KOLUM | Ketika letupan menggegar Tehran dan Isfahan, nama Kuala Lumpur secara tiba-tiba muncul di skrin berita utama dunia.
Beribu-ribu kilometer dari zon perang di Asia Barat, ibu kota kita menjadi tumpuan bukan kerana sebarang penglibatan ketenteraan, tetapi kerana ia menjadi medan diplomatik yang menentukan maruah sebuah bangsa.
Beberapa minggu lalu, semasa lagu kebangsaan Iran berkumandang dalam kejohanan bola sepak Piala Asia Wanita 2026 di Australia, tidak ada seorang pun pemain mahupun pegawai dari skuad negara berkenaan menggerakkan bibir. Mereka memilih untuk ‘bisu’.
Pada saat tanah air mereka dihujani bom dan peluru, bukankah itu sepatutnya menjadi momen terbaik untuk atlet terbabit bersatu di belakang bendera negara dan mempamerkan semangat patriotik di hadapan dunia?
Tindakan itu nampak seperti satu keberanian luar biasa bagi pemerhati luar yang tidak memahami dinamika pergolakan dalaman Iran.
Namun, bagi golongan yang berpihak kepada koridor kuasa di Tehran, reaksi tersebut dilihat sebagai satu pengkhianatan terbuka. Maka muncul desakan untuk mengenakan hukuman paling berat buat mereka.
Tindakan tersebut lahir dari jiwa yang mahu terbang bebas daripada ‘sangkar’ yang menghimpit golongan wanita di sana.
Untuk memahami konteks, kita harus melihat kepada konsep Wilayat al-Faqih atau kepimpinan ulama yang menjadi tunjang pemerintahan di Iran.
Mohon suaka politik
Di bawah doktrin itu, agama bukan sekadar panduan moral peribadi, tetapi diinstitusikan sebagai instrumen undang-undang rigid yang sering kali gagal menangkap denyut nadi aspirasi kemanusiaan.
Apabila ‘polis moral’ menjadi wajah utama, ia tidak lagi dirasai sebagai rahmat, sebaliknya menjadi pagar birokrasi yang membekukan potensi umat. Segala aspek kehidupan diatur mengikut tafsiran yang dilihat kurang responsif terhadap tuntutan zaman.
Bagi golongan wanita muda Iran yang lahir dalam arus kemodenan, sistem itu adalah ‘pagar’ yang mengongkong setiap inci ruang gerak mereka.
Daripada penguatkuasaan kod pakaian yang ketat sehinggalah sekatan untuk ke stadium bola sepak yang hanya baru dilonggarkan sedikit kebelakangan ini, segalanya berada di bawah pengawasan pihak berkuasa.
Protes ‘bisu’ di Australia itu adalah manifestasi jeritan jiwa sesetengah warga terhadap sistem yang meletakkan simbolisme ideologi di atas kebebasan hakiki seorang insan.

Apa yang berlaku selepas itu jauh lebih dramatik. Sebaik sahaja kejohanan tamat pada 8 Mac, tujuh anggota delegasi – termasuk kapten pasukan, Zahra Ghanbari – secara rasmi memohon suaka politik di Australia.
Namun, jangkauan kuasa Tehran rupa-rupanya lebih jauh. Melalui tekanan diplomatik dan ‘pesanan’ yang sampai melalui ahli keluarga di tanah air, satu persatu daripada mereka mula goyah.
Ketika baki anggota skuad tersebut sedang transit di Kuala Lumpur sebelum pulang ke negara mereka, lima daripada tujuh pemain akhirnya ‘menyerah kalah’ secara berperingkat.
Hanya dua nama – Fatemeh Pasandideh dan Atefeh Ramezanisadeh – yang nekad kekal di Australia, manakala yang lain pulang dengan hati yang berbelah bahagi.
Air mata yang tumpah
Iran dilihat berdepan krisis identiti yang parah. Di satu sisi, mereka adalah singa yang garang menentang musuh luar, manakala di sisi lain, singa itu sedang luka parah di dalam kerana anak-anak bangsanya sendiri sudah mula tawar hati.
Di situlah terletaknya satu paradoks sosiopolitik yang sangat berat untuk dihadam: Adakah kekerasan itu sebenarnya perisai yang membolehkan Iran bertahan daripada asakan luar?
Bagi penguasa di Tehran, kelembutan terhadap aspirasi rakyat mungkin dilihat sebagai satu liabiliti yang boleh meretakkan benteng negara dalam menghadapi serangan ideologi barat.
Maka, ‘perisai besi’ digunakan untuk memastikan tiada ruang buat sebarang percikan revolusi yang boleh dimanipulasi oleh musuh asing.
Namun, harga bagi sebuah ketegasan geopolitik ini ialah nyawa anak bangsa sendiri. Laporan antarabangsa mengenai gelombang hukuman mati sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukanlah sekadar angka statistik. Ia adalah fakta yang berdarah.

Tuduhan seperti “Moharebeh” atau memerangi Tuhan telah digunakan sebagai instrumen undang-undang untuk menghantar aktivis muda, cerdik pandai, malah ahli sukan ke tali gantung.
Itulah dimensi gelap yang menjelaskan mengapa air mata pemain wanita itu tumpah di celah kesibukan terminal KLIA. Mereka bukan sekadar takutkan jeriji penjara atau sekatan pasport.
Dalam fikiran masing-masing, hukuman yang telah meragut nyawa rakan-rakan mereka sebelum ini kelihatan begitu nyata. Ia adalah di antara maruah diri dengan nyawa yang berada di hujung tanduk.
Wibawa pada Kuala Lumpur
Namun, di sebalik segala pergolakan dalaman berkenaan, kita tidak boleh menafikan satu hakikat yang menjadikan Iran sebuah bangsa yang sangat dihormati: kecekalan mereka berdiri tegak di celah tekanan gergasi dunia.
Baik di padang bola sepak mahupun pentas geopolitik, mereka adalah simbol keberanian sebuah negara kecil yang enggan tunduk kepada hegemoni AS dan sekutunya walaupun ekonominya disekat selama puluhan tahun,
Itulah paradoks keagungan bangsa Parsi. Mereka mungkin bertelingkah di dalam rumah tentang definisi kebebasan, namun apabila berhadapan dengan pembuli dunia, mereka berusaha untuk menyusun satu saf yang tidak akan retak.
Bola sepak menjadi medium paling jujur untuk mereka melaungkan kepada dunia bahawa Iran adalah sebuah kedaulatan yang tidak akan sesekali melutut kepada telunjuk Washington.
Bagi pemerintah, maruah adalah kedaulatan wilayah. Namun bagi wanita-wanita muda tadi, maruah adalah kebebasan diri.
Pertembungan dua definisi maruah itu terakam jelas dalam air mata yang tumpah di Kuala Lumpur.
Mengapa Kuala Lumpur?

Wibawa kita adalah ‘DNA’ yang diwarisi sejak ratusan tahun dahulu. Melaka bukan sekadar pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa, tetapi menjadi titik pertemuan tamadun yang mengutamakan musyawarah mengatasi peperangan.
Fitrah dan jati diri masyarakat Melayu yang mengutamakan adab dan muafakat telah menjadikan tanah ini sebagai pilihan untuk menyejukkan suhu panas pelbagai konflik.
Negara kita telah mengusulkan perjanjian damai Thailand-Kemboja, mengatur rundingan di Selatan Thai dan Selatan Filipina, serta menjadi suara yang lantang dalam isu kemanusiaan di Palestin.
Sebagai nakhoda Asean yang bijaksana, Kuala Lumpur memastikan rantau ini tidak menjadi bidak catur dalam pertembungan kuasa besar antara AS, China dan Rusia.
Faktor jati diri, sistem jujur
Di sebalik tabir diplomasi yang gah ini, ada satu semangat yang sedang kita cuba fahami, iaitu semangat yang lahir daripada sejarah panjang bola sepak sebagai nadi perlawanan di Iran.
Tindakan pasukan wanita tadi sebenarnya adalah kesinambungan daripada siri penentangan legenda bola sepak Iran seperti Ali Karimi yang hidup dalam buangan dan Ali Daei yang ditekan hanya kerana bersuara.
Sejak Revolusi 1979, bola sepak pernah dianggap sebagai “musuh” oleh golongan konservatif Iran kerana dilihat sebagai pengaruh Barat yang melalaikan.

Namun pemerintah terpaksa tunduk kerana hakikat bola sepak adalah satu-satunya entiti yang gagal dijinakkan oleh doktrin politik.
Bola sepak tetap digunakan sebagai alat legitimasi bukti kehebatan sistem mereka di mata dunia. Malah mereka muncul sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di rantau Asia sehingga hari ini.
Kehebatan teknikal, ekosistem dan struktur akar umbi Iran dalam bola sepak sebenarnya menuntut sebuah artikel khas yang lain untuk diceritakan secara panjang lebar.
Namun, apa yang boleh kita pelajari di sini ialah tentang jati diri. Bola sepak Iran tidak pernah mati dek peluru atau bom kerana ia adalah simfoni sebuah tamadun yang sudah tahu cara untuk terus hidup sejak ribuan tahun dahulu.
Bagi kita di Malaysia, belajarlah sesuatu daripada mereka. Kejayaan dan maruah tidak datang dari dokumen palsu atau jalan pintas mencari pemain warisan yang meragukan.
Ia datang daripada jati diri yang kuat dan sistem yang jujur.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
