Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN). Jika PN menang dalam pilihan raya umum ke-16, menteri besar Terengganu itu boleh menjadi perdana menteri.
Di atas beliau dalam parti ialah presiden Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Keadaan seumpama ini pernah berlaku pada tahun 2021. Jawatan perdana menteri disandang oleh naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob. Di atas beliau dalam parti ada pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan presiden Umno dan Mohamad Hasan, timbalannya.
Zahid tidak boleh menjadi perdana menteri kerana pada masa itu, beliau ada kes-kes mahkamah sementara Mohamad Hasan tidak ada kerusi parlimen.
Tetapi pada masa ini, Abdul Hadi tidak ada kes-kes mahkamah dan memiliki kerusi parlimen mewakili Marang. Namun Abdul Hadi enggan menerima jawatan pengerusi PN atas sebab-sebab kesihatan. Tetapi umumnya faham bahawa Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim tidak sesuai untuk menyandang jawatan perdana menteri. Sebab itu jawatan pengerusi itu jatuh pada Samsuri yang merupakan seorang profesional dan bukannya ulama.
Masalahnya ialah Malaysia mengamalkan sistem demokrasi seperti di Britain, yang perdana menteri adalah ketua parti politik. Seseorang ahli politik mestilah mendapat sokongan daripada partinya sebagai ketua, barulah ia masuk pilihan raya, dan apabila menang maka layaklah dia untuk mengetuai kerajaan. Jika tidak menjadi ketua parti, ia akan menjadi konflik pengurusan kekuasaan.
Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat, presidenlah yang mempengerusikan mesyuarat dan dia berkuasa. Sedangkan naib presiden kena akur pada presiden walaupun naib presiden itu seorang perdana menteri. Seorang presiden bukan saja menguruskan soal parti tetapi presiden juga mewakili parti dalam menyatakan pendiriannya. Pendiriannya adalah pendirian parti. Maknanya pendiriannya mengatasi pendapat pemegang-pemegang jawatan lain termasuk naib presiden walaupun naib presiden berkenaan menyandang jawatan tertinggi kerajaan dalam negara.
Seorang perdana menteri yang memimpin jentera kerajaan menghadapi pelbagai cabaran negara dengan memiliki akses maklumat terbesar. Beliau mempunyai prerogatif untuk membuat apa-apa keputusan. Sudah tentu lambat laun akan bertembung dengan ketua parti sendiri.
Keadaan ini pernah berlaku semasa era Ismail Sabri. Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi BN, beliau bukan pemimpin yang utama kerana Zahid orang paling berkuasa. Pertembungan antara perdana menteri dengan presiden parti hampir pasti berlaku. Apabila Zahid menuntut supaya parlimen dibubarkan, sebagai naib beliau, Ismail terpaksa akur. Sedangkan keputusan untuk membubarkan parlimen adalah prerogatif perdana menteri. Maka selepas PRU itu, Ismail tidak lagi menjadi perdana menteri.

Pertembungan antara perdana menteri dengan presiden parti yang memerintah boleh menimbulkan ketidakstabilan.
Seperti sejarah Indonesia
Masalah yang hampir sama berlaku di Indonesia tetapi sistem dalam republik itu membenarkan. Ketua Umum Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP), Megawati Sukarnoputri mencalonkan kadernya, Joko Widodo sebagai presiden. Selama dua penggal Jokowi jadi presiden atas dukungan Megawati dan PDIP.
Selepas menang, Megawati minta macam-macam, sekurang-kurangnya dalam hal lantikan menteri kabinet. Beliau menuntut supaya bilangan menteri yang banyak dilantik dari PDIP. Maka tentulah Jokowi mempunyai pertimbangan sendiri yang berbeza daripada Megawati.
Dalam majlis-majlis parti, presiden Indonesia itu berada bawah ketua umum PDIP. Tentunya Jokowi tidak dapat menerima semua permintaan Megawati dan akhirnya beliau keluar parti. Dalam pilihan raya presiden berikutnya, Jokowi yang sudah tidak boleh bertanding tidak menyokong calon PDIP. Beliau menyokong Prabowo Subianto dari parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Di Amerika, amalannya ialah ketua parti berada pada kedudukan yang berasingan daripada calon presiden. Donald Trump adalah presiden yang dicalonkan oleh parti Republikan yang mempunyai ketuanya. Walaupun Trump adalah anggota Republikan tetapi beliau memerintah dengan mengikut prerogatif sendiri.
Tetapi kalau di Malaysia, perdana menteri yang bukan ketua parti mesti ikut juga kehendak presidennya. Mana mungkin beliau membantah ketuanya. Secara idealnya pengerusi PN seharusnya dipegang oleh Abdul Hadi. Ini adalah kerana PAS mempunyai kerusi paling banyak di parlimen berbanding Bersatu. Itu kalau hendak dikira jumlah kerusi di Parlimen. Tetapi kalau hendak dikira jumlah ahli, PAS juga mempunyai bilangan ahli paling banyak, memang sepatutnya parti itu mengetuai PN.
Malah sejak awal lagi iaitu pada pilihan raya tahun 2022, PAS yang patut mengetuai PN tetapi jawatan itu diberikan kepada Bersatu dengan presidennya, Muhyiddin Yassin menjadi pengerusi gabungan. Tentulah adalah jelas Muhyiddin layak menjadi calon perdana menteri kerana beliau mempunyai pengalaman menyandang jawatan itu dari tahun 2020 hingga 2021.

Tetapi kini kepimpinan Muhyiddin itu dipertikai. Ada satu laporan menyatakan bahawa apabila penubuhan Kerajaan Perpaduan dilakukan oleh Anwar Ibrahim, beliau mengundang PN untuk menyertainya tetapi Muhyiddin menolak tanpa berunding dengan PAS. Cuba bayangkan ada kemungkinan bahawa jika PAS yang menerajui PN, Abdul Hadi menerima undangan Anwar untuk menyertai kerajaan Perpaduan. Maka senario politik hari ini pasti berbeza.
Mengapa Abdul Hadi tidak boleh mengetuai PN atau apa-apa pakatan besar, dari dahulu termasuklah Pakatan Rakyat? Untuk mengetuai Gagasan Sejahtera bolehlah sebab parti-parti gabungannya adalah kecil dan tidak relevan. Tetapi untuk mengetuai pakatan yang ada parti-parti besar seperti PKR, DAP dan Umno, bukan saja Abdul Hadi, malah PAS sendiri sukar untuk memimpinnya. Lebih-lebih lagi jika pakatan itu berhasrat untuk mengemukakan calon bagi jawatan perdana menteri.
Duta bertaraf menteri
Malah semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, beliau tidak melantik Abdul Hadi sebagai menteri yang mengetuai kementerian. Abdul Hadi hanya dilantik sebagai duta bertaraf menteri. Beliau boleh berjawatan menteri tetapi tidak ada tanggungjawab memimpin kementerian.
Jawatan tertinggi kerajaan yang pernah dipikul Abdul Hadi ialah menteri besar pada tahun 1999. Bawah kepimpinannya, beliau banyak menyerahkan tugas kepada Mustafa Ali, pemimpin bukan ulama. Mustafa adalah seorang bekas guru dan juga pernah menjadi setiausaha parlimen dan timbalan menteri.

Kini Abdul Hadi Awang menyatakan faktor kesihatan sebagai sebab beliau menolak jawatan pengerusi PN. Memang benar beliau mempunyai masalah kesihatan besar seperti kebanyakan warga emas termasuk ahli-ahli politik. Tetapi apabila ditimbangkan faktor kesihatan ini, beliau sudah wajar mengundurkan diri daripada jawatan presiden dan digantikan dengan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man. Ataupun sekurang-kurangnya Abdul Hadi dilantik sebagai mursyidul am menggantikan Hashim Jasin yang wajar bersara.
Tetapi Tuan Ibrahim juga dipandang tidak layak menjadi pengerusi PN. Beliau adalah seorang ulama dan pernah menjadi menteri dalam kabinet Muhyiddin dan Ismail Sabri.
Ataupun bagi saya, Abdul Hadi sudah wajar bersara. Biarlah jawatan mursyidul am disandang oleh Tuan Ibrahim dan Samsuri menjadi presiden. Barulah sesuai beliau menyandang jawatan pengerusi PN.
Abdul Hadi mengetuai PAS sejak tahun 2002. Maknanya beliau sudah mengetuai PAS selama 24 tahun dan memimpin parti itu melalui pilihan raya umum tahun 2004, 2008, 2013, 2018 dan 2022. Bawah pimpinannya, PAS kalah di Terengganu pada tahun 2004 tetapi memperoleh Kedah pada tahun 2008 dan terlepas pada tahun 2013. Namun PAS mencapai kejayaan besar apabila ia memperoleh kesemua negeri “jalur Melayu” atau “Malay belt” yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Bawah kepimpinannya juga PAS pecahkan Pakatan Rakyat dan memecahkan dirinya dengan melahirkan parti Amanah. Perpecahan itu berlaku dalam pertembungan antara golongan “ulama” dan golongan “profesional”. Amanah adalah parti golongan “profesional” yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Abdul Hadi adalah sebahagian daripada pemimpin muda yang mengubah PAS daripada hanya sebuah parti politik biasa kepada parti “kepimpinan ulama.”
Untuk itu pemuda PAS memberi tekanan kepada Yang Dipertua PAS, Asri Muda supaya mengundurkan diri pada tahun 1983. Parti berjiwa baharu ini diketuai oleh Yusof Rawa dengan jawatan timbalan yang dipertua disandang oleh Fadzil Noor dan naib-naibnya, Nakhaie Ahmad dan Abdul Hadi. Turut mendokong gagasan “kepimpinan ulama” dalam muktamar itu ialah Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota jawatankuasa Dewan Pemuda PAS, Mohamad Sabu.
Dari muktamar itulah kemudian ditubuhkan Majlis Syura yang diketuai oleh mursyidul am (penunjuk arah) bagi memastikan PAS dipimpin oleh ulama. Ahli-ahli majlis itu terdiri daripada ulama. Kedudukan mursyidul am adalah lebih tinggi daripada presiden tetapi ia tidak wajar mencampuri urusan politik dan pentadbiran.
Sementara jawatan presiden boleh disandang oleh bukan ulama termasuklah golongan profesional. Beliaulah yang bertanggungjawab dalam urusan politik dan pentadbiran.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
