Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Tipu pilihan raya turun jalan raya di Amerika

Hishamuddin Rais

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Nov 2020, 12:22 pagi

Akhirnya semua terbarai. Akhirnya semua bocor. Akhirnya semua terselak. Akhirnya semua terbonggeng. Tidak dapat disorokan lagi.

Ketika tulisan ini digarap 16 Nov 2020 pilihan raya Presiden Amerika 2020 telah selesai dua minggu dahulu. Selasa 3 Okt 2020 telah lama berlalu. 

Tapi hingga ke hari ini - dua minggu kemudian – tidak ada keputusan muktamad siapa berhak untuk menjadi penghuni Rumah Putih.

Jeo Biden dari Parti Demokrat klaim dia menang. Donald Trump dari Parti Republikan juga mengaku menang. Trump bukan sahaja mengaku menang malah telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa negeri kerana terbukti terlalu banyak penipuan undi telah berlaku.

Ketika tulisan ini digarap keputusan masih tergantu pengiraan undi tidak tuntas. Kes mahkamah ada yang bermula. Ada yang akan bermula.

Kita warga Dunia Ketiga apabila membaca atau melihat berita di kaca TV tentang apa yang sedang terjadi kepada Amerika wajib bergembira.

Saya sendiri tidak dapat memadamkan kegembiraan saya apabila melihat apa yang telah, yang sedang dan yang akan dilakukan oleh Trump. Pada hemat saya Donald Trump adalah sosok Presiden Amerika yang jujur.

Apa Donald Trump jujur?

Pasti ramai akan menganggap kenyataan saya ini tidak tepat. Untuk memahaminya kenyataan ini kita wajib melihat tanda dan makna yang dibawa oleh sosok yang bernama Donald Trump.

Sosok ini adalah jelmaan apa itu Amerika. Trump adalah manifestasi dari konsep klise yang selalu kita dengar: The American Dream – Mimpi Amerika.

Mimpi Amerika bermakna sesiapa sahaja jika berkerja kuat akan berjaya untuk jadi kaya raya di Amerika. Imigran yang datang sehelai sepinggang dari Itali, dari India, dari Brazil dari Kenya atau dari cerok mana pun boleh menjadi jutawan jika rajin bekerja.

Mimpi Amerika ini menjadi daya tarikan – menjadi besi berani – untuk sistem ekonomi kapitalis. Mimpi inilah yang menjemput seribu satu macam jenis manusia untuk bertandang dan mencuba nasib di Amerika.

Donald Trump mengambil alih perniagaan ayahnya - jual beli hartanah. Jual sana beli sini. Pinjam sana. Hutang sini. Bayar sana bayar sini. Pinjam duit bayar duit. Lari cukai bayar cukai. Trump adalah contoh sosok terbaik yang diwujudkan oleh sistem ekonomi kapitalis Amerika.

Dari tahun 2004-2015 Trump menerbit dan mengacara program TV – The Apprentice. Program ini tentang budaya dan cara kerja untuk berjaya jadi kaya raya dalam sistem ekonomi kapitalis.

Melalui program popular ini Donald Trump dikenali oleh warga Amerika Trump menjadi ikon popular untuk Mimpi Amerika. Di luar kaca TV Trump telah berjaya menjadi pemaju perumahan, pemilik hotel dan pemilik gedung perniagaan.

Hendak menjadi Trump kini menjadi mimpi anak-anak muda Amerika. Trump juga pemilik syarikat Miss Universe – Ratu Dunia. Kini Trump dikelilingi oleh gadis-gadis cantik. Kaya, terkenal dan penuh glamor adalah ciri budaya kapitalis. Semua ini adalah Trump.

Justeru Trump lucah. Justeru Trump kasar. Justeru Trump bercakap atau berkicau apa yang dia fikir. Trump bukan membuat kira-kira politik. Cakap Trump tidak berlapik. Tidak wujud budaya sopan politik atau diplomasi dalam istilah Trump.

Trump bukan politikus yang mengada-ngada memulakan ucapan dengan assalam mualaikum. Mengakhiri cakap dengan alhamdulillah. Trump membuat congak dolar dan dinar. Trump mengira untung dan rugi dolar bukan perkiraan politik.

Hakikatnya Trump adalah Amerika tulen. Bukan elite Boston yang cuba-cuba ingin tersangkut atau memiliki talian dengan elit ‘duit lama – old money'. Trump tidak ada angan-angan untuk menjadi fotokopi elite kelas pemerintah ala Eropah.

Hillary Clinton dalam kempen tahun 2016 untuk pertama kali dalam hidupnya telah berkata jujur. Hillary memanggil para penyokong Trumps sebagai ‘a basket of deplorables’ – sebakul kutu berahak. 

Kutu berahak atau Mat Lekeh adalah panggilan penghinaan yang tepat dari elit politik Amerika terhadap penyokong setia Trump.

Awas. Keputusan pengundian presiden tahun 2020 menunjukkan hampir 47 peratus warga Amerika adalah penyokong setia Trump. Seramai 73 juta kutu berahak dan Mat Lekeh masih tetap setia dengan Trump.

Justeru mimpi Parti Demokrat untuk dapat kemenangan durian runtuh – landslide victory - meleset. Penyokong Trump tidak berganjak.

Sokongan bertambah kepada Parti Demokrat kerana didakwa undi tipu. Penipuan undi ini menjadi hujah utama dari penyokong Republikan untuk menafikan Joe Biden dari masuk ke Rumah Putih.

Kita warga Dunia Ketiga boleh ketawa kerana baju, seluar, kasut, stokin termasuk seluar dalam Amerika telah terburai. Dunia melihat Amerika bogel. Terima kasih Donald Trump.

Selama ini, Amerika Syarikat mendabik dada klaim bahawa negara yang bernama Amerika ini mengamalkan sistem demokrasi. Sistem pengundian yang jujur, telus dan adil.

Amerika memberi ceramah sana sini tentang demokrasi. Amerika mengutuk negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin sebagai negara kurang demokrasi

Kini hipokrasi – topeng demokrasi ini telah dikoyakkan oleh Donald Trump. Untuk saya ini adalah kejayaan utama Trump. Inilah hadiah Trump kepada dunia.

Trump membogelkan ‘demokrasi Amerika’. Trump presiden Amerika yang jujur.

Saya sendiri telah ketawa terbahak-bahak pada malam pengkiraaan undi. Ingatan saya kembali kepada pilihan raya umum di Malaysia. Segala taktik penipuan yang didakwa dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan United Malays National Organisaton terus untuk berkuasa telah berlaku di Amerika.

Dakwaan penipuan undi pos berlaku di Malaysia telah berlaku di Amerika. Di Malaysia ada undi hantu. Di Amerika ada undi hantu. Mengundi dua kali yang didakwa berlaku di Malaysia berlaku juga di Amerika.

Kertas undi datang lambat. Kertas undi hilang. Kertas undi kotor kerana salah pen. Pemerhati dilarang memerhati. Pemantau dihalau keluar.

Semua dakwaann kejadian penipuan ini berlaku dalam PRU Malaysia. Semua ini telah dibukukan dan dirakam oleh Bersih. Minggu lalu, media dunia melaporkan semua kejadian yang sama telah juga berjalan di Amerika.

Malah paling lawak ialah berita elektrik padam. Ini kes klasik yang sering berlaku di malam mengira undi pada PRU Malaysia. Elektrik padam juga berlaku di Amerika. Akibat elektrik padam internet putus. Bila elektrik datang kembali undi Joe Biden didakwa bertambah. Kah kah kah.

Lalu saya teringat PRU10 di Lembah Pantai tahun 1999. Sharizat Jalil dari United Malays National Organisation melawan Zainur Zakaria dari Parti Keadilan Nasional.

Peti undi datang lambat dari Kampong Bohol dan Kampong Pasir. Hujan tidak ribut pun tidak. Peti undi datang lambat kerana dikatakan banjir. Kah kah kah. Tiba-tiba 10,000 kertas undi didakwa datang lambat di Pennsylvania untuk Joe Biden. Kah kah kah.

Sebenarnya, selama ini penipuan didakwa berlaku dalam sistem mengundi di Amerika. Tetapi elit politik Amerika mendiamkan perkara ini. Topeng penipuan ini tidak koyak. Tup tup datang presiden jujur bernama Trump. Semua habis terbarai. Topeng demokrasi koyak.

Ingat kembali dalam pemilihan antara George W Bush dengan Al-Gore pada tahun 2000. Penipuan undi telah berlaku. Kes dibawa ke mahkamah tinggi untuk pengiraan undi di Florida.

Tapi Al-Gore tidak jujur. Dia tidak mahu dianggap belot terhadap elit politik. Al-Gore tidak terus melawan saperti Trump maka Bush menang dengan kelebihan satu undi.

Kemenangan Bush di Florida dikaitkan dengan sistem komputer yang mengira undi. Syarikat komputer yang diguna pakai di Florida milik adik Bush.

Pengumuman sah dari Kongres AS

Tahun 2020, sistem komputer yang mengira undi di beberapa negeri didakwa dimiliki oleh syarikat yang bertali rapat dengan Parti Demokrat. Hakikatnya siapa pemilik server akan dapat menentukan jumlah undi yang dikira. Amin.

Media arus perdana telah melaporkan bahawa Joe Biden telah menang. Tetapi secara rasmi pengumuman sah hanya datang dari Kongres Amerika Syarikat. Tanpa pengumuam kongress tidak ada siapa yang menang.

Dalam sistem pemilihan di Amerika undi popular tidak memberi apa apa kemenangan. Yang memenangkan ialah undi kolej elektoral.

Amerika ada 50 negeri. Setiap negeri itu memiliki jumlah kolej elektoral yang ditentukan mengikut nisbah bilangan penduduknya, dengan seluruh Amerika mempunyai 538 undi kolej elektoral.

Kalau Biden menang di Alabama maka undi kolej elektoral Alabama milik Biden. Kalau Trump menang di Florida maka kolej elektoral Florida milik Trump. Jumlah undi inilah yang akan di kumpul.

Sesiapa yang telah melintas 270 undi maka sosok itu menang untuk menjadi presiden Amerika Syarikat. Dan hanya Kongress yang sah membuat pengumuman. Ini akan berlaku pada bulan Disember.

Ketika saya menulis ini juga TV SKY Australia memaparkan laporan Rudy Giuliani (gambar, bawah) peguam Donald Trump.

Mengikut peguam ini sistem komputer yang mengira undi di berapa negeri disyaki dan tidak boleh dipercayai. Dakwanya, kes yang paling menonjol berlaku di Pennsylvania di mana Trump telah mendahulu Biden dengan 800,000 undi.

Mustahil Biden akan dapat mengatasi. Tina-tiba sistem komputer didakwa terhenti dan jumlah undi Biden bertambah.

Mengikut peguam yang juga bekas datuk bandar New York kes yang sama telah berlaku di Wisconsin dan Michigan.

Sistem pengiraan komputer ini telah pernah diharamkan 10 tahun dahulu di Amerika. Sistem ini terbukti menipu dan telah digunakan di Amerika Latin. Kali ini sistem ini telah menyamar masuk sebagai ‘sub-contractor’.

Justeru mengikut peguam Rudy Giulaini anak guamnya Doland Trump tidak akan mengaku kalah sseingga semua kes penipuan ini diselesaikan secara tuntas di Mahkamah tertinggi Amerika (Supreme Court).

Justeru penyokong Trump kini turun ke jalan raya kerana ada penipuan di dalam pilihan raya.

Penyokong Trump dikatakan Mat Lekeh dan kutu berahak. Siapa pula yang merancang semua ini untuk memenangkan Joe Biden. Siapa dan kenapa? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan