Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Darurat di Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan oleh British pada 16 Jun 1948. Di atas kertas, ia bertujuan mengembalikan keamanan dan mengekang keganasan bersenjata.

Secara khusus pula, darurat adalah jalan untuk menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Namun di sebalik itu ada persoalan lain yang mengundang banyak perbahasan dan hujahan. Begitulah sifat sejarah – ia selalu penuh dengan dinamika tersendiri.

Bukti dan penemuan baru boleh mengubah tafsiran sejarah. Hukum sains sosial pula sentiasa berubah-ubah, malah bolehlah disifatkan seperti seketul hati manusia yang sering berbolak-balik.

Hanya hukum matematik tulen yang tidak berubah.

Karangan ini menumpukan perbincangan tentang senarai nama ‘penjahat Melayu’ semasa darurat bersama sedikit latar belakang mereka.

Ia merupakan mukadimah perbahasan semantik dalam kuasa bahasa, naratif dan legitimasi.

Perlu juga diingat bahawa sejarah bukan sekadar sebuah disiplin ilmu atau subjek tentang orang mati atau peristiwa lalu. Sejarah harus dinikmati sebagai ibrah, kebangkitan dan kehidupan baru.

Secara fitrahnya, manusia dicipta dengan dua jantina dan pelbagai suku bangsa.

Allah SWT berfirman bahawa Dia menentukan kejadian itu untuk manusia saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Namun pada realitinya manusia lebih gemar melabel-label mengikut kehendak atau kepentingan mereka sendiri. Bahkan untuk kes yang ekstrem, manusia tergamak ‘menjadi tuhan’ lalu mencipta hukuman-hukuman atas nama agama.

Penciptaan label, jenama atau tanda pada kelompok-kelompok yang berbeza kepentingan adalah salah satu episod dalam sejarah manusia.

Definisi berubah ikut selera

Sewaktu darurat, British mencanang istilah bandit (penjahat) ke atas musuh mereka untuk menciptakan imej bahawa kumpulan terbabit merupakan kelompok gerakan penentang pihak kuasa secara bersenjata.

Turut digunakan dalam serangan propaganda penjajah ketika itu ialah terrorist. Selain itu digunakan juga istilah “penderhaka”. Walaupun perkataannya berbeza, tetapi matlamat akhirnya tetap sama.

Bagaimanapun istilah “penderhaka” lebih sering digunakan apabila menyentuh lingkungan istana secara langsung atau tidak.

Contohnya, Tok Janggut yang digantung songsang di Kota Bharu sebagai hukuman kononnya kerana menderhaka terhadap Sultan Kelantan.

Pada waktu ini pula pelabelan atau istilah jelek yang popular ialah “pengkhianat” yang – lucunya – boleh berubah sifat dan takrifan mengikut kesesuaian pihak yang melabel.

Apabila berada dalam saf perjuangan sama, seseorang atau kumpulan tersebut disebut sebagai sahabat seperjuangan, manakala jika tidak sehaluan, maka dihukumlah mereka itu dengan gelaran atau istilah yang menyakitkan.

Sahabat menjadi musibat; kawan berubah menjadi lawan.

Perseteruan politik sering menggunakan label tersebut untuk menghukum atau melakukan penindasan psikologi serta moral.

Oleh itu, jalan paling mudah ialah menjatuhkan hukuman sebelum pendakwaan dibuat di mahkamah. Hukum dulu, baru cari bukti dan saksi.

Istilah bandit atau terrorist juga bertujuan membunuh sokongan dan rasa simpati masyarakat kepada kelompok yang menentang penjajah.

Ancaman terbesar bagi kuasa penjajah datang daripada pejuang kemerdekaan yang menolak penjajahan. Perjuangan kemerdekaan pula hakikatnya adalah kerja suci dan punya nilai tuntutan agama.

Sebaliknya, British menggambarkan ia sebagai kerja jahat. Ironinya, itulah yang tertanam dalam fikiran masyarakat.

Itulah kerja propaganda yang melumpuh akal fikiran masyarakat.

Pada 27 Ogos 1949, akhbar Straits Times menyiarkan senarai nama ‘Penjahat Melayu’ bersama kadar tawaran imbuhan kepada orang ramai jika mereka yang diburu itu dapat ditangkap.

Akhbar itu memetik kenyataan Pesuruhjaya Polis Malaya, WN Gray.

Hadiah untuk tangkap ‘penjahat’

Istilah bandit itu mula digunakan dalam serangan propaganda pada 8 Nov 1948 melalui Singapore Free Press. Akhbar itu menyiar tajuk berita utama pada halaman pertamanya.

Pada peringkat awal, penggunaan istilah bandit dibuat secara umum kepada kelompok yang menentang British. Kemudian istilah tersebut dipecah-pecahkan mengikut kategori kaum.

Dari situlah munculnya istilah Malay bandit, Chinese bandit dan Indian bandit.

Istilah Penjahat Melayu itu bukanlah merujuk kepada anggota Rejimen Ke-10 PKM yang dianggotai orang Melayu. Hal itu kerana istilah tersebut hanya mula muncul sejurus darurat diisytiharkan, sedangkan Rejimen Ke 10 PKM itu ditubuhkan 21 Mei 1949.

Terdapat 17 nama “Penjahat Melayu” disiarkan Strait Times pada hari tersebut. Dilaporkan juga bahawa Inggeris menjanjikan tawaran lumayan – bernilai $37,500 – jika mereka dapat ditangkap.

Pada nilai sekarang, wang tersebut dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya antara RM600,000  hingga RM700,000

Tawaran tertinggi yang dijanjikan Inggeris ketika itu ialah $10,000 iaitu ke atas batang tubuh Manap Jepon atau Manap Siwang dari Temerloh yang menganggotai Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA).

Dia mula aktif dengan MPAJA dan terlibat dengan Persatuan Melayu Pahang cawangan Temerloh yang diketuai Kamaruzaman Teh.

Ketika PKMM yang dipimpin Burhanuddin al-Helmy ditubuhkan, Manap dilantik sebagai Setiausaha PKMM Temerloh.

Apabila darurat diisytiharkan, Manap memilih menyertai gerakan gerila menentang British. Langkah itu diambil sebagai pilihan terbaik buat Manap. Satu lagi pilihan ialah menjadi orang buruan atau disumbat ke penjara.

Setelah empat tahun bergerila, Manap akhirnya terkorban dalam pertempuran dengan Gurkha upahan Inggeris di Kuantan pada 1952. Berita tersebut disiarkan akhbar pada masa tersebut.

Sebagai mengenang jasanya, Markas Besar Rejimen Ke-10 PKM menganugerahkan gelaran Pahlawan untuk Manap.

Mat Indera

Batang tubuh Mat Indera – yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong – pula ditawarkan nilai kedua tertinggi iaitu sebanyak $5,000.

Turut diberikan nilai yang sama ialah seorang ‘penjahat’ iaitu Awang Ali – atau lebih dikenali sebagai Maseng – dari Terengganu.

Dua kawan Mat Indera iaitu Abdul Kadir Mari’e dan GH Jasman yang berpangkalan di Johor diletakkan tanda harga bernilai $3,000. Abdul Kadir ialah rakan sepasukan Mat Indera sewaktu serangan Bukit Kepong.

Jasman pula merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Mat Indera menyertai gerakan bersenjata di hutan.

Sejak bergerak di dalam hutan, Mat Indera terus menjadi ancaman utama British di selatan tanah air.

Ustaz dalam senarai ‘penjahat’

Menariknya, tawaran ke atas Ketua Rejimen Ke-10 PKM, Abdullah CD hanya bernilai $1,000. Ia lebih rendah berbanding Manap, Awang, Mat Indera, Abdul Kadir dan Jasman.

Tawaran tersebut dibuat sebelum berlakunya peristiwa Bukit Kepong.

Nama-nama lain yang diberi tawaran sama sama dengan Abdullah CD ialah Idris Abdul Rahman, Talib Zakaria, Idris Jusoh, Ahmad Saleh, Mahayudin Abdullah, Mohd Junid Tukang Ngah, Bakar Yusof dan Budin Choh.

Turut disenaraikan pada kadar tawaran yang sama ialah Musa Ahmad (Pengerusi PKM) dan Wahi Anuar Long (bekas suami pertama Shamsiah Fakeh).

Kedua-dua mereka merupakan tokoh penting dalam kelompok kiri tanah air sewaktu darurat.

Seorang agamawan yang dikenali sebagai Ustaz Mokhtar Ismail dari Kedah juga tersenarai sebagai ‘penjahat’.  British menawarkan ganjaran sebanyak $500 untuk menangkap ustaz tersebut.

Nama ustaz tersebut tidak pernah dinyatakan oleh Abdullah CD atau Rashid Maidin dalam catatan mereka.

Singapore Standard bertarikh 4 Okt 1951 pula melaporkan hakim Abbot di Mahkamah Rayuan Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas ‘Penjahat Melayu’ yang bernama Nordin Mat Saman.

Dia dihukum bersalah atas tuduhan memiliki senjata api secara tidak sah.

Sebelum itu, hukuman tersebut dibuat oleh hakim Briggs di Mahkamah Khas di Kelantan.

Sunday Standard bertarikh 22 Jun 1952 pada halaman utama menyiarkan tajuk No 1 Malay Bandit Killed. Pemuda berusia 28 tahun itu terbunuh dalam pertempuran di Padang Rengas.

Namanya Mukhtar Ayub yang merupakan Ketua Seksyen 11 Platun Bebas dari Rejimen Ke-5 PKM.

Pada halaman pertama akhbar Indian Daily Mail bertarikh 27 Dis 1955 menyiarkan berita kejayaan besar British membunuh Malay bandit yang bernama Sulaiman @ Laiman Mat di Padang Terap.

Senarai ‘Penjahat Melayu’ masih banyak tersimpan dalam arkib atau sejarah lisan yang kehilangan lidah.

Petang itu, bertempat di kedai Gerakbudaya, Petaling Jaya, bersama Armand Azra dari London School of Economics and Political Sc mengasah lidah kami untuk karangan ini.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS