KOLUM | Tatkala dunia masih memperdebatkan soal kemampuan wanita dalam kepimpinan, sejarah terus memaparkan wajah-wajah wanita yang menggegarkan dunia dengan keberanian, kebijaksanaan, serta kasih sayang yang membentuk masyarakat. Antara ikon yang berjaya mencuri perhatian ialah Licia Ronzulli, seorang ahli parlimen Eropah dari Itali, yang pernah membawa anak kecilnya ke Parlimen sejak usia sebulan.
Tindakan ini bukan sekadar simbolik seorang ibu yang menyusu, tetapi manifestasi keberanian seorang wanita yang menolak dikotomi lama bahawa wanita mesti memilih antara keluarga atau kerjaya?
Kisah Ronzulli menandakan bahawa wanita boleh memimpin, bekerja dan mengasuh pada masa yang sama, tanpa sesiapa berhak mempersoalkan.
Di sinilah bermulanya naratif besar yang perlu sama-sama kita angkat iaitu, wanita bukan sekadar pengikut, tetapi pemimpin yang menentukan hala tuju dunia.
Politik masa depan anak-anak
Pada 22 September 2010, dunia dikejutkan dengan imej seorang wanita membawa bayi ke ruang parlimen Eropah. Ramai menyangka ia sekadar gimik, namun sebenarnya ia adalah manifesto senyap bahawa politik dan kepimpinan tidak boleh menafikan hakikat wanita sebagai ibu.
Bayi kecil bernama Vittoria bukan hanya menemani ibunya, tetapi menjadi simbol bahawa politik itu juga tentang masa depan anak-anak kita. Setiap undang-undang, polisi, dan keputusan politik akan memberi kesan langsung kepada generasi akan datang. Maka, kehadiran seorang bayi di ruang legislatif adalah mesej yang lebih kuat daripada ribuan ucapan politik.
Media antarabangsa menobatkan Vittoria sebagai ‘veteran cilik,’ kerana kehadirannya yang konsisten dalam pelbagai sidang rasmi. Bayi itu membesar di hadapan kamera, menjadi saksi bahawa bondanya tetap setia memimpin walaupun berhadapan cabaran sebagai seorang ibu.
Ronzulli membuktikan bahawa kepimpinan wanita bukanlah tentang meninggalkan peranan tradisi, tetapi tentang mengintegrasikan kasih ibu dengan misi kepimpinan.
Kuburkan naratif lama
Sejarah dunia sering dibayangi persoalan: bolehkah wanita memimpin seperti lelaki?
Namun, soalan itu sebenarnya pincang. Ia berakar daripada budaya patriarki yang membataskan potensi separuh daripada populasi dunia.
Realitinya, wanita bukan sekadar mampu memimpin, malah dalam banyak keadaan, wanita lebih efektif berbanding lelaki. Kajian Harvard Business Review (2019) menunjukkan bahawa wanita sering mendapat skor lebih tinggi daripada lelaki dalam 17 daripada 19 kategori kepimpinan, termasuk integriti, empati, kebolehan membina pasukan, dan visi jangka panjang.
Realitinya, wanita bukan sekadar mampu memimpin, malah dalam banyak keadaan, wanita lebih efektif berbanding lelaki. Kajian Harvard Business Review (2019) menunjukkan bahawa wanita sering mendapat skor lebih tinggi daripada lelaki dalam 17 daripada 19 kategori kepimpinan, termasuk integriti, empati, kebolehan membina pasukan, dan visi jangka panjang.
Dalam Islam sendiri, Al-Quran mengiktiraf wanita sebagai pemimpin melalui ayat:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar…” (Surah At-Taubah: 71)
Ayat ini jelas bahawa kepimpinan bukan milik eksklusif lelaki, sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama.
Dari Cleopatra hingga Jacinda Ardern
Sering kali wanita ditekan dengan persoalan: nak pilih kerjaya atau keluarga? Namun, kisah Ronzulli menunjukkan jawapan itu adalah, kedua-duanya sekali.
Seorang wanita boleh membina dasar ekonomi sambil menyusukan bayi. Seorang wanita boleh menggubal undang-undang sambil menyiapkan susu anak. Kepimpinan wanita sebenarnya lebih holistik kerana ia lahir daripada pengalaman nyata membesarkan manusia.
Wanita yang memimpin membawa sentuhan empati, sesuatu yang semakin hilang dalam dunia politik yang keras, sinis, dan penuh perhitungan. Inilah kelebihan yang tidak boleh ditiru oleh lelaki, sekaligus menjadikan kepimpinan wanita lebih bernilai.
Kalau kita menoleh ke belakang, sejarah sudah berulang kali membuktikan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap dalam dunia kepimpinan, tetapi merekalah ‘arkitek perubahan’ yang sebenar. Lihat sahaja Cleopatra, Ratu Mesir yang bukan sahaja masyhur dengan kecantikan, tetapi juga kehebatan diplomasi yang mengikat kekuatan bersama Rom.
Begitu juga dengan Ratu Balqis, seorang pemerintah yang diabadikan dalam al-Quran kerana kebijaksanaannya membuat keputusan penuh berhikmah sebelum bermesyuarat dengan Nabi Sulaiman.
Dalam era moden, dunia menyaksikan Benazir Bhutto yang tampil sebagai wanita pertama memimpin sebuah negara Islam, Pakistan, sekali gus merobohkan stereotaip bahawa politik hanya milik lelaki. Tidak ketinggalan Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand yang dikenang kerana kepimpinan penuh empati, terutama ketika mengurus tragedi berdarah Christchurch.

Dan kini, sosok seperti Licia Ronzulli hadir menambah catatan gemilang itu seorang ibu dan ahli politik yang membuktikan bahawa dunia ini selamat dan lebih sejahtera apabila dipimpin oleh tangan-tangan wanita yang cekal, berani, dan penuh kasih sayang.
Kepimpinan wanita dunia kontemporari
Realitinya, hari ini dunia sedang menyaksikan kebangkitan luar biasa wanita di kerusi kuasa, mengangkat wajah kepimpinan global ke tahap yang lebih seimbang dan berempati. Ursula von der Leyen, sebagai Presiden Suruhanjaya Eropah, menjadi lambang keberanian dan visi strategik dalam mengemudi Kesatuan Eropah.
Christine Lagarde pula menulis sejarah tersendiri apabila mengemudi Bank Pusat Eropah, membuktikan bahawa ketegasan dalam mengurus ekonomi tidak pernah menafikan kelembutan jiwa seorang wanita.
Di seberang Atlantik, Kamala Harris berdiri megah sebagai Naib Presiden Amerika Syarikat, seorang wanita kulit hitam pertama yang memecah rekod dalam politik negara kuasa besar itu.
Sementara itu, di Eropah Utara, Sanna Marin tampil sebagai Perdana Menteri Finland pada usia yang begitu muda, hanya 34 tahun, menjadi inspirasi bahawa kepimpinan wanita bukan lagi sesuatu yang perlu ditunggu-tunggu masa, tetapi sudah pun berlaku di hadapan mata kita.
Semua ini menandakan satu perkara jelas iaitu, dunia semakin percaya bahawa masa depan hanya akan lebih baik jika dipimpin bersama oleh tangan-tangan wanita yang berani dan berwawasan.
Fenomena ini membuktikan bahawa dunia sedang bergerak ke arah keseimbangan gender dalam kepimpinan. Dan lebih penting, masyarakat semakin sedar bahawa menafikan wanita dalam kepimpinan adalah kerugian besar kepada dunia.
Kepimpinan wanita menurut perspektif Islam
Islam sebagai agama rahmah, sebenarnya telah lama mengangkat martabat wanita, jauh mendahului wacana moden tentang kesaksamaan gender.
Walaupun ada perdebatan yang panjang tentang tafsiran hadis tertentu, sejarah Islam sendiri telah membekalkan bukti nyata bahawa wanita bukan sahaja berhak, malah layak menjadi pemimpin.
Lihat sahaja keilmuan Aisyah RA, yang menjadi rujukan utama dalam bidang hadis dan fiqh, sehingga para sahabat pun merujuk kepadanya dalam urusan agama. Di Mesir pula, muncul sosok Syajar ad-Durr yang pernah memimpin negara dengan kebijaksanaan, dan diiktiraf ketokohannya walaupun berada di tengah-tengah dunia lelaki.
Tidak ketinggalan Nusaybah binti Ka’ab, seorang pejuang gagah berani yang turun ke medan Uhud, berdiri di sisi Rasulullah SAW, melindungi baginda dengan tubuhnya sendiri, adalah bukti bahawa keberanian dan pengorbanan seorang wanita mampu menggoncang sejarah.
Ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menegaskan dengan jelas bahawa selagi mana seorang wanita mempunyai kompetensi, integriti, dan kemampuan, maka tiada halangan syarak untuk mereka memimpin. Hakikat ini sekaligus memadamkan mitos yang sering dimainkan bahawa Islam menolak kepimpinan wanita; sebaliknya, Islam meraikan mereka yang layak, tanpa mengira jantina.
Wanita ubah dunia
Kita kini berada dalam era di mana kepimpinan memerlukan empati, kreativiti, dan keberanian semua ini adalah kelebihan yang sudah lama dimiliki wanita. Teknologi, globalisasi, dan dunia pasca-pandemik menuntut kepimpinan yang lebih human-centered, bukan sekadar angka dan kuasa. Wanita terbukti lebih cenderung memimpin dengan nilai ini.
Maka, masa depan dunia adalah masa depan yang dipimpin oleh wanita. Dari ruang parlimen hingga bilik darjah, dari syarikat multinasional hingga NGO kecil, wanita sedang mengubah dunia satu keputusan pada satu masa.
Kisah Licia Ronzulli hanyalah satu titik dalam peta luas perjuangan kepimpinan wanita. Namun ia adalah simbol yang tidak dapat dipadamkan kerana seorang ibu boleh menyusukan anak dan pada masa sama menggubal dasar negara.
Wanita bukan lagi bayang-bayang. Mereka adalah cahaya yang menerangi dunia. Mereka bukan sekadar peneman, tetapi penentu masa depan. Sejarah akan terus mencatat, dan masa depan akan terus membuktikan bahawa wanita tidak boleh dipersoalkan lagi. Merekalah pemimpin dunia.
ATRIZA UMAR calon ijazah kedoktoran dalam bidang kepimpinan wanita.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
