Saya telah terlibat dalam tunjuk perasaan sejak di sekolah rendah lagi. Pada tahun 1959, Datuk Undang Luak Jelebu ialah Datuk Shahmaruddin bin Abdul Rahman.
Dia ingin menjadikan kerusi Datuk Undang Jelebu sebagai warisan turun-temurun. Setelah dia meninggal dunia, kerusi Datuk Undang ini akan diambil oleh anaknya.
Ketika itu, Wakil Rakyat Pertang YB Aminuddin Manaf – abang kepada Rais Manaf – ayah saya. Apabila berita tentang rancangan Datuk Undang ini diketahui, Pak Ngah Aminuddin telah menyusun orang-orang kampung untuk membantah niat dan cita-cita Datuk Shahmaruddin yang melanggar Adat Perpatih Jelebu.
Adat Perpatih Jelebu melantik Datuk Undang secara bergilir daripada Tiga Perut. Tiga Perut ini asal-usul tiga keluarga daripada Suku Biduanda – Perut Sarin, Perut Kemin dan Perut Ulu Jelebu. Bukan daripada ayah kepada anak.
Demo cara terbaik
Justeru, Pak Ngah telah mengumpul saudara-mara dan penyokong untuk mengadakan tunjuk perasaan menentang niat Datuk Undang yang dianggap melanggar Adat Perpatih.
Saya ingat lagi, sepupu dan saudara-mara saya sibuk membuat persediaan. Sepanduk “Biar Mati Anak Jangan Mati Adat” telah dibuat. Plakard bertulisan “Hidup Dikandung Adat, Mati Dikandung Tanah” dan “Pantang Melayu Melanggar Adat” turut disediakan.
Pak Ngah Aminuddin telah menghasut warga Jelebu, pengamal Adat Perpatih, untuk bersama-sama menunjukkan bantahan.
Saya masih ingat – ketika itu saya dalam Darjah Tiga – sekolah petang. Pada pagi itu, hampir 100 orang Warga Jelebu berkumpul di pekan Kuala Klawang. Saya datang berbasikal ke pekan untuk bersama penunjuk perasaan.

Dari pekan Kuala Klawang, kami berarak ke Kampung Mengkan dan melintasi rumah Datuk Undang menuju ke pekan Petaling. Kami berjalan perlahan-lahan di hadapan rumah Datuk Undang. Saya tidak tahu sama ada beliau melihat penunjuk perasaan atau tidak.
Dua hari kemudian, akhbar Utusan Melayu Jawi melaporkan tunjuk perasaan kami. Kami berjaya. Niat dan cita-cita Datuk Undang untuk mengubah adat telah digagalkan.
Hari ini, Datuk Undang Jelebu masih setia pada adat. Terima kasih, YB Aminuddin Manaf.
Ilmu tunjuk perasaan ini telah terserap dalam jiwa saya. Saya percaya tunjuk perasaan cara terbaik untuk mencipta kejayaan. Berkumpul ramai-ramai menyatakan bantahan atau sokongan kini menjadi ideologi dan pandangan dunia saya.
Saya masuk Universiti Malaya (UM) pada tahun 1971. Di UM, tunjuk perasaan dipanggil "demo".

Demo pertama saya di UM berlaku pada pagi 14 Julai 1971. Kami berkumpul di Sudut Pidato, kemudian berarak ke Lebuh Raya Persekutuan sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Patani.
Demo itu berlangsung ketika Perdana Menteri Siam, Thanom Kittikachorn, melintas dari lapangan terbang Subang untuk lawatan rasmi.
Selepas itu, banyak lagi demo saya ambil bahagian. Apabila saya memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), saya menyusun demo menyokong Palestin. Saya juga menganjurkan demo menentang lawatan PM Jepun Tanaka ke Kuala Lumpur pada Januari 1974.
Sebagai warga Kolej Kelima, saya juga menyusun demo menentang tindak-tanduk Pengetua, Raja Mokhtaruddin, hingga saya dibuang dari kolej.
Saya pernah dijemput oleh kesatuan pelajar Siam dan pernah berdemo di hadapan Kedutaan Amerika di Bangkok menentang Perang Vietnam – demo pertama saya di luar negara.

Pada September 1974, saya berdemo menyokong peneroka bandar di Tasik Utara. Kali pertama saya masuk lokap dan penjara Air Molek di Johor Bahru.
Pada 3 Disember 1974 – sebagai presiden PMUM – saya menghasut dan menyusun pelajar UM untuk berdemo menyokong perjuangan warga Baling di Kedah.
Warga Baling mula tunjuk perasaan pada November 1974 kerana marah kepada kerajaan yang gagal mengurus negara. Ketika itu musim hujan, harga getah jatuh dan harga makanan naik.
Pada subuh 8 Disember 1974, polis dan askar mengepung UM. Saya yang menumpang di Kolej Ketujuh melepaskan diri daripada tangkapan polis. Saya melarikan diri ke sempadan Siam dan ke luar negara.
Terus berdemo
Saya tiba di Australia pada 1976 dan menjadi aktivis pelajar Malaysia yang bekerjasama dengan AUS (Kesatuan Pelajar Nasional Australia). Saya berdemo menyokong perjuangan Warga Asli Australia dan terlibat tunjuk perasaan menentang tenaga nuklear di Melbourne.
Saya pernah dijemput Kesatuan Buruh Australia (Trade Union Congress) sebagai penceramah demo menyokong Palestin.
Di Baghdad, tahun 1977, saya berdemo menyokong tindakan memiliknegarakan syarikat minyak Iraq oleh Saddam Hussein.
Tahun 1982, saya sampai ke Belgium dan terlibat dalam gerakan geopolitik Eropah. Markas Pusat bala tentera NATO (Supreme Headquarters Allied Powers Europe) terletak di Mons Belgium.
Pada 1983. Amerika memaksa negara sekutu NATO memasang peluru berpandu Pershing di Belgium.
Saya turut sama berdemonstrasi di Brussels untuk menentang kemasukan Pershing Missile ke Belgium.
Kemudian saya berpindah ke United Kingdom dan menjadi pelajar semula. Di London, saya menyertai demo pelajar menentang kenaikan yuran.
Ketika itu, sistem apartheid masih wujud di Afrika Selatan dan Nelson Mandela masih dipenjara. Saya aktif berdemo menuntut pembebasan beliau.
Pada 2 November 1985, saya sertai demo terbesar menyokong warga Afrika Selatan. Turut sama berdemo, Oliver Tambo Presiden ANC (African National Congress) dan pemimpin kulit hitam bekas calon presiden Jesse Jackson dari Amerika.
Saya ingat lagi pada petang Sabtu 31 Mac 1990 – saya bersama beberapa kawan berada di Trafalgar Square untuk sama berdemo menentang sukai pintu yang dikenakan oleh kerajaan Margaret Thatcher.
Flet saya di Bromley By Bow juga dikenakan cukai pintu sebanyak 500 pound.
Ini tunjuk perasaan yang hebat. Saya melihat kereta di terbalikkan dan di bakar di Convent Garden. Saya menyaksikan polis kota London berkuda membelasah penunjuk perasaan. Pada petang itu polis menangkap lebih 300 penunjuk perasaan.
Ketika Iraq diserang Amerika, saya turun ke Trafalgar Square dan berarak ke No. 10 Downing Street.
Bila Iraq diserang oleh Amerika saya turun ke Trafalgar Square. Kami berarak ke hadapan NO 10 Downing Street – kediaman resmi Margaret Thatcher.
Ketika Perang Iraq saya bekerja sebagai pelayan di Garuda – restoran Indonesia di Shaftesbury Avenue tidak jauh dari Soho.
Saya meyakinkan tuan punya restoran untuk membekalkan nasi goreng kepada penunjuk perasaan yang bermalam di hadapan Kedutaan Amerika di London.

Tiga tahun selepas pulang dari perantauan selama 20 tahun, Anwar Ibrahim ditangkap. Gerakan Reformasi bermula. Awalnya saya tidak ambil peduli, tapi Mahathir Mohamad menuduh saya dalang demonstrasi.
Justeru, tuduhan Mahathir menggerakkan saya untuk aktif. Bersama Tian Chua, Latheefa Koya, Arwah Pak Din, Nasir, Arwah Tan, Nora, Jonah, Ezam, Zunar dan Pak Abu, kami menyusun demo demi demo.
Akhirnya saya ditangkap dan ditahan di Kem Kamunting selama dua tahun. Amin.
Kini, Sabtu 26 Julai ini, satu demo akan diadakan menuntut Anwar Ibrahim turun sebagai perdana menteri. Disusun oleh Sekretariat Rakyat, dan disokong PAS, Bersatu, kaum kerabat PN dan pelbagai NGO.

Jika dahulu laungan reformasi “Undur Mahathir Undur”, kini ia bergema “Turun Anwar Turun”.
Saya dulu berdemo menentang Mahathir. Kini saya berdemo menentang Anwar. Ini bukan pelik. Ini prinsip politik kiri yang menjadi pegangan saya.
Saya mendirikan barisan bersatu (united front) untuk melawan musuh bersama. Dulu Mahathir musuh saya, kini beliau satu kancah dengan saya kerana melawan musuh yang sama.
Malah Mahathir yang dahulu sering berkata “demo bukan budaya kita”, kini telah turun berdemo dalam Bersih 4 dan 5. Pada 26 Julai ini, dilaporkan Mahathir sekali lagi akan berdemo di jalan raya.

Sah dan sahih – demo telah menjadi budaya politik Malaysia.
Selain berdemo, saya juga penganut tegar pada konsep barisan bersatu – taktik politik kiri yang saya pegang. Dalam analisa kiri, kita mesti kenal musuh utama. Untuk menang, kita wajib bersatu dengan siapa saja untuk melawan musuh yang sama itu. Amin.
Apakah demo 26 Julai 2025 ini akan berjaya?
Jika 5,000 orang hadir di Dataran Merdeka, itu sudah kejayaan. Dua tahun ini kami telah anjur demo untuk Palestin, peserta tidak melebihi 3,000. Jika Sabtu ini 5,000 turun, saya puas hati. Kalau lebih – itu bonus.
Apakah Anwar akan turun? Jawapannya tidak.
Tapi demo ini bertujuan mengolah persetujuan. Kita keluar beramai-ramai mempengaruhi orang ramai agar marah seperti kita.
Kemarahan itu akan diterjemah kepada undi. Ini pengalaman saya dalam menyusun dan menghasut orang ramai turun berdemo dalam Bersih 2, 3, 4 dan 5. Najib jatuh kerana kita berjaya mengumpul kemarahan melalui demonstrasi.
Kali ini - saya ulang sekali lagi - mari kita terjemah kemarahan kepada undi dalam PRU16. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
