Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jikalau kita membaca sebuah tulisan Pendita Za’ba di Majalah Guru, judulnya ‘Pelajaran Otak dan Latihan’ yang terbit pada bulan April 1932, kita akan terkesima betapa relevannya pesan dan nasihat beliau kepada orang Melayu. Za’ba, atau namanya Zainal Abidin Ahmad adalah seorang ahli bahasa, dan cendekiawan Melayu yang terhormat. Beliau pernah berkhidmat di School of Oriental and African Studies (Soas) antara tahun 1947 sehingga 1950. Untuk ramai sarjana Pengajian Melayu, Soas adalah sebuah institusi yang tersohor di Barat.

Beliau juga bertanggungjawab mendirikan Jabatan Pengajian Melayu di National University of Singapore (NUS) dan menjadi ketuanya antara tahun 1952 sehingga 1958. Sehingga hari ini beliau masih satu-satunya seorang yang diberi gelar Pendita. Kalau ada pun wadah mencanang orang lain sebagai pendita, ketahuilah tak sampai mana hujung pangkalnya, jauh amat jika dibanding Za’ba.

Dalam rencana ‘Pelajaran Otak dan Latihan’ yang dinukilkan Za’ba ini, ada macam-macam pesan dan nasihat yang sangat berguna. Nampaknya Pendita Za’ba telah menjangka dan nampak akan perangai tingkah laku Melayu lama dahulu, dan tidak banyak perubahan berlaku menjelang 94 tahun usianya esei beliau itu.

Ada seorang yang saya kenal, dia bergegas mendekati menteri pelajaran kita, Fadhlina Sidek dalam satu acara yang dianjurkan partinya berhampiran kejiranan saya. Dia ini sendiri bukanlah orang atau ahli parti tersebut, tetapi sejak berakhir pandemik, dia ini tidak begitu banyak kerjaan dan hanya berbuat satu dua tugas sara hidup. Jadi tidaklah menghairankan dia tidak punya kerjaan dan meliar mengular ke tempat acara tersebut. Hendak jadi cerita, dia ini terserempakkan menteri pelajaran.

Dalam banyak-banyak tegur dan sapa, dia berbuat jenaka tahap walaun konon untuk memalukan Fadhlina, jadinya dia menyebutkan begini “apa kes budak enam tahun dah kena masuk sekolah”. Dan kata-kata itu disangka jenaka-jeniki lantas dipos ke Facebook miliknya, siap diiring dengan foto Fadhlina yang tersilang kaki melangkah longkang untuk ditertawakan. Ramai Melayu yang menyorak menggelakkan dalam komentar. 

Fadhlina Sidek

Membaca status sedemikian, saya teringat akan rencana Za’ba itu. Di tahun 1932 Za’ba sedang berjuang memahamkan ibu bapa Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Bukan itu sahaja, Za’ba juga sedang berjuang memastikan silibus dan pelajaran yang diketengahkan di sekolah itu mencapai standard agar anak Melayu tidak ketinggalan. Za’ba membaca contoh-contoh dari luar negara agar bangsa Melayu tidak ketinggalan.

Hari ini, jika Za’ba masih ada, almarhum akan membawa contoh beberapa negara dan bangsa maju yang telah pun melakukan penandarasan yang baru, iaitu dengan mengawal pendidikan anak-anak di sekolah rendah, seawal enam tahun.

Ada banyak negara telah memulai tahap sekolah rendah untuk anak berusia enam tahun. Anak kita di tahun 1932, di tahun 1972 dan di tahun 2026 sama sekali tiada persamaan. Hari ini anak-anak ‘lebih pandai’ dan ‘cerdik’ yang memungkinkan mereka untuk ke sekolah. Kalau terlambat setahun, kita akan kerugian setahun berbanding bangsa-bangsa maju lain.

Jika kita merujuk data dan laman Bank Dunia, kita mendapati ada negara yang telah pun memulai sekolah rendah seawal 5 tahun. 137 buah negara telah memulai usaha agar anak enam tahun ke sekolah pendidikan rendah dan ini antara lain adalah, negara-negara di Utara dan Selatan Amerika, Asia Jauh, termasuklah Kenya dan Kiribati. 

Sebenarnya masalah kita bukanlah anak-anak. Tetapi Za’ba telah menghidu masalah ini lebih awal. Masalah kita terletak pada ibu-bapa, dalam hal ini Za’ba menyelar ibu-bapa Melayu begini; “maka peri kejahilan ibu bapa seperti yang disebutkan itu dan peri segala kerendahan cita-citanya dan kemiskinan perasaannya dan keda’ifan fikirannya, tidaklah payah mengenal dia di sisi orang-orang yang mengerti, dengan mendengar akan percakapan mereka itu sahaja di antara seorang dengan seorang nescaya dapatlah dikenal dan diketahui sekaliannya.” 

Kegilaan pada satu aliran

Membaca petikan tulisan Za’ba ini, jika kita meletakkan dalam konteks walaun tadi, maka kita tahu tinggi rendahnya kognitif manusia ini.

Salah satu faktor berlakunya gejala seperti ini ialah kerana kegilaan ibu-bapa kepada satu aliran sahaja, atau satu jenis sekolah sahaja iaitu aliran atau sekolah agama. Meskipun hari ini terdapat usaha menggaul silibus, dan meningkatkan kemahiran pelajar sekolah agama kepada perkara atau ehwal lainnya dari agama, tetapi keterperukan dan kepercayaan bahawa hanya ehwal agama sahaja laku kelak telah sedikit sebanyak membantutkan fikiran ibu-bapa ini, khusus mereka yang dibesar atau tumbuh di era Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, di era Pasti  atau di era 1980an yang penuh percekcokan politik antara apa itu sekular apa itu Islami.

Dalam hal ini Za’ba dalam rencana ‘Pelajaran Otak dan Latihan’ ada menyentuh darihal kegilaan kepada bacaan-bacaan agama yang membuatkan ketidakendahan kepada fikiran rasio. Almarhum mencatatkan begini:

“Sungguhpun demikian, tiada shak daripada cempedak terlebih baik nangka, daripada terpijak lebih baik terlanda; dan daripada tidak seribu kali baiklah ada. Kata Inggeris, sebelah roti terlebih baik daripada tiada roti, dan kata kita Melayu, tiada rotan akar pun berguna juga. Maka satu yang tiada baik ialah jika mereka itu mengerti pula membaca kitab-kitab agama yang ada itu pada hal pengetahuannya pada pihak lain tidak luas, maka ditakuti ia kelak jadi orang yang ‘gila agama’ sahaja tiada endah akan lain-lain kewajipan hidup, hanya di kelilingi oleh perasaan-perasaan keras kepala dan leka mengira-ngira dosa pahala dan "bencikan dunia" sahaja! Kerana kitab-kitab agama kita seqadar yang ada itu sangat kekurangan tentang fikiran-fikiran dan perasaan-perasaan dan siyasah selidik yang munasabah dengan kemajuan 'aqal sekarang dan kejayaan hidup manusia zaman ini.”

Namun demikian janganlah disangka Za’ba itu anti kepada agama, banyak rujukan Za’ba sendiri adalah pada agama, tetapi yang Za’ba mahukan adalah pertimbangan lojik dan realistik di samping kecintaan dan nafsu kepada agama.

Kembali kepada cadangan agar anak-anak bersekolah awal, seawal enam tahun, atau mungkin lima tahun, Za’ba pernah menegaskan perihal anak-anak diberikan pendedahan seawal mungkin. Harus diingat pendirian ini adalah pada tahun 1932, hampir seratus tahun terawal. 

Kata Za’ba;

“Pendeknya pada masa kecil kanak-kanak itu seumpama rebung atau dahan yang muda, boleh dilentur dan dirupakan bengkoknya kepada barang apa rupa dengan tiada patah atau pecah. Maka apabila sudah keras menjadi dahan yang tua susahlah kerjanya, hendak berbakar dan sebagainya baharu ia boleh jadi lembut dibentuk atau dilentur. Maka inilah sebab ada pepatah kita Melayu, melentur biar masa rebung, jika sudah menjadi aur payah, dan kata orang putih, titik olehmu besi sementara ia hangat. Maka keadaan kanak-kanak masa kecilnya itu samalah seperti besi yang sedang panas ini boleh dibentuk kepada barang apa rupa oleh tukangnya dan ditempa kepada barang apa jenis bapa-bapa atau ibu-ibu yang akan datang.”

Sebenarnya kita perlu bersaing dengan masa, dengan perubahan, dengan kemajuan orang dan berfikir pandai. Masalah dengan kita ialah kita gemar mengkritik dan menyangkal, kadangkala pada tempat yang tidak perlu disanggah pun. Ia berlaku kerana lojik dan rasio telah terhadang. Dalam kepala kita penuh dan tepu dengan politik dan ia menghalang kita melihat kepada keluasan dunia, yang akan membawa kelak kepada keluasan akhirat.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS