Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu lalu saya telah menulis bagaimana para billionaire di Amerika telah mara ke hadapan untuk memberi sumbangan dana kepada calon calon presiden yang sedang bertanding. Parti Republikan dan Demokrat - Donald Trump dan Joe Biden - sama sama mendapat dana dari penyokong yang kaya raya.

Saya juga telah menulis dakwaan bagaimana para tauke, para cukong, ahli perniagaan yang halal dan yang haram telah juga datang memberi sokongan dana kepada parti United Malays National Organsatian dalam Barisan Nasional. Begitu juga para tauke dan cukong didakwa memberi sokongan kepada Parti Keadilan Rakyat dan suku sakatnya dalam Pakatan Harapan.

PKR dan DAP semenjak 2008 - setelah mendapat kuasa di Selangor dan di Pulau Pinang kelihatan sokongan moral dan material mula datang meloroh. Dari tarikh kemenangan – dua parti politik yang dahulunya parti pembangkang telah juga mula mendapat pelbagai bentuk sokongan dana. Para pemaju perumahan, pemilik kilang dan industri, tauke dan cukong dengan gembira hati berkampung untuk menyalurkan dana.

Sokongan dana ini datang dalam pelbagai bentuk. Secekai-cekai mana sekalipun bentuk hadiah yang kita pernah dengar ia masih dilihat sebagai tanda sokongan.

Sebagai contoh apabila Hari Raya Cina sampai maka bepuluh-puluh kotak limau akan sampai ke rumah menteri besar dan ketua menteri.

Bila Hari Raya Haji sampai kita terbaca di media cetak dan portal betapa banyak kambing dan lembu datang beratur di tepi padang berhampiran pejabat menteri besar. Ada sahaja tauke kaya yang ingin bersedekah. Entah macam mana para tauke kaya ini tahu - mengkorbankan kambing dan lembu ini akan membolehkan ummah menyeberang Siratul Mustakim ke syurga. Amin.

Untuk sesetengah pemimpin parti United Malays National Organisation yang sudah kotai berkuasa tidak akan ambil peduli tentang limau, kambing atau lembu. Sokongan bentuk ini tidak lagi menjadi tarikan. Untuk parti ketuanan Melayu hadiah limau tahun baru Cina ini hanyalah tahap habuan untuk ketua cawangan atau ketua bahagian. Bossku dan gedebe besar tak ambil pot semua ini. Untuk Bossku, mengikut istilah orang Finland, semua ini peini peruna - small potato - masuk celah gigi.

Apa yang tulis ini adalah fakta. Ini bukan kesah penglipur lara dari Hishamuddin Rais. Ini adalah ciri budaya politik undi yang telah, yang sedang dan yang akan terus berlaku di Malaysia. Amin.

Biar saya nyatakan di sini hakikatnya dalam politik undi – dalam budaya politik undi – para pengundi hanyalah prop atau watak tambahan dalam pembikanan wayang yang lebih luas. Ini bukan hanya berlaku di Amerika Syarikat. Ciri pengundi sebagai watak tambahan ini wujud dalam budaya politik undi, di mana sahaja ia diguna pakai, terutama di negara dunia ketiga seperti Malaysia.

Apa kunci di belakang semua ini? Apa latar semua ini? Apa yang dapat kita fahami dari babak babak yang saya naratifkan di sini? Perlu difahamai dengan jelas bahawa apa yang saya surahkan di atas ialah manifestasi. Kerana ia manifestasi maka pasti ada sebab musabab yang mengakibat kelahiran manifestasi ini.

Sebab musabab kunci budaya ini ialah kuasa. Latar belakang ciri budaya ini ialah kuasa. Sebab musababnya semua ini berlaku ialah kerana kuasa. Tanpa memiliki kuasa sebagai menteri besar Selangor tak ada siapa ambil pot untuk menghantar limau kepada Khalid Ibrahim, kambing kepada Azmin Ali atau lembu kepada Amir Shaari, sebagai contoh.

Dari mana kuasa ini datang? Kuasa ini datang dari jumlah undi yang didapati dalam proses pengundian yang dipanggil pilihan raya. Di Selangor dan di Pulau Pinang Pakatan Rakyat mendapat lebih undi berbanding dengan Barisan Nasional. Maka tauke dan cukong berbesar hati melabur untuk Pakatan Rakyat. Di Perak, Kelantan atau di Johor para tauke dan cukong datang juga melabur. Pelaburan politik akan bergerak pergi di mana ada kuasa.

Pelaburan politik ini tidak ada kesetiaan. Pelaburan setia kepada untung. Pelabur?

Melabur ialah ertinya kita melakukan sesuatu dengan harapan akan dapat menuai sesuatu pada masa hadapan. Kita melabur tenaga membanting tulang bercucuk tanam dengan harapan kita akan dapat menuai padi satu ketika nanti. Kita melabur duit dalam perniagaan dengan harapan satu ketika nanti kita akan dapat menggandakan duit pelaburan kita itu.

Melabur dibaca sebagai mencari untung. Untung rugi selalu dikaitkan dengan meniaga. Tetapi politik bukan meniaga. Politik untuk mentadbir negara bukan menjalankan perniagaan. Betul. Politik dari mata kasar bukan meniaga.

Agak lucah kalau kita anggap politik ini satu perniagaan. Tetapi hakikatnya apabila ada sosok melabur dana, memberi dana untuk satu parti politik atau untuk bakal calon YB – titik akhirnya nanti ialah menuai laba. Memberi sokongan dalam politik juga mencari keuntungan.

Justeru, tidak salah jika saya katakan bahawa budaya politik undi ini sama seperti berniaga. Para pengundi – mak cik, pak cik, abang dan kakak - yang memainkan watak sampingan mungkin tidak menyedari hal ini dengan jelas dan tuntas. Tetapi para billionaire, jutawan, tauke kaya dan para cukong memberi dana - melabur wang ringgit kepada parti politik samalah seperti membeli saham.

Semenjak tahun 1955 para tauke dan cukong dikatakan telah melabur dana untuk United Malays National Organisation. Budaya ini bermula bawah payung Perikatan hingga ke Barisan Nasional. Selama 60 tahun ini saham para tauke dan para cukong tidak pernah jatuh nilainya.

Banyak tauke dan cukong telah menjadi kaya raya kerana mereka melabur dalam budaya politik undi. Selama lebih dari 60 tahun pelaburan sosok ini tidak surut-surut. Malah laba terus melimpah ruah.

Pelaburan mereka telah memastikan parti yang mereka sokong akan terus berkuasa. Parti yang mereka sokong – yang mendapat dana dari mereka - akan terus menang. Melalui kelebihan undi maka kuasa akan dimiliki. Dalam kes Malaysia selama 60 tahun kuasa dimiliki oleh United Malays National Organisation. Melalui kuasa parti ketuanan Melayu inilah para tauke dan para cukong dapat menuai.

Apa yang dituai ialah lesen judi, tanah untuk projek perumah, tanah dalam bandar, lesen jana elektrik, hutan balak, hutan bakau, lombong emas, lombong bijih, tanah ladang, tanah estet, lesen kilang, tanah ladang tebu, lesen impot beras, lesen impot kereta, membina bangunan kerajaan, projek lebuh raya, beli kapal terbang, lesen TV, lesen radio, impot senjata dan, dan, dan.

Seribu satu macam jenis perniagaan – pelbagai jenis kontrak - yang dijalankan syarikat mereka atau anak syarikat mereka atau jaringan syarikat yang mereka memiliki kepentingan.

Tahap pelaburan mereka bukan tahap kontrak kantin sekolah.

Jumlah ringgit, dolar dan dinar yang dilabur juga bukan kecil anak. Kita tidak tahu angka yang sahih - kita hanya mendengar desas-desus tentang kesetiaan tauke judi itu, atau betapa pemurahnya cukong itu di negeri Johor.

Soalan terus timbul - betul ke tauke dan cukong memberi duit untuk parti politik? Betul ke United Malaya National Organisation mendapat duit untuk berkempen dari tauke? Atau apakah semua ini hanya desas-desus atau fitnah?

Di Malaysia banyak pekara berjalan dan bergerak di bawah, meja kalau tidak pun di bawah tanah. Semuanya tersorok dalam gelap. Ada sedikit perbezaan dengan pemilihan presiden di Amerika.

Dalam pemilihan presiden Amerika walau pun bukan semuanya terang, tapi lebih telus dari apa yang berlaku dalam PRU Malaysia. Warga Amerika diberitahu berapa dana yang dikumpulkan oleh Trump atau Biden, siapa beri kepada siapa. Perbelanjan pemilihan dapat dinilai dari badan bebas.

Media pro-Biden akan melaporkan tentang dana Trump. Media pro-Trump akan melaporkan dana yang dikumpulkan Biden. Syarikat apa sokong siapa. Semua terbuka kerana perniagaan jual berita.

Dalam negara seperti Malaysia di mana kuasa politik tidak berubah ubah selama 60 tahun maka pihak yang berkuasa boleh membuat apa sahaja tanpa segan, silu atau takut. Inilah yang telah berlaku dari tahun 1955 sehingga 9 Mei 2018.

Kuasa yang berterusan ini menjamin sokongan dana yang berterusan. Ini agak berbeza dengan budaya politik undi di Amerika atau di United Kingdom. Presiden dari Demokrat boleh diganti oleh Republikan. Kerajaan Parti Konservatif boleh diganti oleh kerajaan parti Buruh di United Kingdom.

Persoalan hakiki masih belum terjawab. Betul ke tauke dan cukong melabor duit untuk parti politik? Atau ini hanya tohmahan dari Hishamudin Rais?

Bukan tohmahan. Dana, ringgit dan dolar masuk ke kantung parti politik sedang dibuktikan. Apakah tidak membaca kes mahkamah di negara ini? Mustahil tak sedar Najib sudah dijatuhkan hukuman 12 tahun.

Apakah tidak faham apa makna semua kes ini? Tunggu pencerahan minggu hadapan.

HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS