Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Ke mana perginya kempen membaca?

Maszlee Malik

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Mac 2021, 3:31 petang

Antara inisiatif mercu tanda Kementerian Pendidikan di zaman PH ialah komitmen KPM untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030, melalui kempen ‘Malaysia Membaca’ dan ‘Dekad Membaca Kebangsaan’. KPM berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan, yang pelancaran menjelang tahun 2021 telah dimulakan dengan kempen ‘Malaysia Membaca’ semenjak 2018.

Kempen yang dilancarkan bermula 2019 lagi itu bertujuan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan fokus menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup dengan menjadikan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca. Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif untuk memugarkan semula program gerakan membaca yang sudah berlangsung sejak dua dekad lepas. Usaha pembugaran semula itu memandangkan kempen tersebut masih belum mencapai tahap memuaskan, masih belum menular ke segenap lapisan masyarakat, serta penglibatan penggiat literasi masih tidak menyeluruh.

Bertitik tolak dari kesedaran ini, KPM pada waktu itu merangka pendekatan baharu yang lebih mantap serta agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca melalui inisiatif tersebut. Kempen itu diyakini mampu untuk memperkukuhkan dan meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat serta merealisasikan hasrat untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara yang berbudaya membaca.

Hakikatnya kajian “The World’s Most Literate Nation” yang melihat kepada kadar pembacaan rakyat pada tahun 2016, Malaysia berada pada kedudukan ke-53, jauh di belakang negara jiran Singapura yang berada di tangga ke-36. Data juga menunjukkan Malaysia tidak tersenarai dalam kelompok negara membaca di mana rakyatnya membaca lebih lima jam seminggu kerana rata-rata rakyat Malaysia kini hanya meluangkan masa lingkungan tiga jam seminggu sahaja untuk membaca.

Menyedari keadaan tersebut, kerajaan pada tahun 2019 merancang untuk menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020, berbanding 19,713 judul pada tahun 2017. Jika kempen ini berjalan mengikut perencanaan, dan segenap pihak, sama ada kerajaan melalui kementerian-kementerian, kerajaan-kerajaan negeri, pihak GLC, pihak swasta dan masyarakat dari semua lapisan, memberikan kerjasama tersusun dan terancang, tahap pembacaan masyarakat mampu ditingkatkan kepada lebih 10 jam pada masa depan.

Demi membumikan Gerakan membaca juga slogan #MALAYSIAMEMBACA, telah dipilih dan dipopularkan agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia. Malah Majlis Zakat Negeri dan mufti juga telah dicadangkan untuk memberikan bahan bacaan dan bahan pembelajaran kepada golongan asnaf selain duit, makanan dan baju sekolah. Cadangan tersebut bertujuan untuk mereka menghasilkan imaginasi yang akan mendorong mereka untuk maju dalam pelajaran dan di dalam kerjaya.

Read @uni

Selaras dengan kempen membaca kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, Universiti awam dan swasta juga disaran menjadi agen penggerak bagi menyemarakkan lagi kempen membaca dalam kalangan warga masing-masing dengan mewujudkan suasana pembacaan yang meriah dan mampu melawan budaya hidup yang biasa-biasa sahaja atau ‘mediocre’. Program [email protected] julung kali dianjurkan sebagai antara inisiatif Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dalam memperkasa budaya membaca dalam kalangan warga institusi itu dan seterusnya mendokong kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030).

Inisiatif yang disarankan agar dilakukan oleh IPT di seluruh negara adalah memperbanyakkan program bedah buku, bual bicara tentang karya tersohor, wacana serta debat mengenai buku yang mengandungi pemikiran-pemikiran tinggi. Diharapkan dari usaha-usaha sedemikian, suasana membaca yang meriah mampu melawan budaya hidup ‘mediocre’ yang melata di kalangan siswa dewasa ini, iaitu budaya hidup pertengahan yang penuh dengan hiburan serta bahan-bahan popular yang langsung tidak mendidik dan langsung tidak menjadikan mahasiswa sebagai golongan berkualiti .

Gerakan ‘Read @Uni’ juga bertujuan untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu lifestyle (gaya hidup) para siswa, dan menjadikan mereka yang yang tidak membaca merasa kekok kerana tidak membaca seperti mana orang yang tidak mempunyai akaun media sosial merasa kekok melihat orang lain mempunyai akaun media sosial dewasa ini. Membaca diharapkan menjadi budaya dan amalan, dan bukannya satu kewajipan semata-mata untuk lulus periksa, menyelesaikan kerja kursus ataupun hal-hal yang berkaitan dengan pengajian semata-mata. Amalan membaca perlu diperluaskan - para siswa membaca, berbincang dan memperdebatkan apa yang mereka baca. Kualiti bahan bacaan juga perlu ditingkatkan agar para siswa bukan hanya sekadar membaca hanya untuk lulus kursus dan peperiksaan semata-mata.

Melalui kempen ‘Read @Uni’ yang dilancarkan juga menyasarkan agar budaya membaca sebagai gaya hidup dan budaya di kalangan siswa diharapkan bukan saja akan berkembang dan berjangkit seperti virus dalam kerangka universiti tetapi juga tersebar luas kepada seluruh masyarakat sehingga dapat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat membaca dunia.

Ke nanakah Malaysia Membaca?

Amat malang selepas bertukarnya kerajaan, dan Ketika Covid19 melanda, kempen membaca kelihatan agak sepi dan kurang dikumandangkan samada di peringkat kerajaan, di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti. Kendatipun pembelajaran atas talian menjadi satu norma baharu pendidikan, namun budaya dan gaya hidup membaca tidak patut sama sekali dikesampingkan. Zaman berkurung sewaktu pandemik sepatutnya telah dijadikan peluang untuk diperhebatkan kempen membaca. Industri buku patut diperkasakan di kala rakyat lebih banyak menghabiskan waktu di rumah, terutamanya di kawasan-kawasan PKPD. Para guru, pihak sekolah, perpustakaan desa, perpustakaan perumahan dan juga pihak PBT harus digembeleng untuk memastikan bahan bacaan dapat dibekalkan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang bersekolah. Pejabat khidmat Adundan ahli parlimen juga patut digerakkan bersama untuk tujuan ini.

Persoalan yang timbul, ke manakah perginya kempen membaca dan Dekad Membaca Kebangsaan?

Apakah gerakan membaca juga turut menjadi mangsa perubahan tampuk pemerintahan?

Kempen membaca adalah untuk rakyat, untuk masa depan negara dan tidak patut dikaitkan dengan politik.

Saya yakin jika lebih ramai lagi pihak yang tampil dan berkolaborasi untuk menyemarakkan kempen membaca tanpa mengira kekangan politik, hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca pada tahun 2030 akan berjaya dicapai.

Bangsa yang membaca adalah bangsa yang bertamadun!


MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.