Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

Tokoh yang membidani penubuhan Parti Keadilan Nasional, Mohd Anuar Mohd Tahir pernah menyebut, penubuhan parti baharu adalah untuk menampung aspirasi dan semangat politik baharu. Maka beliau secara ‘diam-diam’ mengambil alih sebuah parti politik di Terengganu iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia. Beliau seterusnya melakar logo berbentuk bulan sabit dan bumi yang asalnya dimanifestasi sebagai perjuangan keadilan sejagat.

Maka, pada tanggal 4 April 1999 Parti Keadilan Nasional ditubuhkan secara rasmi dengan penuh warna warni dan semangat reformasi di Hotel Renaissance, Jalan Ampang Kuala Lumpur.  

Hasrat untuk menampung aspirasi baharu dan semangat politik baharu ini adalah satu pendekatan di luar kotak. Ini yang membezakannya dengan parti-parti serpihan Umno lain yang membawa agenda untuk berlumba-lumba mengumandang siapa yang ‘lebih Melayu’, atau sentralisasi semata kepada sosok individu.

Pergerakan sejarah baru

Peristiwa ini adalah satu pergerakan sejarah - ‘historical movement’ iaitu sebagai penentu kepada kelahiran sesuatu masyarakat baharu apabila satu kumpulan Masyarakat memperoleh kualiti untuk bergerak mencapai tujuan yang sama. 

Pergerakan sejarah ini amat bermakna, yang menurut Malik Bennabi, kegagalan anggota kumpulan mewujudkan satu pergerakan baharu, masyarakatnya akan lenyap dan ditandai sejarah sebagai entiti tidak penting.

Pergerakan ini juga sinonim dengan teori Arnold Toynbee, ‘adequate response’ yang muncul untuk mendapatkan ramuan akibat dari cabaran dan kekalutan yang berlaku. Aktor-aktor yang memberi respon ini disebut sebagai ‘the creative minority’.

Adequate response yang menjadi historical movement ini membawa idealisme Reformasi bersama nilai Islam dan masyarakat Malaysia yang sederhana serta inklusif untuk memberdaya masyarakat demokratik seluruhnya, seperti coretan Khoo Boo Teik: 

“Attempt to empower all Malaysians in their vast diversity and create an equal and inclusive platform for deliberative democracy”

Ia adalah idealisme untuk membawa Malaysia yang lebih adil, menolak rasuah, kebobrokan, kezaliman, satu idealisme baharu yang sememangnya rakyat dambakan, setelah sekian lama terbungkam dengan pelbagai penindasan pemerintah.

Dekad itu dan sebelumnya menunjukkan segalanya dikawal pemerintah. Perhimpunan jalanan dilarang sama sekali bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1961 sentiasa menanti mana-mana pemimpin dan aktivis yang bersuara untuk ditahan tanpa bicara. ‘Special Branch’ siap siaga memasang telinga di mana-mana ruang awam atau ceruk tertutup untuk mengenal pasti suara-suara penentang.

Fasa politik penuh derita

Lantas, membawa wadah baharu ini tidak terkecuali dari penderitaan yang menyakitkan. 

Selain penderitaan yang ditanggung oleh pemimpin dan aktivisnya, jangan kita lupa ‘derita’ ini juga turut melebar ke seluruh lapisan rakyat termasuk yang tak berparti kerana bersama mahukan aspirasi perubahan. Ada yang dibuang kerja, diberi notis pindah dalam tempoh 24 jam, ditekan, diugut dan ditangkap.

Namun dalam derita, emosi rakyat yang mahukan politik baharu terus meluap-luap. Lagi ditekan lagi kuat bersuara. Maka setiap hujung minggu himpunan reformasi akan dianjurkan secara organik di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ada yang bersedia membawa plakad dan banner Reformasi. Tak kurang ada yang bawa majalah Tamadun, Detik dan Aliran yang memapar wajah Anwar Ibrahim di kulit hadapan.

Dalam derita, lagu ‘Satu Perjuangan’ Kumpulan Brothers dan ‘Damai yang Hilang’ Kumpulan Nowseeheart menjadi dendangan rakyat.

Dalam derita, segenap golongan Melayu dari intelektual, pemikir, budayawan, dan golongan ulama ramai mula angkat kaki tinggalkan Umno. Mereka melihat betapa jijiknya politik kuno Umno yang penuh kebejatan dan salahguna kuasa. 

Berbekalkan iltizam “islah mastata’tu”, Anwar berjaya membuka kesedaran dan keberanian rakyat secara massa untuk bersuara. Susulan itu, negara tidak pernah senyap dari tuntutan mahupun bantahan. Himpunan besar mula menjadi budaya di ibu kota. Himpunan Bersih, Gerakan Bantah ISA, Himpunan Bahasa - Mansuhkan PPSMI, dan lain-lain telah menjadi rekod sejarah aksi melawan di ibu kota.

Akibat dari derita, cengkaman, dan tekanan yang kuat, ‘adequate response’ yang dibina ini berdaya tahan. Toynbee menegaskan:

“Accordingly, if we assume that the challenge is so weak that it does not attain a certain level, the response to it will be weak as well… the efficacy of the response will grow proportionally with the severity of the challenge until the challenge reaches a certain level”.

Tidak hairanlah mengapa daya tahan parti ini amat luar biasa. Walau berpuluh tahun di titian melawan rejim, dari satu PRU ke satu PRU dengan pelbagai tekanan, parti ini terus bertahan hingga Anwar berjaya mengangkat sumpah menjadi perdana menteri.

Fasa politik kuasa

Kini mereka memasuki fasa eksperimen politik kuasa. PKR khususnya pemimpin mereka amat bertuah kerana diizinkan untuk memasuki fasa ini. Tidak ramai pejuang diberi izin. Dr Burhanuddin Helmy, Pak Sako, Ahmad Boestamam–mereka tidak mendapat apa-apa dari perjuangan mereka melainkan beberapa jalan raya yang dinamakan atas nama mereka selepas meninggal dunia. Mereka keluar masuk penjara, ditekan rejim sejak zaman penjajah.  

Namun, mereka mungkin bersyukur kerana pada hakikatnya, ujian kekenyangan lebih parah dari ujian kelaparan. Kata orang tua-tua ‘dalam timbunan gula yang menjadi keperluan sang semut, jika terlalu banyak dan menimbun akan menjadi pembunuh yang tidak disangka-sangka’. Maka, sebelum gula yang mengisi keperluan menjadi pembunuh, pimpinan dan anggota parti harus waspada.

Pimpinan parti harus sentiasa ingat, fasa kini tidak putus dari kelangsungan ‘adequate response’ dan ‘historical movement’ yang dibina sejak tahun 1998. Ia kekal menjadi cerminan utama kepada relevansi parti.  

Pimpinan parti dan kerajaan harus cermati sejauh mana ‘adequate response’ dan historical movement ini akan kekal relevan atau bakal terputus, bergantung kepada dasar Kerajaan Madani pimpinan Anwar.  

Secara konseptual, Anwar meletakkan konsep Madani sebagai manifestasi kepada visi panjang negara membina peradaban. Ia sebenarnya sinonim penegasan Toybnee iaitu tujuan ‘adequate response’ ini membawa kepada satu ‘force’ yang mewujudkan proses perkembangan tamadun.

Almarhum Syed Naquib Al-Attas dalam buku Islam: Faham agama dan asas akhlak menjelaskan kata akar madani berasal dari kalimah din – agama, dain – hutang, madinah – Bandar dan tamaddun – peradaban.

Syed Naquib Al-Attas

Kesemua elemen ini punyai satu nilai yang sama iaitu keterikatan. Agama mengikat kita untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, hutang juga adalah satu bentuk ikatan selagi ia belum dilunaskan. 

Begitu juga madinah - bandar, hidup di bandar lebih terikat dengan pelbagai tata masyarakat, aturan dan sistem, termasuk komitmen bayaran dan lain-lain banding dengan hidup di kampung yang lebih bebas dan dengan ikatan ini ia membawa kepada kelangsungan tamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang terikat dengan tatasusila dan tata masyarakat yang baik.

Reformasi institusi, ikatan tatakelola dan peradaban

Begitu juga dalam aspek pemerintahan, elemen dan nilai tatakelola yang mengawal dan mengikat sang penguasa amat penting. Selagi wujud institusi yang kuat mengikat pemerintah dari salah guna kuasa dan rasuah, selama itu kita berada di landasan yang betul untuk membina sebuah peradaban.

Ikatan ini lahirkan masyarakat beradab dipimpin oleh pemimpin yang beradab. Sejarah menunjukkan tanpa adab atau ethics, negara atau peradaban akan jatuh ke ambang kemusnahan. Sebaliknya dengannya pemerintahan berupaya untuk kekal.

Penegasan Imam Abdul Rahman ibn Nasr al-Shayzari (589h): 

“Oleh kerana rakyat memerlukan pemerintah dalam mengurus urusan mereka, dan kerana adab merupakan himpunan sifat-sifat terpuji dan akhlak yang baik, maka adalah perlu bagi seorang pemerintah memiliki adab agar daripadanya lahir sikap pemerintahan yang berkaitan dengan rakyatnya berasaskan prinsip keadilan yang dengannya pemerintahannya kekal.”

Begitu juga dalam perbahasan tokoh silam peradaban Barat yang menekankan kebersamaan konsep civility (madani), virtue, dan ethics untuk membina sebuah masyarakat teratur. Aristotle dalam Nicomachean Ethics menekankan kepentingan virtue of character yang membawa kepada nilai-nilai seperti keadilan dalam pemerintahan. 

Namun, tanpa ikatan dan etika ini, mana-mana peradaban akan jatuh ke ambang kemusnahan. Peradaban Amerika semakin tergelincir ekoran kuasa besar yang tertumpu kepada Presiden Donald Trump tanpa diikat dengan aturan kebertanggungjawaban. 

Kecaman oleh pendukung kuat Trump sendiri seperti Marjorie Taylor Greene, Tucker Carlson, Carrie Prejean Boller, memperlihat kegoyahan dan keresahan warga Amerika akan kemusnahan yang bakal menanti mereka.

Perkara sama boleh berlaku dalam politik negara, jika janji untuk membina sebuah kepimpinan yang telus, adil, bertanggungjawab tidak diterjemahkan oleh Kerajaan Madani. 

Meneruskan lakaran sejarah parti

Lantaran itu, kita bertanggungjawab untuk terus mempersoal sejauh mana kerajaan Madani serius mengendong adequate response yang dibina ini dan melakar pergerakan sejarah ini dengan baik?

Lebih malang, jika kerajaan Madani dihujani isu skandal salah laku, rasuah dan penyelewengan ia akan menjadi penamat kepada pergerakan sejarah yang dibina sejak berpuluh tahun. Justeru perjuangan adalah keberanian untuk bertindak. Kerajaan yang dipimpin parti PKR perlukan iltizam dan keberanian untuk meneruskan lakaran pergerakan sejarah ini. 

Ia menjadi penentu kepada masa depan PKR dan karakter pimpinan pelapis parti. Parti ini punya pergerakan sejarah keramat yang jangan disia-siakan. Sejarah penderitaan dan air mata rakyat yang mahukan perubahan.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah pengerusi Bersih.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS