Paling Popular
Terkini

KOLUM | Bersempena perayaan sedekad Amanah yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, saya karang sebuah sajak yang berjudul Aku Nyamuk Itu.

Ya,
aku nyamuk itu.

Binatang dari kumpulan terbuang
dihukum bagai serangga
dan juga segala haiwan
yang hina
dan paling celaka
babi dan anjing.

Nyamuk itu
bersayap rapuh
terbang rendah
tapi mau ke langit tujuh.

Aku yang kerdil
dan kecil
melayang-layang
menongkah gelora
yang tidak pernah
kunjung padam.

Nyamuk itu
sedekad sudah
suara ini melagukan
nyanyian paling sederhana.

Detik 16 Sept 2015 bersamaan
2 Zulhijjah 1436 Hijrah
adalah manifestasi ibadah korban
dan kita membakar semangat kebangsaan
dengan nafas kebersamaan.

Kita memilih untuk mekar dalam api
menyala rasa
progresif, peduli, inklusif.

Ya,
aku nyamuk itu.

Kini aku mau menjadi rajawali
mengembangkan cakarnya berbisa
tajam matanya memandang
daratan dan lautan:
Membunuh setiap langkah setan
membenam paruh pada perselingkuhan dalam
menerjah penjilat
menerjang pejuang palsu
bertopeng kemuliaan.

Pada keserakahan
tembolok, perut dan bawah perut
tenggelam mabuk kuasa
kita kepalkan tekad untuk menolak.

Saudara,
Amanah
ini adalah wadah siasah.

Mari lebarkan sayap rahmah
suburkan kasih dan kebahagiaan
pada tanah air ini.

Sajak itu dikarang semasa saya berada di Dungun. Mengadap ke muka Laut China Selatan yang berombak sewaktu menanti senja berlabuh.

Tiupan angin pantai seakan muzik alam mengiringi pada setiap lantunan patah kata sajak itu.

Seperti juga manusia, hukum alam sentiasa berubah. Sejak sajak itu ditulis dua bulan lalu, ia sering diubah suai demi mencari kesesuaian kata dan memastikan mesejnya disampaikan sebaik mungkin.

Nyamuk adalah gelaran hodoh yang ditujukan kepada kami yang meninggalkan PAS suatu ketika dulu lalu menubuhkan Amanah. Parti Amanah didirikan 10 tahun lalu.

Mengaitkan kami seperti nyamuk adalah bagi menunjukkan parti baru itu dijangkakan oleh PAS tidak punya hayat yang lama.

Dalam epistemologi Melayu, istilah nyamuk merujuk kepada sesuatu yang remeh, kecil dan kerdil.  

Cari tapak untuk berpijak

Meskipun boleh saja diertikan nyamuk itu sebagai serangga yang mampu membunuh Namrud yang zalim, tuduhan atau gelaran nyamuk itu hanyalah sekelumit daripada segunung kata gelar yang meloya dan menjijikkan pernah dilemparkan kepada Amanah.

Ketika itu - dan masih berbaki sehingga kini - musuh PAS bukan sekadar ditamsilkan sebagai nyamuk. Musuh PAS diberikan pelbagai gelaran hatta sebagai binatang, najis, babi dan anjing.

Mereka mendakwa bahawa semua nama haiwan itu dikutip dari ayat-ayat suci al-Quran. Tujuannya - bagi menghina pihak lawan dan mensakralkan diri sendiri dan parti.

Lalu, khalayak yang naif itu pun membenarkan gelaran tersebut tanpa soal.

Pun begitu, di sebalik semua itu, ia mencetuskan satu tenaga berkarya. Ia bukan untuk mengubat luka tetapi membina naratif pembangunan bangsa bermaruah dan merdeka.

Setelah tersingkirnya dan gugurnya 'setandan' 18 bekas pimpinan PAS Pusat di muktamar parti di Kuala Selangor pada 2015, ia menjadi garis pemisah dalam satu wadah.

Amanah sebagai sebuah parti baru melangkah dalam proses pendewasaan sebuah organisasi.

Meski dipimpin oleh watak yang berwibawa dan sudah lama dalam politik, tetapi perlu diakui bahawa di peringkat akar umbi, Amanah masih terkial-kial mencari tapak untuk berpijak.

Kemenangan PH dalam PRU 2018 kemudian seperti memaksa Amanah untuk menjadi matang sebelum waktunya.

Menjatuhkan rejim Umno-BN dan bekerjasama dengan bekas musuh politik, Dr Mahathir Mohamad, adalah satu anjakan paradigma yang besar dalam landskap politik tanah air.

Pun begitu dalam sains politik, ia bukanlah suatu yang aneh. Aristotle yang menulis buku Politics ada menyebutkan bahawa "tiada yang kekal, melainkan kepentingan".

Itulah realiti dalam politik.

Usah biarkan parasit membiak

Sewaktu PH di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, Amanah diberikan kepercayaan menerajui beberapa kementerian - termasuklah yang kanan atau sangat penting - sehinggalah Langkah Sheraton tiba lalu meruntuhkan kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat.

Detik itu ibarat dentuman dahsyat. Bercempera semua tiang seri, dinding, rabung, kuda-kuda dan atap parti politik tanah air. Selebihnya tidak perlulah diulang cerita.

Apabila PRU 2022 tiba, Amanah melalui PH kembali bertanding sebagai kepada pembangkang dan bergelut untuk mendapatkan keyakinan pengundi. Ia adalah jalan yang sukar dan tidak menentu sehinggalah kerajaan perpaduan tertubuh.

Amanah - serta PH - berpakat dengan musuh politik sendiri. PH bekerjasama dengan Umno dan BN untuk membentuk kerajaan yang lengkap bagi mentadbir negara.

Sepanjang sedekad lalu, politik tanah air melalui banyak tragedi dan komedi politik. Amanah sendiri tidak terkecuali. Misalnya wujud watak-watak bertopeng yang bergerak dengan kuasa yang ada.

Selain itu bercambah-cambah tukang kipas, pembodek, pengampu serta segala macam cerita jelik yang tidak diperlukan oleh sesiapa. Tetapi mereka ada.

Mereka cuma ingin mengisi tembolok, perut dan bawah perut dengan melacurkan kata keramat "demi rakyat, negara dan agama."

Kehadiran mereka bukan tidak disedari tetapi demi mengekalkan kedudukan dan kekuasaan, ia perjuangan yang murni rela dipertaruhkan.

Bagi mengekang parasit itu daripada terus membiak dan berakar, kita jangan takut untuk menerjang sesiapa yang perlu demi membina negara yang penuh dengan rahmah.

Perayaan sedekad Amanah dengan temanya Satu Dekad, Satu Misi, Satu Hati adalah kesempatan terbaik untuk sajak di atas disampaikan demi ingatan bersama.

Amanah ditubuhkan pada 15 Sept 2015. Tarikh itu dipilih bersempena dengan hari penubuhan Malaysia. Ada nilai kebangsaan padanya.

Amanah sendiri jarang melihat detik ia dilahirkan dari lensa tahun Hijri iaitu 2 Zulhijjah 1436. Sebenarnya Amanah dibidankan dengan semangat hijrah yang sarat pengorbanan.

Perayaan Sedekad Amanah perlu diraikan dengan bayangan ihram, berhimpunan di Padang Arafah, Mina, Jabal Rahmah, melontar di Jamrah, bermalam Mudzalifah dan segala perlakuan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS ribuan tahun lalu.

Dari situlah kita akan dapat merasai roh pengorbanan Siti Hajar berlari-lari anak di padang pasir di antara Bukit Marwah dan Safa mencari air.

Tawaf di sekeliling Kaabah pula bukanlah langkah untuk membilang pintu syurga atau mengintai tujuh peti emas. Ia adalah manifestasi pengorbanan dan ketaatan mutlak kepada Allah SWT.

Pendiri awal Amanah sendiri rela memilih untuk mekar dalam api bagi menyala rasa progresif, peduli dan inklusif. Istilah ‘mekar dalam api’ adalah sebahagian daripada tajuk memoir yang saya tulis mengenai sejarah Amanah.

Terimalah sajak nyamuk itu. 


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS