KOLUM | Konotasi “melawan” sering dikaitkan dengan pengertian yang salah dan sehala sahaja. Hakikatnya kerja-kerja melawan adalah sebahagian daripada kesempurnaan kepada proses pembinaan sesuatu yang lebih bermakna.
Dalam sistem demokrasi, di sebalik kekuasaan kerajaan, wujud barisan pembangkang yang tugasnya untuk mengimbangi kekuasaan.
Dalam dunia kesusasteraan pula, dalam timbunan karya-karya baru, pasti muncul kritikan sastera yang berdasarkan keintelektualan dan kemanusiaan. Kesusasteraan adalah kemanusiaan yang lahir dari sanubari, pemikiran dalam dan pengalaman panjang.
Sasterawan akan segera bangkit melawan. Melawan ketidakadilan dengan mempertahankan kebenaran. Melawan lupa dengan mengingatkan. Jiwa seni mereka akan terasa.
Hanya kaedahnya yang berbeza antara satu sama lain.
Teraju kepada para sasterawan yang bertaburan di seluruh lohong kehidupan bernegara ialah Sasterawan Negara (SN). SN ialah simbol kesusasterawanan bangsa.
Sehingga kini seramai 16 tokoh dinobatkan untuk anugerah tersebut. Yang terbaru, Mana Sikana.
Shahnon Ahmad dalam menghuraikan makna kesasterawanan berkata, dunia sasterawan dan kesusasterawanan terangkum dalam empat unsur yang saling berkaitan: kepolitikan, kealaman, kedirian dan kemanusiaan.
Manusia dalam kesusasteraan bukan soal perut tetapi makhluk yang termulia, yang indah pena atau bicaranya sesama manusia, alam dan Tuhan.
Rugikan bangsa, negara
Apatah lagi jika bahasa ibundanya dilukai oleh bangsa sendiri. Atas hujah apa sekali pun, bahasa ibunda bukan sesuatu yang boleh dicagar.
Bahasa ibunda telah menjadi jiwa yang bernafas dalam dirinya.
Perjuangan sasterawan dalam konteks mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu tercetus pada 1967 melalui demostrasi Keranda 152.
Ia diikuti kali kedua sewaktu para sasterawan menentang pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di semua sekolah pada 2002.
Dasar itu menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dalam subjek Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan.

Pada 2009, lima SN menyatakan penentangan terhadap dasar PPSMI. Mereka ialah Shahnon Ahmad, A Samad Said, Muhamad Salleh, S Othman Kelantan, Noordin Hassan dan Abdullah Hussain.
Anuar Ridhwan yang kemudiannya dianugerahkan SN yang ke-10 pada tahun sama juga mempunyai pendirian yang sama.
Maknanya kesemua SN membuat pendirian menentang langkah kerajaan yang jelas merugikan bangsa dan negara.
Baki SN lain telah meninggal dunia iaitu Keris Mas, Arenawati, dan Usman Awang.
SN melawan dengan hujah bahawa kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris. Misalnya Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.
Kedua, kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin ketika itu dirakam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca”.
Tidak minta maaf
Muhammad berkata, “tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya. Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?”
Mereka sanggup menanggalkan gelaran SN jika keadaan memaksa.
A Samad yang turut turun padang berdemonstrasi menyatakan bahawa kesemua SN "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.
"Kita tidak boleh harap semua SN membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain,” katanya.
Begitu tegar mereka mempertahankan maruah bahasa dan bangsa.
Perlawanan mereka sehingga kini tiada hodoh atau salahnya di sisi masyarakat, hatta kepada penguasa sendiri. PPSMI akhirnya dimansuhkan secara beransur-ansur dari 2009 hingga 2012.
Penguasa tetap akur meski kesombongan masih ada untuk mengakui khilaf, apatah untuk meminta maaf.

Sasterawan adalah manusia yang sangat rapat dengan alam dan kemanusiaan.
Kini tiba waktunya para sasterawan tanah air melewati garis geografi dan politik antara bangsa secara lebih konstraktif.
SN dan sasterawan seharusnya tidak sekadar sensitif soal bahasa, budaya, kesusasteraan semata tetapi juga kepada kemanusiaan sejagat.
Antara yang paling mendesak kini ialah suara menentang kuasa besar dunia – khususnya AS dan Israel – gigih menjarah tanah Palestin.
Dunia sebelah Barat menyaksikan para sasterawan bangkit membawa suara kemanusiaan Palestin melalui pelbagai kaedah dan medium.
Pandang jauh ke depan
Nama-nama seperti Arundhati Roy, Sally Rooney, Naomi Klein, Jhumpa Lahiri dan lain-lain tidak asing dalam menyampaikan suara kemanusiaan Palestin.
Mereka bukan sekadar berkarya dalam gerne sastera mereka tetapi turut bersuara keras di pentas dunia, berdemonstrasi dan menyertai misi memecah kepungan rejim Israel hingga terpenjara.
Demontrasi mereka berskala besar dan tindakan mereka berimpak tinggi.
Bahkan para budayawan, seniman dan mereka yang terlibat dalam industri hiburan lebih ke hadapan dalam membawa suara kemanusiaan itu.
Konsert dijadikan pentas menyuarakan misi kemanusiaan dan penentangan kezaliman AS dan Israel.
Majlis graduasi universiti juga tidak terlepas menjadi pentas mengunjuk rasa protes.
Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki hubungan sosiobudaya yang panjang dengan Palestin tentulah perlu jauh lebih ke hadapan.

Apatah lagi Malaysia memiliki sosok perdana menteri yang terkenal sebagai pejuang pembebasan Palestin.
Kepada para sasterawan, tidak cukup dengan menulis dan mendeklamasi puisi-puisi Palestin yang hanya didengar di cuping-cuping telinga kawan sendiri. Tidak cukup menggayakan selendang keffiyeh sebagai tanda prihatin terhadap Palestin.
Tidak cukup, kalian.
Inilah masanya para sasterawan menjadi penggerak kepada gerakan suara kemanusiaan Palestin.
Ini seruan kepada semua pemenang Anugerah Sastera Negara, pemenang Anugerah SEA Write, anugerah sastera negeri, sasterawan biasa dan mereka berjiwa sastera.
Usah biarkan pena dan suara sasterawan membeku dalam kedinginan dan tangisan malam di Gaza. Jangan biarkan darah dan nyawa para syuhada yang mengalir sia-sia.
Tangisan anak-anak Palestin adalah air mata kita semua.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
