Pada saat perlawanan antara Iran dan negara haram Israel memuncak, kita juga dapat melihat topeng-topeng kemunafikan tertanggal jatuh dan yang paling terdedah wajah sebenarnya tidak lain tidak bukan adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebuah negara di Teluk yang kini dituding dan diberi julukan sebagai tempat lacur Zionis Israel setiap hujung minggu.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sebuah lagi negara di Teluk, Bahrain muncul sebagai negara Arab pertama yang secara rasmi mengiktiraf Israel sejak Jordan pada tahun 1994.
Sebelum itu, diam-diam Qatar juga pernah menjalin hubungan awal dengan Israel sejak tahun 1993, termasuk pembukaan pejabat perdagangan bersama pada tahun 1996.

Akan tetapi, hubungan gelap ini terputus ketika Intifada Kedua di Palestin, pada tahun 2000 dan kembali pulih pada 2005 sebelum sekali lagi merosot akibat konflik di Gaza pada 2008–2009. Belum ada keseriusan di pihak Qatar untuk benar-benar menolak Israel.
Akan tetapi, tidak ada yang lebih mencemuhkan melainkan UAE, yang mengambil pendirian mengiktiraf Zionis melalui Perjanjian Abraham (Abraham Accords) pada tahun 2020 apabila negara ini menormalisasikan hubungannya dengan Israel.
UAE tidak terkesan oleh kutukan dan kebencian masyarakat dunia terhadap Israel selepas peristiwa 7 Oktober 2023 dan genosid di Gaza, malah hubungan ini kekal berkembang secara politik dan ekonomi meskipun mencalar moral.
Video mendakwa Zionis berbuka puasa dengan tokoh UAE, atau majlis tari-menari Emirati dan Rabbi Zionis di media sosial mengundang jelak dan jengkel. Salah satu motivasi utama UAE bergelimpangan 'di ranjang Zionis' adalah semata-mata kerana nafsu meluap-luap mereka untuk meningkatkan kedudukan dalam kalangan elit politik Amerika Syarikat.

Normalisasi dengan Israel dibaca sebagai mencantikkan imej UAE di Washington serta meningkatkan pengaruhnya dalam kalangan pembuat dasar.
Perjanjian dengan Israel tersebut juga berfungsi sebagai “penampan politik” dan menjadi nyata apabila UAE dalam beberapa hal berpendirian berbeza dari Amerika Syarikat untuk isu antarabangsa seperti mencampuri hal ehwal Sudan, perang Rusia-Ukraine dan hubungan dengan Syria.
Dari segi perdagangan, UAE rakan dagang Arab terbesar Israel. Dilaporkan, ketika Zionis menyembelih umat Islam Arab di Gaza tanpa henti, perdagangan dua hala antara UAE dan Zionis kekal kukuh bahkan meningkat kepada sekitar AS$3.2 bilion pada tahun 2024.
Kedua-dua negara malah menandatangani perjanjian ekonomi komprehensif yang menyasarkan peningkatan perdagangan bukan minyak sehingga AS$10 bilion menjelang 2030. UAE memilih untuk tidak peduli, dan mempersetankan Gaza (bukannya Israel), demi semata-mata untuk mengangkat ekonomi, sambil tergamak pula menidakkan sebarang tekanan politik dan sentimen awam.
UAE pakai perisian intip Israel
UAE melihat Israel sebagai tenaga teknologi dengan UAE dan Israel, sebagai dua hab teknologi utama di Timur Tengah, bekerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan, fintech dan keselamatan siber.
UAE meyakini teknologi Israel sebagai peluang untuk mempercepat transformasi digitalnya, manakala Israel pula menunggang dan menyundalkan UAE sebagai pintu masuk ke pasaran serantau dan global.
Malah, jauh sebelum sebelum hubungan rasmi mereka bermula, kerjasama rahsia telah pun berlaku. Ini termasuklah perjanjian dengan syarikat NSO Group yang membekalkan perisian pengintipan seperti Pegasus kepada UAE.

Selain itu, sektor pelancongan turut berkembang pesat, walaupun tidak seimbang. Emiratis mungkin tidak berminat untuk ke Israel, tetapi umum mengetahui betapa Dubai menjadi destinasi utama pelancong Israel, terutama untuk mereka yang ingin berehat sekejap.
Bahkan, tentera Israel yang kelelahan setelah membunuh rakyat Gaza, didakwa terbang terus ke Dubai untuk bercuti. Penerbangan dua negara diperkenalkan pada 2022.
Meskipun UAE sering dikecam dan dinista kerana menjalin hubungan dengan Israel, perdagangan antara kerajaan dengan kerajaan kekal stabil manakala sektor swasta UAE tidak mengendahkan reputasi mereka terjejas ekoran 'persenyawaan di luar tabie' itu.
Isu Gaza dan penderitaan rakyat Palestin tidak sepicing pun membuatkan UAE berasa cemas, atau sayu hati.

Ketakutan umat Arab terhadap gagasan Israel Raya nampaknya disambut oleh UAE secara suam kuku.
Sekali-sekala UAE manja-manja mengkritik Israel dengan kepuraan konon bertegas atau menayangkan peranan kemanusiaan seperti menyalurkan bantuan ke Gaza melalui pelbagai operasi antarabangsa demi mempamerkan solidariti terhadap rakyat Palestin serta mengurangkan persepsi negatif bahawa normalisasi dengan Israel mengabaikan kepentingan Palestin.
Dalam usaha melindungi keselamatan UAE, pemerintahnya menjalin hubungan dengan Amerika Syarikat, 'menjilat buntut' Rumah Putih semahu-mahunya.
Akan tetapi untuk menghujahkan hubungan UAE dan Israel atau Amerika Syarikat ini sebagai kesilapan strategik kepimpinannya tidak sepenuh benar.
Anda pernah membeli emas di Dubai?
Yang benar adalah UAE memang atau, adalah satu lagi ‘kuasa jahat’ yang sebetulnya mendapat rakan sekongkol yang berkesan iaitu Zionis.
Ini misalnya dapat dilihat pada dakwaan peranan UAE dalam konflik perang di Sudan, khususnya melalui pengaruh ekonomi, sumber semula jadi (terutamanya emas), serta kepentingan geopolitik di rantau Afrika.
Emas Dubai, Emas Abu Dhabi, dan Emas Sharjah tidak datang dari negara kecil yang plastik tidak punya apa itu. Ia berasal dari Sudan. Konflik Sudan bermula pada tahun 2023 dan melibatkan pertempuran antara tentera rasmi Sudan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

UAE menjalin hubungan ekonomi dan didakwa memberi sokongan tidak langsung kepada RSF. Peranan UAE ini ditelanjangi apabila makin banyak laporan kelompok hak asasi manusia disebarkan yang mendakwa UAE ikut terlibat dalam siri kekejaman besar, termasuk genosid di wilayah Darfur.
Dalam video yang keluar dari Sudan, RSF didakwa membunuh merogol dan mencincang penghuni di wilayah RSF manakala ada yang menjadi hamba di lombong emas.
Seperti didakwa, faktor utama yang menghubungkan UAE dengan konflik ini ialah emas. Sudan merupakan salah satu pengeluar emas terbesar di Afrika, malah menjadi sumber utama dalam ekonomi perang negara tersebut.
Aktiviti perlombongan emas di Sudan banyak dikawal oleh RSF, yang menguasai lombong-lombong emas melalui rangkaian pelombong tidak formal.

Emas ini kemudiannya dihantar ke Dubai, yang merupakan salah satu pusat perdagangan emas terbesar dunia. Melalui mekanisme ini, RSF beroleh sumber kewangan dan laba besar untuk membiayai operasi ketenteraan mereka.
Pada masa sama, Dubai pula mendapat manfaat sebagai hab perdagangan emas global. Hubungan ini mewujudkan satu kitaran saling bergantung di mana RSF memerlukan pasaran untuk emas mereka, di kala UAE pula mendapat bekalan emas yang berterusan.
Selain itu, untuk UAE, penglibatan di Sudan bukan sekadar dalam soal manipulasi ekonomi, tetapi juga sebahagian daripada strategi geopolitik yang lebih luas di benua Afrika.
UAE berhasrat untuk memperluas pengaruhnya di rantau seperti Sahel dan Laut Merah, terutama dengan menggabungkan kepentingan perniagaan dan politik. Sudan, dengan sumber alamnya yang kaya dan kedudukan strategik, menjadi sasaran penting dalam strategi ini.

Persaingan UAE dan Arab Saudi menyalakan nafsu UAE tersebut. Di pihak lain, tentera Sudan, yang disokong oleh negara seperti Mesir, berusaha untuk mengawal sumber emas dan mengukuhkan kuasa negara tersebut. Akibatnya rakyat Sudan terutama di Darfur menjadi tersepit dan mangsa penyembelihan yang setara seperti apa yang terjadi di Gaza.
Hari ini, keberpihakan UAE kepada Zionis dalam Perang Ramadan antara Iran dan Amerika Syarikat serta Israel membuatkan umat Islam benci kepada negeri kecil di Teluk tersebut.
Ramai yang mempadankan muka UAE tatkala beberapa kepentingan Zionis diserang bertalu-talu oleh Iran.
Umat Islam dan masyarakat dunia yang sedar dan benci akan kuasa imperalis melihat UAE dan Zionis sebagai sekutu yang mesti dilawan habis-habisan.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
