KOLUM | Mencari keberadaan Melayu dalam latar Sg Manik
KOLUM | Dalam The Strait Times Annual I pada 1940, penasihat Jabatan Parit dan Saliran Persekutuan Negeri-Negeri Melayu, AS Robinson, menulis dalam tentang pengalamannya berbasikal di kawasan dusun di Chikus, Sungai Manik.
Dari kejauhan, dia melihat pergunungan Cameron Highlands yang menjadi latar belakang kawasan padi di kawasan berkenaan.
Pada tahun 70-an Chikus ialah sebuah pekan kecil yang menempatkan balai penghulu, klinik kesihatan, stesen kereta api dan kemudahan lain untuk mukim Sungai Manik.
Ketika itu, Chikus merupakan tempat orang kampung menonton televisyen hitam putih beramai-ramai di kedai minum Pak Bakar.
Apatah lagi jika ada siaran gusti atau tinju.
Kami terpaksa berbasikal lebih tiga kilometer untuk tujuan tersebut terutama pada hari Jumaat yang ada tayangan filem Melayu di saluran utama RTM.
Ada lakonan seniman P Ramlee, Nordin Ahmad dan seniwati Sarimah.
Kami kanak-kanak terpaksa berdiri, menyandar di tepi dinding atau duduk mendongak depan televisyen. Semua kerusi yang selesa penuh diduduki orang dewasa.
Pada hari Ahad ada pula pekan sehari. Ramai orang kampung turun berjual beli barang keperluan. Ada yang menikmati pecal di kedai Mak Wa Yon atau mengopi di kedai Pak Hasan.
Ada mencari tepung, gula dan keperluan di kedai runcit Mat Rashid atau Pak Jali.
Imaginasi penjajah, imaginasi orang Melayu
Ada pula yang bergunting rambut dengan Pak Aziz. Di kedainya juga tempat orang kampung membaiki basikal.
Saya cuba mengkaji suasana Chikus dan Sungai Manik semasa AS Robinson berbasikal di situ. Mengkaji untuk mengetahui asal usul dan tempat sendiri sangat penting dalam memperkukuhkan keyakinan hidup bermasyarakat.
Dalam peta lama sama ada yang dilakar oleh sarjana atau pengembara Barat, nama Sungai Manik tidak wujud. Proses pencarian titik mula Sungai Manik mungkin boleh digerakkan dari pusat pentadbiran daerah Hilir Perak iaitu Teluk Intan.
Empat dekad lalu namanya Teluk Anson.
Nama itu bersempena nama Achibald Edward Harbord Anson yang bertanggungjawab membuat pelan bandar tersebut. Sewenang-wenang saja nama asalnya, Teluk Mak Intan, dipadakan.
Impian Inggeris agaknya mahu membina New Britain.
Segalanya mahu diberi nama British seperti Port Weld, Bukit Maxwell, Kampung Dew, Kellie’s Castle, Brewster Road, Jambatan Victoria dan sebagainya.
Imaginasi penjajah dilakar pada kertas yang memiliki nilai, manakala imaginasi orang Melayu di awangan yang dibakar setiap kali terasa diri menjadi dagang di tanah sendiri.
Kemudian nama tersebut ditukar kepada Teluk Intan pada 1986 atas titah Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris.
Ironinya pertukaran nama itu bersempena perayaan 100 Tahun Teluk Intan. Ia suatu yang kontradik.
Kawasan Batak Rabit dan Durian Sebatang atau yang berada di wilayah Kuala Bidor berada di Teluk Intan sudah menjadi salah satu pusat pentadbiran pembesar Melayu lebih awal.
Di situlah kediaman laksamana. Di Kuala Bidor itulah laksamana mengutip tol daripada pedagang yang melalui Sungai Perak.
Rumahnya dibakar oleh tentera Inggeris ketika membuat serangan balik selepas JWW Birch dibunuh.
Di tempat itulah rancangan untuk membunuh Birch diputuskan oleh para pembesar Perak.
Pertukaran nama itu dibuat untuk mengembalikan nama asalnya dengan sedikit pengubahsuaian menjadi Teluk Intan.
Mak Intan adalah nama seorang peniaga perempuan daripada suku Mandailing. Sayangnya, sejarah Mak Intan itu sudah hilang ditelan zaman.
Kita sorot sejarah ke belakang dalam memahami sejarah Sungai Manik bermula.
Pegawai British yang awal melaksanakan tugas-tugas mentadbir Hilir Perak ialah William Francis Bourne Paul pada Jan 1878. Sebelum itu dia berkhidmat di Sarawak, Gold Coast dan Elmina di Ghana.
Perancangan rapi, sistematik
Dia terlibat dalam suruhanjaya siasatan mengenai pembunuhan Birch pada 1875 di Pasir Salak.
Hasil siasatan tersebut dijadikan asas kepada pendakwaan terhadap beberapa pembesar Melayu Perak yang terlibat dalam pembunuhan pegawai birokrat Inggeris pertama selepas Perjanjian Pangkor 1874.
Kemudian Noel Denison bertugas sebagai Superintendent Hilir Perak melaksanakan tugas pentadbiran di daerah tersebut.
Setelah itu, jawatan Pegawai Daerah Hilir Perak diwujudkan pada 1893 melalui pelantikan Edward John Brewster (1893–1904). Jawatan itu diwujudkan bersama dengan kakitangan serta pejabat.
Peringkat awal, bangunan yang dikenali sebagai Rumah Tiang Seribu menjadi pejabat daerah Hilir Perak dan juga pejabat untuk Penolong Residen British Perak.
Ia dibina pada 1880 dan terletak tidak jauh dari Menara Condong Teluk Intan.
Bangunan tersebut antara binaan terawal yang dibangunkan oleh British untuk memperkukuhkan kuasa dan ekonomi selain balai polis, pelabuhan dan landasan kereta api.
British membuat perancangan terhadap tanah jajahannya sangat rapi dan sistematik.
Atas perkenan raja pemilik negeri, British melantik pegawai-pegawainya membangunkan empayar Great Britain atas tanah, kudrat dan titik peluh anak tempatan dan perantau.
AHP Humphrey (1940 – 1941) ialah Pegawai Daerah Hilir Perak terakhir sebelum pendudukan Jepun pada 2 Jan 1942.
Pembukaan tanah di Sungai Manik dimulakan oleh Norman Kerr Bain sebagai Pegawai Daerah Hilir Perak dengan mengeluarkan permit kebenaran projek dan penyediaan logistik awal.
Mahu tingkat pengeluaran padi
Projek pembukaan tanah untuk padi itu bermula selepas Jabatan Parit dan Saliran ditubuhkan pada 1932.
Bagaimanapun, George Alexander de Chazal de Moubray dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab dalam projek pembukaan tanah Sungai Manik meski perkhidmatannya di Hilir Perak singkat.
Moubray menulis Sungai Manik Irrigation Scheme dalam Malayan Agricultural Journal (April 1936) yang kemudiannya menjadi plan induk penanaman padi di Tanjung Karang.
Kemudian projek itu diteruskan oleh penggantinya, JR Innes Miller.
Akhirnya, hutan belantara yang dipenuh haiwan liar dan tumbuhan yang pelbagai menjadi jelapang padi. Kawasan itu diberikan nama Sungai Manik.
Selain pegawai daerah, pihak yang memainkan peranan pembangunan kawasan Sungai Manik ialah pegawai pertanian dan pegawai parit dan saliran.
Pengarah Pertanian Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Harold Augustin Tempany adalah pegawai pertanian pertama yang bertanggungjawab merancang pembangunan pertanian khususnya penananam padi.
Pada 1929, dia mencadangkan supaya pengeluaran beras tempatan ditingkatkan melalui peluasan kawasan penanaman padi.
Kemudian dia dilantik sebagai Pengerusi Rice Cultivation Committee.
Dia ialah seorang ahli kimia pertanian lulusan University College, London (UCL).
BO Bush (1932-1935) sebagai pegawai kanan Parit dan Saliran Perak adalah pegawai British pertama yang bertanggungjawab tentang urusan pengairan untuk Sungai Manik.
Kemudian diteruskan oleh AR Muray. Pada zamannyalah perasmian binaan kunci air besar atau headwork oleh Sultan Perak berlangsung.
Pada 1934, peringkat pertama projek pengairan Sungai Manik daripada tiga peringkat telah siap.
Akhbar Malaya Tribune pada 11 Jun 1940 melaporkan bahawa peringkat kedua bermula pada 1934 hingga 1939 melibatkan keluasan tanah sebanyak 2500 ekar.
Bermula dari nama Achibald Edward Harbord Anson hingga AR Murray adalah nama-nama orang Inggeris yang memainkan peranan dalam penanaman padi di Sungai Manik.
Saya masih gagal menjejaki nama-nama orang Melayu dalam pencarian ini. Orang Melayu malaskah atau bagaimana?
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/biggie_176907.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.