Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sempena musim-musim perayaan ini - baru sudah Adilfitri dan bakal menjelang Aidiladha - satu perkara yang sangat wajar diambil perhatian adalah bab hutang.

Khususnya apabila menjelang perayaan ramai orang mungkin merancang menambah hutang agar dilihat lebih berduit dan bergaya.

Tanpa disedari hutang yang tidak diurus dengan baik sebenarnya boleh menganggu kebaikan amal ibadah dan masa depan seseorang di akhirat.

Nabi Muhammad SAW pernah enggan mensolatkan jenazah seorang sahabat hanya kerana hutangnya masih belum dilangsaikan. Begitulah seriusnya mati dalam keadaan hutang tidak terlangsai.

Asal hukum berhutang adalah harus dalam Islam. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang ertinya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu berbelian secara hutang yang ditentukan pembayaran (atau penghantaran) pada suatu tarikh tertentu, hendaklah kamu menulisnya…” (al-Baqarah: 282).

Bersumber daripada ayat itu jelas menunjukkan Allah mengiktiraf penjualan barangan secara hutang, dan termasuk juga pembelian secara berhutang. Dengan syarat ia ditulis (direkodkan) bagi mengelakkan kelupaan atau penipuan.

Keberhutangan itu boleh terhasil daripada transaksi pembelian bertangguh dan juga melalui pinjaman wang secara tunai.

Perlu untuk kepentingan ramai

Majoriti ulama Islam bersetuju bahawa menulis dokumen hutang itu tidaklah sampai ke tahap wajib, namun sunat sahaja. Pun begitu, pada zaman kita - yang banyak berlaku penipuan dan kelupaan secara sengaja - dokumen bertulis yang ditandatangani kedua pihak adalah bukti paling baik khususnya melibatkan jumlah yang besar.

Hukum melunasi hutang pinjaman daripada sesebuah institusi adalah sama wajibnya dengan pinjaman yang dibuat kepada individu, sama ada ia badan swasta mahupun awam atau kerajaan.

Contohnya seperti daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bank, koperasi dan lain-lain.

Apatah lagi sekiranya institut tersebut juga memerlukan wang tersebut untuk membayar hutangnya kepada institusi lain, atau memerlukannya bagi kepentingan ramai. Tatkala itu kewajiban melunaskan hutang menjadi semakin besar dek kerana kepentingan awam yang tersekat kerana keculasan peminjam menjelaskan hutangnya.

Tambahan daripada itu, kemaslahatan awam perlu sentiasa didahulukan berbanding kepentingan peribadi. Demikian juga tersebut dalam kaedah fikah yang ertinya: Didahulukan kepentingan awam daripada kepentingan khusus (yang lebih kecil).

Justeru, bagi orang beriman mereka wajib untuk sentiasa peka dengan kedudukan hutang yang ada. Andai mereka tiada perancangan rapi dan usaha untuk menyelesaikannya, hutang tersebut boleh menjatuhkan seseorang kepada kehinaan, tidak tenang, kerisauan berpanjangan dan banyak lagi masalah kerohanian.

Nabi Muhammad bersabda bermaksud: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim, 6/38).

Tersebut dalam satu lagi hadis ertinya: "Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari" (Riwayat al-Baihaqi).

Mengabaikan hutang juga boleh membawa keburukan berganda, apabila:

a. Berniat sejak dari awal untuk tidak membayar: 

Terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali hak pemberi pinjaman. Sebagaimana sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” (Riwayat al-Bukhari, 2/83).

b. Melengahkan bayaran sewaktu ada kemampuan:

Mempunyai kemampuan membayar sama ada secara sekali gus atau sedikit demi sedikit, namun sengaja tidak mahu membayar dan melengahkannya. Tindakan ini dikutuk oleh Nabi SAW dalam hadis sahih: "Penangguhan dengan sengaja oleh penghutang adalah suatu kezaliman. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, bagi mereka yang masih berhutang dan sudah sampai tempoh pembayarannya, segeralah memulakan bayaran. Sekiranya tidak mempunyai kemampuan penuh untuk melunaskannya sekali gus, bersegeralah melakukan perbincangan dengan pemiutang bagi mengenla pasti kaedah bayaran yang termampu dalam tempoh tertentu.

Fahamilah sabda nabi ini pula: "Mana-mana lelaki yang berhutang dan dia sudah pasti tidak melunasinya, maka ia akan bertemu Allah SWT sebagai seorang pencuri” (Riwayat Ibn Majah).

Berhutang mudah, bayar malas

Sehubungan itu, bagi membolehkan seseorang membayar hutang tertunggaknya, ada beberapa perkara yang boleh dinasihatkan dalam hal ini iaitu:

a. Perlu menambahkan ilmu pengurusan wang peribadi dan aliran tunai, iaitu mengawal serta peka terhadap jumlah pendapatan masuk dan perbelanjaan keluar. Kelemahan aspek ini menyebabkan seseorang itu berbelanja sesuka hati, tanpa prihatin tentang kemampuan kewangan diri. Akhirnya hutang yang sudah sampai waktu untuk dibayar, akan tertunggak. Keadaan itu akan kelak lebih merumitkan apabila hutang tertunggak berganda-ganda setiap bulan.

b. Wajib menahan nafsu dan menyedari kemampuan diri. Terlalu melayan nafsu berbelanja dan terikut-ikut ‘trend’ orang sekeliling mesti disekat. Seseorang itu mesti belajar berasa puas dengan apa yang ada dan mengekang amalan membandingkan apa yang dipunyai dengan orang lain. Nabi mengajar kita agar membandingkan diri dengan orang yang kekurangan untuk urusan keduniaan. Tindakan itu perlu dibuat agar nafsu berbelanja dapat dikawal serta lebih mudah bersyukur dengan apa yang diperolehi.

c. Malas, cepat putus asa serta hangat-hangat tahi ayam semasa berusaha mendapatkan pendapatan turut menjadi punca kepada hutang tidak berbayar. Ini menjadikan seseorang mudah berhutang tetapi malas membayar, selain mahu cepat mendapat untung. Akhirnya mereka gagal serta sebahagiannya ditipu. Hutang yang telah dibuat langsung tidak mampu dibayar.

d. Tingkatkan amal soleh sehingga wujud kepekaan terhadap ancaman hukuman di akhirat. Kelemahan sensitiviti terhadap hukum halal dan haram dalam kerjaya dan pendapatan serta pelaburan menjadikan harta yang diperoleh kurang - atau tiada - berkat. Tanpa keberkatan ia akan membawa kepada kehidupan yang sempit material dan rohani. Ada sebahagian orang mungkin tidak sempit wangnya, tetapi sempit jiwa dan dicabut ketenangan daripada hidupnya.

Ada doa yang sangat sesuai diamalkan oleh semua, khususnya sewaktu mereka tenggelam dalam hutang dan sangat sukar - atau tidak mampu - untuk membayarnya: "Ya Allah, cukupkanlah keperluanku berupa yang Engkau halalkan daripada mengambil yang Engkau haramkan, dan kayakan hatiku dengan kurnia-Mu daripada (mengharapkan) orang selain Engkau (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad).

Dibaca doa ini ketika tidak mampu melangsaikan hutang walaupun hutang sebesar gunung, Insya-Allah akan dibantu Allah. Juga yang tidak kurang pentingnya, dibaca ia agar Allah membantu kita supaya tidak teruja mencari jalan keluar melalui sumber yang haram.

Pun begitu, sekadar berdoa tanpa usaha tidak akan membuahkan apa-apa. Orang yang berhutang perlu terus berusaha dan bersusah-payah untuk maju. Perkara berikut boleh dijadikan panduan:

  1. Membayar hutang secara berdisplin sejurus mendapat pendapatan, sebelum belanja lain dilakukan.
  2. Mengehadkan pembelian secara berhutang. Ketika membeli makanan asasi, bayarlah secara tunai. Hadkan berhutang dalam pembelian barangan mahal dan gunakan ke atas barangan yang perlu sahaja.
  3. Hindarkan diri sejauh-jauhnya daripada berhutang dengan ah long dan perbankan konvensional kerana kiraan bunga faedahnya adalah bersifat berganda (compounding) yang sangat membebankan setiap kali gagal membayar pada waktunya.
  4. Jangan membuat hutang baru selagi beberapa hutang lama terhadap item yang sama belum selesai.
  5. Jangan membuat hutang baru sejurus dapat kenaikan gaji atau pangkat atau bonus, sebaliknya selesaikan sebahagian hutang yang tidak berstruktur terlebih dahulu.
  6. Hutang berstruktur dengan pihak bank boleh dibayar berdasarkan jumlah yang telah ditetapkan.


DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), ilmuan syariah dan kewangan Islam serta pemikir dan ahli perniagaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS