Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Adakah Muhyiddin Yassin akan membubarkan parlimen secara mengejut untuk memberi laluan kepada PRU15? Ya, seandainya beliau cukup yakin bahawa dirinya akan kekal sebagai perdana menteri selepas PRU15. Dengan kata lain, muafakat telah tercapai antara Bersatu, Umno dengan PAS untuk menobatkan Muhyiddin Yassin sebagai calon PM selepas PRU15.

Apakah Umno dan PAS sanggup memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin, sedangkan agak mustahil untuk Bersatu menguasai bilangan kerusi terbesar dalam Dewan Rakyat? Bersatu hanya memenangi 13 kerusi dalam PRU14, dengan logo PKR, bersandarkan sosok Mahathir Mohamad. Angka ini lebih rendah berbanding 18 kerusi yang dimenangi PAS, dengan logo sendiri. Angka yang dimiliki Bersatu sekarang, sebahagiannya diseludup dari Umno.

Sudah tentu keputusan PRU14 dijadikan asas rujukan dalam rundingan pengagihan kerusi yang bakal dipertandingkan Perikatan Nasional dalam PRU15. Agak menarik apabila memasuki kawasan-kawasan seperti Jeli, Masjid Tanah, Larut, Mersing dan sebagainya, dimenangi atas tiket Umno, tetapi wakil rakyatnya menyeberang ke Bersatu kemudian. Apakah ia akan dipertandingkan calon Bersatu, atau Umno dalam PRU15?

Satu yang pasti, jika pun persetujuan dicapai untuk meletakkan penyandang sebagai calon, bilangan kerusi Umno masih melebihi Bersatu, melainkan Umno kalah teruk dalam PRU15. (Jikalau senario ini berlaku, maka cerita perebutan jawatan PM sesama PN akan melabuh tirai kerana kekalahan dahsyat Umno bermakna PN gagal menawan Putrajaya.)

Jadi, timbul persoalan, apakah Umno sebagai parti komponen terbesar perlu memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin untuk menerajui kerajaan PN, sedangkan Umno mempunyai pemimpin yang juga “layak” untuk jawatan tersebut? Di celah-celah perbincangan ini, timbul juga cadangan, apa kata Bersatu dibubarkan untuk kembali ke pangkuan Umno, sebagaimana Semangat 46 pada tahun 1996?

Namun, situasi Bersatu jauh berbeza berbanding Semangat 46. Jikalau diimbas sejarahnya, Semangat 46 menyertai semula Umno setelah dua kali tewas dalam pilihan raya umum pada tahun 1990 dan 1995, dalam keadaan pengaruh politiknya semakin terhakis dan semangatnya semakin meluntur. Sebaliknya, bukan sahaja Bersatu menampilkan calon perdana menteri, tetapi juga pelapis seterusnya, yang bakal berebut-rebut sepanjang koridor kuasa bersama Mohamad Hasan, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan sebagainya.

Tersebar juga ura-ura penubuhan parti baru, oleh Azmin Ali, yang telah dipecat dari PKR, tetapi belum diterima kemasukannya ke Bersatu. Cadangan ini sedikit melucukan kerana antara tema politik Melayu sepanjang tempoh sedekad kebelakangan, adalah perpecahan kuasa Melayu dalam politik kepada Umno, PAS, PKR, Amanah dan Bersatu. Ironinya, semakin ditekankan perpaduan umat Melayu, semakin banyak pula parti politik yang mahu ditubuhkan?

PRU15 noktah kepada kecelaruan?

Setelah menelusuri persoalan-persoalan yang dibangkitkan di atas, apakah kita masih yakin bahawa PRU15 adalah noktah kepada segala pergolakan politik yang sedang berkocak sekarang?

Tidak. Pilihan raya adalah satu mekanisme dalam sistem demokrasi untuk merungkai perselisihan, pertentangan dalam kalangan kumpulan yang berbeza ideologi dan kepentingannya. Mekanisme ini gagal berfungsi dengan berkesan tanpa perisian mentaliti dan budaya masyarakat setempat.

Dengan kata lain, seandainya Malaysia tidak bersedia untuk menerima norma baharu politik, bahawa zaman pendominasian satu-satu parti tunggal telah berakhir, lantas menyesuaikan diri untuk bekerjasama dengan golongan yang berbeza, maka pergolakan politik yang kita saksikan hari ini akan berlanjutan.

Perpecahan parti politik Melayu yang berlaku sepatutnya mencuit minda kita untuk memikirkan puncanya. Dalam kes perpecahan Umno yang melahirkan Bersatu, jelas kuasa terlalu dipusatkan kepada presidennya, yang merangkap perdana menteri ketika itu. Apabila Muhyiddin Yassin selaku timbalan presiden Umno mempertikaikan Najib Razak dengan skandal 1MDB pada tahun 2015, maka orang kedua ini terus dilucutkan jawatan TPM, dijadikan “tunggul” dalam Perhimpunan Agung Umno, dan akhirnya dipecat dari Umno.

Ia memberi gambaran seolah-olah tiada saluran dalam parti untuk menyelesaikan konflik yang melibatkan presidennya. Maka kumpulan yang tidak menyebelahi presiden disingkirkan. Mereka terpaksa menubuhkan Bersatu untuk melanjutkan perjuangan politik mereka, dan menjadikan pilihan raya umum sebagai pemilihan parti (yang lebih besar) untuk menyingkirkan Najib Razak. Dari sudut ini, “Langkah Sheraton” yang dikaitkan dengan Muhyiddin telah menyempitkan makna PRU14 daripada “pertukaran kerajaan persekutuan” kepada “pertukaran presiden Umno”, jikalau ditinjau semula pada hari ini.

Jika pun terdapat mekanisme dalaman untuk menyelesaikan konflik antara kabilah yang berbeza, mentaliti “pemenang merangkul segala-galanya” boleh mencacatkannya. Misalnya pemilihan PAS pada tahun 2015, menyaksikan bagaimana kumpulan yang dilabel sebagai “Erdogan” dicantas sehabis-habisnya. Mereka membayangkan masa depan diri mereka yang malap seandainya kekal bersama PAS, lantas menubuhkan Amanah sebagai wadah baru. Malangnya, mereka tidak sempat membina kekuatan akar umbi sendiri, sehingga dilihat masih bergantung kepada sosok politik lain, misalnya Mahathir Mohamad untuk mengolah sokongan Melayu.

Mengendali perbezaan

Nasi sudah menjadi bubur. Pemimpin politik Melayu boleh menjadikan DAP sebagai musuh agar sokongan Melayu “disatukan”, hakikatnya setelah DAP disingkirkan dari kerajaan, Melayu tetap berpecah, malah parti yang bergelar Bersatu pun gagal disatukan. Tanpa Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, tanpa Tommy Thomas sebagai peguam negara, apakah Umno, PAS dan Bersatu boleh bersepakat dalam isu calon PM seterusnya?

Suka atau tidak, PRU14 pada 9 Mei 2018 telah menamatkan era telunjuk PM menentukan segala-galanya. Tiada lagi parti politik tunggal yang boleh bermaharajarela sewenang-wenangnya. Tiada juga parti politik yang boleh mendabik dada untuk mendakwa dirinya akan memerintah dari dulu, kini dan selama-lamanya. Era Umno pantang dicabar, semakin dihitamputihkan sejajar dengan peredaran zaman.

Senario baru menyaksikan mereka yang mencabar presiden Umno, ada juga masa depannya untuk menjadi perdana menteri. Mereka yang pernah dibacakan doa kutuk dalam muktamar, boleh menjadi menteri pertahanan untuk memeriksa barisan kawad tentera satu hari nanti. Malah kerajaan boleh dirampas daripada perdana menteri tatkala beliau sedang berkuasa. Maka tidak hairanlah apabila Anwar Ibrahim disabotaj timbalannya Azmin Ali, atau nama Zahid Hamidi digugurkan oleh naibnya Khaled Nordin ketika mencalonkan nama perdana menteri.

Dari sisi ini, sememangnya ia membawa makna positif kerana kuasa tidak lagi dimonopoli satu-satu parti tunggal mahupun di bawah telunjuk pemimpin tertinggi. Mungkin tidak sukar lagi untuk mencabar ketua, keluar parti dan membina wadah sendiri pada zaman ini. Persoalannya, apakah perancangan jangka panjangnya?

Di sini masalah politikus kita. Mereka bijak mencaturkan rampasan kuasa, tetapi kebijakannya tidak setimpal untuk mentadbir negara. Mereka ghairah menubuhkan parti baru, tetapi tidak pernah terlintas dalam otak untuk memikirkan bagaimana sistem pilihan raya boleh direka untuk berlaku adil kepada parti baru. Mereka mengadu pembangkang dianaktirikan, tetapi tidak bersungguh-sungguh untuk memartabatkan pembangkang, agar pembangkang lebih bermaruah daripada kerajaan pintu belakang atau tebuk atap.

Lantas mereka menuding jari kepada musuh yang direka-reka, dijadikan alasan untuk mereka kembali berkuasa. Mereka tidak membicarakan soal integriti, mandat rakyat dan sebagainya, mereka hanya berminat dengan jawatan perdana menteri, kabinet, duta dan GLC. Mereka yang berkuasa mahu merangkul segala-galanya, lantas mereka mengagih-agih sesama diri harta negara bagai ghanimah yang dirampas abahnya.

Mereka berebut-rebut menjadi ketua, tetapi teragak-agak untuk memimpin. Mereka memburuk-burukkan rakan sekutu dan pesaingnya, tetapi mereka gagal berdiri atas kaki sendiri. Mereka menggadai harga diri, untuk melonjak bagai katak ke sana ke sini. Selagi kualiti politikus kita kekal sebegini, sistem demokrasi sesempurna manapun gagal menyelesaikan masalah politik kita.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS