KOLUM | Ketika tulisan ini digarap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin telah bertemu dan berbincang di Ancourage Alaska pada Jumaat 15 Ogos 2025. Sidang kemuncak dua pemimpin ini berjalan dalam Pangkalan Tentera Elmendorf-Richardson.
Trump mengalu-alukan Putin kembali ke pentas dunia dengan permaidani merah. Ketika Putin sampai, Trump bertepuk tangan. Kedua-dua pemimpin itu berjabat tangan dengan mesra dan tersenyum.
Perlu diingati di sini pada 17 Mac 2023, Dewan Pra-Perbicaraan II Mahkamah Jenayah Antarabangsa (“ICC” atau “Mahkamah”) di Belanda telah mengeluarkan waran tangkap untuk Vladimir Putin kerana jenayah perang di Ukraine.
Justeru dunia memerhatikan dengan mata dan telinga terbuka apa yang berlaku di Anchorage. Ini pertemuan bersejarah.

Ratusan wartawan dan orang kenamaan dari seluruh dunia telah turun ke Anchorage minggu ini untuk sidang kemuncak antara Presiden Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Mereka berbincang selama kurang lebih tiga jam. Kemudian mereka mengadakan sidang akhbar. Pertama berucap ialah Putin kemudian Presiden Trump pula bercakap. Sidang akhbar pendek dan tidak ada soal jawab. Setelah bercakap di depan ratusan pemberita dan wartawan kedua pemimpin dunia ini beredar.
Maka dunia jadi heboh. Pelbagai andaian timbul. Pelbagai spekulasi muncul. Semua dianalisa. Seperti biasa Trump memakai tali leher berwarna merah. Warna merah ini untuk Trump tanda pertemuan ini amat penting.
Apa yang jelas ialah Presiden Ukraine Zelensky tidak dijemput. Ini menjadikan negara di Kesatuan Eropah dan Nato gelabah. Semua ingin tahu apa yang telah dibincang dan keputusan apa yang telah dipersetujui.

Zelensky telah meraung, menyalak dan menjerit kerana ditinggalkan daripada perbincangan ini. Justeru Zelensky mengadu nasib dengan Starmer, Macron dan Merz. Zelensky terbang ke Berlin untuk mengadakan perbincangan zoom dengan Starmer di London dan Macron di Paris.
Zelensky minta bantuan dari Kesatuan Eropah dan Nato. Zelensky tidak mahu bersendirian ketika berzoom dengan Trump.
Banyak spekulasi muncul. Ada yang mengandaikan bahawa Trump bersetuju dengan semua cadangan Putin. Ada pemerhati politik yang mengandaikan bahawa agenda utama Trump ialah untuk menjalin kembali hubungan dua hala Amerika-Rusia.
Trump seorang ahli perniagaan diandaikan akan berbincang dengan Putin tentang membuka kembali jalan perniagaan dengan Rusia. Ukraine hanya jadi agenda sampingan.

Hasil daripada perbincangan zoom dilihat positif. Zelensky telah dijemput datang ke Rumah Putih pada Isnin 18 Ogos 2025 – tiga hari sesudah Trump bertemu Putin. Untuk melegakan tekanan ke atas Zelensky, Presiden Trump juga bersetuju untuk menerima Starmer, Macron dan Merz hadir sama.
Presiden Ukraine ini sedar dan waspada bila berhadapan dengan Trump. Zelensky pasti akan mengingati apa yang telah terjadi pada bulan Februari dulu di Pejabat Oval Rumah Putih. Dia telah dibelasah oleh Trump dan Naib Presiden Vance di hadapan media dunia.
‘Kamu tidak ada daun pakau yang boleh kamu mainkan...’ Ini kata-kata Trump kepada Zelensky.
“Dia boleh kembali apabila dia bersedia untuk keamanan,” kata Presiden Donald Trump selepas mesyuarat itu terbarai. Jamuan makan tengah hari yang dirancang dibatalkan. Zelensky meraung terpekik terlolong pulang ke Kyiv.
Tali leher merah
Justeru kali ini Zelensky datang untuk bertemu Trump dengan membawa “geng dari Eropah”. Pertemuan di Pejabat Oval Trump akan dihadiri bersama oleh pemimpin dari UK, Finland, Peranchis, Jerman, Itali dan turut bersama wakil Kesatuan Eropah dan Nato.
Jelas ini pertemuan yang amat penting. Pertemuan di Pejabat Trump untuk mencari jalan penamat Perang Ukraine.
Isnin 18 Ogos 2025 – di Pejabat Oval Rumah Putih Trump sebagai tuan rumah menerima delegasi Presiden Zelensky dan “pengawal peribadi” terdiri dari Macron dari Peranchis, Starmer dari UK, Merz dari Jerman, Meloni dari Itali, Stubb dari Finland – juga 'gedebe' Setiausaha Agong Nato Mark Rutte dan Komisioner Kesatuan Eropah Ursula von der Leyen.
Ini dilihat pertemuan yang amat penting dalam usaha untuk menamatkan Perang Ukraine. Sekali lagi Trump dilihat memakai tali leher merah.
Selesai pertemuan delegasi Zelensky dengan Presiden Trump satu sidang akhbar telah diadakan. Kali ini sidang akhbar yang lebih mesra berbanding apa yang terjadi kepada Zelensky Februari dulu.
Media melaporkan bahawa Amerika bersetuju untuk menjamin keselamatan Ukraine. Ini salah satu tuntutan Zelensky dan juga permintaan dari Kesatuan Eropah.
Pemimpin Eropah masih lagi dibungkus dalam suasana Perang Dingin yang terus menganggap Rusia sebagai musuh. Tetapi pada masa yang sama Eropah tidak memiliki kekuatan bala tentera untuk melawan Rusia. Justeru bantuan Amerika diperlukan. Tanpa Amerika, Nato hanya tin kosong.
Hasil pertemuan ini negara Eropah telah bersedia untuk mengeluarkan dana persenjataan. Malah negara-negara Eropah telah diminta oleh Trump untuk meninggikan ke 5 peratus bajet persenjataan. Amerika mengikut Trump tidak mahu lagi menjadi ‘budak bodoh’ keluar duit untuk beri makan Nato.

Untuk menyedapkan hati Trump dan Amerika semua senjata-senjata ini akan dibuat di Amerika. Negara Eropah wajib membeli senjata-senjata ini. Amerika buat, Amerika jual dan Eropah beli. Sah dah terbukti bahawa presiden Amerika ini seorang taikun ahli perniagaan.
Dalam perjumpaan ini tidak ada disebutkan – gencatan senjata. Ini bermakna perang akan berterusan. Malah bala tentera Rusia dari hari ke hari semakin banyak menawan wilayah dan membina kembali wilayah yang telah ditawan.
Dalam masa yang sama Ukraine sedang nazak di medan pertempuran. Parlimen Ukraine baru saja meluluskan undang-undang membolehkan warga berumur 60 tahun untuk direkrut menjadi soldadu. Ini membuktikan bahawa tentera Ukraine telah terbarai hinggakan datuk dan cucu juga dipaksa untuk menjadi soldadu.
Kerana tidak ada perbincangan gencatan senjata maka Trump telah masuk bakul mengangkat diri sendiri. Trump mendakwa dia telah menamatkan enam peperangan tanpa perlu gencatan senjata.

“Saya telah menghentikan enam peperangan - secara purata kira-kira satu perang sebulan,” kata Trump kepada pemberita. Ini termasuklah perang India dan Pakistan dan Siam dan Kemboja.
Sebelum pertemuan ini berlangsung media telah menyebarkan berita bahawa Trump telah bersetuju untuk menerima beberapa cadangan Putin.
Contohnya wilayah Donbas, Donetsk dan Luhansk akan diafdalkan sebagai wilayah milik Rusia. Wilayah-wilayah ini telah diambil oleh Rusia setelah Putin melancarkan Operasi Istimewa pada 22 Februari 2022. Sementara itu, wilayah Crimea telah diambil kembali oleh Rusia pada 20 Februari 2014.
Satu perkara yang wajib diterangkan di sini bahawa semua wilayah ini adalah berasal usul dari wilayah Rusia. Majoriti penduduk di wilayah ini etnik Rusia. Malah Ukraine itu sendiri pada satu ketika dulu adalah sebahagian dari Rusia.

Justeru wilayah ini kembali ke pangkuan Ibunda Rusia. Semua wilayah ini telah dimasukkan ke dalam perlembagaan Rusia sebagai bumi Rusia setelah diadakan pemungutan suara pada tahun 2014. Hampir 90 peratus warga di wilayah ini mahu kembali bersama Rusia.
Media Barat dan media kaum imperialis enggan menyatakan fakta ini.
Malah Putin melancarkan ‘Special Operation’ kerana warga di wilayah ini meminta bantuan Rusia. Mereka menjadi sasaran korban kumpulan Azov Brigade. Ini Pasukan Nazi Ukraine yang berakar umbi semenjak Perang Dunia Kedua. Azov Brigade adalah cucu cicit Hitler di Ukraine.
Justeru salah satu daripada tujuan Rusia masuk ke Ukraine ialah untuk melupuskan Pasukan Nazi Azov Brigade. Malah Amerika sendiri mengakui bahawa Azov Brigade ini adalah pengganas Nazi.
Pertemuan Trump, Putin dan Zelensky
Hanya pada 10 Jun 2024 Azov Brigade ini tidak lagi dicap sebagai Pengganas Nazi oleh Amerika. Ini untuk membolehkan Amerika memberi kumpulan Nazi ini senjata dan membantu Zelensky.
Tujuan utama dan terpenting Special Operation Putin ialah untuk memastikan Ukraine tidak menjadi anggota Nato. Rusia curiga jika Ukraine menjadi anggota Nato ini akan mengancam keselamatan Rusia. Jika Ukraine menjadi anggota Nato maka segala bentuk senjata – roket dan bom nuklear – boleh ditempatkan di Ukraine. Wujudiah Rusia terancam.
Diplomasi perjumpaan Isnin 18 Ogos 2025 di Pejabat Oval Rumah Putih ini akhirnya ditutup oleh Trump.
“Pada akhir mesyuarat, saya menelefon Presiden Putin, dan memulakan perbincangan untuk mengadakan satu pertemuan, di lokasi yang akan ditentukan, antara Presiden Putin dan Presiden Zelensky,” tulis Trump di platform Truth Social. Trump juga menambah bahawa mesyuarat tiga hala termasuk Presiden Amerika akan menyusul.

Kini media telah melaporkan pertemuan antara Zelensky, Putin dan Trump ini akan berlaku dalam masa 10 hari. Tempat masih belum ditentukan.
Apa yang menarik – ketika tulisan ini digarap – tidak ada apa-apa komen atau kenyataan dari Putin atau dari Kremlin. Jika perjumpaan ini berlaku maka bermakna Putin juga telah berkompromi. Kerana selama ini Putin enggan berjumpa dengan Zelensky yang dianggap tidak mewakili Ukraine.
Jika Perang Ukraine tamat dalam masa terdekat pasti Trump akan dicadangkan sekali lagi untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan. Kita tunggu dan nanti dalam masa 10 hari. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
