Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Sabah dan mempertahan nasionalisme Malaysia

KOLUM | idea pembentukan “Malaysia” itu mulanya datang dari “Sabah”. Ia berlaku pada 1887. Tentunya ketika itu tiada siapa terfikir untuk menamakan gagasan tersebut sebagai Malaysia.

Sementara itu nama “Sabah” pula belum lagi digunakan. Negeri itu masih bernama  North Borneo atau Borneo Utara.

Tetapi perkataan “Malaysia” dicipta lebih awal lagi iaitu pada 1831. Jules Dumont d’Urville, seorang pelayar Perancis dalam kertas  yang diajukan pada  Societe de Geographie (Persatuan Geografi) mencadangkan nama “Malaysia” tetapi ia membawa maksud berbeza.

Dia berbuat demikian untuk membezakan wilayah pulau-pulau di timur benua kecil India dengan kepulauan Pasifik yang telah pun diberikan nama sebagai Polynesia dan Micronesia.

Maka istilah “Malaysia” membawa maksud istilah Nusantara yang digunakan sekarang.

Tetapi bagi orang Belanda dan Inggeris, mereka sudah menamakan rantau ini sebagai East Indies atau Hindia Timur. Dalam dunia ini terdapat tiga India.

Pertama, benua kecil India; kedua, Hindia Barat yang terletak di pulau-pulau Laut Caribbean di AS, manakala yang ketiga, Hindia Timur.

Belanda telah menamakan wilayah mereka sebagai Dutch East Indies atau Hindia Timur Belanda. Tetapi British tidak pula menggunakan istilah British East Indies walaupun mereka mempunyai East India Company (EIC) atau Syarikat India Timur.

Sebaliknya mereka menggunakan istilah British Malaya dan British Borneo untuk merujuk pada tanah jajahan mereka di Hindia Timur.

Hasrat kembangkan empayar Jerman

Nama lain yang digunakan oleh British untuk Hindia Timur ialah Malay Archipelago atau Gugusan Pulau-pulau Melayu.  Maka “Malaysia” atau Malaisie dalam bahasa Perancis merupakan istilah geografi dan bukannya politik.

Borneo Utara pula adalah salah satu daripada wilayah British Borneo. Wilayah-wilayah lain ialah Sarawak, Brunei dan Labuan yang pentadbirannya di bawah Straits Settlements (Negeri-negeri Selat).

Pulau Borneo pula terdiri daripada British Borneo dan Dutch Borneo . Wilayah ini adalah sebahagian daripada Hindia Timur Belanda yang ditadbir dari Batavia atau Betawi (kini Jakarta).

Sebelum era kolonial, seluruh pulau itu dipanggil sebagai Brunei.

Pemerintahan Kesultanan Brunei pada mulanya meliputi Sarawak dan sebahagian besar Sabah. Perkataan Sabah itu pada awalnya bermaksud hulu (upstream) dalam bahasa Melayu Brunei, Dusun dan Kandayan.

Maknanya Sabah itu bermaksud Hulu Brunei atau hujung Pulau Borneo.

Secara bertulis perkataan Sabah digunakan apabila Sultan Brunei melantik Baron von Overbeck sebagai Maharajah Sabah untuk mentadbir wilayah itu pada 1877.

Overbeck adalah juga Maharajah Gaya dan Sandakan. Dia merupakan seorang bangsawan Jerman yang menjadi penjelajah dan ahli perniagaan. Overbeck bekerja dengan syarikat British yang berpusat di Hong Kong.

Sungguhpun begitu, dia mempunyai hasrat untuk mengembangkan empayar Jerman di Sabah.

Pihak Jerman sudah menguasai sebahagian daripada pulau New Guinea iaitu di sebelah timur laut. Maka pulau New Guinea itu terbahagi tiga iaitu New Guinea Belanda, New Guinea British dan New Guinea Jerman.

Apabila Jerman kalah dalam Perang Dunia Pertama, British mengambil New Guinea Jerman dan menggabungkannya dengan wilayah New Guinea British. Sekarang ia menjadi Papua New Guinea. Sementara New Guinea Belanda menjadi Papua Barat dan merupakan wilayah Indonesia

Maharajah sebagai gelaran Overbeck merupakan satu kedudukan dalam sistem istana Melayu. Kedudukan maharajah terletak di bawah bendahara dan temenggong.

Nama Malaya yang tinggal

Apabila Indonesia ditubuhkan di atas Hindia Timur Belanda, Borneo Belanda menjadi Kalimantan. Malah seluruh pulau Borneo dinamakan Kalimantan termasuk Sarawak, Brunei dan Sabah.

Semasa Konfrontasi pada 1963 mereka memanggil Sarawak, Brunei dan Sabah sebagai Kalimantan Utara. Hanya selepas Sukarno tumbang barulah salah satu wilayah dalam Indonesia dinamakan  Kalimantan Utara.

Namun Indonesia terus memanggil keseluruhan pulau itu sebagai Kalimantan sementara Malaysia tetap memanggilnya pulau Borneo.

Namun pada 1960-an, Malaysia tidak memanggil Sarawak dan Sabah sebagai Malaysian Borneo. Istilah yang digunakan ialah East Malaysia atau Malaysia Timur. Sementara Singapura dan Malaya dipanggil Malaysia Barat.

Apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia, istilah Malaysia Barat hanya merujuk kepada Malaya atau Tanah Melayu.

Pada 1971, berlaku perpecahan antara Pakistan Barat dan Pakistan Timur yang melahirkan Bangladesh. Selepas itu istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur tidak digunakan.

Malaysia Barat dipanggil Semenanjung Malaysia dan sekali gus menghapuskan nama Malaya dan Tanah Melayu.  

Malaysia Timur hanya menggunakan istilah Sarawak dan Sabah.

Istilah Malaya yang tinggal hanyalah di Universiti Malaya dan harimau Malaya.

Tetapi perkataan Malaya digunakan oleh penduduk Sabah untuk merujuk kepada Semenanjung Malaysia dalam nada rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan persekutuan.

Istilah Borneo pula hanya digunakan dalam sebutan geografi. Namun begitu, pada tahun 2000-an, ia sering digunakan dalam gimik pelancongan. Maka disebut Sabah Borneo dan Sarawak Borneo dengan kepercayaan orang Barat suka pada imej eksotik Borneo.

Ia juga sering digunakan oleh orang Sabah dan Sarawak yang berasa tidak puas hati dengan pihak Semenanjung.

Cadangan negara besar yang menggabungkan Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara pertama kali itu datang daripada pentadbir Sabah iaitu North Borneo Chartered Company (NBCC).

Penubuhan kesatuan Indonesia

Sekembalinya dari lawatan ke negeri itu. Pengarahnya, Lord Brassey atau nama penuhnya Thomas Brassey, 1st Earl Brassey membuat cadangan itu untuk mengukuhkan kedudukan geopolitik British di Asia Tenggara.

Lebih penting lagi dengan penggabungan itu, Britain boleh lebih banyak memanfaatkan potensi ekonomi gabungan. Atau lebih jelas, ia bermaksud lebih efisien memerah hasil-mahsul tanah jajahan dan naungan British.

Lord Brassey ketika itu adalah Gabenor Victoria, Australia dan tinggal di Melbourne. Dia yang merupakan ahli politik Parti Liberal menjadi Pengarah NBCC  dari 1881 diikuti sebagai pengerusi dari 1893 hingga 1908.

Earl ialah satu gelaran kedudukan dalam istana British. Terdapat lima pangkat bermula dari atas dengan Duke, Marquess, Earl, Viscount, dan yang paling rendah ialah Baron.

1st Earl Brassey bermaksud Lord Brasdey itu adalah “Earl pertama bagi keluarga Brassey.”

Terdapat empat ahli lembaga pengarah NBCC yang diketuai pengerusi. Pada 1901, pengerusi itu dipanggil presiden. Ibu pejabat syarikat itu terletak di London, begitu juga kediaman pada pengarahnya.

Pejabat mereka di Sabah terletak di Sandakan. Mereka ada akhbar sendiri bernama Borneo Herald yang pernah menyebut istilah Sabah.

Pada masa itu di Asia Tenggara, Perancis telah menyatukan Vietnam, Kemboja dan Laos dalam satu konsep geografi dan politik bernama Indochina.

Belanda pula telah menyatukan semua Greater Sunda Islands atau Pulau-pulau Sunda Besar yang terdiri daripada Sumatera, Jawa, Borneo dan Celebes serta Lesser Sunda Islands yang terdiri daripada Lombok, Flores dan Moluccas bersama New Guinea Barat dalam gabungan Dutch East Indies atau Hindia Timur Belanda.

Ternyata apabila merdeka Hindia Timur Belanda ini dapat dipertahankan kesatuannya sebagai Indonesia.  

Burma (kini Myanmar) pula berada di bawah pentadbiran India British. Bayangkan begitu besar wilayah mereka - dari sempadan Afghanistan hingga sempadan Thailand.

Pulau-pulau di bawah Sepanyol sudah lama disatukan dengan nama Filipina pada kurun ke-16 dengan mengambil sempena Raja Sepanyol, Philip II.

Namun begitu, pada 1962, ada satu cadangan kepada Senat Filipina supaya negara mereka ditukar namanya kepada Malaysia dengan anggapan bahawa Filipina juga merupakan sebuah “negara Melayu”.

Sedangkan ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra telahpun mengumumkan penubuhan Malaysia.  Apabila Malaysia ditubuhkan, cadangan itu dilupakan saja.

NBCC ditubuhkan pada 1881. Chartered pada namanya bermakna ia memperoleh piagam yang dianugerah Raja British untuk mentadbir dan memanfaatkan sumber alam Borneo Utara.

Selepas Malayan Union gagal

Wilayah itu kemudiannya menjadi naungan Empayar British pada 1888 dan akhirnya menjadi tanah jajahan mahkota. Syarikat itu menghentikan operasi pada 1946.

Sebab utama yang mendorong Lord Brassey mengemukakan cadangan gabungan Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara itu adalah masalah kewangan syarikat berkenaan.

Maka jika wilayah-wilayah British itu disatukan, kekayaan dari Malaya - melalui bijih timah dan getah - boleh disalurkan juga kepada Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara. Langkah itu sekali gus menyelamatkan NBCC.

Cadangan berkenaan bagaimanapun ditolak oleh pemegang saham syarikat. Hal itu kerana ia boleh  mengurangkan kuasa dan menjejaskan monopoli mereka.

Namun begitu, pada 1951 perkara berkenaan timbul semula apabila Pesuruhjaya Jeneral (Commissioner General) British bagi Asia Tenggara Malcolm MacDonald mencadangkan semula pembentukan gabungan berkenaan.

Tetapi tidak ada sesiapa di Malaya yang berminat pada cadangan itu terutama dalam kalangan orang Melayu.

Setelah menggagalkan Malayan Union dan mendukung penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, orang Melayu hanya mahukan sebuah negara yang menjamin kedudukan raja-raja dan hak istimewa mereka.

Tanah Melayu adalah tanah air mereka dan ketika itu tidak ada perasaan nadionalisme terhadap sebuah negara gabungan semua bekas tanah jajahan British di Asia Tenggara.

MacDonald ialah seorang ahli parlimen Parti Buruh yang kemudian menjadi menteri dan Gabenor Jeneral bagi Malaya, Singapura dan Borneo British.

Ketika Malaya mengadakan pilihan raya pada 1955, cadangan penggabungan diungkitnya lagi. Kali ini gagasan tersebut bernama The Grand Design.

Britain dan AS ketika itu bertambah bimbang terhadap gelagat Indonesia yang bersekutu dengan Soviet Union.

Justeru untuk menghalang Indonesia daripada menguasai Sarawak, Brunei dan Sabah, British mengenakan tekanan terhadap Malaya supaya menerima Grand Design itu.

Rasa tak puas hati

Akhirnya pada 1961, Tunku Abdul Rahman setuju dan mengumumkan gabungan Malaya, Singapura, Brunei dan Sabah dalam sebuah gagasan bernama Malaysia Raya (Greater Malaysia).

Pada 1962, Indonesia berjaya menguasai New Guinea Belanda melalui tindakan ketenteraan. Indonesia menamakannya Irian Barat. Pada zaman Suharto, ia menjadi Irian Jaya. Selepas Reformasi, ia dipanggil Papua Barat .

Perkembangan itu meyakinkan Tunku bahawa Sukarno berhasrat untuk menguasai Sarawak, Brunei dan Sabah.

Jika Indonesia menguasai keseluruhan pulau Borneo, ia dipercayai boleh mengancam keselamatan Malaya.

Perkembangan itu mendorong Tunku Abdul Rahman mempercepatkan penubuhan Malaysia walaupun akhirnya tanpa Brunei dan Singapura.

Penubuhan Malaysia adalah seperti berkahwin dahulu sebelum bercinta. Kini terdapat banyak rasa tidak puas hati di Sarawak dan Sabah terhadap kerajaan persekutuan.

Rasa tidak puas hati ini adalah seperti asam garam hidup berumah tangga.

Tetapi generasi sekarang mengetahui apa yang mereka inginkan dan terpulang kepada mereka untuk menentukan masa depan sendiri. Bagi generasi lama, Malaysia selama ini telah mencapai banyak kemajuan, malah lebih baik berbanding jiran-jirannya.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS