Tirai 2024 kita ditutup dengan tunjuk perasaan pelajar dan anak muda di Kota Kinabalu Sabah. Mereka membantah pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Pelajar dan anak muda menolak pelantikan ini kerana pada satu ketika dahulu Musa Aman dikatakan terlibat dalam rasuah.
Di Semenanjung tirai 2025 dibuka juga dengan tunjuk perasaan. Pada Jumaat pertama tahun 2025 satu tunjuk perasaan telah diadakan di perkarangan Masjid Kampung Baru.
Warga Islam telah menunjukkan perasaan marah mereka terhadap Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming. Dua sosok YB daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) ini dilihat sebagai mempersenda agama Islam. Sentimen Melayu Islam tercabar. Lalu mereka berdemo.
Justeru lebih 200 orang berarak dari Masjid Kampung Baru ke rumah pasung Dang Wangi untuk membuat laporan polis. Dilaporkan telah ada lebih 157 laporan polis terhadap Hannah Yeoh yang juga menteri belia dan sukan.
Minggu pertama tahun 2025 Malaysia dihebohkan dengan satu lagi berita tunjuk perasaan. Kali ini penyokong Najib mahu turun berdemo di hadapan Istana Keadilan Putrajaya pada pagi Senin 6 Januari.
Heboh ini seperti disusun. Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar buat kenyataan. Parti PAS buat kenyataan. Pengerusi DAP Lim Guan Eng buat kenyataan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi buat kenyataan. Ketua Pemuda United Malays National Organisation (Umno) Akmal Saleh buat kenyataan. Ketua Polis Negara Razarudin Husain buat kenyataan. Ketua Polis Daerah Putrajaya Aidi Sham Mohamed juga buat kenyataan.
Semua kenyataan-kenyataan ini memanaskan suasana terbukanya tirai minggu pertama 2025. Kenyataan menyokong, melarang dan menghalang tunjuk perasaan ini semuanya merancakkan lagi politik jalan raya.
Sebagai penganut dan pendakwah politik jalan raya saya tersenyum gembira. Saya melihat budaya jalan raya semakin kukuh. Amin.
Ketika saya menulis, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah mengesahkan wujudnya titah adendum – tambahan - daripada Sultan Pahang yang dahulunya Yang DiPertuan Agong.
Nampaknya kerajaan Madani ini masih terumbang-ambing.
Amat jelas sekali perserikatan parti-parti dalam gabungan kerajaan Madani ini tidak kukuh.
Keinginan penyokong Najib daripada United Malays National Organization (Umno) yang ingin berhimpun tanda setia kawan di Putra Jaya ketika pendengaran kes rayuan titah addendum bekas perdana menteri Najib Razak telah disiarkan oleh Lim Guan Eng gedebe DAP.
Tuduh menuduh, cela mencela timbul antara pemimpin DAP dengan ketua Pemuda Umno. Semua ini diperhatikan oleh orang ramai bahawa kerajaan Madani ini goyah dan kerap bertelagah sesama sendiri.
Walau apa pun kita akan terus melihat pertelagahan ini berterusan sepanjang tahun 2025 ini.
Perbezaan pandangan politik hal biasa dalam parti politik. Parti politik akan bertelagah. Pembangkang akan membangkang. Kerajaan akan memutar.
Tetapi dalam kes Umno dan DAP ia lebih mencurigakan lagi kerana Parti Islam PAS masuk mencelah. PAS dengan licik dan bijak telah mencelah masuk untuk bersetia kawan dengan Najib.
Apa di belakang perhitungan politik parti Islam ini hanya Guru Nanak yang tahu.
Mengikut kata-kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanudi Md Nor: politik ialah mencari peluang. Justeru kes adendum Najib ini dijadikan peluang modal untuk PAS dilihat amat setia kepada Raja-Raja Melayu. Walau pun dalam Islam tidak wujud setia kepada monarki atau kaum feudal. Amin.
Pada hemat saya tahun 2025 akan terus meluaskan lagi kesedaran politik Melayu Islam.
Amat jelas sekali kesedaran politik Melayu Islam ini semakin meluas dan semakin mengampuh.
Tahun 2025 ini kita akan melihat semakin kerap mendengar perkataan Melayu bersatu. Heboh penyatuan Melayu ini pasti jadi agenda 2025.
Saranan dan laungan Melayu bersatu ini semakin lantang. Apakah ia akan menjadi satu kenyataan hanya masa yang akan menentukan?
Tahun 2024 yang baru tamat tahun pilihan raya. Lebih dari 64 negara dalam dunia ini mengadakan pilihan raya.
Lebih setengah daripada warga dunia telah keluar mengundi. Bangladesh, Brazil, India, Indonesia, Mexico, Rusia, Amerika dan Kesatuan Eropah telah mengadakan pilihan raya.
Masuknya tahun 2025 ini banyak negara yang mengadakan pemilihan kerajaan itu masih belum mantap. Bangladesh masih huru-hara. Pilihan raya umum di Perancis tidak menyelesaikan masalah.
Apa yang menonjol pada tahun 2025 ini, kemunculan dan merebaknya sokongan pengundi terhadap parti politik bergaris kanan.
Paling jelas di Jerman, Belgium, Austria dan di Portugal. Parti mazhab kanan makin berjaya mencapai kejayaan pada akhir tahun 2024. Masuk tahun 2025 garis demokrat dan garis liberal sedang diasak.
Pemilihan kerusi presiden Amerika Syarikat pilihan raya yang paling diikuti di seluruh dunia. Tahun 2024 sekali lagi Donald Trump bertanding. Kali ini 'Pak Cik' Trump berjaya untuk menduduki Rumah Putih.
Pada Isnin 20 Januari 2025 ini Donald Trump akan mengangkat sumpah untuk menjadi presiden ke-47 Amerika Syarikat.
Kemenangan Trump kali ke dua ini babak politik tahun 2025 yang sedang diteropong oleh semua negara. Setiap gerak, setiap kata-kata, setiap kicauan Trump di X akan di teliti oleh media dunia.
Donald Trump yang kasar, lucah, jujur dengan kata-kata tidak berlapik ini sedang membawa 2025 ke arah yang tidak menentu.
Bayangkan ketika berjumpa Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, presiden Amerika ini telah mempelawa Kanada untuk menjadi sebahagian dari wilayah Amerika.
Presiden Trump mencadangkan kepada Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau jika tarif gagal menangani isu perdagangan dan imigresen akan membunuh jiran ekonomi utara, mungkin Kanada sepatutnya menjadi negeri ke-51. Ini laporan dari Fox News.
“Tarif, tarif, tarif... ini perkataan manis." Ini ayat Trump ketika berkempen.
Trump berjanji akan menaikkan tarif kepada negara-negara yang berniaga dengan Amerika. Tarif ialah cukai import. Trump akan mengenakan cukai kepada barang-barang yang akan masuk ke pasaran Amerika.
Kanada dan Mexico tetangga rakan niaga Amerika menjadi cuak. Adakah Trump akan mengenakan cukai? Jika kena cukai maka barangan ini akan menjadi lebih mahal untuk pengguna di Amerika.
Jika lebih mahal maka inflasi akan berlaku di Amerika. Dalam masa yang sama Trump berkempen antiinflasi. Juga berkempen untuk mengurang cukai. Inilah dia Pak Cik Trump yang jujur dan tunggang terbalik.
Tapi awas!
Trump sedang mengancam Panama. Trump mahu Terusan Panama ini yang dibuat oleh Amerika pada tahun 1904 di ambil kembali oleh Amerika. Terusan ini telah dipulangkan kepada rakyat Panama pada tahun 1977 di bawah Presiden Jimmy Carter.
Trump menyifatkan terusan ini sebagai wilayah strategik untuk Amerika. Malah Trump menyimpan syak wasangka yang China Merah akan menguasai terusan ini.
Trump belum lagi mengangkat sumpah. Dunia telah mula kacau-bilau.
Bukan saja Kanada dan Panama yang mahu ditelan oleh Amerika. Paling akhir, Greenland – pulau milik Denmark. Trump secara terbuka telah berkata "jual wilayah ini kepada Amerika atau kami ambil melalui kekerasan..." Amin.
Presiden Trump bila ditanya oleh media enggan menolak menggunakan tindakan keteteraan atau ekonomi untuk meneruskan pengambilalihan Terusan Panama dan Greenland.
Saya penyokong tegar Donald Trump. Jika saya warga Amerika, saya akan menyokong semua langkah Trump. Saya amat gembira pada tahun 2025 ini Trump menjadi presiden Amerika.
Saya mahu dan saya menunggu Pak Cik Trump menghuru-harakan dunia kapitalis yang dikepalai oleh Amerika.
Saya menunggu pada Selasa 21 Januari 2025, adakah Pak Cik Trump akan mula menangkap jutaan pendatang haram dan menghantar mereka pulang ke negara asal.
Saya juga menunggu adakah Presiden Trump akan memanggil Presiden Zelensky dan Presiden Putin untuk menamatkan perang Ukraine?
Pak Cik Trump berjanji akan memastikan negara-negara Eropah di bawah perjanjian Nato akan menyumbang dana tambahan untuk senjata pertahanan. Apakah ini akan dilakukan?
Saya juga menanti untuk menyaksikan apakah Benjamin Netanyahu akan meneruskan projek meluaskan lagi wilayah Israel?
Trump pernah berkata yang dia akan menyokong apa sahaja yang akan dilakukan oleh Israel.
Justeru saya mahu melihat Israel masuk menawan Damsyik, Amman, Baghdad, Mekah dan Madinah. Ini dengan harapan agar negara-negara Arab ini bangun melawan Zionis Israel.
Tapi awas... ketika saya menggarap tulisan ini Daulah Terpendam di Amerika sedang berusaha untuk memastikan pentadbiran Presiden Trump ini akan gagal. Daulah terpendam juga sedar akan bahaya yang sedang dibawa oleh Trump.
Elit politik, elit ekonomi Amerika bersama Daulah Terpendam tahu jika empat tahun ini Trump boleh bergerak seperti yang dijanjikan maka kuasa imperial Amerika akan bertembung dengan kuasa China dan kuasa Rusia.
Bagi kaum pemodal dan kaum kapitalis ini tidak menguntungkan. Apa yang mereka mahu dunia seperti sekarang. Dunia yang kacau tetapi kekacauan yang mereka susun dan atur.
Susun, atur dan timbulkan masalah. Kemudian datang untuk menyelesaikan masalah itu. Ini yang berlaku sekarang. Apabila ada masalah kaum pemodal dan kaum kapitalis akan berpeluang untuk membuat duit dan menimba untung.
Justeru marilah kita bersama warga dunia mengalu-alukan kesampaian Donald Trump ke Rumah Putih pada Isnin 20 Januari 2025 ini. Kita tunggu dan nanti apa akan berlaku. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.