KOLUM | Cabaran melangkah dari mania ke podium para Sukma
KOLUM | “Hadi, kalau nak jadi jurulatih pingpong, kena ambil sijil tak?” kata sahabat aku, Wan Syazwani, “kau jadi jurulatih bola sepak, ambil sijil juga kan?"
Siapa sangka, soalan ringkas Wan Syazwani Wan Shariff di media sosial pada April tahun lalu tidak berakhir di situ saja. Ia berlanjutan melalui pelbagai episod sehinggalah dia melangkah bangga di kejohanan Para Sukma di Selangor baru-baru ini.
Lebih manis, Wan Syazwani bukan berada di situ sebagai jurulatih, tetapi sebagai atlet. Dia membawa pulang pingat perak untuk kontinjen Kelantan.
Aku mengenali Wani – aku memanggilnya begitu saja – dan suaminya, Nasrohab Abdullah dalam gerakan aktivisme. Ketika zaman muda-muda dulu, pasangan itu kerap menyertai kerja-kerja kemasyarakatan serta tekal membela nasib golongan terpinggir.
Pada masa sama mereka gigih mengangkat isu-isu kelas sosial.
Namun di sebalik semangat juang mereka, aku yang memerhati perjalanan Wani menerusi media sosial melihat satu lagi sisi perjuangan yang begitu rencam.
Ini bukan cerita drama atau fantasi yang habis dengan pengakhiran gembira. Wani berdepan dengan masalah kesihatan mental yang kompleks: gangguan kemurungan berterusan (persistent depressive disorder) bersama gangguan kemurungan major (major depressive disorder), gangguan hiperaktiviti kekurangan perhatian (attention deficit hyperactivity disorder atau ADHD) dan kecelaruan bipolar.
Ada fasa dalam hidupnya tenaga asas untuk berfungsi sebagai seorang manusia normal terus lesap.
Kehendak dirinya jatuh ke titik paling bawah, kebersihan diri terabai dan perasaan tidak berguna sebagai seorang ibu serta isteri kerap datang menghimpit hingga terbit niat untuk berputus asa daripada meneruskan hidup.
Perjuangan pesakit mental seperti Wani menjadi lebih sukar apabila terpaksa berdepan stigma masyarakat.
Bercelaru, rasa nak mengamuk
Di sesetengah tempat yang tebal dengan norma keagamaan dan tradisional, masalah mental kerap diringkaskan menerusi kanta rohani semata-mata.
Apabila seseorang itu murung atau hilang kawalan emosi, jawapan biasa yang dilemparkan ialah tak cukup zikir, jauh daripada tuhan, lemah iman atau terkena gangguan jin.
Di alam maya pula, isu itu diremehkan dengan tanggapan bahawa ADHD dan kemurungan sekadar isu yang dibuat-buat, mengada-ngada, mudah lupa atau sifat acuh tak acuh.
Pengalaman hidup Wani menyanggah kedua-dua sudut pandang tersebut. Masalah kesihatan mental ialah gangguan neurobiologi serta fungsi otak yang nyata. Ia memerlukan rawatan perubatan berasaskan sains.
Wani menceritakan bagaimana selepas mengambil ubat preskripsi seperti Ritalin, otaknya yang sebelum itu sentiasa bercelaru, rasa nak mengamuk dan ingin ‘lari’ tiba-tiba menjadi tenang.
Bantuan ubat yang betul membolehkannya solat secara khusyuk dan membawa anak ke masjid tanpa rasa terganggu.
Ia membuktikan bahawa rawatan klinikal tidak menafikan sifat kehambaan dan nilai keagamaan, sebaliknya menjadi alat yang membantu seseorang kembali berfungsi sebagai insan.
Namun, proses rawatan itu bukanlah jalan lurus yang landai. Ada ketikanya, latihan dan persediaan sukan Wani terganggu disebabkan kesan ubat psikiatri lain seperti quetiapine.
/file/attachments/orphans/wansyazwaniwanshariffnasrohababdullahparapingpongkelantan1_614649.png)
Ubat itu kadangkala membuatkan badan Wani bukan saja terlalu tenang malah lesu sehingga tindak balas refleksnya di hadapan meja ping pong menjadi perlahan.
Malah, kesan ubat yang membuatkannya sukar bangun pagi pernah mendorong Wani cuba berhenti mengambilnya – keputusan yang akhirnya mencetuskan emosi cemas, muak dan fasa murung yang lebih teruk.
Di situlah sukan menjadi preskripsi kedua yang mengimbangi perjalanan hidupnya.
Bermula dengan sukan larian jarak jauh, Wani beralih ke meja pingpong. Di situ, Wani menemui ‘ruang selamat’. Apabila pemukul menyentuh bola, fikiran yang bercelaru beransur-ansur menjadi tenang.
Tetapi kejayaan Wani memerlukan ekosistem sokongan yang berfungsi. Nasrohab kekal menjadi tiang utama yang sabar membimbing walau Wani pernah meminta suaminya itu berkahwin lain kerana berasa dirinya beban.
Bapa dan keluarganya juga secara beransur-ansur mula memahami bahawa hiperaktif serta kesukarannya untuk fokus sejak kecil ialah simptom ADHD.
Ubat jadi kunci penyelaman
Di Kelantan, komuniti pingpong tempatan menyambut Wani dengan empati. Selepas mengetahui Wani mengalami ADHD, jurulatih dan rakan kelab tidak menyisihkan. Sebaliknya mereka menyesuaikan kaedah latihan dengan memberikan arahan yang pendek lagi jelas.
Sewaktu latihan, jika fokusnya terganggu dan melakukan kesilapan teknikal yang berulang, jurulatih bersabar dan terus mengajar. Wani tidak diminta berpura-pura menjadi normal semata-mata untuk diterima.
Dia sendiri pernah menulis dalam media sosialnya: "Tapi fikir-fikir balik, kalau main (kategori) para, maknanya aku boleh main dengan kekurangan aku, bukan aku kena berubah jadi normal kan..."
Daripada sekadar bertanya kepada aku tentang lesen kejurulatihan, Wani memilih jalan yang jauh lebih mencabar. Dia memaksa fizikal dan jiwanya bangkit berdiri sebagai seorang atlet pada usia 33 tahun.
Orang putih kata “late bloomer”.
Meskipun terpaksa mengimbangi kesan ubat yang melambatkan refleks serta fasa depresi yang datang tanpa diundang, dia tetap melangkah dari satu kejohanan ke satu kejohanan.
Namun, ubat psikiatri itulah juga yang menjadi kunci penyelamat. Ia membantu menyusun semula jadual tidur Wani menjelang kejohanan, sekali gus mengatasi halangan waktu tidur tidak menentu yang pernah menyukarkannya bermusafir untuk bertanding sebelum ini.
Dia meraih pingat gangsa di sirkit 1, pingat perak di sirkit 2 dan akhirnya menggenggam pingat perak acara perseorangan Kelas 11 Para Sukma Selangor 2026.
/file/attachments/orphans/mjlis12_947676.png)
Sebagai sahabat yang memerhati perjalanan itu, perkara paling berharga ialah kejujuran Wani selepas membawa pulang pingat. Dia tidak menjaja naratif palsu bahawa pingat perak itu telah menyembuhkan penyakit mentalnya.
Sekembalinya daripada kejohanan, Wani tetap bergelut dengan masalah kognitif harian (executive dysfunction). Dia masih bergelut untuk menguruskan rumah tangga, mengemas pakaian dan ada hari-hari gelap yang datang mengganggu fikirannya.
Sukan tidak memadamkan penyakit Wani secara magis. Namun pingpong dan pengiktirafan di Para Sukma telah mengembalikan maruah, fungsi dan sebab untuk dia bangun setiap pagi.
“Masa aku sibuk tanya kau pasal lesen jurulatih tu, aku sebenarnya tengah mania,” ujar Wani tersipu-sipu. “Rasa serba boleh dan rasa diri hebat sangat, sampai habis lebih RM2,000 beli robot latihan. Apabila fasa tu berlalu, baru timbul rasa malu dan sedar diri yang aku ni ‘cap ayam’ saja, hahaha.”
Kisah Wani secara tidak langsung mengajak kita merenung kembali cara kita memandang sukan dan inklusiviti.
Masalah kesihatan mental ialah satu ketidakupayaan yang tidak terlihat pada mata kasar.
Bina ruang selamat sendiri
Memandangkan sifat penyakit itu berbeza-beza mengikut fasa dan sukar diukur tahap keseriusannya secara fizikal, pasti sangat rumit untuk diwujudkan kategori pertandingan khas untuk penyakit mental di pentas sukan elit.
Namun apa yang jauh lebih kritikal ialah pemberian ruang, peluang dan kefahaman yang lebih luas untuk golongan terbabit bersukan dalam masyarakat.
Cabaran terbesar pesakit mental di atas padang atau di dalam gelanggang bukannya keupayaan fizikal mereka, kerana dari segi zahirnya mereka nampak sihat dan cukup sifat seperti orang lain.
Cabaran sebenar ialah prasangka.
Apabila mereka mengalami kecelaruan emosi atau sensory overload di kompleks sukan, masyarakat kerap melabel ia sebagai “berkelakuan pelik” atau “tiada disiplin” hanya kerana tidak memahami apa yang berlaku di dalam minda mereka.
Perjuangan golongan terbabit bukannya tentang mengejar pingat semata-mata, tetapi tentang membina infrastruktur emosi dan sosial dalam masyarakat kita.
Gelanggang sukan komuniti wajar dijadikan medan rehabilitasi, pemulihan jiwa dan ruang inklusif yang selamat buat mereka.
Apabila masyarakat, pengurus kelab dan jurulatih tempatan mula memahami keterbatasan serta keperluan golongan yang berbeza kepelbagaian neuro (neurodivergent) dan pesakit mental, kita sebenarnya telah memberi mereka peluang untuk terus berfungsi dalam kehidupan.
Yang lebih penting, kita sedang membina sebuah masyarakat yang lebih bertimbang rasa dan memuliakan sesama insan.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang kini lebih memberi fokus kepada bidang penulisan serta kejurulatihan kerana semakin berusia dan semakin terkekang kudratnya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/886/WhatsAppImage2026-09-25at1620421_438613.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.