Paling Popular
Terkini

Kung Fu Tze atau Konfucius, seorang ahli falsafah Cina tersohor pernah berkata, “Life is really simple, but men insist on making it complicated”.

Mengapa komplikated? Kerana berpunca dari sikap intoleran. Ektremisme dan terorisme terjadi kerana hilangnya sifat toleran.

Dong Zhong juga kelihatannya gagal menjadi entiti yang toleran, perjuangan Dong Zhong sudah lebih kepada etnik ‘Cina’ semata-mata dan bukannya berlandaskan semangat nasionalis. 

Sejarah telah membuktikan presiden Jiao Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kerakyatannya kerana sifat intoleran yang dimilikinya.

Sifat sebeginilah yang telah memusnahkan Malaysia dan mengagalkan usaha kerajaan dalam penyatuan kaum dan etnik di negara ini.

Sifat intoleran ini tidak ada tempat di Malaysia, bukan sahaja pertubuhan berasaskan etnik Cina semata-mata, malah yang berasaskan etnik India dan etnik Melayu semata-mata juga seharusnya ditolak. Walau pun telah 60 tahun mencapai kemerdekaan, akan tetapi pemikiran Dong Zhong dan segelintir kelompok lain di negara ini masih terjajah.

Lukisan Konfucius yang ditemui dalam sebuah kubur kubur lama, gambar hiasan

Kita juga tidak mahu pemimpin seperti Lim Lian Geok muncul kembali di negara ini, kita memerlukan pemimpin yang jelas misi dan visinya ke arah Malaysia baru, Malaysia yang lebih harmoni dan berjaya.

Dong Zhong sering mengatakan negara ini tidak adil, tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), memperkenalkan tulisan Jawi dan lain-lain lagi, tetapi tidakkah sama sekali Dong Zhong melihat apa yang disumbangkan oleh kerajaan dan negara ini kepada pendidikan Cina di Malaysia? Apa perkara baik yang telah dilakukan oleh kerajaan ke atas pendidikan Cina?

Apa yang disebut adalah semua cerita tentang keburukan dan kelemahan serta perkara yang tidak menyebelahi pendidikan Cina. Tidak ada satu pun kebaikan yang dilakukan negara ini kepada pendidikan Cina di sisi Dong Zhong, yang ada hanyalah kebencian dan dendam yang tidak sudah.

Sifat ekstrem dan memperjuangkan sistem pendidikan satu etnik sahaja sudah tidak relevan di negara ini. Pilihan raya yang lalu jelas memperlihatkan bagaimana rakyat menolak perjuangan berasaskan kaum dan agama tertentu. Baik Melayu, India mahupun Cina, perjuangan perlulah atas dasar nasionalis. Dong Zhong seharusnya memperjuangkan tulisan dan bahasa Mandarin di sekolah-sekolah kebangsaan. Malah sekolah Tamil juga perlu melakukan perkara yang sama.

Perjuangan global, menyeluruh

Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, seharusnya selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kita mahu lihat masyarakat Malaysia mampu bertutur atau sekurang-kurangnya memahami Mandarin mahupun Tamil. Jangan lagi memperjuangkan untuk satu unit kecil sahaja, perjuangan seharusnya bersifat global dan menyeluruh.

Dong Zhong seharusnya memperjuangan Mandarin agar diajar sekolah-sekolah kebangsaan. Bincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagaimana Mandarin boleh dimasukkan dalam silibus kebangsaan. Atau menjadi elektif wajib bagi negara ini bukannya dengan cara menentang Jawi.

Ini jelas menunjukkan kegagalan Dong Zhong. Persoalannya mengapa Dong Zhong tidak mahu memperjuangkan agar Mandarin di ajar di sekolah-sekolah kebangsaan secara meluas? Adakah takut orang-orang Melayu faham dan boleh bertutur dalam bahasa Cina? Atau ada agenda tersembunyi.

Menghapuskan sekolah vernakular mungkin mustahil di negara ini kerana landskap politik yang dibina sudah sedemikian rupa. Walaupun secara logiknya bahawa pendidikan sebegini menjadikan masyarakat terpisah dalam kesatuan. Akan tetapi tidak banyak yang boleh diubah. Sentuh sahaja pendidikan vernakular, maka akan ada yang histeria dan hilang kewarasan, walaupun ia bagus dan perlu akan tetapi egosentirism mengatasi segalanya.

Jika UEC memang berprestij dan Dong Zhong benar-benar ikhlas, maka mereka perlu bantu kerajaan untuk menjadikan peperiksaan SPM hebat dan setaraf dengan UEC dengan cara memasukkan elemen-elemen UEC ke dalam SPM dan bukannya menjadikan negara ini mempunyai dua sistem peperiksaan. Ini yang dinamakan intoleran. Kalau dalam pendidikan pun tidak mampu bersatu jangan harap mampu dijelmakan ke dalam dunia pekerjaan dan kehidupan.

Jadi apa yang perlu dilakukan? Sekarang negara kita perlu lakukan damage control. Dah jangan disebut tentang penghapusan sekolah vernakular, menjadi tabu bagi sebahagian masyarakat Malaysia. Maka penyelesaiannya adalah bagaimana membina negara bangsa yang hebat di atas garis etnik, agama dan pendidikan berasaskan vernakular.

Maka penyelesaiannya adalah dengan mengubah objektif perjuangan, jangan lagi perjuang bangsa tertentu sahaja, perjuangkanlah negara yang dicintai ini. Malaysia akan maju kalau semua idea dan kebijakkan setiap individu di negara ini di manfaatkan sepenuhnya. Lihat manfaat seluruhnya bukan hanya suku-suku tertentu sahaja.

Sifat intoleran harus dilempar jauh dan diganti dengan sifat yang lebih terbuka dan ikhlas. Selagi yang dimulut dan dihati berbeza, maka selagi itulah keharmonian kaum dan kesejahteraan tidak mampu dibina. Jangan jadi tidak bijak, untuk memperjuangkan perkara yang tak sepatutnya.

Jadilah manusia yang cerdik di mana sahaja anda berada sebagaimana kata-kata Konficius lagi, “whoever you go, go with all your heart”.


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS