadi penyebab gejala ekstrem ketika berbeza pendapat, kerana masing-masing membayangkan pernyataan yang tidak dinyatakan oleh pihak yang lain, akhirnya menggambarkan tuduhan berat ke atas masing-masing.

Kesimpulannya, masyarakat kita wajib membetulkan cara berfikir mengenai orang lain. Fahamilah - melabel seseorang sebagai mendukung sesuatu secara sepenuhnya/pukal hanya kerana beberapa aspek adalah kezaliman dan boleh pula jatuh dalam dosa lebih serius iaitu memfitnahnya dengan sesuatu yang tidak benar.


DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), ilmuan syariah dan kewangan Islam serta pemikir dan ahli perniagaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS