Malaysiakini
KOLUM

Melayu dan persaingan budaya

Wan Ji Wan Hussin

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jan 2020, 8:14 pagi

Mula-mula timbul isu Jawi - apabila kementerian pendidikan bawah Dr Maszlee Malik membuat keputusan tulisan Jawi diperkenalkan dalam silibus pendidikan rendah.

Bagaimanapun, lahir salah faham, apabila kementerian pendidikan gagal menerangkan bahawa tulisan Jawi tidak ada kaitan dengan projek Islamisasi. Kesannya, wujud bantahan daripada sebilangan rakyat Malaysia, terutama dari sbilangan warga pendidik yang berbangsa selain Melayu.

Isu berlanjutan sehingga Gong Xi Fa Cai. Tengah sibuk persiapan sambutan tahun baru Cina itu, keluar pula isu tanglung. Seorang peguam Melayu menulis surat bantahan terhadap salah sebuah sekolah di Puchong yang gantung tanglung. Kononnya, memberi bahaya kepada keislaman di Malaysia.

Sekolah terbabit pula takut dengan kandungan surat tersebut. Pihak sekolah turunkan tanglung terbabit. Ia melahirkan kebisingan media sehingga sampai ke pengetahuan kabinet.

Kabinet bermesyuarat dan membuat keputusan agar dinaikkan balik tanglung terbabit. Beberapa orang menteri bersama timbalan perdana menteri turut hadir ke sekolah terbabit untuk angkat semula tanglung tersebut.

Tengah sibuk isu Tanglung, tersebar pula berita kenyataan YB Fahmi Fadzil yang mengadakan kursus kaligrafi Cina. Dalam kenyataan, YB lembah Pantai itu menyebut berkenaan perpaduan kaum sambil terpampang gambar beliau memegang kaligrafi Cina.

Ia mengundang respons dari beberapa pihak, hatta dari kalangan agamawan - kononnya, kerajaan Pakatan Harapan lebih mementingkan kaligrafi Cina berbanding Tulisan jawi.

Bersaing

Persaingan adalah sesuatu yang sihat. Ini kerana, dengan persaingan selalunya akan melahirkan penerimaan secara jujur.

Bagi pihak yang bersaing dalam perniagaan - mereka pasti memikirkan agar mereka diterima. Makanya, mereka akan berusaha memberikan produk yang berkualiti.

Contohnya, di sebuah taman, ada dua peniaga nasi lemak. Apabila persaingan sihat berlaku, sudah pasti setiap pihak yang memastikan nasi lemak mereka dibeli. Makanya, di setiap pihak akan memastikan nasi lemak mereka berkualiti - iaitu paling sedap. Dengan itu, pihak pembeli akan mendapat keuntungan.

Ini berbeza jika di sebuah taman itu, peniaga nasi lemak hanya satu sahaja - tiada persaingan. Sudah pasti, pembeli tiada pilihan, pembeli menerima produk tersebut secara terpaksa - pembeli hanya membeli nasi lemak di situ sahaja, tidak kira nasi lemaknya sedap atau tidak; mahal atau tidak.

Demikian juga agama. Jika semua agama diberikan hak kebebasan, pasti setiap agama akan bersaing untuk memastikan agama mereka diterima. Dengan itu, setiap pendakwah dari setiap agama akan kreatif dalam menampilkan agama masing-masing. Setiap pihak akan kemukakan hujah yang paling kuat untuk memastikan agama mereka yang paling benar. Sebagai Muslim, saya pasti yakin bahawa Islam pasti akan menang dalam persaingan hujah.

Saya berpendapat, budaya juga perlu berada dalam persaingan agar sesuatu budaya itu diterima secara jujur. Pihak yang memperomosikan budaya pula, pasti akan kreatif dalam memperkenalkan kebudayaan masing-masing.

Jawi

Tulisan Jawi hampir luput dari kalangan orang melayu sendiri. Orang Melayu yang dikatakan bangsa yang suatu masa dulu menggunakan tulisan Jawi, kini sudah ramai dari kalangan mereka yang tidak mampu membaca dan menulis Jawi.

Sebagai orang yang mempunyai pendidikan pondok yang terbiasa dengan tulisan Jawi, sewaktu saya mengajar di banyak masjid dan surau dengan kitab Jawi sebagai rujukan, saya dapati tidak sedikit dari kalangan pendengar kuliah saya yang tidak mampu membaca Jawi. Fenomena ini bukan berlaku pada kalangan anak muda, malah kalangan orang tua juga.

Dari sini, kita akan fahami bahawa yang meninggalkan tulisan Jawi itu adalah orang Melayu sendiri. Apatah lagi, pada era kini, tulisan Jawi sering dijumpai di sekitar yang melibatkan keislaman, seperti di sekolah pondok dan sekolah Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain).

Ini berbeza dengan beberapa negeri, seperti Kelantan. Di sana, terdapat peraturan dan penetapan kerajaan negeri agar tulisan Jawi dikuatkuasakan dalam banyak urusan kerajaan, seperti surat menyurat yang melibatkan kerajaan dan papantanda kedai. Dengan sebab itu, andai kita ke Kelantan, tulisan Jawi bukan sesuatu yang janggal.

Kaligrafi Cina

Jika di Kelantan, tulisan jawi menjadi tulisan wajib bagi premis perniagaan. Ditetapkan peraturan dan undang-undang dalam memastikan tulisan Jawi hidup.

Keadaan ini agak berbeza dengan tulisan Cina. Walaupun tidak ada ketetapan dan pemaksaan undang-undang, tulisan dan kaligrafi Cina hidup dalam masyarakat Tionghua. Terutama ketika perayaan yang melibatkan mereka.

 

Masyarakat Tionghua di Malaysia berjaya menjadikan tulisan dan kaligrafi mereka sebagai bahan yang menarik minat orang yang luar dari bangsa mereka. Apatah lagi, mereka berjaya menjadikan bahasa mereka sebagai bahasa ekonomi.

Persaingan budaya

Suatu hari, saya berjalan-jalan di sekitar uptown Danau Kota. Saya nampak sebuah gerai menjual baju batik Jawa yang dahulu agak susah untuk dijumpai.

Saya masuk ke gerai tersebut dan melihat baju-baju batik Jawa yang ada di situ. Saya dapati, harga baju batik Jawa lebih murah berbanding batik Kelantan. Apatah lagi, batik terbabit punyai corak yang menarik.

Sedang saya melihat sehelai demi sehelai, kedengaran seorang anak muda yang mahu membeli baju terbabit bercakap sesama mereka:

"Baju macam ini yang dipakai oleh Faizal Tahir.”

Mencanting batik, gambar hiasan

Mendengar itu, hati saya mula terdetik. Saya seakan-akan faham, kenapa batik Jawa semakin masuk pasaran anak muda di Malaysia.

Saya terus Google - mencari maklumat berkenaan Faisal Tahir yang merupakan artis terkenal di Malaysia - merupakan artis kegilaan anak muda di Malaysia. Saya mencari maklumat kaitannya dengan batik. Saya dapati, ada satu video klip yang menampilkan Faizal Tahir memakai batik merah berlengan pendek.

Ya, saya semakin faham. Anak muda Malaysia merasakan memakai baju batik jawa adalah pakaian menawan. Mungkin faktor ia pernah diperagakan seorang artis kegilaan anak muda.

Ekonomikan budaya

Cara berfikir orang kaya - apa-apa yang dilihat, pasti akan kelihatan wang. Sebarang perkara yang dilihat, bukan dianggap sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang. Demikian juga dalam melihat kebudayaan masing-masing.

Dalam masyarakat Malaysia, ada dari kalangan mereka yang melihat budaya masyarakat yang berbeza dengan pandangan prejudis dan ancaman. Dengan itu, mereka akan mengutuk dan menyerang kebudayaan tersebut.

Tidak sedikit juga dari kalangan mereka yang melihat budaya masyarakat yang berbeza sebagai peluang. Paling tidak pun, peluang dalam menghasilkan wang.

Dengan sebab itu, kita akan jumpai masyarakat melayu, ada dari kalangan mereka yang kreatif - mereka menggabungkan estetika baju kebangsaan Melayu dengan elemen keindiaan dan kecinaan. Seperti kita pernah melihat, ada baju Melayu yang cara pembuatannya ada elemen kurta, dan ada baju Melayu yang cara pembuatannya iras dengan samfo.

Melihat sisi itu, saya berpendapat bahawa tanpa unsur pemaksaan dan undang-undang, mengekonomikan kebudayaan adalah sesuatu yang boleh berlaku dalam masyarakat Melayu.

Demikianlah dalam memperkenalkan tulisan Jawi. Menurut saya, tulisan Jawi boleh diperkenalkan kepada masyarakat tanpa melalui pemaksaan seperti mewajibkan dalam silibus pendidikan. Ia boleh berlaku, jika setiap individu Melayu mempunyai kesedaran dan kecintaan terhadap kebudayaan mereka.

Apabila orang Melayu sendiri ada kecintaan terhadap tulisan Jawi dan kreatif dalam menampilkan tulisan jawi, tanpa pemaksaan kepada bangsa lain pun, mereka akan berminat kepada tulisan Jawi.

Bagaimanapun, apa yang kita tahu dan sedar bahawa pada hari ini, tidak sedikit orang Melayu yang tidak ada kemampuan untuk membaca dan menulis Jawi.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan