Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Pergeseran Anwar-Rafizi dan Trump-Musk

KOLUM | Minggu lalu, terserlah pertembungan politik di Amerika Syarikat antara Presiden Donald Trump dan penasihat kanannya, Elon Musk.

Sementara seminggu sebelum itu, politik Malaysia pula digegarkan dengan pertembungan antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Sudah tentu kedua-dua situasi ini tidak serupa, tetapi terdapat beberapa aspek yang membolehkan perbandingan dibuat.

Pertama sekali, Amerika dan Malaysia tentunya berbeza meskipun bendera kedua-duanya seakan-akan serupa. Oleh kerana Amerika ditubuhkan pada tahun 1776 dan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, ramai orang luar beranggapan bahawa bendera Malaysia meniru bendera Amerika kerana mungkin terinspirasi oleh kuasa besar itu.

Namun hakikatnya bukan begitu. Walaupun reka bentuk bendera Malaysia hampir serupa, ia tidak pernah diilhamkan daripada bendera Amerika.

Reka bentuk asal yang memenangi pertandingan mereka bentuk bendera sebenarnya mempunyai jalur biru dan putih seperti bendera Greece. Kemudian, jawatankuasa telah menukar warna biru itu kepada merah.

Hanya beberapa dekad kemudian barulah diketahui bahawa jalur merah putih itu pernah digunakan oleh kerajaan Majapahit dalam sejarah Nusantara. Begitu juga dengan bendera Syarikat Hindia Timur British (EIC) yang juga berjalur merah putih. Namun, bendera Malaysia tidak ada kaitan dengan Majapahit, EIC, Greece mahupun Amerika.

Untuk membandingkan pergeseran antara Anwar dan Rafizi dengan Trump dan Musk tidaklah mudah memandangkan perbezaan sistem pemerintahan dan politik.

Saiz Amerika berkali ganda lebih besar dari Malaysia. Amerika sebuah republik manakala Malaysia merupakan negara beraja berperlembagaan. Amerika kuasa besar dunia manakala Malaysia hanya merupakan pemain geopolitik peringkat serantau.

Namun, ada juga persamaan, kedua-duanya negara persekutuan, demokrasi berparlimen dan mengamalkan ekonomi pasaran terbuka. Politik di kedua-dua negara juga cenderung kepada sistem dua parti atau dua gabungan.

Di Amerika, terdapat Parti Republikan dan Parti Demokratik. Di Malaysia, kini wujud gabungan Kerajaan Madani manakala pihak pembangkang Perikatan Nasional.

Meskipun terdapat banyak perbezaan, secara umumnya fahaman politik Kerajaan Madani hampir serupa dengan Parti Demokratik. PKR dan DAP sebagai parti teras menganut fahaman demokratik, manakala Amanah membawa pendekatan Islam yang akomodatif terhadap demokrasi. Umno pula lebih memperjuangkan kepentingan Melayu namun berada dalam gabungan Madani demi kestabilan negara.

Sementara itu, Perikatan Nasional terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan. Disebabkan retorik kaum dan agama yang dibawa, maka ia secara spektrum politiknya setara dengan Parti Republikan di Amerika.

Trump disokong oleh kumpulan MAGA (Make America Great Again) yang turut disertai oleh golongan penyokong Ketuanan Kulit Putih (White Supremacist). Parti Republikan juga mendapat sokongan daripada Kristian Evangelikal yang beragenda teokrasi di Amerika dan menyokong Zionisme Kristian di Israel.

Sudah tentu nilai-nilai Ketuanan Melayu di Malaysia bertentangan dengan Ketuanan Kulit Putih di Amerika. Namun, dalam konteks dan spektrum politik masing-masing, Perikatan Nasional itu Parti Republikan versi Malaysia manakala Pakatan Harapan versi Parti Demokratik.

Menariknya, kedudukan ini terbalik di negara masing-masing. Di Malaysia, gabungan Madani kini memerintah, sedangkan di Amerika, Parti Republikan berkuasa.

Persamaan utama yang dilihat kini adalah krisis politik: Pergeseran Anwar-Rafizi di Malaysia dan Trump-Musk di Amerika — yang kedua-duanya memberi kesan besar terhadap politik negara masing-masing.

Anwar perdana menteri merangkap ketua kerajaan. Ketua negara Malaysia Yang di-Pertuan Agong yang melantik Anwar atas dokongan majoriti ahli Dewan Rakyat melalui parti-parti politik.

Sebagai perdana menteri, beliau melantik Rafizi sebagai menteri ekonomi, yang dilihat sebagai menteri kanan dalam kabinet.

Kekuatan pengaruh Rafizi terletak pada jawatannya sebagai timbalan presiden PKR — satu jawatan yang dimenanginya melalui pemilihan parti melibatkan perwakilan dari cabang-cabang seluruh negara.

Krisis timbul apabila dalam pemilihan PKR yang terbaru, timbul dakwaan bahawa ia merupakan hasil perancangan terancang untuk menyingkirkan Rafizi dan menggantikannya dengan Nurul Izzah, anak kepada Anwar. Rafizi kecewa apabila menyedari usaha untuk menjatuhkannya itu mendapat restu daripada Anwar sendiri.

Bagi Rafizi, ia suatu pengkhianatan setelah beliau mengorbankan sebahagian besar hidupnya memperjuangkan Anwar dan PKR — termasuk menyertai gerakan membebaskan Anwar dan membantu parti mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Selepas kekalahan dalam pemilihan, Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri. Beliau belum mengumumkan rancangan masa depan politiknya namun memaklumkan bahawa buat masa ini beliau mahu menumpukan khidmat kepada kawasan parlimennya.

Kini, di Amerika, ligat pula krisis antara Trump dan Elon Musk. Trump menjadi presiden melalui sistem kolej elektoral, yang mengambil kira undi berdasarkan negeri. Beliau menang besar dalam pilihan raya.

Trump melantik Musk sebagai ketua Jabatan Efisiensi Kerajaan (DOGE) - bertaraf anggota kabinet - walaupun pelantikan itu tidak melalui pengesahan Kongres. Pengaruh Musk sangat besar, malah ada media menyebut beliau sebagai "co-president" atau "presiden bersama".

Pengaruh Musk turut hadir melalui sumbangan kewangannya yang besar terhadap dana kempen Trump. Beliau juga aktif berkempen dan mempunyai pengaruh tersendiri di luar Parti Republikan untuk membantu kemenangan Trump.

Krisis tercetus apabila Musk mengkritik bajet negara yang dinamakan Trump sebagai “big beautiful bill.

Musk berkata bajet itu akan menambah hutang negara hingga boleh membawa Amerika ke arah kemuflisan. Namun, di sebalik kritikan itu, kemarahan sebenar Musk adalah terhadap pembatalan mandat kenderaan elektrik — satu langkah yang menjejaskan Tesla.

Kesudahannya masih belum dapat dijangka. Trump memberi amaran akan menghentikan subsidi dan geran kepada Musk termasuk untuk projek angkasanya, SpaceX.

Musk pula menyeru supaya Trump dipecat kerana membawa Amerika ke arah kehancuran menerusi tarif besar-besaran. Beliau mencadangkan Naib Presiden JD Vance menggantikan Trump sebagai presiden, malah merancang menubuhkan parti baru — Parti Amerika — untuk mewakili 80 peratus pengundi yang berada di tengah-tengah antara Demokrat dan Republikan.

Memang benar pergeseran Anwar-Rafizi dan Trump-Musk tidak boleh dibandingkan secara mutlak. Tetapi kedua-duanya merupakan pergolakan politik penting dalam skala masing-masing. Kesemuanya menguji keupayaan kepimpinan politik untuk menangani krisis.

Malaysia dan Amerika tetap mempunyai pertalian penting. Sebagai negara kecil, Malaysia sangat bergantung kepada Amerika bukan sahaja dalam bidang ekonomi, malah pendidikan.

Namun, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah mengumumkan tidak akan lagi menghantar pelajar baru ke Amerika kerana dasar pentadbiran Trump yang tidak mesra pelajar asing.

Dari sudut ekonomi pula, tarif besar yang dikenakan oleh Amerika terhadap Malaysia bakal memberi kesan terhadap ekonomi negara pada tahun-tahun mendatang. Sukar untuk berasa optimis terhadap perkara ini. Rakyat hanya mampu berharap perdana menteri dan kerajaan tahu apa yang mereka lakukan.

Rafizi sebagai menteri ekonomi dilihat kurang memberikan tumpuan terhadap isu ini, mungkin kerana perkara itu berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sementara itu, Menteri MITI, Tengku Zafrul Tengku Aziz yang kini berunding dengan kerajaan Amerika mengenai tarif, hampir tamat tempohnya sebagai senator dan dijangka akan berundur. Umno pula menyuarakan bahawa penggantinya nanti perlu datang daripada parti tersebut.

Kerajaan juga telah mengumumkan pelantikan duta baru Malaysia ke Amerika Syarikat — satu tugas yang bakal penuh cabaran besar.

Tarif besar yang dikenakan Trump terhadap China bukan sahaja menjejaskan hampir semua negara di dunia malah turut menjejaskan industri kereta di Amerika sendiri termasuk Tesla milik Musk.

Dunia kini sedang memasuki fasa yang tidak menentu.

Beberapa pakar ekonomi terkenal yang kritikal terhadap Trump, seperti Jeffrey Sachs dan Richard Wolf menjangkakan sesuatu yang besar dan negatif bakal berlaku sekitar bulan Julai ini. Semoga ramalan itu tidak menjadi kenyataan.


ZIN MAHMUD wartawan veteran.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS