Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Katak oh katak

Mohsin Abdullah

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Sep 2020, 12:04 pagi

Katak adalah sejenis haiwan amfibia dalam susunan anura (tidak berekor).

Bentuk katak dewasa biasanya mempunyai ciri-ciri badan gempal, mata menonjol, lidah panjang, tangan dan kaki berlipat di bawah. Dan seperti disebut tadi, tidak berekor.

Selain tinggal di kawasan air tawar dan tempat kering, katak dewasa beberapa spesies juga hidup bawah tanah atau pokok. Kulit katak berkelenjar dengan rembasan toksik.

Masa saya budak-budak, golongan tua kerap menasihati kami budak-budak supaya berhati- hati kerana air kencing katak ada racun.

Dan kalau terkena panjutannya mata akan buta. Wallahualam. Mungkin racun yang dimaksudkan ialah toksik di kulit sang katak.

Apa pun toksik itu digunakan katak untuk “mempertahankan diri “ daripada ancaman haiwan lain atau pemangsa.

Katak biasanya bertelur dalam air. Telur-telur katak menetas menjadi larva akuatik yang dipanggil berudu yang mempunyai ekor dan insang dalaman. Kitaran hidup sempurna apabila ia berubah bentuk menjadi katak dewasa.

Kitaran hidup katak

Beberapa jenis spesies bagaimanapun bertelur di atas tanah atau mengabaikan bentuk berudu. Katak amat cekap menukar apa yang dimakan menjadi jisim badan.

Katak menghasilkan pelbagai bunyi terutamanya semasa musim pembiakan dan mempamerkan pelbagai jenis tingkah laku kompleks untuk menarik pasangan, untuk menangkis pemangsa dan secara amnya untuk terus hidup.

Maaf ini bukan mengenai mata pelajaran sains. Penulisan ini bukan bertujuan mengajar pembaca mengenai katak.

Cuma manusia pada hemat saya harus berterima kasih kepada katak khususnya kerana memakan serangga termasuk lalat yang kerap menganggu hidup kita.

Namun manusia juga antara pemangsa yang mengancam sang katak. Ada manusia yang gemar makan beberapa spesies katak. Katak dinilai sebagai makanan oleh sesetengah manusia.

Sup kaki katak, gambar hiasan

Da katak juga mempunyai banyak peranan budaya dalam kesusasteraan, simbolisme malah agama.

Pun begitu manusia kerap mengaitkan katak dengan perkara atau unsur negatif.

Sumpah jadi katak

Dalam kisah dongeng umpamanya, katak dijadikan bahan sumpahan. Si ahli sihir melontar sumpahan kepada putera raja lantas menjadi seekor katak yang gemuk, hodoh dan menjijikkan.

Tapi dia menjadi semula putera kacak apabila dikucup oleh si puteri raja jelita yang berbekal sifat cinta sejati.

Ramai antara kita yang tidak suka, geli malah takut akan si katak. Mungkin telah dimomokkan sejak kecil (tapi dalam filem barat atau siri televisyen, anak mat salih yang nakal kerap menjadikan katak haiwan manja dan dibawa ke sana ke sini dengan katak dalam kocek seluar).

Apapun baru-baru ini ada berita mengenai seorang wanita yang terperanjat ada seekor katak dalam rumahnya. Takut dan tidak tahu apa yang harus dilakukan, wanita berkenaan menghubungi bomba.

Enam anggota bomba bergegas ke rumah wanita itu dan mendapati seekor katak di atas pintu dalam rumah. Lalu mereka menangkap katak itu dan melepaskannya di kawasan selamat.

Menyimpang sedikit daripada topik, saya ingin memberi tabik hormat kepada pasukan bomba dan penyelamat. Mereka bukan sahaja memikul tugas berat memadam kebakaran. Tugas mereka pelbagai. Bila banjir melanda pasukan bomba dan penyelamat dikerah.

Bila ada orang terkandas dalam lif, bomba dipanggil untuk menolong. Ada ular di kawasan perumahan siap yang dipanggil kalau bukan bomba.

Ada sarang tebuan di pokok sekali lagi bantuan bomba diperlukan. Kaki tersepit dalam mangkuk tandas bomba juga yang datang membantu. Kucing terkandas atas pokok bomba dipanggil. Kini katak dalam rumah bomba juga dicari.

Terlalu banyak lagi jasa dan sumbangan pasukan bomba dan penyelamat untuk disenaraikan. Oleh itu cukup setakat itu sebagai penghargaan untuk mereka.

Berbalik kepada kisah katak. Bila bercakap soal politik sekali lagi elemen negatif untuk sang katak.

Politikus yang bertukar parti (dan menikam belakang kawan untuk tujuan tertentu) dilihat sebagi lompat parti. Lalu mereka dinamakan sang katak.

Tidak perlu saya huraikan dengan lanjut kerana semua sudah maklum. Apatah lagi sejak kebelakangan ini kita disajikan dengan adegan lompat parti. Ahli politik katak banyak diperkata dan dibincangkan di merata-rata tempat.

Ramai yang benci, jijik,geli dan loya terhadap polical frogs . Sama seperti sifat benci, jijik, geli dan loyanya mereka terhadap katak asli.

Cuma jika katak boleh bercakap dan kita faham bahasa katak, mungkinkah akan berkata si katak mereka tidak suka dikaitkan dengan gejala dan tingkah laku lompat parti dan menikam belakang kawan?

Mungkinkah mereka akan berkata “aku lompat untuk bergerak bukan melompat seperti manusia sang politikus melompat” dan “jangan guna nama aku”?

Dalam erti kata lain katak tidak mahu disamakan dengan manusia seperti itu. Mungkin akan berkata si katak:

“Jangan hina aku begitu, bro. Aku lebih mulia.”

Mungkinkah begitu?


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.