Donald Trump ialah Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 dan ke-47. Mossad pula lembaga risikan dan operasi khusus Israel. Gaza sebahagian dari bumi Palestin yang telah dijajah oleh Israel semenjak 1948. Siapa pula Epstein?
Nama penuh sosok ini ialah Jeffrey Edward Epstein. Seorang guru sekolah swasta. Berhenti daripada menjadi guru dia telah menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Dia menjadi kaya raya—bertaraf bilionair. Kerana kaya raya maka Epstein memiliki kawan, kenalan dan rakan daripada yang ternama, tersohor dan berpengaruh.
Epstein tergolong dalam kumpulan elit sosial di Amerika—Who is Who in America.
Inilah cerita dan kisah awal yang kita ketahui tentang Jeffrey Epstein. Kisah ini beralih kiblat apabila dia ditangkap pada tahun 2005 di Florida, Amerika. Emak dan bapa seorang anak gadis berumur 14 tahun telah mengadu kepada polis bahawa Epstein telah mengadakan hubungan seks dengan anak mereka yang masih di bawah umur.

Ketika kes dalam perbicaraan mahkamah telah diberitahu ada seramai 36 orang anak-anak gadis di bawah umur yang lain yang ada hubungan dengan Epstein.
Pada tahun 2008 Epstein telah mengaku salah atas tuduhan menjadi bapa ayam dan juga melanggan pelacur. Dia membuat persetujuan dengan Jabatan Peguam Negara Amerika. Persetujuan ini ialah 13 bulan tahanan dengan membuat kerja amal. Epstein tidak masuk penjara hanya melapor diri untuk melakukan kerja amal.
Pada ketika ini telah ada pihak yang bertanya kenapa hukuman yang dijatuhkan dilihat lembut terhadap hubungan seks di bawah umur. Persoalan hanya tinggal persoalan.
Pada 6 Julai 2019 sekali lagi Epstein ditangkap. Kali ini atas tuduhan memperdagangkan pelacur di bawah umur. Kali ini dia dimasukkan ke dalam penjara ketika menunggu perbicaraan berjalan.
Tuduhan ke atas Putera Andrew
Polis di New York telah memasuki rumah orang kaya ini untuk mencari bahan bukti. Berkotak-kotak dokumen telah ditemui. Beratus-ratus keping video telah juga diambil untuk kajian forensik.
Pada ketika ini makin ramai wanita-wanita yang satu ketika dulu menjadi bahan lacur datang menghadapi media untuk memberitahu ke pengetahuan umum. Salah seorang ialah anak gadis bernama Giuffre Virginia Roberts.
Giuffre yang berumur 38 tahun mengakui bahawa dia telah dilacurkan untuk menjadi ‘penyedap’ Putera Andrew ketika dia berumur 17 tahun.
Guiffre menegaskan bahawa dia telah dirogol oleh Putera Andrew sebanyak tiga kali, termasuk berlaku di London pada tahun 2001 ketika dia berumur 17 tahun. Dia mendakwa Epstein membayar 15,000 dolar untuk dia melakukan hubungan seks dengan Putera Andrew. Tuduhan ini bagaimanapun dinafikan putera Ratu Elizebeth itu.

Sebagai bahan bukti ada sekeping gambar di mana Putera Andrew sedang memeluk Giuffre. Dalam gambar yang sama kelihatan Ghislaine Maxwell di belakang Andrew dan Giuffre. Ghislaine ini ialah kekasih Epstein.
Bila gambar ini muncul dunia media heboh. Istana Buckingham kelam kabut untuk menutup kemaluan yang semakin membesar.
Tidak cukup dengan gambar Putera Andrew saja—nama-nama para politikus dan orang kenamaan di Amerika juga mula muncul. Nama-nama ini tersenarai sebagai pernah menjadi tamu di rumah Epstein. Nama Bill Clinton dan nama Donald Trump tersenarai sama.
Bill Clinton dikatakan telah pernah beberapa kali menaiki jet peribadi milik Epstein untuk datang ke pulau milik Epstein.
Bunuh diri di penjara
Elit politik dan elit ekonomi Amerika jadi gempar. Media melihat skandal seks kelas atasan sebagai bahan yang amat menarik. Para elit dan kumpulan sosial orang kaya-kaya ini mula menjauhkan diri. Semua takut tempias Epstein.
Pada 10 Ogos 2019 Epstein ditemui mati dalam bilik penjara. Dia diumumkan sebagai membunuh diri.
Berita kematian bilionair Jeffrey Epstein dalam penjara ini meledak di Amerika. Ketika ini Presiden Amerika ialah Donald Trump. Justeru musuh Trump telah mencungkil rekod hubungan Trump dengan Epstein. Gambar dan klip video Trump bersosial bersama Epstein muncul.
Trump yang terus digasak oleh musuh politik Parti Demokrat. Trump mengumumkan bahawa dia kenal baik dengan Epstein pada satu ketika dulu. Tetapi semua hubungan dengan Epstein telah putus lama.

Trump gagal untuk menduduki Rumah Putih untuk kali kedua. Kerusi presiden telah diambil oleh Joe Biden dari Parti Demokrat. Berita dan kisah Epstein ini kini beralih pula kepada Ghislaine Maxwell—kekasih Epstein.
Wanita ini juga dari kelas elit United Kingdom. Ayah kepada Ghislaine ialah Robert Maxwell pemilik akhbar harian Daily Mirror. Sosok yang berpengaruh dalam politik United Kingdom kerana memiliki jaringan media.
Kali ini sesudah kematian ‘bapa ayam’ —Ghislaine Maxwell pula dituduh sebagai ‘ibu ayam’. Pada tahun 2021 Ghislaine didapati bersalah bersubahat dengan Jeffrey Epstein untuk memperdagangkan gadis di bawah umur. Ghislaine dihukum 20 tahun penjara.
Untuk kali ketiga Trump bertanding. Kali ini ketika berkempen dia telah menimbulkan isu ‘bapa ayam’ Jeffrey Epstein. Trump menuduh politikus dari parti Demokrat seperti Bill Clinton sebagai pelanggan seks di bawah umur.
Kes senyap
Dalam masa yang sama gerakan Maga—(Make America Great Again) kumpulan yang kuat menyokong Trump telah menuduh wujudnya kumpulan pedofil di Washington DC. Maga menggunakan Epstein sebagai peluru untuk menembak Joe Biden.
Fail, dokumen dan klip video yang dirampas polis kini dipertikaikan. Kenapa pihak polis dan Jabatan Peguam Amerika tidak membuka fail-fail ini untuk pengetahuan umum?
Trump juga mencelah sama. Ketika berkempen Trump berjanji akan membuka kembali kes Epstein. Trump juga berjanji akan mengeluarkan dan memaparkan semua fail-fail yang ada dalam tangan polis dan Lembaga Kehakiman Amerika.
Trump menang untuk kali kedua untuk menjadi presiden Amerika. Penyokong Trump seperti Maga amat-amat bergembira. Perjuangan mereka kini berjaya. Mereka menunggu bila Donald Trump akan membuka kembali kes Jeffrey Epstein. Maga mahu lubuk dan paya pedofil di Washington dikeringkan.

Dari seminggu menjadi sebulan. Kes Epstein senyap—tidak ada apa-apa dari komen Trump. Dari sebulan menjadi tiga bulan—Trump tidak berbuat apa-apa tentang janjinya terhadap fail dan video Epstein. Kumpulan Maga mula marah.
Pada masa yang sama Parti Demokrat pula mengambil kembali isu Epstein. Para senator dari Parti Demokrat kini bersuara dan bertanya apakah sebab Trump gagal menunaikan janji untuk membuka fail Epstein.
Kini suara-suara semakin kuat kedengaran. Kali ini bukan nama Bill Clinton sahaja yang disebut-sebut malah nama Donald Trump sekali dikatakan tersenarai dan berkali-kali telah datang melawat pulau milik Epstein.
Peluru yang digunakan untuk menembak Joe Biden dan Parti Demokrat kini digunakan pula untuk menembak Donald Trump.
Amerika kembali heboh apabila adik kepada Jeffrey Epstein mengatakan dia tidak percaya bahawa abangnya mati membunuh diri. Kenyataan ini juga disambut oleh Ghislaine Maxwell. Untuk menyedapkan cerita pada malam kematian Epstein kamera cctv telah rosak. Juga pengawal penjara yang bertugas 24 jam mengawal Epstein telah tertidur.
Untuk meredakan keadaan sang pengawal penjara ini telah didenda. Tetapi desakan agar fail dan semua nama-nama tetamu Epstein dibuka untuk pengetahuan umum.
Berita konspirasi ‘bapa ayam, ibu ayam, geng pedofil’ dan elit sosial Amerika tidak berhenti di sini sahaja. Siapa dia sosok yang bernama Jeffrey Epstein ini makin digali. Persoalan timbul bagaimana seorang guru sekolah yang diberhentikan kerana perangai tidak senonoh boleh menjadi kaya raya. Jeng jeng jeng.
Maka di sini muncul desas-desus bahawa bapa ayam ini telah menggunakan seks di bawah umur untuk memerangkap pelanggan yang bukan kecil anak.
Media Amerika telah melaporkan bagaimana di semua bilik tidur tamu—telah dipasang kamera. Ini untuk merakamkan tunggang langgang yang berlaku di atas katil atau di dalam bilik mandi. Rakaman video ini dikatakan digunakan oleh Epstein untuk memeras ugut tetamunya.
Jeffrey Epstein dan Ghislaine Maxwell dituduh menggunakan gadis bawah umur sebagai umpan untuk melancarkan projek pau—atau peras ugut.
Tetamu Epstein yang ternama, tersohor dan terkaya seperti Bill Gates, Elon Musk, David Copperfeild dan juga Michael Jackson telah dilaporkan ternampak oleh para pekerja di pulau milik Epstein.
Berita ‘bapa ayam dan ibu ayam kaki pau’ ini tidak terhenti di sini sahaja. Kini sekali lagi fakta tentang ayah Ghislaine ditimbulkan kembali. Robert Maxwell ini didapati mati lemas berhampiran dengan kapal mewahnya di Pulau Canary Sepanyol. Laporan rasmi Maxwell mati lemas kerana kemalangan. Tetapi ramai mensyaki dia dibunuh mati.
Hari ini semakin banyak teori konspirasi mengatakan Robert Maxwell ialah agen Mossad. Dia didakwa bekerja dalam dunia politik United Kingdom. Maxwell dikebumikan di Mount Olives di Baitulmuqadis Israel. Hampir semua bekas perdana menteri srael dan Presiden Israel telah hadir di hari pengebumian Maxwell. Ini memperkuatkan surah konspirasi bahawa Robert Maxwell ini bukan kecil anak dalam lembaga Mossad.
Kini media Amerika secara terbuka telah melaporkan teori konspirasi Epstein dan Ghislaine juga bekerja untuk Mossad.

Video seks dengan gadis bawah umur ini dikatakan digunakan untuk memeras ugut. Untuk tetamu kaya mereka akan memberi duit agar kisah seks mereka tidak terdedah. Maka dari sinilah punca Epstein menjadi kaya raya.
Sementara itu, klip video para politikus pula digunakan bukan oleh Epstein tetapi didakwa diguna pakai oleh Mossad. Mossad guna untuk apa?
Apakah kerana Mossad maka Trump enggan mengeluarkan senarai nama tetamu Epstein? Apakah nama Trump tersenarai sama dan wujud klip seks Donald Trump dengan anak gadis bawah umur? Apa sangkut paut dengan Gaza? Tunggu minggu hadapan. Amin.
HISHAMUDDIN RAISaktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
