Opinion

Satu percubaan memahami Iran

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Hujung tahun lepas, laman web seorang ulama Iran yang lantang - Ayatullah Yusuf Sanaei - seorang mullah tradisional Iran yang dikenal oleh pengikut dan lawannya sebagai ’Ayatullah feminis dan pendukung hak asasi manusia’, memaparkan satu perutusan takziah untuk seorang wanita bernama Azam Taleghani. Penghormatan untuk Taleghani ini tidak saya temukan di lainnya. Kenyataan belasungkawa sedemikian penting tentunya luar biasa kerana dalam masyarakat terkenal patriarki, ia diberikan untuk seorang wanita.

Dalam masyarakat Syiah, wacana siapa Muslim dan siapa Kafir ‘kurang’ ditemukan seperti yang terdapat dalam wacana Wahhabi, mahupun Ahli Sunnah wal Jamaah. Wacana yang lazim ditemukan adalah siapa penindas dan siapa tertindas.

Oleh demikian untuk mereka yang berada di luar mazhab Syiah, atau sama sekali tidak mengenal sosiopolitik Iran, kita akan sedikit mudah terkeliru. Kita akan menemukan simpang-siur yang terlalu banyak pihak menggunakan argumen bahawa merekalah yang tertindas. Justeru merekalah yang berhak mendapat pertolongan sang penyelamat, Imam Mahdi.

Sebagai contoh, akan ada hujah bahawa Amerika Syarikat itu pembuli dan penindas, justeru yang tertindas adalah Iran. Atau yang tertindas adalah Qasem Soleimani, Jeneral Iran yang dibunuh oleh Amerika Syarikat atas arahan sang penindas, Presiden Trump. Kemudian, selang beberapa hari, oleh jatuhnya pesawat Ukraine (membawa orang awam) yang tertembak oleh kecuaian Pengawal Revolusi (IRGC); terdapat siri demonstrasi menyuguhkan slogan bahawa mangsa-mangsa ini lah yang tertindas, dan penindasnya adalah pemerintah dan IRGC tersebut.

Penumpang pesawat 752 itu digambarkan sebagai anak Iran yang putus asa dengan pemerintahan Islam di republik itu, justeru telah berhijrah jauh (kebanyakannya ke Kanada). Tidak cukup itu, dalam satu minggu ini; wacana siapa penindas dan siapa tertindas turut dimanfaatkan oleh satu-satunya atlet wanita Iran yang memenangi pingat emas olimpik (di Rio de Janeiro) - Kimia Alizadeh (bawah). Beliau mengumumkan untuk berpaling tadah dari negaranya sambil menyebutkan betapa beliau adalah salah seorang dari ramai wanita yang tertindas.

Semua perkembangan ini membawa saya semula kepada Azam Taleghani. Puteri kepada Ayatullah Mahmoud Taleghani.

Ayatullah Taleghani sering dianggap ‘Ayatullah Kiri’. Seorang ulama yang kuat menegaskan, bahawa Islam bukanlah sebuah agama mengekang. Ayatollah Taleghani, dalam khutbah Jumaat terakhir beliau pada November 1979, iaitu sebelum meninggal dunia menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang memberikan ruang kebebasan, malahan matlamat Islam adalah untuk memerdekakan manusia. Justeru, Islam yang bersifat membebaskan itu tidak seharusnya mengikat dan merantai manusia. Islam tidak harus menggunakan apa-apa bentuk perhambaan untuk mengurung manusia. Malahan, Taleghani menuntut atas nama Islam, ulama tidak seharusnya meletakkan kepentingan kelas mereka dan mengeksploit rantai-rantai atau gari-gari perhambaan ini. Kata-kata beliau dipetik dalam terjemahan bahasa Inggerisnya:

Islam is the religion of freedom. Its goal is people’s liberation. If a religion aims at liberating people from all forms of bondage, it cannot itself be made a chain for keeping people in bondage....In the name of religion, (they wish to) further the interests of their own class by enslaving people in exploitative chains”.

Ayatullah Taleghani ditakdirkan meninggal dunia sangat awal, iaitu di peringkat mulanya terdiri Republik Islam Iran. Jika beliau masih hidup, mungkin lanskap politik Iran akan turut berbeza. Nama beliau besar. Nama itu misalnya masih ‘digunakan’ untuk ‘tujuan tertentu’.

Pada tahun 2016, keperibadian Ayatullah Taleghani sebagai contoh disebut-sebut oleh pemimpin Iran, Ayatullah Ali Khamenei. Namanya diharumkan kembali agar tidak dilupakan, tetapi dengan satu ingatan tegas; “jangan menukarkan hubungannya sebagai seorang revolusioner menjadi sebaliknya”: ‘you should not allow his name to be consigned to oblivion. You should not allow his characteristics to be forgotten and you should not allow his real relations with the Revolution to turn into unreal relations.

Azam, anak perempuan Ayatullah Taleghani, yang saya petik lebih awal meneruskan perlawanan abahnya. Jika ia boleh disebut perlawanan.

Atau mungkin, saya dapat mengatakan Azam mencuba untuk merealisasikan khutbah terakhir abahnya itu. Azam ingin menguji apakah benar Islam yang ingin ditegakkan oleh pemerintah itu adalah agama yang memberikan ruang kebebasan, bahawa apakah benar matlamat Islam adalah untuk memerdekakan manusia. Apakah benar, republik Islam ingin menegakkan Islam yang bersifat membebaskan dan tidak mengikat dan merantai manusia. Mungkin juga, Azam ingin mengaplikasikan wacana penindas-tertindas itu, mencubanya di lapangan, dan berhasrat melihat hasilnya. ‘Masalah’ dengan orang Iran, baik lelaki atau perempuan, mereka tidak boleh duduk diam. Mereka sentiasa menguji. Mereka sentiasa mencuba.

Apakah yang pernah dilakukan oleh Azam Taleghani?

Azam bukan feminis biasa. Keazaman Azam sungguh kental. Beliau dikenali di Iran sebagai seorang perempuan yang tidak pernah lelah mencuba untuk menjadi calon presiden. Beliau menghujahkan saasatul ibaad atau pemain politik itu bisa menjadi lelaki, dan tentu sekali bisa seorang perempuan. Maka Azam mencuba mendaftar sebagai calon presiden pada tahun 1997, 2001, 2005, 2009 dan 2017. Semua cubaan beliau dilempar ke tepi oleh Majlis Penasihat penentu calon layak bertanding, yang dianggotai oleh ulama lelaki.

Azam tidak pernah mengalah untuk mencuba menguji. Beliau mengatakan, selagi hidup dia akan mencuba untuk menjadi calon presiden.

Akan tetapi bukan jantinanya yang menjadi gugatan terbesar untuk kaum ulama lelaki di Iran. Azam adalah seorang pencabar. Bak kata Masoumeh Ebtekar, naib presiden Iran (hal-ehwal wanita), Azam adalah militan wanita yang hanya kenal berpihak kepada masyarakat, dan merupakan legenda satu perlawanan.

Bagaimana memahami Iran menerusi Azam?

Azam dilahirkan pada tahun 1943, anak kepada Ayatullah Mahmud Taleghani dari isteri keduanya, Tooran. Pada usia 16 tahun, beliau menikahi Morteza Eghtesad yang kemudian menjadi seorang gabenor di sebuah daerah pedalaman. Azam, meskipun sudah berkahwin di usia muda, kekal belajar dan meskipun isteri seorang gabenor, beliau tidak memilih menjadi ‘wanita pertama’ tetapi mengambil pendirian menjadi seorang aktivis.

Pada tahun 1961, Ayatullah Taleghani mulai rapat dengan sosiologis Iran yang terkenal, Ali Shariati. Sosok tubuh intelektual itu mulai kerap dimesrai. Ali Shariati kemudian mempengaruhi kehidupan intelektual Azam. Beliau menjadikan karya Shariati, ‘Islamology’ sebagai panduan aktivisme. Ini membawa kepada episod tahun 1972, bila mana Azam bersama-sama dua adik perempuannya Tayebe dan Tahere menubuhkan Yayasan Alayi yang memberi perhatian kepada remaja perempuan. Perlahan-lahan Yayasan ini dimusuhi Shah.

Azam ditahan pada tahun 1975, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, dan merengkok di Penjara Evin. Pun, beliau dibebaskan pada tahun 1978. Sebaik dibebaskan, Azam berusaha mendirikan sebuah pertubuhan untuk wanita. Ia merupakan usaha yang payah dan hanya berjaya dilaksanakan pada tahun 1992. Begitu suara perempuan dikhuatiri.

Penjara Evin, gambar Ehsan Iran

Sepanjang tempoh itu Azam menjadi penyunting di akhbar Hajar, sebuah surat khabar mengambil sempena nama isteri Nabi Ibrahim yang menurut Ali Shariati adalah lambang golongan tertindas. Akhbar itu mulai mengambil jalan Islam Progresif dan diharamkan pada tahun 2001. Pengharaman itu membawa Azam ke jalan lain pula. Kali ini Azam mengusahakan penubuhan sebuah badan bukan kerajaan untuk wanita. Pertubuhan Azam ini mendapat status berdaftar dengan PBB atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tumpuan Azam adalah menyediakan pendidikan untuk ibu tunggal dan wanita kurang upaya.

Dalam isu sensitif seperti kewajiban memakai cadur atau hijab dalam kalangan wanita Iran, Azam dikenali mengambil jalan agar; wanita diberi pilihan untuk melakukan apa yang mereka mahukan.

Pada tahun 1993, sebagai salah seorang delegasi Persidangan Hak Asasi Manusia di Vienna tahun 1993, Azam menyatakan, “Saya bukan seorang feminis dan hanya memperjuangkan hak orang tertindas, baik lelaki mahupun wanita. Cuma dalam kes ini, wanita jauh lebih tertindas berbanding lelaki.”

Selain itu, Azam juga diingati apabila secara beraninya mencabar Ayatullah Ali Khamenei apabila Ayatullah Ali Montazeri dikenakan tahanan dalam rumah dengan menulis surat terbuka pada tahun 1997. Beliau juga membantah penahanan Zahra Kazemi, seorang jurnalis Iran-Kanada yang dipenjarakan di Evin pada tahun 2003. Azam melakukan aksi duduk di hadapan penjara itu.

Ali Khamenei

Sebelum meninggal dunia tahun lalu, salah satu ucapan beliau yang dikenang adalah apabila beliau menegaskan bahawa pemerintah boleh dan harus dikritik jika ada keperluan.

Kata Azam: “Sejak mula awal Revolusi kita diberitahu agar jangan menyanggah mereka yang berkuasa, kalaulah kita diizin untuk mengkritik mereka; sudah tentu kita tak akan berdepan dengan semua pecah amanah, perompakan dan pengkhianatan.”

Saya membayangkan jika Azam Taleghani menjadi presiden Iran, tentu cara beliau menangani krisis akan berbeza. Beliau seorang wanita, dan wanita dalam kelembutan ada ketegasan; dan wanita jarang mencipta kegopohan bertindak. Iran akan menjadi sebuah negara yang sama sekali berbeza. Iran akan menjadi pemain yang jauh berlainan seperti hari ini. Barangkali tiada atlet taekwondo seperti Kimia Alizadeh yang akan berpaling tadah. Mungkin Donald Trump akan mati kutu dan lebih bodoh berdepan dengan beliau.

Tetapi kita hanya bermain dengan kemungkinan, dan kemungkinan bukan untuk mainan. Kerana itu satu percubaan untuk memahami Iran, menerusi sosok seorang wanita berwibawa dari ayahnya yang hebat lantas menemui kebuntuan. Yang ada tinggal sekadar satu kenyataan, bahawa feminis Syiah seperti Azam jauh lebih berjejak dari feminis atau liberal wanita kita yang berpusing-pusing, menepuk-nepuk dalam buih dan busa yang sama. Azam misalnya tidak perlu menggunakan suara yang kuat terpekik untuk dirasai dominan dan hadir.

Oleh sebab semua sekarang menggunakan wacana penindas dan tertindas sehingga tidak diketahui lagi siapa penindas, dan siapa pula yang betul-betul tertindas; Iran akan kekal misteri dan mencengangkan. Maka semua percubaan untuk memahami Iran; masa lalu, hari ini dan akan datang menjadi terlalu kabur. Ia adalah sebuah peradaban sepuluh ribu tahun. Ia umat yang memerlukan sang penyelamat. Malah kita semua sudah terlalu lemas, dan lelah. Semua orang menamakan diri sebagai kebenaran. Akan tetapi siapa yang benar? Justeru, kita semua memerlukan penyelamat.

Dan di saat kabur, penyelamat sebenar saja yang dapat menentukan siapa penindas, dan siapa tertindas.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.