KOLUM

KOLUM | Kita dengan raya

Mohsin Abdullah

Diterbitkan
Dikemaskini Hari ini 5:12 pagi
0

Tak kisahlah kita sebut “raya” atau “raye”, benda (atau bende) yang kita maksudkan sama.

Ia lazimnya membawa erti rai. Lantas merayakan bererti meraikan. Dan yang diraikan ialah perayaan.

Menurut tesaurus, raya sebagai adjektif bersinomim dengan besar dan umum. Mungkin sebab itu kita (maksudnya orang Melayu) “suka” dengan raya.

Kata orang yang arif atau people in the know, bak kata omputih, raya sering digandingkan dengan perkataan lain untuk memberikan maksud berbeza dalam menyatakan kelebihan perkataan itu berbanding perkataan asal.

Lalu kita ada jalan yang bila ia besar kita panggil jalan raya. Dan bila ada yang lebih besar kita gelar ia lebuh raya.

Begitu juga pasar, yang besar atau kata orang Minang yang “gadang’, dipanggil pasar raya.

Di kampung ada balai raya. Disebut juga balai desa atau balai orang ramai. Namun nama popular tetap balai raya. Tapi kali ini bila ia dibesarkan ia jadi dewan. Bukan dewan raya. Mengapa? Saya tak tahu. Kena tanya pakar bahasa.

Pun begitu kita ada dewan bandar raya untuk menjaga bandar yang besar iaitu bandar raya .

Jabatan penting yang menyediakan pelbagai infrastruktur kita namakan jabatan kerja raya. Di mahkamah kita ada pendakwa raya .

Sistem untuk pendengaran umum dipanggil sistem siar raya. Antara komponen utamanya mikrofon serta alat pembesar suara. Saya mengaku saya pun baru tahu akan istilah ini. Kawan saya kata siar raya ialah “public address system” – istilah yang kerap digunakan umum.

Orang yang banyak wang, banyak harta kita rujuk sebagai orang itu kaya raya. Walaupun sekarang ramai akan kata orang itu kaya gila. Tapi sebut kaya raya kita seakan akan boleh terbayang kekayaan milik si orang kaya gila itu. Punyalah banyak wang dan harta dia ada. Mungkin hasil titik peluh sendiri. Mungkin ada sumber lain. Wallahualam.

Mistik

Bila kita bercakap pasal politik dan khususnya bila temasya demokrasi diraikan temasya itu diketahui umum sebagai pilihan raya. Ketika kita membuat pilihan yang besar ertinya. Sama ada pilihan raya itu bersih dan adil atau sebaliknya dan sama ada keputusan pilihan raya itu (maksudnya penentuan yang kita buat) kemudiannya dinodai itu soal lagi. Kita cerita lain hari.

Raya juga dikaitkan dengan sesuatu mistikal, menakutkan serta menyeramkan iaitu hantu raya. Menurut Wikipedia “Hantu raya dalam budaya Melayu merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul”. Panjang lagi penjelasannya tapi cukup setakat itu yang saya petik. Perlu diperhatikan menurut Wikipedia ia “perkara tahyul”.

Raya turut dikaitkan dengan keindahan. Bunga kebangsaan negara ialah bunga raya. Imbas kembali sejarah. Pada tahun 1960 perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sebenarnya proses pemilihan bermula pada akhir tahun 1958 apabila kementerian pertanian mencadangkan tujuh jenis bunga – bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung.

Kabinet akhirnya memilih bunga raya kerana kelopaknya yang besar, lebar dan melentur. Dan juga ia dikenali di negara ini dengan hanya satu nama iaitu bunga raya.Tak ada siapa yang panggil bunga itu dengan nama saintifiknya “hibiscus rosa sinesis”.

Imbas sejarah juga akan mengingatkan kita bahawa sekumpulan pemimpin Melayu di Nusantara pernah cuba menubuhkan satu gagasan kesatuan Melayu Malaya-Indonesia-Brunei yang mereka namakan penyatuan Melayu Raya. Hasrat itu tidak kecapaian. Jika ingin tahu lanjut sila Google.

Pun begitu di Indonesia lagu kebangsaan republik itu diberi nama Indonesia Raya.

Sebenarnya banyak lagi “raya” dalam hidup orang Melayu. Tapi yang paling kita suka tentunya hari raya. Tidak perlu dihujah mengapa kerana semua sudah maklum.

Selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.