Tidak berbaloi andainya penjajaran semula politik dijalankan sekarang, memandangkan tempoh perkhidmatan kerajaan persekutuan penggal ini telah melewati tiga tahun, dan memasuki pusingan akhir, atau lebih tepat, peringkat persediaan ke arah pilihan raya umum ke-16 (PRU16). Dengan kata lain, segala langkah politik yang disusun buat masa kini, lebih tertumpu kepada strategi untuk meraih undi terbanyak, daripada percaturan untuk mencukupkan jumlah kerusi.
DAP misalnya, bakal mengadakan kongres kebangsaan pada Julai 2026 untuk menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Madani. Pimpinan tertinggi DAP enggan mengambil risiko untuk menongkah arus sentimen penyokongnya, yang kini menganggap tiada bezanya sama ada DAP berada di dalam mahupun di luar kerajaan gabungan ini. Lebih parah, masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu begitu terkesan dengan kehilangan suara lantang yang membela mereka, lantaran keterikatan DAP dengan Kerajaan Madani.
Tidak ketinggalan juga apabila Pengerusi BN, Zahid Hamidi dikhabarkan menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi parlimen dalam PRU16, dalam sesi pemukiman tertutup baru-baru ini. Perhitungannya mudah, untuk mengikis persepsi bahawa BN kini sekadar "pemain kedua" di belakang Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Madani. Zahid tidak mahu BN dianggap “lemah”, kerana persepsi ini gagal menarik sokongan untuk BN.
PRU16: Perang pelbagai penjuru?
Andainya tiada persefahaman tercapai antara tiga gabungan politik utama, iaitu PH, Perikatan Nasional (PN) dan BN sebelum memasuki gelanggang PRU16, kita hampir pasti akan menyaksikan sekurang-kurangnya perang tiga penjuru, seperti PRU15 pada tahun 2022. Malah, andainya PH juga berpecah, sama ada dalam PKR sendiri, mahupun antara DAP dengan PKR dan Amanah, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mencetak kertas undi yang lebih besar – itu pun belum lagi parti kecil atau calon bebas yang ingin mencuba nasib di celah-celah perpecahan politik.
Persoalan sama ada Hamzah Zainudin mampu mengekalkan jawatan ketua pembangkang dalam parlimen akan semakin kurang relevan, berbanding persoalan bagaimana ahli-ahli parlimen yang dipecat dari Bersatu, kembali ke Dewan Rakyat.
Ringkasnya, apakah blok Hamzah akan direstui PAS, dan diberi laluan oleh Bersatu? Agak mustahil PAS menawarkan kerusi yang dimilikinya untuk blok Hamzah. Secara logiknya, blok Hamzah akan bertanding untuk kerusi yang disandang masing-masing. Membaca kenyataan terkini daripada Muhyiddin Yassin, agak mustahil juga untuk Bersatu memberi laluan kepada blok Hamzah dalam PRU16.
Kita tidak perlu celik politik untuk memahami teori bahawa Bersatu semakin roboh setelah berpecah. Hubungan saling memerlukan antara Bersatu dengan PAS – PAS memerlukan Bersatu untuk meneutralkan imejnya yang ekstrem, sementara Bersatu memerlukan kekuatan PAS di peringkat akar umbi – menjadi tidak seimbang, setelah Bersatu berpecah menjadi dua, yang mana kekuatannya lebih memihak kepada timbalan presiden yang dipecat. Bersatu yang ditunjangi blok Muhyiddin Yassin semakin tersepit dan dihimpit dalam PN. Tanpa sokongan blok Hamzah pun, PAS kini yakin bahawa penampilannya boleh dineutralkan dengan menonjolkan naib presidennya, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang memiliki imej “profesional”.
Umno/BN bertanding solo?
Umno-BN sudah tentu mengambil kesempatan ke atas kekecamukan PN, khususnya apabila Zahid Hamidi semakin menguasai keadaan dalam Umno. Kedudukannya sebagai presiden tidak dicabar sehingga enam bulan selepas PRU16, lantas memberi kelebihan kepada dirinya untuk menapis calon Umno dalam PRU16. Perlu diingatkan, Zahid kini berada di landasan membebaskan diri dari kes mahkamah yang menambatnya selama ini.
Bertanding secara solo dapat menyelesaikan beberapa masalah yang membelenggu Umno-BN. Pertama, Umno mahu membebaskan diri daripada label “UmDAP”. Biarpun nampak cetek dan simplistik, namun hampir semua parti politik Melayu, atau ditunjangi Melayu (misalnya PKR) boleh memberi alasan spontan bahawa kegagalan dirinya meraih undi majoriti dalam kalangan Melayu disebabkan kerjasama dengan DAP, jikalau ditinjau dari keputusan PRU lalu.
Kedua, peluang MCA untuk bertanding terbuka luas, berbanding andainya BN terikat kepada jalinan kerjasama dengan PH. DAP, malah PKR sudah tentu enggan memberi laluan kepada MCA di kerusi yang disandang. Bagaimana MCA “bangkit semula”, andainya prinsip pembahagian kerusi “penyandang asal” dipatuhi, sekali gus mengehadkan MCA kepada dua kerusi parlimen di Ayer Hitam dan Tanjung Piai?
Mungkin ada yang mempertikaikan, dari mana datangnya keyakinan Umno-BN, memandangkan imej Zahid masih terpalit dengan kes mahkamah yang di-DNAA-kan, dan ketua pemuda Umno masih kekal sebagai ikon yang tidak disenangi komuniti bukan Melayu? Cuma dari sudut pandang Umno, BN mempunyai kelebihan berbanding PN, kerana lebih stabil berbanding Bersatu, dan sayap Cina-nya, MCA lebih kuat berbanding Gerakan.
Krisis terpendam PH
Bukan itu sahaja, BN sudah tentu dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dengan PH, yang tidak dipandang serius sama ada secara sengaja atau tidak. PH sepatutnya sedar bahawa sifat penyokongnya jauh berbeza dengan penyokong PAS. Ketika zaman pemerintahan PH1.0 (Mei 2018 - Februari 2020), penyokong DAP sanggup membaling telur di pusat perkhidmatan DAP, bersorak “boo” terhadap veteran seperti Lim Kit Siang dalam ceramah, semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan isu tulisan jawi yang diperkenalkan di sekolah.
Namun penyokong PAS berbeza. Berdekad-dekad PAS bermusuh dengan Umno, didamaikan dalam tempoh yang singkat atas platform Muafakat Nasional. Malah dengan Mahathir Mohamad yang bersikap keras terhadap PAS, pemimpin PAS melapangkan dada untuk menerima mantan PM ini begitu sahaja. Hampir tiada tentangan yang keras daripada penyokong PAS. Mereka dilembutkan hati untuk akur dan reda.
Justeru itu, pimpinan tertinggi PH harus lebih berhati-hati dengan beberapa perkembangan terkini. Persidangan kongres kebangsaan Julai 2026 boleh dibaca sebagai strategi terakhir DAP untuk menyelamatkan dirinya daripada tenggelam bersama Kerajaan Madani, jikalau keadaan tidak berubah. Sesetengah penyokong PH mungkin menganggap DAP mementingkan diri, tetapi tidak terjawab apabila ditanyakan cara lain untuk mendesak agar “reformasi” dipercepatkan.
Kritikan mantan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli misalnya, mungkin dianggap berlebihan, tetapi bukan semuanya tidak berasas. Jadi, andainya DAP, blok Rafizi bertanding solo dalam PRU16 – senario ini bakal meletakkan penyokong PH dalam dilema – menyokong mereka yang mendesak agar reformasi dipercepatkan, atau menyokong mereka yang cuba mengekalkan kuasa di tangan PH?
Andainya senario ini berlaku, perhitungan PH untuk menang di kawasan campuran dengan sokongan solid pengundi bukan Melayu bakal meleset. Paling teruk untuk PH apabila undinya terpecah, dan PN atau BN yang mendapat durian runtuh.
Kemungkinan senario ini berlaku agak tinggi, jikalau tiada penambahbaikan dan pendamaian dalam masa terdekat. Ini kerana naratif yang dijaja puak sayap ekstrem kanan beberapa tahun kebelakangan adalah krisis bangsa dan umat – Melayu perlu bersatu untuk menyokong parti politik yang paling (nampak) terkedepan untuk membela Melayu dan Muslim. Pengundi dimomokkan bahawa Melayu-Muslim akan hilang kuasa andainya terus berpecah.
Jikalau naratif ini melekat, ditambah dengan perpecahan pengundi bukan Melayu yang kecewa dengan pentadbiran Kerajaan Madani tiga tahun kebelakangan, maka tempoh Anwar Ibrahim akan dihadkan kepada sepenggal, tanpa perlu diluluskan RUU Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri.
LIM HONG SIANG ialah bekas wartawan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
