Asas fahaman politik Donald Trump “Make America Great Again (MAGA)” iaitu “Jadikan Amerika Hebat Lagi.” Sama ada kepemimpinannya akan menghasilkan apa yang dilaung-laungkan itu atau tidak masih menjadi suatu persoalan.
Tetapi apa yang pasti beliau perlu memimpin Amerika Syarikat mulai Januari 2025 hingga Disember 2029, iaitu dari beliau berusia 79 tahun hinggalah 82 tahun.
Apakah yang dimaksudkan dengan Great America atau Amerika Hebat? Oleh kerana ia menyatakan Jadikan Amerika Hebat Lagi dengan adanya perkataan “lagi”, maka ia bermakna Amerika pernah menjadi hebat tetapi kini sudah “tidak hebat”. Sebab itu Trump mahu mengembalikan kedudukan Amerika.
Untuk mengetahui apakah yang akan Trump lakukan bagi membolehkan Anerika menjadi hebat semula, maka bolehlah merujuk pada apa yang dilakukan Trump semasa menjadi presiden Amerika yang ke-45 dari tahun 2017 hingga 2021.

Beliau banyak mengemukakan pelbagai dasar dan arahan sepanjang menjadi presiden ke-45 dan ia menjadi satu rekod rujukan tentang apa yang dapat dijangkakan akan beliau lakukan apabila menjadi presiden Amerika ke-47 setelah mengangkat sumpah.
Sama ada ia akan berbeza atau tidak, itu soalan lain. Begitu juga dengan soalan adakah tindakan-tindakan beliau akan menjayakan kehebatan Amerika, perkara itu juga nerupakan persoalan lain.
Antara tindakan-tindakan beliau semasa menjadi presiden ke-45 adalah membina tembok di sepanjang sempadan Amerika Syarikat dengan Mexico, menghalang kemasukan orang Islam dari negara-negara tertentu, melancarkan serangan bom ke atas Yaman, memindahkan kedutaan Amerika di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, mengurangkan bayaran sumbangan untuk agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), menghalang kemasukan banyak jenis barangan buatan China ke Amerika, memaksa kilang Amerika pindah dari China dan membuka di Amerika, mengeluarkan Amerika dan pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifuk (APEC).
Trump percaya tindakan-tindakan beliau semasa menjadi presiden Amerika ke-47 akan menjadikan negaranya “hebat kembali.”

Tetapi adakah membina tembok di sempadan antara Ametika dan Mexico itu hebat? Atau adakah menghalang kemasukan orang Islam dari negara-negara tertentu itu dapat menjadikan Amerika negara hebat?
Slogan MAGA itu bukan dilaungkan oleh Trump dalam pilihan raya presiden baru-baru ini. Ia juga menjadi laungan kempen beliau pada tahun 2016.
Semasa kempen dalam pilihan raya presiden yang baru lalu, Trump menjanjikan bahawa semua pendatang yang tidak berdokumen akan dihalau keluar. Beliau juga menjanjikan akan menghentikan perang di Ukraine dan Gaza dengan serta-merta.
Pada hari Selasa lalu, Trump mengumumkan pelantikan Marco Rubio sebagai bakal Setiausaha Negara. Beliau dikenali sebagai senator yang bersikap keras terhadap China dan Iran.
Amerika pernah hebat
Lebih penting lagi beliau pernah menyifatkan orang Palestin sebagai bangsa liar (savages) dan wajar dihapuskan (eradicated).
Menjadikan Amerika “hebat lagi” menunjukkan negara itu pada satu ketika pernah hebat.
Ia merupakan negara paling makmur di dunia, terkuat ketenteraannya, tertinggi kemajuan ekonominya, terbaik pencapaian sains dan teknologi.
Juga paling berjaya dalam amalan politik demokrasinya dan seterusnya merupakan kuasa dominan dunia iaitu hegemon (kuasa hegemoni) yang tiada sesiapa mampu mencabarnya.

Jadi, bilakah yang dimaksudkannya Amerika merupakan “negara hebat” itu?
Amerika menjadi kuasa hegemoni dunia selepas Perang Dunia Kedua. Setelah mengalahkan Jerman dan Jepun, ia menjadi negara yang paling kuat di dunia walaupun kedudukannya dicabar oleh Soviet Union.
Kini Amerika bertambah “kehebatannya” kerana ia sudah mengalahkan Soviet Union.
Walaupun Rusia dan China dilihatnya sebagai negara yang mencabarnya tetapi kedua-duanya tidaklah sekuat Soviet Union.
Apa kurangnya Obama
Andai kata berlaku peperangan antara Amerika dengan Rusia dan China, kuasa besar utama itu dapat mengalahkan kedua-duanya.
Malah apa yang berlaku adalah Amerika yang mencabar keselamatan Rusia dengan memperluaskan NATO ke negara-negara blok Timur dan bekas Soviet. Ia juga mengukuhkan kedudukannya di Taiwan walaupun pulau itu adalah jelas berada dalam kedaulatan China.
Dari satu segi, apa yang Trump kata bahawa Amerika sudah “tidak hebat” ialah kerana dasar-dasar dan pendekatan pentadbiran-pentadbiran dari Parti Demokratik iaitu semasa Barack Obama dan Joe Biden.
Maka bolehlah disimpulkan bahawa Amerika hebat ketika berada di bawah pentadbiran George HW Bush. Antara tindakannya ialah menakluk Iraq dan Afghanistan. Beliau juga mengarahkan pembunuhan presiden Iraq, Saddam Hussein dan amir Afghanistan, Mullah Omar.

Tetapi apa kurangnya presiden Obama. Beliau mengarahkan pembunuhan Osama bin Laden dengan roket yang dilancarkan dari laut memasuki wilayah Pakistan tanpa izin kerajaannya. Obama juga melalui Setiausaha Negaranya, Hillary Clinton mengarahkan penghapusan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Dalam soal hal ehwal luar, teras pegangan Parti Demokratik dan Parti Republikan tidak jauh berbeza. Sebagai konservatif, Republikan dipandang sebagai lebih patriotik berorientasikan hegemoni kaum kulit putih dan agama Kristian. Sementara Demokratik yang merupakan liberal dianggap lebih progresif, bersikap global, kepelbagaian dan sekular.
Cuma Trump mempunyai kelainan. Walaupun beliau bertanding atas tiket Republikan tetapi pendirian politiknya adalah menurut fahamannya sendiri, yang banyak kali bukannya arus perdana, malah membawa kepada fasisme iaitu ideologi diktator Itali, Benito Mussolini, diktator Jerman, Adolf Hitler dan diktator Sepanyol, Francisco Franco kerana retorik Trump mengandungi unsur-unsur nasionalisme, penguatkuasaan hierarki sosial, kebencian terhadap kumpulan minoriti, menentang liberalisme, mengamal kultus personaliti iaitu mengagung pemimpin iaitu dirinya, rasisme dan kesukaan terhadap ketenteraan.
Beliau pernah mencadangkan acara perbarisan ketenteraan raksasa pada sambutan hari kebangsaan seperti mana yang dilakukan oleh Rusia dan China dalam memperagakan kekuatan tentera negara.

Tetapi Trump dirasakan tidak mempedulikan sebarang ideologi. Beliau mempunyai fahaman politik sendiri dan kebetulan ia hampir pada fasisme dan boleh ditumpang oleh pihak konservatif dan Republikanisme Amerika.
Ini kerana beliau juga dilihat sebagai kuasa ketiga untuk memecah dan merombak elit Amerika yang terdiri daripada ahli-ahli politik Demokratik dan Republikan.
Maka banyak golongan seperti kaum pekerja yang kebiasaannya memberi sokongan kepada Demokratik yang dianggap progresif dalam spektrum politik telah beralih mengundi Trump, bukan kerana menyokong Parti Republikan tetapi kerana menolak elit politik negara itu.
Selain itu, ada pula kalangan elit politik Republikan yang menolak Trump seperti bekas presiden Bush.

Sebagai presiden Amerika, Trump tidak mempunyai kuasa mutlak. Dari segi perundangan, beliau diimbangi oleh Kongres dan Dewan Perwakilan yang kali ini dijangka akan dikuasai oleh Republikan dalam pilihan raya yang sana berlangsung dan keputusan sedang dimuktamadkan.
Umumnya, majoriti ahli Kongres dan Dewan Perwakilan akan menyokong inisiatif Trump kecuali ia terlampau tidak masuk akal, ekstrem atau bercanggah dengan pegangan Parti Republikan.
Dalam hal ini, Trump berdepan juga dengan Parti Republikan yang turut membekalkan tenaga-tenaga kaki tangan bagi pentadbiran Trump walaupun beliau akan mengambil juga dari kalangan bukan pendukung Republikan iaitu para teknokrat.
Parti Republikan mempunyai banyak yayasan yang bersekutu dengannya. Antara yang terkemuka ialah Yayasan Warisan (The Heritage Foundation).
‘Deep state’ jejas kehendak Trump
Saya pernah mengunjungi dan mendengar taklimat peranan mereka di pejabatnya di Washington. Badan ini menggubal dasar-dasar konservatif untuk Amerika khususnya Parti Republikan.
Semasa kempen pilihan raya baru-baru ini dilaporkan bahawa yayasan ini telah menggubal satu dokumen panjang bernama Projek 2025 tentang rancangan yang akan mereka mahu Trump lakukan untuk menjadikan Amerika benar-benar konservatif.
Dokumen ini mengejutkan dan ia menjadikan bahan kempen bagi penyokong Harris menentang Trump. Sementara Trump menafikan tentang dokumen itu tetapi anggota penggubal Projek 2025 adalah penyokong Trump.
Satu lagi kuasa yang pasti menjejaskan kehendak Trump adalah apa yang disebut sebagai “negara terpendam” (deep state) yang berada dalam Jabatan Negara, Jabatan Pertahanan atau Pentagon serta agensi-agensi keselamatan termasuk CIA.

Walaupun Trump boleh melantik orang-orangnya sebagai ketua bagi badan-badan ini tetapi akhirnya beliau perlu mendengar hujah pegawai-pegawai di dalamnya.
Tidak kiralah sesiapapun yang menjadi presiden, “deep state” ini akan memberikan nasihat dan gambaran mengenai dunia kepadanya. Keutamaan mereka ialah keselamatan Amerika yang juga bererti bahawa hegemoni negara itu terhadap dunia akan berkekalan.
Maka dunia akan terus dicorakkan oleh hegemoni Amerika dengan dipadankan pada fahaman Parti Republikan dalam bentuk ultra konservatif serta ditandai oleh personaliti eksentrik (luar dari kebiasaan) Trump.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
