Paling Popular
Terkini

Jika masalahnya hanyalah tentang air keruh maka orang Kelantan tidak perlu lagi menukar partai yang memerintah mereka sejak berpuluh-puluh tahun silam.

Kami berpeluang menumpang rombongan Persatuan Seni Rupa Malaysia (Perupa) ke Kampung Lagaton di Pulau Silk, Sabah baru-baru ini. Di situ, penduduknya cuma mengharapkan hujan sebagai sumber air bersih selain sebuah telaga sedalam kira-kira tujuh kaki.

Itulah maksud kami apabila kami katakan yang rakyat Kelantan masih dikira bernasib baik - jika dibandingkan dengan Kampung Lagaton - kerana bekalan air ditempat mereka datang terus ke dalam rumah.

Bekalan air di Kelantan boleh dikatakan berlambak-lambak pada masa tertentu sehingga kadang-kadang ia menyebabkan banjir besar kepada penduduk negeri itu.

Di Lagaton, setiap titis air adalah amat berharga. Mereka perlu menadah hujan dan air itu disimpan untuk kegunaan harian. Kebetulan semasa rombongan kami sampai, sudah lebih 10 hari tidak hujan di situ.

Maka masalah bekalan air menjadi terlebih meruncing.

Tiba pada waktu malam

Bersyurkurlah jika kamu dilahirkan di Kelantan, dan kekalkanlah pemerintahan yang ada sekarang. Minum air keruh adalah lebih baik daripada tiada air untuk diminum.

Selain di Lagaton, kami dapati sepanjang jalan yang kami lalui - dari Kota Kinabalu menempuh beberapa daerah sebelum tiba di Pitas - penggunaan tong plastik biru sebagai tangki air amatlah meriah.

(Kalaulah tong air biru itu diletak logo timbangan, maka pasti lengkaplah sebuah kegagalan.)

Hampir setiap rumah ada menyimpan sekurang-kurangnya satu tong berkenaan. Kami andaikan bahawa bekalan air daripada kerajaan belum lagi berleluasa di Sabah.

Kami tiba dengan jemputan Dr Zaimie Sahibil yang mengajak kami melihat sendiri kehidupan suku Bajau Laut di pulau berkenaan. Zaimie ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sabah, sekali gus anak kelahiran Pulau Silk.

Rombongan kami tiba di Kota Kinabalu sekitar jam 6 petang. Setelah itu kami diangkut dengan dua van menuju Kampung Mapan-Mapan. Jarak perjalanan itu sekitar 180km dan mengambil masa kira-kira empat jam (setelah ditolak masa berhenti untuk sembahyang, makan dan urusan di tandas).

Oleh kerana kami tiba pada waktu malam maka tidaklah dapat kami amati jalan rayanya. Keadaan itu hanya dapat kami hayati sewaktu pulang beberapa hari kemudian.

Jalan raya Kota Kinabalu - Pitas adalah seperti jalan Kuantan - Kuala Lumpur sekitar 1970-an dan 1980-an. Jalan negeri yang hanya mempunyai satu lorong dari kedua-dua arah kecuali di beberapa tempat, ia besar sedikit menjadi dua lorong.

Kempen kumpul dana

Jalan dari bandar menuju ke Kampung Mapan-Mapan yakni pangkalan bot untuk membawa kami ke Kampung Lagaton pula adalah jalan batu grabel.

Dianggarkan jarak dari jalan negeri ke pangkalan bot adalah sekitar 15km. Kami mengambil masa sekitar 45 minit untuk sampai ke destinasi.

Setelah tiba di Kampung Mapan-Mapan sekitar jam 3 pagi, kami berehat menunggu subuh. Kemudian kami bersarapan dan mula memunggah barangan yang dibawa ke dalam empat bot.

Sewaktu menerima jemputan daripada Zaimie, Perupa - yang diketuai Zaki Hadri - telah bertanya apakah barangan yang diperlukan oleh penduduk kampung. Setelah mendapat senarainya, Perupa dengan bantuan Sukairi Shaari selaku pengurus koordinasi program ini melancarkan kempen mengumpul dana.

Kempen tersebut berjaya membeli semua peralatan yang diperlukan oleh penduduk kampung tersebut. Antara barangan yang dibawa ialah generator, mesin memotong rumput, getah paip, lampu solar, sejadah, al-Quran, telekung dan lain-lain.

Penduduk Lagaton menyambut kami dengan baik. Setelah berkenal-kenalan kami menyerahkan semua barang yang dibawa kepada mereka.

Kami sempat bersembahyang Jumaat bersama penduduk kampung. Walaupun jemaahnya - setelah ditambah dengan beberapa jemaah wanita - tidak cukup 40 orang, Jumaat tetap diadakan.

Oleh kerana jarak mereka jauh dari tanah besar, khatib hanya menggunakan teks khutbah yang lama. Jika tidak silap ingatan kami, Riduan namanya. Beliau adalah antara tiga belia di kampung berkenaan yang memiliki diploma.

Walaupun demikian, beliau memilih untuk menjadi nelayan sepenuh masa di pulau berkenaan.

Agak mencabar bagi kami yang sudah terbiasa dengan segala kemudahan untuk tinggal beberapa hari dipulau tersebut.

Masalah utama tentu saja urusan menunaikan hajat. Sebelum kami tiba, penduduk kampung bergotong-royong membina sebuah tandas baru. Namun akibat kesukaran bekalan air, tandas berkenaan tidak dapat digunakan.

Sampul untuk tetamu

Maka kami yang seramai 10 orang itu terpaksa berkongsi sebuah tandas yang dibina di balai raya. Ia bangunan yang dibina di atas air dan menjadi temat tinggal kami selama di pulau tersebut.

Setiap kali ada antara kami yang terpaksa melupuskan hampas perut, maka yang kami sama-sama akan dihiburkan dengan bunyi ‘manja’: plop!

Sebagai manusia yang mempunyai rasa malu, ada antara kami yang tidak selesa dengan keadaan tersebut. Lalu kami akan naik ke darat dan secara diam-diam dan berok dalam rok.

Semasa 'membuang' ada ketikanya datang fikiran kepada kami: bagaimana hari ini kita boleh berbangga dengan kemajuan yang dimiliki negara kita seperti bangunan pencakar langit yang dibina setiap kali perdana menteri bertukar.  Landasan kereta api laju sedang dibina merentas beberapa negeri.

Dan di Pulau Silk itu kami sedang menyorok di dalam semak untuk membuang isi perut.

Penduduk kampung menjemput kami kesuatu majlis tahlil. Selain kemenyan yang dibakar semasa majlis tersebut, amalan tahlil mereka tidak jauh bezanya dengan kita. Jika ada sedikit kelainan pun, ialah adanya satu talam hidangan diletak di tenggah-tengah jemputan.

Setelah selesai, makanan tersebut tidak dilihat dihidangkan kepada para tetamu.

Daripada pengalaman, semua masyarakat pulau mempunyai kepercayaan tertentu. Penduduk Pulau Tioman misalnya amat percaya akan legenda Nenek Si Mukut. Lalu di Pulau Silk juga mereka percaya bahawa Si Balan-Balan pantang disebut namanya pada waktu malam.

Jika diseru, maka Si Balan-Balan itu akan datang mengganggu. Balan-Balan ialah penanggal kepada kita di Semenanjung.

Setelah selesai bertahlil, tuan rumah bangun dan pergi kepada semua tetamu dan menyelitkan sehelai sampul surat kepada mereka. Kami mengintai isinya dan kami dapati ini adalah wang RM10.

Azam lima kali sehari

Kami andaikan bahawa jumlah itu adalah besar kepada penduduk tempatan. Lalu kami putuskan untuk mengumpul semua sampul yang diberikan kepada rombongan kami dan diserahkan ia semula anak tuan rumah berkenaan.

Menurut Zaimie, memang menjadi kelaziman penduduk pulau tersebut memberikan wang kepada tetamu tahlil arwah dan untuk mengadakannya, memerlukan perbelanjaan yang besar.

Justeru kata Zaimie ada antara penduduk kampung itu yang sanggup berhutang demi untuk melaksanakan majlis tahlil arwah.

Zaimie sendiri mengeluarkan lebih RM10,000 semasa arwah bapa beliau meninggal dunia.

Selain jemaah tabligh yang datang dari semasa ke semasa, tidak terdapat sebarang usaha gigih untuk membina agama yang lebih baik buat penduduk tempatan setakat ini.

Mungkin setelah anak salah seorang penduduk di sana pulang daripada menuntut ilmu agama, keadaan akan sedikit berubah. Anak muda tersebut dikatakan sedang belajar agama di tanah besar Sabah.

Walaupun demikian, azan tetap berkumandang lima kali sehari di Pulau Silk.

Rombongan kami sempat menambah sebuah lagi arca diperairan Kampun Lagaton. Ia menjadikan jumlah arca yang ada di kawasan tersebut menjadi tiga buah.

Zaimie Sahibil

Arca pertama didirikan oleh Zaimie sendiri dan dinamakan Baracuda manakala arca kedua digelar sebagai Aisbok hasil ciptaan Andry Chin iaitu pemenang pertandingan Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Lukis Negara.

Yang menariknya, Aisbok itu juga berfungi sebagai tempat mengumpul hasil laut oleh penduduk tempatan.

Ikan yang ditangkap disimpan hidup-hidup di bawah arca tersebut. Ini adalah kerana di kawasan tersebut tiada kemudahan sejuk beku disebabkan kesukaran mendapatkan tenaga elektrik.

Aisbok tersebut bukan sahaja menjadi tarikan pegunjung pulau tersebut malah sebuah karya yang memberi manafaat kepada penduduk tempatan.

Program lawatan kami juga disertai seorang pelukis dari Singapura, Abu Jalal Sarimon, sementara Jennifer pula datang dari Kampar, Perak.

Turut serta dalam program Panggilan Pulau itu ialah Sanae Yamada, Fazz Ramli, Qazril Qazwan, Lin Junita, Agora Digit, Redzuan Mat Diah, Ali Shamsul  Bahar, Reduan  Norudin, Syuk Tone,  Zaim Durulaman, Norlita Abu Seman dan Enah Samad.

Setelah beberapa hari di Kampung Lagaton, kami berangkat pulang dan berjanji untuk datang lagi. Zaim dan isterinya Kak Ita pula berikrar untuk mengumpul dana bagi membina sebuah tandas dan bilik mandi di kawasan berhampiran surau, manakala Reduan berjanji untuk membawa beberapa buah kitab amalan daripada jemaah tabligh.

Kampung Lagaton juga amat memerlukan set mesin menyedut air dari telaga untuk disalurkan terus ke rumah penduduk. Jika ada antara kamu yang membaca tulisan ini dan ingin membantu, carilah Zaimie, Norlita atau Zaim di Facebook.

Zaimie dan Zaim adalah pensyarah dan juga pelukis terkenal tanah air sementara Norlita adalah pengerak NGO yang aktif. NGO dukungannya juga menyerahkan seekor lembu untuk dikorbankan pada hari raya haji akan datang.

Selama di Lagaton kami tidak rasa seperti tinggal di negara sendiri. Kami seperti berada di negara lain. Ia sebuah ' negara' yang penduduknya masih bergelut dengan pelbagai kesusahan.

Jadi fahamlah kami mengapa ada orang Sabah berkeras mahu keluar dari Malaysia. Negeri itu kaya dengan perbagai sumber tetapi ia tidak memberi manafaat kepada seluruh penduduknya.


ABDULLAHJONES ialah seorang penulis, pelukis dan pemerhati fenomena ‘teh tarik’ yang keluar dari pili domestik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS