Pada awal bulan Ramadan tahun 2026 nama Azam Baki terus menjadi sebutan. Segala jenis media - yang baru dan yang lama terus membuat berita mengenai Azam Baki Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sosok ini dilantik oleh kerajaan Muhyiddin Yassin pada 9 Mac 2020 untuk menggantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
Awalnya tidak ada 'tik' tidak ada 'tok' – tidak ada 'sohseh sohseh' atau kontroversi tentang Azam Baki ini. Semua berjalan baik hingga muncul berita tentang pemilikan saham di Bursa Saham Malaysia.
Berita melaporkan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, didapati memiliki saham bernilai ratusan ribu ringgit dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, sekali gus melanggar arahan pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam memiliki saham melebihi RM100,000.

Berita menjadi heboh dan hangat bila mana Himpunan Tangkap Azam Baki telah di adakan pada 22 Januari 2022 di hadapan Parlimen.
Demo ini jawapan terhadap penolakan parlimen untuk membincang kes saham Azam Baki. Demo ini dihadiri oleh Anwar Ibrahim, ketua pembangkang masa itu. Turut hadir ialah Pengerusi Bersih, Maria Chin, bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah dan bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu.
Ketika demo depan parlimen ini, Anwar Ibrahim telah menyelar kerajaan Muhyiddin kerana menolak memorandum kes saham Azam Baki untuk di bincangkan dalam Parlimen.
Kemudian kempen Tangkap Azam Baki reda. Ketua SPRM ini memberi penjelasan bahawa saham itu dibeli atas nama adiknya bukan milik dirinya. Tapi rasa tidak puas hati terhadap Azam Baki berterusan. Khalas.

Bila mana Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri selepas PRU15 orang ramai terutama penyokong Gerakan Reformasi dan pengundi Pakatan Harapan beranggap bahawa tugas Azam Baki ini akan ditamatkan. Harapan rakyat meleset. Azam Baki tidak berhentikan oleh Anwar Ibrahim yang menjadi perdana menteri baru.
Tiba-tiba pada 10 Februari 2026 nama Azam Baki kembali menggemparkan Malaysia. Negara menjadi heboh. Kali ini akhbar Bloomberg – media dari New York – melaporkan sekali lagi kes saham milik Azam Baki.
Laporan Bloomberg ini berasaskan dokumen syarikat yang menunjukkan Azam Baki, dalam tempoh jawatannya sebagai ketua SPRM memegang 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd setakat 3 Februari tahun lalu, dengan nilai semasa hampir RM800,000.
Selain melepasi nilai maksimum saham yang dibenarkan kepada penjawat awam berdasarkan arahan pekeliling kerajaan pada 2024, Azam Baki juga berkemungkinan gagal mematuhi arahan mengisytiharkan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun. Kesalahan ini akan menjemput siasatan SPRM terhadap individu pegawai kerajaan dari jabatan lain. Jeng jeng jeng.

Kali ini semakin ramai rakyat mengenali watak Pak Sheikh aka Anwar Ibrahim. Bukan sahaja Azam Baki telah disambung kontrak sebanyak tiga kali malah Anwar Ibrahim telah mempertahankan salah laku Azam Baki.
Berita laporan daripada Bloomberg ini telah menjemput wartawan tempatan untuk bertanya duduk perkara Azam Baki kepada perdana menteri.
Pada 12 Februari 2026 media tempatan telah melaporkan jawapan Anwar Ibrahim bila ditanya apakah Azam Baki akan direhatkan:
“Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? “

Ini pandangan Anwar Ibrahim yang jelas. Nampaknya sesiapa yang mahu Azam Baki direhatkan atau mempersoalkan kedudukan Ketua SPRM ini dianggap sakit atau berpenyakit.
Selang dua hari dari jawapan: ‘Ini satu penyakit...’ akhbar Bloomberg mengeluarkan lagi berita yang lebih mengejutkan.
Kali ini Bloomberg membuat dakwaan bagaimana wujud mafia korporat dalam lembaga SPRM.
Bloomberg secara terperinci menggambarkan bagaimana pistol telah ditunjukkan dalam perundingan jual beli saham. Sebagai kiasan, seorang Mamat hendak beli saham daripada syarikat garam. Tapi tuan pemilik syarikat garam enggan menjualkan sahamnya. Maka Mamat ini mengeluarkan pistol mengancam agar saham itu dijual.

Meletakkan pistol di atas meja adalah taktik kepala Mafia Don Corleone mengikut novel Mario Puzo yang diterbitkan dalam tahun 1969.
Novel The Godfather ini menjadi filem lakonan Marlon Brando sebagai Don Corleone dalam tahun 1972.
Daripada budaya mafia Itali ini muncul di Malaysia budaya 'mafia korporat'. Mengikut Bloomberg 'mafia korporat' ini bergerak dengan pengetahuan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Justeru implikasinya lembaga SPRM terlibat.
Tidak cukup dengan laporan berita Bloomberg TV telah mengeluarkan satu dokumentari bertajuk: Inside Malaysia’s Controversial Anti-Corruption Commission | Bloomberg Investigates.

Dokumentari 24 minit ini secara terbuka dan demokratik boleh ditonton melalui YouTube. Dokumentari ini memperkuatkan lagi hujah dan bukti hasil siasatan Bloomberg mengenai dakwaan salah laku dalam SPRM.
Hasilnya 'mafia korporat' ini terus menjadi perbualan nasional – sembang negara. Di warung tom yam, di kedai Mamak atau di kafe Bangsar, kisah dan berita 'mafia korporat' ini menjadi topik perbualan.
Tik Tok, Instagram, Blog, X dan segala jenis media sosial menjadi meriah dan riuh rendah heboh berlabun tentang Mafia Korporat dan SPRM. Tidak dapat tidak nama Azam Baki terjerut sama.
Maka anak-anak muda yang cekap teknologi Internet telah mengumpul kembali ucapan Anwar Ibrahim pada tahun 2022 yang mahu Azam Baki didakwa.

Bila ucapan Anwar Ibrahim tahun 2022 dilapikkan dengan ucapan tahun 2026 maka pembohongan Anwar Ibrahim semakin jelas. Bangkai biawak yang busuk berulat tidak sempat ditanamkan di Bukit Tagar.
Kumpulan yang tidak menyokong Anwar Ibrahim berkenduri mengutuk Azam Baki. Pelbagai NGO memberi pandangan termasuk Majlis Peguam. NGO badan peguam ini bersuara untuk memperkukuhkan lagi kes Azam Baki wajib didakwa.
Majlis Peguam dalam kenyataan menyatakan rasa kebimbangan orang ramai terhadap 'mafia korporat', Azam Baki dan SPRM.
Mengikut Majlis Peguam kebimbangan melibatkan Azam Baki selaku ketua badan antirasuah yang utama. Isu itu melangkaui personaliti. Ia menyentuh secara langsung keyakinan orang ramai terhadap integriti institusi.

Kes 'mafia korporat' dan Azam Baki ini menjadi semakan berat.
Dalam parlimen YB dari Kota Melaka Khoo Poay Tiong menuntut Azam Baki dipecat dengan segera. YB dari Melaka ini mengancam akan menarik partinya DAP keluar meninggalkan kerajaan jika Azam Baki tidak didakwa.
Ucapan YB Kota Melaka ini disambut oleh Anthony Loke dan Gobind Singh. Loke ialah Setiausaha DAP dan Gobind ialah pengerusi DAP. Dua sosok ini pemimpin kanan parti DAP.
Kedua-Kedua pemimpin DAP ini menuntut ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai 'mafia korporat' dalam SPRM dan juga peranan Azam Baki.
Bahaya besar
Secara rasmi DAP menuntut Anwar Ibrahim bertindak untuk menubuhkan RCI. Tetapi DAP sendiri sebahagian daripada Kerajaan Madani. Justeru apakah saranan YB dari Kota Melaka itu akan diambil pusing oleh Anwar Ibrahim?
Awas! Berwaspada bila menuntut dan mendesak. Di belakang desakan dan tuntutan ini ada perkara bahaya yang menakutkan. Perkara ini ialah desakan agar Azam Baki meletak jawatan. Atau desakan agar Azam Baki direhatkan. Ini bahaya besar.
Selama heboh 'mafia korporat' dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ini di tuntut Anwar Ibrahim tidak bersuara. Untuk sesiapa yang mengenal watak Anwar Ibrahim sikap ini menunjukkan ‘ada buah di dalam coli’.

Dijangkakan Anwar Ibrahim tanpa segan silu akan menghumbankan Azam Baki ke dalam gaung. Menghumbankan Azam Baki ke dalam gaung mungkin cara untuk menyelamatkan dirinya sendiri.
Kemudian Anwar Ibrahim akan umumkan kontrak Azam Baki tidak disambung. Semua akan dilihat beres. Kemarahan terhadap Azam Baki kendur. Anwar Ibrahim dilihat suci murni. Semua selesai.
Justeru jangan tuntut. Diulang sekali lagi, jangan tuntut Azam Baki letak jawatan atau direhatkan. Ini bahaya. Ini perangkap untuk menyelamatkan Azam Baki dan Anwar Ibrahim.
Tuntutan yang tepat ialah dakwa Azam Baki ketika dia masih lagi berkuasa sebagai ketua SPRM. Ini untuk memastikan jaringan 'mafia korporat' yang wujud bersama SPRM akan didakwa sama.

Hadiah Hari Raya Aidilfitri tahun ini kepada semua warga Malaysia ialah melihat Azam Baki memakai baju oren bersama kuncu-kuncu dengan bergari dibawa ke mahkamah.
Kita semua yang menyuarakan pendapat tentang salah laku Azam Baki terbukti tidak sakit atau berpenyakit seperti tuduhan Anwar Ibrahim. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
