Paling Popular
Terkini

Perdana menteri mengatakan, subjek ilmu alam dan tawarikh boleh sahaja dipelajari dalam bahasa ibunda. Tetapi tidak ilmu hisab dan sains. Ini kerana ilmu itu, dakwa beliau datang dari luar; "geography and History can come in any language but Math and Science are not indigenous fields of knowledge (to us). It comes from abroad."

Kemudian, lagi dalam minggu ini. Mahathir kembali membakar, beliau mengatakan dalam sebuah majlis amanat dan aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya bahawa kemajuan bangsa juga harus dipertimbangkan; “Sebenarnya jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja. Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan.”

Pertamanya, saya perlu menjawab hujah bahawa sains dan matematik itu bukan ilmu pribumi. Ia (kononnya) datang dari luar.

Kenyataan ini salah.

Sekiranya kita belajar bahasa Melayu bersungguh-sungguh kita mendapati orang Melayu memang pandai mengira. Misalnya kita ambil unit panjang untuk orang Melayu meliputi depa (panjang antara kedua-dua hujung tangan yang didepangkan melampaui empat hasta atau empat kaki). Juga ada istilah jumba kabung yang menyamai hitungan enam hasta, atau ukuran dim yang ukurannya 25.4 mm. Untuk mengira kain (kerana ramai Melayu berniaga kain) ada istilah rian yakni ukuran benang yang besarnya 1/16 tukal. Dalam menghitung nilai emas, Melayu mengira bahara menyamai 7.5kg. Kemudian terdapat pula jampal iaitu sukatan berat emas setengah bungkal. Lain lagi, ada mayam merupakan istilah menggambarkan 12 saga emas, dan 16 mayam itu menjadi hitungan untuk tahil pula. Semua ini menunjukkan Melayu ada kira-kiranya sendiri. Melayu tidaklah bodoh matematik, atau ilmu hisab. Terdapat banyak lagi bentuk kiraan, dan apa yang saya sebutkan di atas hanyalah contoh. Profesor Abdul Razak Salleh sudah banyak mengkaji perihal ukuran dan sukatan Melayu ini.

Memanglah jika Mahathir mencari kejuruteraan ekstrem daripada masyarakat Melayu tradisi dia tidak akan menemukan ketercengangan kerana Melayu tidak membina Tembok Besar, atau Piramida. Ini kerana sains dan teknologi itu adalah mengikut keperluan lingkungan bangsa. Apa perlunya monumen sedemikian? Malah, mujur juga Melayu tiada Tembok Besar atau Piramida, itu tandanya raja Melayu dahulu kala belum cukup zalim seperti raja Cina atau Mesir. Pun, Jawa, rumpun dari Melayu sudah menegakkan candi yang besar seperti Borobodur.

Dalam ilmu kejuruteraan yang diperlukan, kerana Orang Melayu itu bertani; maka terdapat kincir air yang luar biasa. Orang Melayu menciptakan roda kincir bersekat, batang poros, lengan pengangkat alu dan lubang kayu untuk mencipta sistem kincir air. Alatan teknologi ini biasa digunakan oleh masyarakat Mandailing dan dulu-dulu memang satu pemandangan biasa melihat kincir air ini di Negeri Sembilan, atau Melaka. Che Hassan Che Haron dan Gusri Akhyar Ibrahim pernah mengkaji kehebatan kincir air Melayu satu masa dahulu.

Menyukat perkara kabur

Dalam bidang arkiteksur, kemahiran kaedah tanggam iaitu satu teknik penyambungan kayu dalam pembinaan rumah dan istana amatlah melongokan. Salah satu contoh penggunaan tanggam ini terdapat di Masjid Kampung Laut Kelantan.

Pendek kata, tidaklah orang Melayu itu sampai langsung tidak mencipta dan jahil sains dan teknologi. Mereka mencipta berdasarkan keperluan. Jika ada keperluan untuk Melayu mencipta kereta terbang, jangan khuatir akan ada Melayu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang akan dapat menghasilkannya. Melayu dulu-dulu itu tidaklah mencipta prau besar-besar belayar dengan belajar bahasa Jepun, Jerman, apatah lagi Inggeris.

Mahathir mengatakan untuk maju dan membangun eloklah ditangan-tangankan bahasa Melayu ini. Caranya macam sayang bini, ditinggal-tinggalkan. Ini satu contoh sesat. Lantaran analogi yang digunakan pun salah.

Shaharir M Zain, pakar matematik Melayu dan juga ahli falsafah yang hebat menghujahkan epistemologi Melayu itu dapat dilacak, dijejak, dan dikesani menerusi salah satu sumbernya yang tidak lain tidak bukan adalah bahasa Melayu itu sendiri. Dalam hal ini jika bahasa itu diberi makna epistemologi (secara mudahnya sumber ilmu), maka bahasa jiwa bangsa adalah bahasa itu sebagai epistemologi orang Melayu. Makanya hancur bahasa, hancurlah epistemologi Melayu iaitu ilmu yang dengan sendirinya bermakna jiwa sesebuah bangsa. Di situlah letaknya bagaimana mengukur bangsa dengan bahasa.

Shaharir M Zain

Shaharir dalam makalahnya yang penting, “Epistemologi Malayonesia Berbahasa Melayu”, telah membicarakan banyak perkara, antara lain ialah minat beliau terhadap sistem angka yang membawa kepada penghujahan beliau bahawa angka sifar itu dicipta, atau ditemukan oleh orang Melayu, sebelum dipindahkan pengetahuan itu kepada bangsa Arab, dan kemudian dipinjam pula oleh bangsa-bangsa di Barat.

Saya tidak akan bertele-tele menghuraikan bagaimana Profesor Shaharir sampai kepada tesis tersebut. Tulisan beliau banyak tersebar di merata. Bolehlah dibaca. Pun demikian minat saya lebih terarah kepada aspek-aspek lain yang dijejerkan oleh Shaharir seperti kebolehan orang Melayu menyukat perkara kabur, yakni memberi gred kepada perkara tertentu yang kabur diukur atau disukat berdasarkan ‘kemengeningannya’ atau ‘kepalingannya’. Saya ingin mengatakan di sini, minda matematik Melayu berbeza dengan minda matematik Mahathir.

Shaharir Zain telah kembali kepada peribahasa dalam usahanya memperlihatkan bagaimana peribahasa itu menyimpan sistem sukatan Melayu terhadap hal dan keadaan abstrak atau kabur, yang menjadikan bangsa Melayu terlebih unik dan berlainan dari bangsa lain. Minggu lalu saya telah menghujahkan yang, bahasa Melayu itu menyimpan pelbagai rahsia agung. Sehingga Munshi Abdullah akhirnya memutuskan betapa, “hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?”

65 peribahasa marah

Tetapi Munshi adalah mamak yang kurang dikenal hari ini. Juga, usaha Profesor Shaharir menghuraikan keunikan ilmu hisab orang Melayu kurang dimengertikan. Kenapa kurang dimengerti? Kerana tidak reti bahasa.

Sukatan orang Melayu dalam hal-hal yang dikatakan kabur (justeru mengikut bangsa lain mungkin tidak dapat dihitung) terdapat dalam peribahasa Melayu. Minda ilmu hisab orang Melayu itu beza. Mereka berusaha memberi sukatan terhadap hal, atau keadaan yang kelihatan mustahil diukur. Shaharir misalnya menemukan bagaimana orang Melayu menyukat perihal marah dengan 65 buah peribahasa; miskin dan pendirian dengan 55 buah peribahasa; berpakat dengan lebih 50 buah peribahasa); atau susah menerusi lebih 45 buah peribahasa; sifat malu dan sombong di mana masing-masing dihitung menerusi lebih dari 40 buah peribahasa; manakala sifat cinta, kasih-sayang dan sedih pula dihitung darjahnya berdasarkan masing-masing lebih daripada 35 buah peribahasa; selain mengukur bodoh, degil, karib dan lemah berasaskan lebih 30 buah peribahasa; terdapat juga keadaan cantik dan takut yang disukat dengan lebih 25 buah peribahasa.

Peribahasa ini semuanya menunjukkan perbezaan, yang kata Shaharir; “asas cerapan bijak-bestari Malayonesia dengan bangsa-bangsa lain sehingga melahirkan metafora sukatan perkara-perkara berkenaan itu”.

Munshi Abdullah

Apa yang lebih kompleks ialah sukarnya bangsa Melayu untuk meyakinkan kebitaraan mereka tersebut kerana ia hampir mustahil diterjemahkannya kepada bahasa lain, kerana bahasa lain itu mempunyai sistem, nilai, jiwa, dan epistemologi yang sama sekali lain.

Shaharir juga menegaskan, menerusi penggalian peribahasa; beliau menemukan aspek-aspek yang diberi perhatian oleh bangsa Melayu adalah antara lain masa, dan kerja. Aspek masa menurut beliau termasuklah tua-muda, musim, dan usia amnya dan terpancar dalam lebih 250 buah peribahasa. Sementara sukatan kerja mengatasi 135 buah peribahasa. Ini juga menjadi petunjuk bahawa dakwaan orang Melayu malas, cuai, tidak menepati masa, kurang berdisiplin adalah hanya satu tanggapan yang tidak terjelma dalam epistemologi Melayu.

Aspek malas dan tidak patuh masa ini juga sebetulnya tidak dapat dihujahkan sepenuhnya benar memandangkan anak kepada Munshi Abdullah mencatat sesuatu yang bertentangan. Muhammad, anak Munshi yang turut mencatat sifat dan sikap orang Melayu misalnya ada menukilkan perihal “Rajin Melayu Melaka” dalam catatan kembara beliau, Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munshi. Beliau menulis:

“Maka seperkara lagi yang menjadikan terlalu suka hatiku melihat orang-orang Melayu yang duduk dahulu Melaka itu semuanya rajin belaka bukannya seperti Melayu-Melayu yang di tempat lain-lain dengan malasnya dan pemalu serta besar hati maka sekalian Melayu dalam Melaka itu hidup dengan makan usaha tangannya dan bertitik peluh bertanam-tanam dan berkebun dan berdusun dan bersawah dan bertanam segala jenis ubi keladi sayur-sayur dan sirih dan tebu pisang dan sebagainya maka setiap harilah masing-masing ini berulang ke pasar Melaka membawa segala tanam-tanamannya itu dijualnya dan membeli pula apa-apa yang patut bagi rumah tangganya dipikulnya bawa balik ke rumahnya adapun ada pun tempat masing-masing itu bukanlah pula dekat melainkan sepuluh lima belas mil jauhnya dari Melaka ada yang dua puluh mil bandingan mereka itu adalah seperti Cina-cina yang berkebun-kebun sayur dan berdusun dalam Singapura kerana di Melaka itu segala pekerjaan yang demikian Melayulah yang bekerja maka jaranglah Cina-cina membuat pekerjaan itu dalam Melaka dan lagi pula tiadalah Melayu dahulu Melaka itu membesarkan dirinya atau berpakai-pakai molek melainkan seluar baju dan kain yang buruk-buruk dan bertampal-tampal belaka laki-laki perempuannya demikian berduit belaka masing-masing dengan kadarnya adalah mempunyai dusun sawah kebun dan rumah tangga tanah air sendiri dan beremas intan belaka tetapi tiadalah mereka itu menunjukkan keadaannya atau penat dan malas tidak sekali-kali melainkan setiap hari rajin dan usaha bekerja itu laki-laki dan perempuannya rajin belaka adalah yang telah aku perhatikan hal-hal segala pekerjaan mereka itu berbahagi dua antara laki-laki dengan perempuannya ada jenis pekerjaan laki-laki dan ada jenis pekerjaan perempuan seperti di bawah ini dan bertambah pula dengan pekerjaan kanak-kanak mereka itu.”

Konsep ketakterhinggaan

Dalam hal matematik, beza orang Melayu dan bukan Melayu ada pada epistemologinya, dan itu dijumpakan dalam bahasa mereka; bahasa Melayu. Orang Melayu melahirkan apa yang dinamakan oleh Shaharir sebagai “konsep ketakterhinggaan”. Ini kerana dalam cara pandang orang Melayu tidak semestinya sesuatu itu betul-betul hitam, atau betul-betul putih.

Oleh itu seperti ditegaskan Shaharir, gagasan ketakterhinggaan Melayu itu bukanlah menunjukkan Melayu itu bangsa yang tidak tetap pendirian, atau tidak bersikap tetapi menunjukkan “makna bagi sesebuah fakta” bagi bangsa Melayu itu berbeza dengan bangsa lain. Justeru kita tidak dapat mengacukan konsep lain dari Melayu ke atas Melayu.

Bagaimana menjelaskan ‘takterhingga’ ini? Shaharir mengatakan:

“Makna tak terhingga dalam bahasa Melayu dengan dalam bahasa Inggeris yang sepadannya (segi terjemahan harfiahnya) iaitu infinite. Penulis Hikayat Raja Pasai (abad ke-16 M) menggunakan istilah untuk bilangan yang cukup besar sebagai ‘tiada tepermanai’, ‘tiada terhisabkan’ dan ‘tiada terkira-kira’ yang nampaknya ada perbezaaan yang halus: ‘tiada tepermanai’ ditujukan kepada perkara umum, ‘tiada terhisabkan’ untuk perkara yang memang sukar ditaksirkan sahaja, dan ‘tiada terkira-kira’ untuk harta benda atau barang bernilai. Kewujudan tiga jenis ‘tak terhingga’ ini berbeza dengan hanya dua jenis ketakterhingaan dalam matematik Jerman (telah menjadi matematik dunia) yang diinggeriskan sebagai “uncountable” (diterjemah sebagai tak terbilangkan atau tak boleh bilang) dan “nondenumerable” (diterjemahkan sebagai tak terangkakan atau tak boleh ada angka). Uncountable ialah sejenis bilangan tak terhingga seperti bilangan satu,dua, …, tak sut itu; manakala nondenumerable ialah tak terhingga seperti banyaknya bilangan nombor dalam selang kosong hingga satu.”

Gambaran “tiada tepermanai” yang digunakan apabila merujuk perkara umum, sementara “tiada terhisabkan” untuk merujuk perkara yang memang sukar ditaksirkan, seterusnya kata atau gagasan “tiada terkira-kira” diaplikasikan untuk menghitung harta benda atau barang bernilai menunjukkan bahasa Melayu punya makna, cita-cita, perasaan, fikiran, bahas dan kematangan tersendiri yang tidak boleh disamakan dengan bahasa, justeru bangsa lain. Shaharir secara tepatnya mengatakan ini bermakna bahasa Melayu dengan itu amat berbeza dengan falsafah yang terdapat dalam bahasa Inggeris, dan apabila disebutkan “kemungkinan”, orang Melayu memang benar-benar memaksudkan “mungkin” atau “barangkali” yang mencerminkan ketidakpastiaan akan sesuatu:

“Pertamanya tentang berbezanya makna bilangan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris; keduanya berbezanya makna tak terhingga dalam bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa Eropah (termasuk Inggeris) dari bahasa Jerman; ketiga berbezanya makna barang kali dan mungkin dalam bahasa Melayu yang lebih asli dengan makna terjemahannya terhadap probable dan possible Inggeris-Latin. Keempat berbezanya makna sains warisan Barat dengan sains warisan Malayonesia dalam bahasa Melayu pra-Islam dan Islam.” (Shaharir b. M.Z, 2015: 90)

Memang ilmu hisab Melayu berbeza dengan cara hisab luar. Ini kerana minda bangsa berbeza, epistemologi juga berbeza. Datang epistemologi pula salah satunya dari bahasa.

Kenyataan-kenyataan Mahathir Mohamad membawa beberapa indikasi. Pertama, inilah pandangan manusia terkurung oleh imperialisme intelektual. Bahawa yang pandai hanya dunia luar. Masyarakat pribumi tidak pandai dan harus belajar menagih dari Barat. Ini satu dari beribu kes minda dijajah. Minda tertawan. Minda disampuk kolonialisme. Kedua, ilmu matematik dan sains adalah ilmu lebih utama berbanding seperti ilmu geografi dan sejarah. Dalam erti kata lain, ilmu kemanusiaan itu letaknya di bawah duli pemerintah, manakala, ilmu sains dan kira-kira itu letak di puncak jemala. Bahawa untuk jadi sebuah peradaban Malaysia boleh saja diletak ilmu kemanusiaan sebagai alas. Ketiga, golongan kanan Melayu boleh tolong sorakkan Tun, dengan hujah ia adalah satu penghinaan terhadap bangsa Melayu dan ilmu mereka. Dalam erti kata lain, anda baru sahaja memberi satu markah lebih untuk pembangkang.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS