Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

Saya adalah bekas pelajar New Zealand, senior dua tahun dari Ahmad Maslan. Ahmad dari universiti Victoria, Wellington sementara saya dari Universiti Wakato di Hamilton.

Pelajar Malaysia di New Zealand pada tahun 80an sangat baik sesama sendiri.

Kami saling mengenal walaupun batch berbeda. Ini kerana pelajar Malaysia setiap batch dalam kumpulan yang lebih kurang 100 orang. Kami selalu bertemu di awal tahun di Wellington.

Saya teringat tiga orang bersama Ahmad Maslan dan Zukiffli Noordin di hantar ke Kuala Lumpur sewaktu bercuti untuk mengikuti kursus politik di bawah Umno. Kami bertiga sahaja selama seminggu. Biasa sebagai pemimpin pelajar New Zealand ditarik supaya memasuki Umno.

Ahmad Maslan terus masuk Umno manakala Zulkifli Noordin memasuki PAS kemudian PKR dan akhirnya Bebas.

Saya tidak masuk mana-mana parti politik. Saya balik Malaysia dari New Zealand bekerja dengan TV3 dan tahun 2000 saya pindah ke Arab Saudi dan UAE selama 18 tahun. Sebelum kena stroke pada Ogos 2018 dan sekarang karyawan tamu di UniSZA.

Kami terus baik sehingga sekarang sebagai kawan. Masih bertegur sapa seperti zaman pelajar dan ketawa terbahak-bahak setiap bertemu. Walau ada persilihan faham dari politik, kawan tetap kawan.

Para pelajar Malaysia di New Zealand menubuhkan PRIZMA iaitu persatuan alumni pelajar New Zealand di Malaysia sejak tujuh tahun lalu. Persatuan ini agak aktif dan ramai yang bernaung di bawahnya. Ahmad Maslan pernah mengendalikannya lima tahun lalu.

Dan saya terbaca kenyataan Lim Guan Eng, Khairy Jamaludin dan A Kadir Jasin mengenai kenyataan Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan mengulas isu desakan parti Umno untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan membuat perbandingan di antara tukang parut kelapa dengan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).

Kenyataan Ahmad dianggap suatu kesombongan dan menghina pekerja biasa yang menolak idea agar PRU diadakan semasa Covid-19 masih menyerang.

Ahmad ditunjukkan temu bual media dengan seorang pemarut kelapa yang tidak bersetuju PRU diadakan kerana Covid-19.

“Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temu bual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana COVID-19.

“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU... kerana banyak negara yang sudah lakukan antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Sabah itu kes tinggi pun punca mereka kerana orang-orang pulau naik motorbot mereka masuk tanpa saringan dan sebagainya. Itu antara punca saya difahamkan, dan ia merebak di pulau sekitar itu.

“Kita perlukan PRU kerana kerajaan ini juga merupakan kerajaan yang paling tipis (majoriti) di dunia. Kerusi parlimen ada 222, kalau nak jadi kerajaan kena ada 111 campur satu (kerusi) lagi minima. Ha... dan itu yang kerajaan Malaysia ada sekarang.

“Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot. Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD, saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat.”

Begitu kata-kata Ahmad yang saya tidak menonton. Program TV dianjurkan oleh Umno Tanjung Malim.

Ucapan Ahmad terus dibidas ramai pengguna media sosial yang pandangannya secara lantang dan terbuka.

Sebelum itu, Ahmad mendakwa salah satu sebab utama Umno tidak berpuas hati dengan kerajaan PN sebab langkah gabungan itu meneruskan kes mahkamah. Kes untuk Umno dan para pemimpinnya.

Ahmad menekankan faktor itu mengatasi faktor tidak puas hati ahli UMNO terhadap pengagihan jawatan yang sudah terasa. Ahmad memperlihatkan kes-kes tersebut merupakan kezaliman zaman PH.

Kes diteruskan di mahkamah maka kata Ahmad PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru supaya tiada lagi pendakwaan.

Khairy Jamaluddin dari Umno juga mengkritik kenyataan Ahmad dan menggesanya tidak menggambarkan Umno kecewa dengan kerajaan PN kerana isu mahkamah. 

Khairy berkata kenyataan itu memberi gambaran Umno ingin melihat berlaku campur tangan pihak eksekutif dalam proses kehakiman yang tidak sepatutnya berlaku.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin juga mengatakan Ahmad tidak berfikiran ‘pisang goreng’ namun lebih sesuai kalau dikatakan ‘pecal basi’.

Menurut A Kadir pisang goreng sangat digemari ramai dan sudah menjadi hidangan ikonik Nusantara. Berbanding dengan pecal basi jika dimakan sakit perut.

“Kalau Khairy sifatkan pemikiran Ahmad Maslan sebagai pecal basi lain ceritalah. Pecal sangat sedap. Tapi kalau basi amat mengecewakan orang yang meminatinya dan boleh menyebabkan cirit-birit," kata Kadir menerusi tulisan di dalam Facebook.

“Kita kena faham pasal apa otak YB Pontian lulusan Victoria University, Wellington, New Zealand ini jadi macam pecal basi. Harapan dia kalau PRU diadakan awal dan Umno/BN menang lepaslah dia daripada tuduhan”

Bagi Kadir, Ahmad Maslan ini mengaji saja di New Zealand tapi nampaknya dia tak belajar apa-apa yang baik daripada negara itu. Di New Zealand, menteri dan ahli politik buat salah sikit pun mereka cepat-cepat minta maaf dan letak jawatan.

Tapi mereka bukan Melayu-Islam macam Ahmad Maslan. Mereka kafir, bukan Melayu dan bukan orang Islam.

Saya teringat tulisan saya di Malaysiakini pada 4 November 2020 dalam kolum, New Zealand ‘negara Islam’ nombor 1 di dunia.

Sesungguhnya Malaysia dan New Zealand adalah dua negara berbeda dalam segala hal. Sebagai bekas pelajar pada tahun 1983 yang pernah menjadi imam, bilal dan wali hakim pernah menyatakan kekaguman di atas tindakan yang lebih kepada Islam walaupun dalam segi politik.

Ahli politik di sana lebih berkredibiliti dan dipercayai daripada hampir semua kepimpinan politik di Malaysia. Sebab itulah saya tidak menyertai politik. Namun di New Zealand, ragbi dianggap sukan utama yang lebih dahsyat dari politik dan dianggap sebagai agama.

Orang New Zealand tidak bersolat, berpuasa, berzakat, naik haji tetapi selain itu, tindakan dan perbuatan mereka lebih kepada orang Islam.

Pada saya, semua itu menjadi ukuran bagaimana kita harus melakukan pembaharuan sewajarnya untuk memastikan perubahan politik selepas 2020 di mana orang tua terus memimpin. Kita mahukan orang baru untuk memimpin Malaysia dan mungkin parti baru yang tiada isu korupsi dan rasuah.

Sebagai wahana untuk melakukan reformasi secara damai dan membawa perubahan yang bermakna untuk rakyat Malaysia tidak bergantung kepada parti.

Namun kita masih dengan parti lama untuk sekelian kali.

Saya tidak nampak perubahan menjelang PRU 15 ini dan tempat undi saya, Rompin Pahang masih lagi parti yang sama. Dengan wabak Covid-19 terus mengancam negara dan orang politik sibuk berpolitik untuk melepaskan diri dari mahkamah.

Saya tidak mahu mengulas Ahmad Maslan kerana saya sakit strok dan OKU saya lebih membebankan!

Sehingga itu, New Zealand, negara tempat saya belajar di universiti Waikato pada tahun 1984 hingga 1988, tetap menduduki tempat tertinggi sebagai ‘negara Islam no 1 di dunia’!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS