Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Tentulah saya kecewa apabila ada sahabat dari parti lama menyebutkan bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah anti-Islam. Semudah itu rupanya kesimpulan dibuat mereka demi merintis jalan singkat menghukum.

Perbezaan politik seharusnya digunakan untuk membangun tanah air dengan idea perjuangan parti masing-masing.

Jika bukan kerana perbezaan politik yang wujud pada hari ini, tidak mungkin Idris Ahmad dan rakan-rakannya boleh menjadi menteri seperti pernah dikecapi oleh Mohamad Sabu, Saluddin Ayub dan lain-lain.

Banyak peringatan yang Allah SWT berikan di dalam al-Quran dan di sepanjang kehidupan kita bersahabat dan bermasyarakat. Sejarah perjalanan membangunkan tanah air dan kehidupan bermasyarakat menyaksikan banyak peristiwa sebagai satu peringatan daripada Tuhan.

Peperangan adalah kecelakaan. Kebuluran, kemiskinan dan kejahilan adalah kecelakaan. Kemelesetan ekonomi juga kecelakaan buat orang miskin. Diskriminasi, kuku besi dan penjajahan adalah kecelakaan.

Kecelakaan ini adalah ciptaan manusia berkuasa yang tamak pada harta benda dan kedudukan.

Manusia yang merasakan dirinya adalah tuan dan tuhan sangat cenderung untuk mencipta kecelakaan untuk makhluk lain. Manusia sebegini sangat tegar untuk melakukan curang demi mengaut faedah untuk diri atau kelompok sendiri.

Kacau-bilau masyarakat

Memetik ayat pertama surah al-Muthafifin, Allah berfirman yang bermaksud: Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang.

Makna "celaka" juga merujuk nama neraka paling dahsyat. Orang yang curang dalam timbangan, hukumannya adalah dihumban ke dalam neraka.

Secara umumnya, ayat tadi ditujukan kepada golongan peniaga yang tidak jujur dalam timbangannya. Surah itu diturunkan di Madinah dan ketika itu umat Islam mulai ramai terbabit dalam sektor ekonomi tempatan.

Membuat timbangan secara salah adalah perbuatan yang dicelakakan oleh Allah. Perbuatan yang dilaknat oleh tuhan. Hukumannya adalah neraka yang paling dahsyat. Itu sifir mudah dalam memahami beratnya curang semasa membuat timbangan.

Namun dalam mengambil ibrah dari ayat tersebut, istilah muthaffif boleh digunakan dalam konteks memberi nilai yang tidak menentu demi memperolehi faedah kepada kelompok atau sendiri. Atau dalam erti kata lain adalah melakukan curang.

Sistem nilai yang standard akan memenuhi keperluan banyak pihak. Sebaliknya nilai yang berubah-ubah akan membawa kacau-bilau dalam masyarakat.

Ukuran atau timbangannya tidak boleh berbeza dan diubah-ubah mengikut kehendak peribadi.

Gambar hiasan

Begitulah juga pertimbangan dalam berpolitik. Tulisan ini tidak mahu terperangkap dalam ruang hukum yang hitam-putih tetapi mengajak sidang pembaca memikirkan beberapa 'timbangan' yang wajar dilakukan sebelum memutuskan sesuatu keputusan atau tindakan.

Sememangnya terdapat beberapa kekaburan untuk menentukan sesuatu perkara dalam politik. Pun begitu, banyak indikator yang boleh membantu.

Keputusan dan tindakan politik perlu bersifat objektif, rasional dan logik. Dalam lipatan sejarah, banyak pertimbangan salah bermula dengan sumber, formula dan asas yang salah.

Lebih kronik, perkiraan salah itu tidak disedari akan kesesatannya kerana ia diseliputi hal-hal dongeng, dogma dan khurafat.

Punca segala masalah

Contoh paling mencolok mata sekarang ialah pemimpin yang terbukti curang dan bersalah oleh mahkamah masih dianggap sebagai wira dan penyelamat bangsa.

Dia disanjung dan diraikan bagai pahlawan yang baru menang beradu. Alangkah ironinya bangsa ini.

Ukuran apakah yang digunakan dalam mengangkat seorang pesalah sebagai wira? Ajaran agama mana yang membenarkan seseorang menyamun khazanah tanah airnya? Ajaran agama mana yang mewajarkan seseorang mencuri harta tanah air untuk kepentingan sendiri?

Salah satu ukuran yang boleh digunakan dalam menilai perkembangan tanah air adalah melalui indeks badan antarabangsa seperti Bank Dunia, Bank Negara dan seumpamanya.

Antara indeks yang boleh digunakan adalah data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar perkapita, rizab tunai negara, nilai eksport negara, kadar pelaburan langsung asing (FDI), indeks harga pengguna (CPI), indeks persepsi rasuah dan berpuluh-puluh indeks lain yang mempunyai kredibiliti sebagai kayu ukur.

Sejak tanah air ini merdeka, pemimpin Umno yang memegang tampuk kekuasaan sering menuding jari kepada kaum atau pihak lain sebagai punca segala masalah orang Melayu. Tindakan itu sekali gus melepaskan diri mereka daripada sebarang tanggungjawab.

Gambar hiasan

Apakah naratif lapuk itu didendangkan untuk menyuntik semangat orang Melayu agar bangkit? Berapa kali harus didendangkan lagu Anak Kecil Main Api ke benak orang Melayu?

Melayu bermaruah ialah Melayu yang mampu menongkah arus jika arus itu menghanyutkan bangsanya.

Umno sudah sekian lama membawa tanah air ke jalan menuju neraka yang menjahanamkan. Terus kekal berada dalam lingkaran Umno hanya membawa kemusnahan terhadap Melayu.

Pada saat Umno hilang kuasa suatu ketika dahulu, parti itu sempat berpaut pada kaki sekumpulan Melayu yang naif. Melayu naif itu sering berkira-kira bahawa mereka adalah penyelamat umat yang dikirimkan oleh tuhan.

Umno akhirnya mendapat nyawa daripada orang Melayu naif yang dahaga harta, kuasa dan takhta. Melayu itu menyangka jika mereka berada di atas, Melayu dan Islam dapat dipertahankan.

Tugas Melayu bermaruah

Sayangnya - seperti yang terbukti setiap detik sekarang - itu hanyalah khayalan. Mereka adalah Melayu pada rupa dan darah tetapi jiwa dan rohnya dangkal atau sifar Melayu.

Itulah neraca timbangan politik yang salah. Ia dinilai daripada timbangan emosi dan politik adu domba yang jauh daripada kebijaksanaan.

Melayu naif terhumban ke 'neraka' kerana kejahilan dan kebebalan sendiri. Pada masa sama dengan timbangan naif itulah mereka - dengan 'lesen' agama yang ditunggang - menghumban seteru mereka ke 'neraka' bikinan sendiri.

Melayu naif bukanlah semestinya Melayu yang melupakan sembahyang, mengingkari zakat serta meremehkan haji. Mereka bahkan lakukan semua itu sebagai rutin penyucian diri.

Adakah kerana timbangan berasaskan kelompok sendiri maka sesuatu nilai kebenaran boleh diubah 180 darjah? Lalu di mana harus kita pamerkan wajah Islam yang sempurna itu kepada masyarakat?

Melayu bermaruah wajib keluar daripada kerangka songsang ini.

Gambar hiasan

Pembangunan Melayu mestilah bertitik tolak dengan nilai timbangan yang ditetapkan seperti di dalam al-Quran. Meski tafsiran al-Quran ada perbezaan pandangan tetapi umumnya dalam konteks persoalan rasuah dan salah guna kuasa, ia adalah jelas sangat dilarang.

Suatu yang mendesak pada saat ini ialah menolak perasuah dan sekutunya untuk diangkat sebagai pemimpin lagi. Cukup-cukuplah tanah air menanggung kerugian maha besar, kehilangan sumber manusia dan alam sekitar angkara pertimbangan yang salah.

Setinggi manapun kekayaan tanah air, ia akan musnah akibat timbangan yang salah.

Tiada hujah untuk mengangkat perasuah dan sekutunya sebagai pemimpin atas nama Melayu dan Islam. Melayu tidak akan keluar dari kepompong kemunduran jika pembangunan agama dan bangsa hanya berasaskan kulit dan rupa.

Pilihlah kebahagian. Bukan kecelakaan.


MUHAIMIN SULAM ialah Naib Pengerusi Amanah Perak dan Ahli Pimpinan Pakatan Harapan Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS