Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dunia tidak pernah diam. Seperti ombak lautan yang datang bergelombang silih berganti, kuasa-kuasa besar datang dan pergi, masing-masing meninggalkan bekas pada pasir sejarah.

Saya menjejakkan kaki di lebih empat puluh buah negara dari padang pasir Arab hingga ke salji Eropah, dari hutan belantara Amerika Latin hingga ke lorong-lorong sempit di Asia Tengah. Di setiap sudut bumi ada satu perkara yang sama: manusia mendambakan keadilan, kemakmuran, dan ketenangan.

Namun tidak ada yang lebih mengejutkan daripada kebangkitan China, sebuah tamadun tua yang melangkah semula ke pentas dunia dengan gagah, membawa bersama-sama warisan ribuan tahun kebijaksanaan dan visi yang baru.

Ketika pertama kali menginjak kaki di China, saya menyaksikan negara yang bergelora, deretan bangunan pencakar langit bercampur lorong-lorong hutong (sempit) yang kuno, wajah-wajah lelah namun bersemangat, dan mata-mata yang memandang ke depan dengan keazaman yang jarang ditemui di tempat lain. Kini, negara itu mengubah dirinya menjadi sesuatu yang dahulunya hanya ada dalam mimpi.

China menghapuskan kemiskinan mutlak. Kadar celik huruf dewasanya mencecah 97 peratus. Wanita menikmati kebebasan ekonomi yang tidak banyak berbeza dengan warganegara lelaki.

Gelandangan hampir tidak kelihatan. Jenayah pada tahap yang rendah. Semangat keusahawanan diberi ruang bernafas, namun dalam kerangka yang dijaga oleh negara supaya tidak melampau.

Saya tidak mengatakan China sempurna. Jauh sekali. Kebebasan individu ada batasnya, dan ini menjadi tanda tanya besar bagi saya sebagai seorang yang percaya kepada martabat manusia.

Tetapi saya juga tidak boleh menutup mata terhadap hakikat di banyak negara Barat: ada yang melaungkan demokrasi tetapi membiarkan jutaan rakyatnya tidur di jalanan, kebuluran, atau tenggelam dalam hutang perubatan. Apakah ertinya hak mengundi jika perut masih lapar?

Seorang penganalisis kewangan dan geopolitik Swiss-Itali, Angelo Giuliano, menulis bahawa di Amerika Syarikat, oligarki tidak melawan presiden — mereka yang membiayainya.

Pintu berputar antara syarikat gergasi dan Rumah Putih tidak pernah berhenti berpusing. Bekas pengawal selia menjadi eksekutif korporat. Jeneral yang bersara menjadi ahli lembaga pengarah. Senator pencen jadi pembela lobi. Ini bukan rasuah, kata mereka, ini sistem. Ini bukan skandal, ini reka bentuk.

Di China pula, perniagaan wujud untuk berkhidmat kepada negara, bukan menawannya. Wang dibenarkan berkembang, tetapi empayar korporat yang menguasai negara tidak diizinkan berdiri.

Ahli perniagaan China tidak duduk bersebelahan dengan presiden sambil berbisik dasar negara ke telinganya. Parti memerhati. Undang-undang memerhati. Rakyat memerhati. Ini, kata mereka, ialah autoritarisme.

Saya duduk termenung lama dengan perbandingan ini. Sebagai seorang yang pernah mengembara ke negara-negara yang dikatakan 'paling demokratik', saya tahu bahawa label itu seringkali kosong seperti tempurung–yang berbunyi lebih nyaring apabila kosong.

Aristotle pernah berhujah bahawa nakhoda kapal tidak sepatutnya dipilih berdasarkan sorak-sorai penumpang, tetapi berdasarkan pengetahuannya mengemudi.

Apakah ini salah? Apakah kita sanggup menyerahkan kemudi kapal negara kepada mereka yang paling pandai berucap, bukan yang paling bijak memerintah?

Naga dalam cermin akhir zaman

Inilah yang menghantui saya apabila saya memandang kebangkitan China, saya tidak hanya melihatnya melalui kaca mata seorang pengembara, tetapi juga melalui prisma keimanan seorang Muslim yang percaya bahawa sejarah berjalan di bawah ketentuan Allah.

Para ulama Islam telah lama berhujah bahawa salah satu tanda akhir zaman ialah kemunculan kuasa-kuasa besar dari Timur yang akan mengubah keseimbangan dunia. Dalam Islam terkenal dengan slogan "Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China”.

Ada yang mentafsirkan ini bukan sekadar ungkapan tentang menuntut ilmu, tetapi juga sebagai isyarat bahawa China menyimpan sesuatu yang bermakna dalam perjalanan tamadun manusia.

Dalam kitab-kitab tanda akhir zaman, ulama menyebut Barat akan lemah dan Timur akan bangkit. Kita menyaksikan Amerika Syarikat dilanda perpecahan dalaman yang serius dan perang budaya, jurang kaya-miskin yang menganga, institusi-institusi yang digerogoti kepercayaan rakyat.

Sementara itu, China melangkah dengan langkah yang tetap, membina lebuh raya, pelabuhan, dan landasan kereta api rentas benua melalui Inisiatif Jalur dan Laluan serta Jalan Sutera.

Adakah ini tanda yang tersebut dalam lembaran akhir zaman?

Dunia sedang bergeser dari unipolariti Amerika kepada pelbagai kutub, dan China berada di tengah-tengah anjakan itu.

Antara syaitan yang dikenali dan malaikat yang belum dibuktikan

Namun saya tidak buta terhadap bayangan gelap yang menyelimuti kebangkitan China. Nasib kaum Uyghur di Xinjiang adalah luka yang belum sembuh dalam hati setiap Muslim yang prihatin. Penguasaan media, kawalan internet, dan ketiadaan ruang untuk suara pembangkang adalah realiti yang tidak boleh kita abaikan hanya kerana kita kagum dengan pencapaian ekonominya.

Konfusius pernah berkata bahawa harmoni melalui keadilan adalah matlamat yang sejati. Tetapi keadilan tidak boleh menjadi milik satu kumpulan. Jika China benar-benar mahu menjadi pemimpin dunia yang sah dan berwibawa, ia perlu membuktikan bahawa visinya tentang harmoni merangkumi semua manusia — termasuk mereka yang berbeza agama, bahasa, dan budaya di dalam sempadan negaranya sendiri.

Persoalan Karl Marx kepada Konfusius tetap relevan hingga hari ini: adakah kebaikan bermula dari struktur institusi, ataukah dari hati yang murni? Mungkin jawapannya terletak antara kedua-duanya iaitu struktur yang adil perlu dipandu oleh hati yang ikhlas, dan hati yang baik perlu dilindungi oleh undang-undang yang teguh.

Dunia sedang berdiri di hadapan sebuah persimpangan yang besar.

Kebangkitan China bukan sekadar peristiwa ekonomi atau geopolitik dan tanda bahawa sejarah masih bergerak, bahawa tamadun masih bernafas, bahawa Allah masih mengatur lakon layar kehidupan manusia dengan cara yang sering kali di luar jangkauan fikiran kita.

Saya tidak menyeru umat Islam untuk menjadikan China sebagai model atau idola. Islam mempunyai visinya sendiri tentang keadilan, pemerintahan yang baik, dan masyarakat yang sejahtera dengan visi yang lebih lengkap dan lebih agung daripada mana-mana sistem ciptaan manusia.

Tetapi kita boleh belajar dari China tentang kesungguhan, perancangan jangka panjang, disiplin kolektif, dan keberanian untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengemis belas kasihan kuasa asing.

China mengajar kita bahawa kemajuan tidak hanya datang dengan meniru Barat. Ia bergerak seperti seorang penyeberang sungai yang bijak dengan meraba batu demi batu sebelum melangkah, tidak tergesa-gesa, tidak berpaling ke belakang. Ini adalah pengajaran yang kita, sebagai umat yang pernah memimpin tamadun dunia selama berabad-abad, perlu hayati kembali.

Akhir zaman, dalam ajaran Islam, bukan sesuatu yang perlu ditakuti dengan panik, tetapi sesuatu yang perlu dihadapi dengan persediaan dan keimanan. Jika kebangkitan China adalah sebahagian daripada tanda-tanda yang telah diisyaratkan, maka kewajipan kita adalah untuk memahaminya, memetik hikmahnya, dan terus berpegang kepada tali Allah yang tidak pernah putus.

Naga itu telah bangkit. Soalnya kini bukan sama ada kita takut atau kagum padanya, soalnya ialah apakah yang akan kita lakukan dengan pengajaran yang dibawanya, dan apakah kita cukup arif untuk membezakan antara hikmah yang patut dipelajari dan perangkap yang perlu dijauhi.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS