Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hari ini hampir tidak ada lagi suara-suara yang bercakap mengenai pentingnya kita ini hidup dalam suasana aman damai sambil meletakan kepentingan negara di atas segalanya.

Hari ini masing-masing berasa dikhianati oleh orang lain, dan masing-masing sibuk memperjuangkan agenda untuk bangsa sendiri.

Yang Cina sibuk dengan kelangsungan sekolah vernakular dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, manakala yang Melayu pula sibuk mahu menghapuskan kedua-duanya.

Seolah-olahnya jika mana-mana satu daripada kumpulan itu menang, maka negara ini akan menjadi sangat makmur, ekonominya akan melonjak dan semua warganya dicemburui oleh penduduk seluruh alam.

Masing-masing kita masih sibuk mahu membuktikan bahawa hanya dengan kumpulan mereka menjadi tuan sajalah baru negara ini dapat diselamatkan.

Pada masa yang sama politikus itu dan ini saban hari semakin menunjukkan kebodohan masing-masing. Mereka langsung tidak ada malu sesama sendiri bilamana apa saja yang diamanakan, mereka ingkari.

Sudah tidak penting kepada semua orang - baik individu mahupun kumpulan yang mengelar diri mereka sebagai politukus - mahu mengambil berat akan kesakitan dialami negara ini.

Apa yang penting cuma: Aku mesti menang, bangsa aku harus di depan.

Kerjanya hanya menjerit

Sebenarnya kita semua bersalah dalam semua hal yang berlaku di negara ini. Baik yang terjadi sejak dari merdeka mahupun dalam satu setengah tahun ini.

Kita membiarkan saja kejahatan politik menguasai sekian lama hanya kerana kita percaya bahawa kuasa politik itulah yang memberi kita makan. 

Lalu kita tunduk menyembah dan memaafkan apa saja yang dilakukan kerana kita menyangka - dan diajar untuk percaya - bahawa hanya dengan memberi kuasa kepada sekelompok manusia yang kerjanya hanya menjerit-jeritkan slogan untuk mendapatkan hidup sejahtera.

Hinggalah kita kemudian dikejutkan dengan pelbagai kejahatan.

Tersedar daripada kejutan itu, kita pun mula bangkit dan berkerja untuk membaiki kesalahan itu. Tetapi ia hanya untuk kembali memilih manusia-manusia yang sama untuk ditampilkan sebagai wakil yang kita percaya akan mengubah nasib malang kita selama ini.

Lalu apa yang terjadi?

Mereka itu kembali menjadi manusia jahat yang kerjanya hanya menjeritkan cogan kata sambil masih mahu menambah harta dan kekal berkuasa.

Mabuknya mereka kepada dua ini - yakni harta dan kuasa - sama seperti kuda gila dek kerana ditahan daripada mengawan. Habis dihenyak segala apa yang menghalang mereka daripda melempiaskan nafsu serakah itu.

Tidak dipeduli lagi tentang aib diri, tidak diendahnya nasib baik atau malang rakyat seisi negara. Yang penting adalah duduk dikerusi paling tinggi dalam politik, lalu yang paling bodoh tentu saja para penyokongnya. Kita semualah.

Sebabnya, kita masih sanggup bersorak mengeyakan apa saja yang dikatakan oleh pemimpin kesayangan, termasuk semasa mereka memperlekeh lawan. Semuanya hanya kerana mahu menang, kerana mahu kekal berkuasa.

Perangai jahat penyokong puak yang kita benci dulu kini menjadi amalan biasa bagi kita pula. Terjerit-jerit berkelahi apabila saja ada peluang berbuat demikian.

Kita berpegang kepada keyakinan bahawa dalam pertandingan, suara paling kuat adalah yang paling benar. Tidak lagi ada rasional sebagai manusia. Yang ada cuma benang perlu ditegakkan. Pedulilah sama ada benang itu basahkah, atau keringkah.

Hantuk kepala mereka

Seperti yang dikatakan tadi, semua kita setiap hari menjadi semakin rasis. Semua orang cuma tahu mementingkan bangsa sendiri.

Yang sedikit diam adalah orang India, kerana mereka tahu, siapa pun yang memerintah, mereka tetap serupa itu juga. Orang Asli jangan ceritalah. Selamanya mereka dipinggirkan.

Sementara sebahagian mereka yang di Borneo sana tidak habis-habis bercakap tentang merdeka. Langsung tidak ada lagi keinginan untuk bertenang dan sama-sama membangunkan negara yang sedang sakit ini.

Semua yakin bahawa hanya (bangsa) mereka sajalah yang akan menjadi Messiah - si penyelamat - yang ditunggu-tunggu.

Semua berasa bahawa hanya bangsanya berhak ke atas negara ini, partainya memiliki geliga sakti yang dapat mengubat segala duka yang datang kepada negara ini.

Mana mungkin kita ini diselamatkan apabila mereka yang beragama menyangka bahawa perjuangan memenangkan bangsa itulah jalan menuju kejayaan, manakala mereka yang dulunya sibuk dengan bangsa, kini tiba-tiba yakin bahawa dengan menunjukan sedikit simpati kepada agama, maka jalan menebus kekalahan pun terbentang luas.

Sementara menunggu negara ini mati - harap-harap ia masih dapat diselamatkan - mahu rasanya kami mengambil mereka itu dan hantukkan kepala yang setiap hari bercerita dan bangga dengan keagungan bangsa itu supaya sedar, hidup ini ada kerana wujudnya sikap berkerjasama. Saling hormat-menghormati, saling bantu-membantu.

Tidak ada bahagian dalam Islam yang mengatakan ada sesuatu bangsa kedudukannya di atas bangsa yang lain. Dan kami percaya mereka yang tidak beriman dengan al-Quran juga mempunyai kitab kepercayaan masing-masing.

Jika sudi untuk mencari dalam kitab-kitab pegangan mereka itu, pasti akan ditemui bahawa apa yang dikatakan oleh al-Quran itu adalah benar belaka.

Keluarlah dari kebengongan yang meyakini ada sesuatu bangsa yang agung hanya kerana bangsanya. Semua perwira, saudagar, maharaja dan siapa saja yang kita agungkan dari masa lalu, semuanya sudah mati.

Semuanya tidak berupaya melawan hatta seekor cacing yang membaham bangkai mereka.

Seperti mereka, kita juga ada penghujungnya. Maka mahukah kamu menghabiskan masa sementara menunggu ajal hanya dengan berkelahi?

Baser bengong blake.

Semua foto adalah dari pameran Sisarasa oleh artis residensi Rumah Seni Selangor.

Artis yang terlibat adalah Haz Yusup,Khairul Ehsani Sapari dan juga Fadhli Arrifin.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair dan penderhaka semua bangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS