Setiap kali saya membuka kembali helaian novel Panglima Awang, karya epik sasterawan unggul Harun Aminurrashid, terasa seakan-akan saya turut berlayar bersama ombak sejarah dan gelombang imaginasi yang tidak pernah reda.
Sebagai warga emas yang telah menyantuni lebih separuh abad usia kehidupan, membaca novel ini bukan sekadar menelusuri kisah seorang lelaki bernama Awang yang menjadi saksi pelayaran Magellan mengelilingi dunia, tetapi juga menyelami lapisan-lapisan halus antara sejarah yang tercatat dan sejarah yang terpendam.
Adakah Awang benar-benar wujud? Atau adakah ia hanya karangan sastera untuk membina mitos bangsa yang terlepas dari rekod tinta penjajah?
Saya tidak malu mengakui, pertama kali saya membaca Panglima Awang, saya terpesona. Sebagai anak jati yang pernah menatap peta dunia di buku teks sejarah sekolah, saya tahu tentang pelayaran Ferdinand Magellan, pengembara Sepanyol (sebenarnya warga Portugis yang berkhidmat untuk Raja Sepanyol), yang dianggap sebagai manusia pertama berjaya mengelilingi dunia — meskipun dia sendiri tidak sempat pulang ke Sepanyol kerana mati di tangan penduduk Filipina di Pulau Mactan.
Namun, dalam versi Harun Aminurrashid, Magellan bukanlah satu-satunya bintang. Watak Awang, anak Alam Melayu yang kononnya dibawa sebagai hamba atau pembantu pelayaran, menjadi sosok penting dalam memahami trajektori bangsa dan bahasa kita dalam arus sejarah global.
Tetapi di sinilah soalnya. Benarkah Awang itu wujud dalam sejarah?
Antara fiksyen dan sejarah: Menyelusuri dua dunia
Dalam rekod rasmi sejarah Sepanyol dan Portugis, tiada disebut nama "Awang". Apatah lagi sebagai “Panglima” — satu gelaran tinggi dalam struktur kepemimpinan perang Alam Melayu. Nama itu tidak muncul dalam jurnal Antonio Pigafetta, penulis kronik Magellan yang terkenal, atau dalam mana-mana manuskrip rasmi Kesultanan Melayu Melaka mahupun Brunei.

Maka, dari segi fakta sejarah literal, watak Awang adalah fiksyen. Nama itu hanya hidup dalam novel, disarung ke tubuh seorang pembantu pelayaran yang dikatakan berasal dari Tanah Melayu dan pernah dibawa ke Eropah sebagai hamba sebelum mengikut Magellan kembali ke Timur.
Namun, sejarah bukan semata-mata catatan oleh pemenang. Apa yang tidak tercatat belum tentu tidak berlaku. Sejarah bangsa kita telah lama didiamkan, disenyapkan oleh kolonialisme dan digelapkan oleh kealpaan.
Dalam ruang inilah Panglima Awang muncul sebagai naratif alternatif, suatu usaha mengisi lompong-lompong sunyi dalam lipatan sejarah, dengan membayangkan — atau mungkin membongkar — suara dan watak yang selama ini tenggelam.
Awang: Simbol maskulin alam Melayu?
Nama "Awang", dari segi leksikografi dan semantik, merujuk kepada lelaki Melayu — suatu simbol kejantanan yang mudah dikenali, khususnya di pantai timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Ia bukanlah nama biasa di selatan Semenanjung, apatah lagi dalam kalangan panglima Kesultanan Melaka. Maka penggunaannya dalam novel sebagai nama watak utama adalah pilihan sastera yang bijaksana — ia memikul beban identiti kolektif dan jantina, bukan semata-mata satu individu bernama Awang.
Ia ialah lelaki Melayu yang menjadi saksi dunia, yang kembali ke tanah air setelah melihat tujuh lautan, dan dalam dirinya terkandung naratif perlawanan dan kelangsungan.
Nama itu menjadi simbolik kepada kekuatan peribadi dan bangsa. Harun Aminurrashid tidak memilih nama seperti “Ismail”, “Harun” atau “Badrul”. Dia memilih "Awang" — satu nama yang tidak asing kepada khalayak pembaca, namun apabila diletakkan dalam konteks pelayaran global, nama itu seolah-olah memperoleh keagungan baru.
Dalam tradisi sastera, ini bukan perkara luar biasa. Homer tidak menyebut pun nama pahlawan Melayu, tetapi dalam Panglima Awang, kita menjadi saksi bagaimana nama yang sederhana itu diangkat ke pentas dunia.
Tanpa Awang, Magellan gagal?
Salah satu hujah paling menarik dalam naratif ini ialah: tanpa Awang, Magellan tidak dapat membuktikan bahawa kapalnya benar-benar telah mengelilingi dunia. Kerana hanya Awang yang dapat memahami bahasa Alam Melayu, dan hanya dia yang mengenal wilayah ini.
Apabila kapal mereka sampai ke Filipina, Magellan sendiri tidak menyedari bahawa dia telah menghampiri tanah Melayu semula — hanya Awang yang faham tutur kata orang Filipina, kerana bahasa mereka bercampur dengan bahasa Melayu purba.

Ini memberikan kredibiliti kepada peranan Awang bukan sekadar sebagai pembantu pelayaran, tetapi sebagai kompas budaya dan bahasa — sejenis penanda bahawa mereka telah sampai semula ke titik permulaan.
Di sinilah ironi sejarah: Magellan tidak sempat kembali ke Sepanyol kerana maut di Mactan, tetapi Awang yang telah dibawa sebagai hamba, akhirnya pulang ke tanah air — menjadikannya manusia pertama yang benar-benar mengelilingi dunia dalam satu pusingan penuh.
Jika benar begitu, maka kisah Panglima Awang bukan sekadar fiksyen, tetapi fiksyen yang lebih benar daripada kebenaran sejarah yang terhad dan berat sebelah.
Sejarah Melayu: Di mana watak kita?
Persoalan yang lebih mendasar ialah: mengapa kita tidak memiliki lebih banyak kisah seperti ini? Mengapa dalam naratif pelayaran dan penjelajahan dunia, kita jarang melihat watak-watak Melayu muncul? Adakah benar kita tiada peranan, atau sejarah kita telah dikesampingkan dan dilupakan?
Di sinilah karya-karya sastera seperti Panglima Awang menjadi penting. Ia bukan sahaja merangsang imaginasi, tetapi mencabar naratif sejarah kolonial yang meletakkan bangsa kita sebagai pasif, tidak berupaya, dan hanya penonton dalam arus dunia.
Karya ini bukanlah sekadar cerita pelayaran. Ia adalah penegasan semula jati diri Melayu yang berani, cekap dalam ilmu pelayaran, memahami geografi dan bahasa, dan mampu menjadi penghubung antara Timur dan Barat.
Jika watak seperti Awang pernah wujud — dan besar kemungkinan watak seumpamanya memang wujud tetapi tidak dikenali nama — maka Panglima Awang ialah suara untuk mereka yang tiada suara.
Membina mitos, mengukuh jati diri
Sebagai warga emas yang telah menyaksikan betapa sejarah kita sering ditulis orang lain, saya melihat Panglima Awang bukan sebagai sekadar novel, tetapi satu bentuk pemulihan martabat bangsa. Ya, nama "Awang" itu rekaan. Ya, gelaran "Panglima" itu tidak wujud dalam dokumen sejarah.
Tetapi adakah segala yang benar hanya yang tercatat? Tidak. Banyak sekali kebenaran bangsa kita yang tersembunyi dalam mitos, dalam hikayat, dalam cerita rakyat yang diceritakan dari satu generasi ke generasi lain.
Dalam dunia Barat, mereka ada Odysseus, mereka ada El Cid, mereka ada Don Quixote — semua ini tokoh sastera yang membantu membina jati diri bangsa. Maka kita pun berhak punya Panglima Awang, meski dia lahir daripada pena dan bukan dari dokumen arkib.
Apa yang penting ialah semangat yang dibawanya — semangat anak Alam Melayu yang merentas tujuh lautan, kembali ke tanah air sebagai manusia yang telah melihat dunia, dan membawa pulang bukan harta, tetapi harga diri dan identiti.
Panglima Awang bukan sekadar nama — ia adalah lambang bahawa bangsa Melayu pernah dan akan terus menjadi pelayar dalam samudera dunia.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
