Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Pemimpin wanita 'lembu betina' kiasan jijik, biadab!

KOLUM | Kenyataan yang menyamakan wanita pemimpin sebagai ‘lembu betina’ bukanlah sekadar analogi yang gagal, ia serangan terhadap maruah wanita, penghinaan terhadap intelektualisme Islam dan pengkhianatan terhadap akhlak Rasulullah SAW.

Lebih mengecewakan apabila kenyataan ini tidak ditegur secara terbuka oleh kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Bahkan, timbalan presiden parti itu pula mempertahankan kenyataan tersebut dengan alasan ia hanya analogi dan bukan penghinaan.

Maka soalnya, sejak bila agama yang mulia ini membenarkan penghinaan diselindung di balik istilah ‘analogi’?


BACA BERKAITAN:

Tuan Ibrahim pertahan analogi lembu betina, anggap bukan hina wanita

Kepimpinan wanita 'lembu betina' pendapat Salman bukan PAS - Mas Ermieyati

Pemimpin, aktivis wanita kecam perumpamaan 'lembu betina' pemimpin PAS


Hakikat, Ayat 34 Surah An-Nisa’ bukan dalil larang kepimpinan wanita.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi (gambar judul) merujuk Surah An-Nisa ayat 34 sebagai justifikasi untuk menyokong kenyataannya bahawa lelaki sahaja layak menjadi ketua:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka menafkahkan sebahagian daripada harta mereka...” (Surah An-Nisa: 34)

Gambar hiasan.

Hakikatnya, ayat ini tidak membicarakan soal pemerintahan negara atau jawatan dalam politik. Ia merujuk kepada institusi rumah tangga, dengan suami bertanggungjawab memberi nafkah dan melindungi keluarga, bukan secara mutlak menolak kebolehan wanita menjadi pemimpin. Sebagaimana ulama kontemporari seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi menegaskan:

“Ayat ini tidak membicarakan larangan terhadap wanita menjadi pemimpin masyarakat. Kepimpinan dalam rumahtangga tidak menyekat wanita berperanan besar di luar rumah dalam ruang pentadbiran, perniagaan, pendidikan dan politik.”

Dalam Fiqh al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) beliau menegaskan keperluan memahami hukum Islam dalam konteks zaman, realiti dan maslahat.

Beliau menolak sikap yang melampau dalam mengehadkan wanita hanya di ruang domestik. Beliau menyatakan bahawa:

“Sesungguhnya wanita hari ini berperanan besar dalam pelbagai sektor, dan ini tidak bercanggah dengan agama jika syarat-syarat syarak dipelihara.”

Dengan itu, menggunakan ayat tersebut sebagai dalil menolak kepimpinan wanita, apalagi untuk menyamakan wanita dengan lembu, merupakan satu penyalahgunaan tafsir yang mencemari kesucian ayat al-Quran.

Seksis, perlekeh wanita

Tiada mana-mana mazhab Islam atau adab ulama yang membenarkan analogi penghinaan terhadap wanita yang memimpin. Menyamakan wanita pemimpin dengan ‘lembu betina’ adalah perbandingan yang dangkal, seksis dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam Islam, manusia ciptaan paling mulia:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah At-Tin: 4).

Ratu Saba: Dalil al-Quran angkat martabat wanita

Apa justifikasi akhlak dan ilmu untuk merendahkan kemuliaan insan apalagi wanita yang memikul amanah kepimpinan setaraf haiwan ternakan?

Apakah ini budaya ilmuan atau budaya celupar yang ditiru dari ruang komen media sosial?

Kepimpinan wanita bukan sekadar boleh, tetapi telah berlaku dan diiktiraf dalam al-Quran. Surah An-Naml menceritakan tentang Ratu Saba’ (Balqis), seorang ratu yang memerintah kaumnya:

“Aku dapati seorang wanita memerintah mereka dan dia dikurniakan segala-galanya serta mempunyai singgahsana yang besar.” (Surah An-Naml: 23)

Nabi Sulaiman AS tidak mencerca Balqis kerana menjadi pemimpin. Bahkan Baginda mengutus surat diplomatik dan tidak menyinggung jantina atau memperlekehkannya.

Rasulullah SAW iktiraf kepimpinan wanita

Akhirnya Balqis tunduk kepada Islam, menunjukkan kematangan dalam berfikir dan bertindak, yang mana menjadi satu contoh kepimpinan wanita yang bijak, berhikmah dan berpandangan jauh.

Rasulullah SAW tidak pernah memperlekeh wanita dalam kepimpinan dan sumbangan masyarakat.

Dalam sejarah, kita dapat saksikan bahawa beberapa nama diangkat kerana kehebatan kepimpinan mereka antaranya Saidatina Khadijah RA seorang usahawan, penyumbang terbesar kepada misi dakwah Nabi SAW.

Saidatina Aisyah RA pula menjadi rujukan ilmu, hukum dan sejarah Islam selepas kewafatan Nabi SAW. Sementara itu, Ummu Salamah RA bijaksana dalam memberi nasihat politik ketika peristiwa Hudaibiyah.

Baginda bersabda:

“Sesungguhnya kaum wanita adalah saudara kandung bagi kaum lelaki.” (HR Abu Daud)

Dalam peristiwa Bai’ah Aqabah, Nabi SAW menerima bai’ah wanita untuk menyokong perjuangan Islam. Tahukah anda bahawa itu adalah salah satu bentuk pengiktirafan kepada wanita dalam ruang sosial dan politik.

Tahukah anda betapa besarnya peranan mereka pada waktu itu?

Sejarah Islam: Wanita dalam kepimpinan

Antara tokoh wanita yang pernah memimpin dalam sejarah Islam antaranya ialah Syajarat al-Durr, yang memerintah Mesir ketika era Mamluk; Razia Sultana iaitu Sultan wanita di Delhi; Aisyah binti Abu Bakar pula, pernah mengetuai misi politik pada zaman Khalifah Ali RA; manakala Fatimah al-Fihri pengasas universiti pertama di dunia, Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi.

Kesemua ini membuktikan bahawa wanita berkelayakan pernah dan boleh memimpin, dengan penuh hikmah dan berilmu.

Kekecewaan yang lebih dalam timbul apabila kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran itu dibela oleh pemimpin atasannya iaitu Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata:

“Saya tidak nampak apa yang seksisnya..”

Dalam pada itu, ketika ada yang membela lisan yang biadab, maka agama dipergunakan.

Adakah dia buta terhadap sensitiviti masyarakat dan akhlak Islam? Apakah dirinya tidak membaca kesan kenyataan tersebut kepada wanita dan generasi masa kini?

Imam Abu Hanifah pernah berkata:

“Kata-kata seseorang menunjukkan akalnya.”

Seseorang pemimpin agama harusnya menjadi contoh teladan. Membela kebiadaban dengan alasan ‘analogi biasa’ hanya akan merosakkan imej Islam, mengundang sinisme masyarakat, dan menjauhkan orang daripada agama.

Seharusnya golongan yang membenarkan ungkapan sedemikian sedari bahawa wanita yang berkhidmat dalam politik, NGO, institusi akademik, dan perkhidmatan awam tidak hadir dengan niat menyaingi lelaki. Mereka hadir untuk menyumbang dalam ruang yang adil dan saksama mengikut kelayakan dan kompetensinya.

Gambar hiasan.

Bayangkan kesannya analogi yang dianggap biasa itu kepada guru wanita yang memimpin sekolah, pensyarah wanita yang memimpin fakulti, pegawai tadbir wanita yang memegang portfolio negara—apakah mereka perlu dibandingkan dengan lembu betina hanya kerana mereka wanita? Berhati-hatilah dalam kata-kata anda.

Tahukah anda, kepimpinan berdasarkan kelayakan, bukan jantina?

Kepimpinan dalam Islam dinilai melalui amanah, adil, berilmu dan berakhlak, bukan berdasarkan jantina semata-mata.

Firman Allah:

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas: 26)

Jika wanita memenuhi syarat kelayakan, maka tidak ada halangan dalam Islam untuk mereka memimpin, sebagaimana lelaki yang tidak berkelayakan apalagi tidak berkompetensi juga tidak sepatutnya diberikan kuasa.

Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menulis:

“Lisan itu adalah amanah. Ia boleh memuliakan seseorang atau menghumbankannya ke dalam kehinaan.”


ATRIZA UMAR felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS