Paling sedap berpura-pura sedih dan syahdu apabila Najib Razak gagal beroleh peluang untuk menghabiskan masa tahanannya di rumah tentulah pemimpin-pemimpin Umno dalam kerajaan. Mereka ini sedang sedap mengecapi dan mencicipi kuasa. Misalnya, ada yang berada di kerusi empuk sebagai menteri; anak-anak mereka terbang ke London (yang lebih sedikit Islami terbang ke Istanbul) untuk bermain-main di sana; kehidupan sedap berjalan seperti biasa.
Kerja mereka mengatur politik berjalan seperti biasa. Bahkan kian rapi dan menjadi-jadi. Sekarang tidak lagi perlu bermain politik untuk mengelak didakwa seperti era tahun 2018. Sekarang bermain politik untuk memulihkan sokongan. Tambah-tambah reformasi sedang perlahan, dan Perikatan Nasional (PN) sedang penuh syubhah sesama mereka.
Sambil Najib dan Rosmah Mansor sedang berjuang, pemimpin-pemimpin Umno ini berwayang politik, bercumbu dengan DAP dalam kerajaan perpaduan, sambil olok-olok bencikan DAP. Sekali dengan anak-anak mereka akan main sandiwara. Kadang sampai turun kasta melalut di media sosial (dan pastikan ruang komentar ditutup). Mereka malu alah dengan bekas pemimpin mereka yang berada dalam penjara itu, lantaran pernah terhutang budi. Tetapi untuk sekapal lagi mereka sebenarnya tidak sanggup. Dalam mengecap kuasa, tiada siapa berani melepaskannya.
Mereka pura-pura pekak tuli dengan kecaman rakyat yang Najib enggan membayar cukai, atau dakwaan demi dakwaan korupsi. Mereka meniti kuasa dengan hati-hati sebab takut hilang sedap. Jadi ada lapis-lapis permainan bertingkat yang meragukan audien politik bila kita menontonnya. Di Malaysia, plot twist memang biasa.
Sebenarnya memang melongokan bahawa Najib masih ada penyokong atau pura-pura disokong. Jarang ada orang mahu bersama mereka yang tersabit kesalahan. Tetapi dalam politik, kesalahan korupsi adalah kesalahan yang sedap selagi tidak tertangkap, terdakwa dan terhukum.
Sebenarnya penyokong politik di negara kita tidak begitu banyak berbeza dengan penyokong politik di Bangladesh. Malaysia dan Bangladesh memang bertaut kuat, bukan setakat di pondok cuci kereta, stesen minyak, ladang sawit atau lori sampah. Kita bertaut sama dalam politik.
Lihat sahaja bagaimana ramai yang mati-mati menyokongkan bekas perdana menteri Bangladesh yang paling lama berkhidmat (baca: korup) iaitu Sheikh Hasina Wazed. Beliau memulai kerjaya politik sebagai ikon prodemokrasi. Di tangan beliau Bangladesh menjadi ‘glokal’ iaitu global dan lokal sekali gus. Kuasa yang sedap dan terlalu lama dalam sedap membawa kepada pelbagai dakwaan pecah amanah. Beliau dan partinya Liga Awami sering dipuji kerana pernah memacu kejayaan ekonomi negara Asia Selatan itu. Tetapi kesedapan kuasa datang dengan kesedapan lain iaitu kesedapan menjadi autokratik dan menindas sebarang bentuk kepembangkangan terhadap pemerintahannya. Penahanan bermotifkan politik menjadi-jadi (ya, ketahuilah juga sejarah pemerintahan Najib); kehilangan secara paksa berleluasa di Bangladesh (ya, sila baca tulisan-tulisan saya mengenai Amri Che Mat), serta pelbagai pencabulan amanah lain semuanya meningkat bawah pemerintahan Sheikh Hasina. Cuma Malaysia lebih buruk dari Bangladesh, ini kerana yang tersabit hukum itu pemimpinnya orang lelaki.
Bangladesh juga bangkit
Rakyat Malaysia bangkit melengserkan Umno dan Najib pada tahun 2018 (mungkin kerana ia terlalu mutakhir maka Kementerian Pendidikan belum tergamak memuatkan sejarah ini dalam buku teks). Demikianlah Bangladesh, mereka juga bangkit, tetapi lebih dengan darah dan air mata, bukan dengan dakwat dan kertas undi seperti kita; maka Sheikh Hasina terpaksa melarikan diri daripada protes besar-besaran terhadap pemerintahannya pada Ogos 2024 yakni selepas 15 tahun berkuasa.
Hasina pun berada dalam buangan di India. Dia terbang mencicit lari selepas digulingkan oleh kebangkitan yang dipimpin oleh pelajar dan Gen Z yang seterusnya membengkak menjadi huru-hara di seluruh Bangladesh.
Akan tetapi adakah Hasina kehilangan sedap? Tidak juga. Ketahuilah nan dan dalca masih terhidang sedap di atas mejanya. Hasina tidak dipenjara, dalam buangan, meski tertahan dalam rumah dan jarang keluar dia boleh mengatur politik dan macam-macam kuasa. Tambahan pula ia mesti dilakukan lantaran pada 17 November 2025, sebuah tribunal khas di Dhaka siap menjatuhkan hukuman mati ke atas beliau selepas mensabitkannya atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan. Ini kerana tribunal itu mendapati Hasina mengarahkan tindakan berdarah terhadap para penunjuk perasaan antara 15 Julai hingga 5 Ogos 2024. Tentulah Hasina menafikan semua pertuduhan terhadapnya. Dalam sejarah politik dunia, hanya Benjamin Netanyahu sahaja yang berani dan selamba mengolok-olokkan tuduhan korupsi (dan genosid) terhadap dirinya.
Untuk terus sedap, Hasina mendakwa semua pertuduhan terhadapnya adalah pendakwaan politik. Segala korupsi dan kesalahan pecah amanah pun ditanggap sebagai permainan politik. Dalam politik memang aneh, kalau dia yang buat maka itu serkap jarang, kalau orang lain buat maka tidak boleh.
Membiarkan Najib ditahan di rumah adalah membiarkan kesedapan menjadi sesuatu yang berisiko. Akan tetapi untuk tidak menyokong Najib ‘bebas’ ditahan dalam rumah juga seakan tidak kena. Maka harus meniti kesedapan itu dengan waspada. Depan suap, belakang katuk; belakang menyuap di hadapan menepis. Politik memang seputar sedap, ia tentang bagaimana mengekalkan sedap yang terkulum dalam mulut.
Jadi kalau ada mana-mana menteri Umno dan anak beranaknya pura-pura sentap Najib gagal beroleh ‘pembebasan’ untuk ditahan dalam rumah, kita penonton politik berhak ragu. Apa natijahnya, setiap mereka masih sedap.
Untuk lebih sedap kita perlu menunggu lagi penghakiman kes kedua berprofil tinggi yang dihadapi oleh Najib.
[Nota: Kolum ini ditulis sebelum keputusan mahkamah kes 1MDB. Mahkamah telah membuat keputusan hari ini bahawa Najib bersalah kesemua 25 pertuduhan]
Kali ini ia membabitkan skandal kewangan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ini kerana keputusan sama ada Najib yang juga menteri kewangan ketika itu, disabitkan atau bebas daripada empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram bakal diputuskan pada 26 Disember ini. Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah. Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013. Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertelanjang semuanya
Sepanjang enam tujuh tahun perbicaraan, kita penonton politik telah sedap menonton turun naik saksi penting kes ini yang dipanggil memberi keterangan iaitu antara lain bekas pengerusi 1MDB, Mohd Bakke Salleh; bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; adinda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Rahimah Putri Mahmud; dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa. Setiap mereka membawa cerita sedap-sedap, terleleh tertelanjang semuanya.
Betul, untuk kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 masih berproses memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja. Lembaga Pengampunan sudah pun mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Dia juga masih culas membayar cukai. Kita tetap dikejar kalau khianat tidak membayar cukai. Itulah tidak sedapnya menjadi orang kebanyakan.
Sebenarnya begini, sama ada Najib kekal di Kajang, atau ditahan di rumah; mana-mana pun pemimpin Umnolah yang kesedapan. Untung mereka tidak boleh dihitung. Salah atau tidak Najib dalam penghakiman kes kedua berprofil tinggi di atas, yang sedap akan kekal sedap. Bolehlah naik status pura-pura tak sedap dari London, atau kalau sedikit Islami respon dimuat naik dari Istanbul.
Yang bangang kewayangan ialah orang bawah, menyorak menyalak di media sosial. Orang lain sedap, mereka tulang pun tak dapat.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
